“APA hal Kak Azah sampai saya tegur pun akak tak balas,” soal Amir.
“Akak tengah confuse ni. Tadi ada dua budak datang sini jumpa Datuk. Lepas tu Datuk suruh akak jumpa dengan building manager, suruh jangan hantar cleaner buat sementara. Katanya dah dapatkan cleaner baru.”
“Habis tu yang akak confuse pasal apa pulak? Elok la tu. Sekarang dah ada dua orang cleaner lah. Lagi bersihlah pejabat ni semua.”
“Ye lah. Datuk tak pasal-pasal layan diorang berdua. Siap dapat keje lagi sini. Macam ada yang tak kena pulak tapi akak tak berani nak soal Datuk. Akak nampak macam dia happy je jumpa bebudak berdua tu.”
Amir lagi sambil melihat ke arah bilik Datuk. “Mana diorang?”
“Datuk bawa diorang keluar makan.”
“Wow! Ini memang berita sensasi. Datuk bawa cleaners keluar lunch.”
“Shh! Perlahanlah sikit cakap tu. Kang Encik Khaleef dengar banyaklah pulak cerita.”
“Alah kak. Bos kat dalam tengah rehat. Hari ni dia berjaya larikan diri. Kalau otak dia kusut, otak saya pun kusut juga.”
“Pasal anak saudara Datin tu ke?”
“Siapa lagi kalau bukan Cik Anna yang cantik lagi manis tu. Ke mana bos pergi pun dia nak ikut. Macam dia pulak assistant Encik Khaleef tu.”
“Awak jealous ke Amir?”
“Uish!. Saya tak jealous bab-bab macam tu. Encik Khaleef tahulah siapa yang boleh dia minta tolong dalam hal-hal macam ni.”
“Encik Khaleef dah buat apa dengan Cik Anna tu? Tak nampak pun sepanjang pagi.”
“Hah. Hari ni bos saya suruh dia hantar dokumen ke pejabat Raja Amsyar.”
“Jauh tu. Dokumen apa?”
“Kosong. Tak ada apa-apa pun. Bos yang suruh.”
Kak Azah ketawa. “Teruk jugak Encik Khaleef kenakan orang.”
“Kalau tak buat macam tu, susahlah dia nak berehat sekejap. Baru beberapa hari, Cik Anna kerap sangat masuk bilik dia. Nak buat kerja pun tak senang. Bos kata kalau macam ni, dia masuk MotorTrack tiap-tiap hari. Bawa kerja pergi sana. Lagi senang.”
“Susah juga kalau macam tu,” kata Kak Azah memberikan pandangan.
“Memang susah. Sayalah yang paling susah nak angkut kerja sana hari-hari. Err...Kak Azah ada idea nak buat macam mana?”
“Encik Khaleef tak suka ke dengan Cik Anna? Akak tengok cantik jugak Cik Anna tu. Dah macam model pulak.”
“Saya suspek bos hantar Cik Anna ke pejabat Raja Amsyar ada sebab. Semalam macam bos tanya Encik Amsyar kalau dia nak pakai orang untuk jadi model untuk projek dia tu. Agak-agak itu yang bos suruh Cik Anna pergi sana tu.”
“Bijak jugak Encik Khaleef ni.”
“Kan? Senyap-senyap je strategi dia untuk mematahkan pihak lawan.”
“Hai..dah beberapa tahun kerja takkan tak faham-faham lagi Encik Khaleef tu macam mana orangnya?”
“Faham kak Azah tapi bos tu kadangkala buat kerja diam-diam. Manalah saya tahu dia nak buat apa. Lainlah kalau saya boleh baca fikiran dia.”
**********
RAIYA pasti dia tidak boleh baca fikiran Tuan Khaleef kerana dia tiada firasat seperti itu. Raiya menarik nafas lega walaupun dia terasa seperti susah hendak fokus bila berada dalam bilik Tuan Khaleef. Lelaki itu sedang menundukkan kepalanya membaca sesuatu. Sekali sahaja Tuan Khaleef pandang ke arahnya bila dia masuk tadi untuk membersihkan biliknya. Panik juga bila dia berbalas pandangan dengan Tuan Khaleef, walaupun seketika. Manalah tahu kalau ada perkara ajaib lain yang akan berlaku. Nasib baik tiada. Raiya berjalan menghampiri hujung bilik untuk mula menyapu sampah. Awal sungguh Tuan Khaleef masuk kerja. Sekarang belum pun lapan pagi. Satu batang hidung pekerja pun belum ada. Bimbang juga kalau kerjanya akan mengganggu Tuan Khaleef.
Hari ini hari kedua Raiya mula bekerja di Kanchana Holdings. Dia diberikan kerja oleh Kak Azah di kawasan pejabat Tuan Asfa dan Tuan Khaleef manakala P'Malee di bahagian pejabat para pekerja. Kerjanya mudah. Awal pagi sebelum semua orang masuk kerja, mereka kena pastikan dahulu bilik air lelaki dan perempuan bersih. Raiya dan P'Malee tiada masalah pun dalam bab-bab mencuci seperti itu. Dari kecil lagi mereka sudah biasa dengan kerja sebegitu di rumah Pak Ngah. Mereka perlu pastikan bilik air sentiasa bersih dan lengkap dengan keperluan seperti tisu dan sebagainya. Selepas bilik air, barulah mereka masuk ke pejabat untuk sapu sampah, pungut sampah dan mengelap apa yang patut. Kena ulang pungut sampah lepas waktu tengahari. Bilik air pun kena ulang di sebelah petang. Mereka juga perlu menjaga ruang tempat makan. Vakum selang dua hari. Yang lain-lain, akan diberitahu dari masa ke semasa.
Raiya memberanikan diri berjalan perlahan-lahan supaya tidak mengganggu Khaleef yang sedang tekun menelaah dokumen. Jantung Raiya berdebar-debar. Macam-macam perasaan sedang berkecamuk. Was-was, risau, panik dan jiwa kacau. Sambil menyapu, sambil itu Raiya melihat tuan. Lebih kacak dari gambar yang dia lihat tempoh hari. Tuan tidak berkemeja seperti kebanyakan pekerja di pejabat tetapi berbaju T berkolar. Dalam keadaan duduk, tuan nampak tegap dan kemas. Bila sudah lihat dekat sebegini, memang boleh tahan kacak juga orangnya. Hari ini tiada pula benda hitam yang dekat dengan tuan. Malam semalam pun Raiya tidak dapat sebarang firasat. Tidur pun nyenyak sahaja. Ketukan pintu dan seseorang masuk ke dalam bilik Khaleef membuatkan Raiya segerakan kerjanya. Dia dapat dengar perbualan tuan Khaleef dan pembantunya, seperti yang Kak Azah beritahu, namanya Amir.
“Sorry bos saya lambat sikit.”
“Masuk macam biasa sajalah. Tak perlu datang awal.”
“Dah bos masuk awal, takkan saya nak masuk lambat pulak.”
“Masuk macam biasa. Saya lainlah. Memang nak kena masuk awal.”
“Kalau lari dari Cik Anna, apsal bos tak masuk MotorTrack je dulu?”
“Datang sini dulu, petang nanti kita pergi sana sama-sama.”
“Ahhh...pandai bos planning tapi hari ni ada event. Jadi, boleh masuk dalam plan tergempar.”
Amir melihat ketuanya yang sedang duduk di kerusi dengan dokumen di tangan. Sebatang pen di tangan yang satu lagi. “Semalam kenduri di rumah Tok Guru macam mana?”
“Habis awal tapi lepas tu ke rumah Raja Alwi,” jelas Khaleef. Dia meletakkan dokumen tersebut. Raja Alwi ialah kawan baik papanya. Semalam mereka sekeluarga menghadiri kenduri dan kelas agama di rumah Tok Guru di sebuah perkampungan. Kedatangan mereka memang dinantikan oleh Raja Alwi, yang juga merupakan bapa kepada Raja Amsyar. Seingat Khaleef, sahabat baiknya itu tidak bertegur sapa dengan bapanya sudah beberapa tahun lamanya. Ada konflik antara antara Raja Amsyar dan Raja Alwi. Amir pernah mendengar Datuk Asfa berpesan kepada Khaleef agar jangan campur tangan. Biar kedua-dua anak dan bapa mencari jalan penyelesaian sendiri. Sebagai sahabat, tugas Khaleef hanya tolong ingat mengingati dan sampai menyampai berita. Semalam, Khaleef ada bercerita perkembangan Raja Amsyar. Dia nampak wajah Raja Alwi ceria dengan perkhabaran itu.
“Bos tak ajak Encik Raja ke?”
“Awak nak saya cari nahas ke ajak dia?”
Amir tergelak sedikit. Dia juga maklum perbalahan yang berlaku di antara Raja Amsyar dan bapanya. “Anyway bos, hari ni bos ada appointment dengan team legal pukul sembilan. Lepas tu ganti Datuk untuk event di Sime Darby. Event sampai petang tapi kalau bos nak balik after lunch, boleh diuruskan.”
“Saya stay. Ada beberapa orang yang saya nak jumpa. Nanti tolong confirm dengan penaja samada mereka hadir nanti. Senarai nama saya bagi nanti,” balas Khaleef.
“Baik. Bos tahu tak yang Rais Tay dah ada di Malaysia?”
“Saya dah tahu,” balas Khaleef.
“Pantas maklumat yang bos dapat. Raja Amsyar provide info ke?”
Khaleef angguk. Walaupun tidak banyak maklumat yang dia perolehi tentang Rais Tay, namun sedikit sebanyak dia dapat agak keperibadian Rais Tay. Hanya beberapa hari sahaja dia akan berjumpa dengan lelaki itu. Walaupun SILB merupakan salah satu pembekal untuk pembinaan projek, dia perlu tahu tentang mereka yang bekerjasama di dalam konsortium. Mengetahui kelebihan dan kekurangan setiap mereka yang terlibat dapat memberi kelebihan untuk membuat penilaian.
“Err... Cik Anna bos nak bagi kerja apa pulak hari ni?” soal Amir.
“Saya bagi dia dekat awaklah Amir.”
“Alah bos ni, kalau nak bagi, bagilah sekali dengan Tok Kadi.”
“Yang itu awak cari sendiri.”
“Wokay bos. Jangan risau pasal Cik Anna. Nanti pandailah saya uruskan dia.”
“Bagus. Saya tau awak faham.”
“Ok bos. Err.. bos dah breakfast ke belum ni?”
“Belum lagi.”
“Saya pun belum lagi. Bos nak join saya makan ke bos nak saya bungkus?”
“Bungkus sajalah. Nothing heavy, please,” balas Khaleef.
“Ok. nanti saya beli apa-apa,” kata Amir. Tiba-tiba dia rasa sesuatu. Kenapa mak cik cleaner sudah jadi muda remaja? Amir perhati sahaja. Gadis itu tertunduk-tunduk menyapu di lantai berkarpet yang memang tiada sampah langsung. Memang sah, perempuan Siam yang sama. Kalau jadi tukang cuci di sini, mungkin inilah perempuan yang Kak Azah ceritakan. Sekarang Amir pula tertanya-tanya hubungan perempuan di hadapannya dengan Datuk Asfa. Kalau ceritakan kepada Khaleef, mesti Khaleef tidak akan ambil kisah. Masalahnya sudah beberapa kali dia menangkap perempuan ini dan rakannya menghendap dia dan Khaleef. Soalannya hendap siapa? Dia atau Khaleef? Bukanlah dia hendak berbangga, tapi rupa paras dia boleh tahan juga kalau hendak dibandingkan dengan majikannya.
Amir terus memanggil, “Sini dik. Mari sini kejap.”
Amir nampak perempuan itu mengangkat wajahnya. Tidak cantik seperti Cik Anna dan tidak cun seperti awek-awek di litar Sepang tetapi gadis di hadapannya ini walaupun berkulit gelap, agak menarik perhatian. Walaupun nampak comot sedikit, itulah wajah yang agak suci murni yang pernah dia nampak pada mana-mana perempuan. Boleh dikatakan wajah yang kalau buat salah, tidak akan nampak bersalah.
“Dekat sini dik,” lambai Amir ke arah Raiya yang kemudiannya melangkah sehingga beberapa kaki berhadapan Amir.
“Siapa nama ni?” soal Amir tetapi perempuan itu mendiamkan diri. Tidak mungkin tidak faham bahasa Malaysia.
“Tinggal mana? Mana kawan yang lagi seorang tu?” soalnya lagi.
Gadis itu tidak menjawab dan belum sempat Amir menyoal, Khaleef mencelah tiba-tiba. “Apahal yang awak nak interview dia tu? Biar dia buat kerja dia tu.”
“Bukan apa bos. Saya pernah nampak dia ni. Saja nak berkenalan,” balas Amir sambil melihat wajah gadis itu sekali lagi. Memang gadis itu punya wajah yang kalau pandang sahaja pasti rasa kasihan.
“Kalau nak berkenalan pun, kemudianlah. Biar dia selesaikan kerja dia tu. Lagi baik kalau awak yang tolong dia buat kerja tu.”
“Oish, bos. Selama ni dah banyak kerja saya buat. Takkan nak suruh saya take over kemas bilik bos ni pulak.”
“Dah kata nak berkenalan,” kata Khaleef sambil memandang ke arah Raiya. Ketika itu gadis tersebut hanya berdiri seperti batu.
“Dah sama seperti patung cendana ni kenapa pula? Buat kerja cepat!” kata Khaleef.
Sebaik sahaja mendengar arahan tersebut, Raiya tidak teruskan kerja. Sebaliknya dia terus bergegas keluar dari bilik itu.
“Fuh! Panik dia dengar bos sound sampai kelam kabut dia lari keluar. Perempuan ni kan bos, kita kena slow talk sikit. Semangat dorang kurang sikit.”
“Pandai betul awak pasal hal perempuan, kan?” Soalan Khaleef seperti perli bunyinya.
“Saya ada tiga adik perempuan, beberapa orang makcik dan kebanyakan sepupu sepapat saya pun perempuan. Kalau bos nak tahu pasal hal perempuan, tak perlu nak minta khidmat nasihat Encik Raja. Saya seorang pun dah boleh bagi tuition sehari semalam.”
Khaleef hanya tersenyum. Dia tahu kehadiran Amir banyak menceriakan kehidupannya. “Beginilah. Tak payah bungkus. Jom kita pergi makan luar,” ajak Khaleef lalu bangun dari kerusinya. Amir membuka pintu dan Khaleef hampir terkejut melihat gadis pencuci berdiri tegak di hadapan bilik. Bila dia lalu di sebelah perempuan tersebut, perempuan itu terus melangkah jauh darinya. Khaleef hanya gelengkan kepala tetapi Amir di sebelah rasa lain sahaja.
MASING-MASING sedang melayan roti canai bila mana Amir teringatkan sesuatu. Dia mengeluarkan telefon pintar buatan China lalu mencari sesuatu.
“Ni, bos. Saya nak tunjuk sesuatu. Bos ingat lagi tak masa saya kata ada perempuan asyik pandang saya? Ingat tak?” soal Amir di tempat makan.
“Entahlah,” balas Khaleef acuh tak acuh yang hanya fokus dengan makanan di hadapan mata. Rezeki perlu dihormati.
Amir yang sudah selesai dengan makananya menunggu sehingga ketuanya itu selesai makan dan minum.
“Sekarang bos tengok ni,” ajak Amir sambil menunjukkan video yang terpapar di telefon pintarnya. Khaleef melayan sahaja karenah Amir. Dia mengambil telefon tersebut dan melihat video yang sedang ditayangkan.
“Cuba bos tengok betul-betul. Nanti bos balik office, bos pandang elok-elok awek cleaner baru kita tu. Sama tak? Kalau sama, bos jangan kata saya tak warning bos. Silap hari bulan, perempuan ni stalker bos.”
Khaleef mengambil telefon pintar Amir dan memainkan video yang dirakam Amir tempoh hari. Walaupun dia tidak memberi perhatian kepada gadis yang masuk ke biliknya di awal pagi tadi, Khaleef dapati memang ada persamaannya.
“Kebetulan ni,” katanya selamba.
“Kebetulan apa. Saya nak bagi tau bos satu lagi perkara. Saya pernah nampak dia ni dengan kawan dia ni dekat kedai Mamak depan MotorTrack,” beritahu Amir.
Khaleef menghabiskan airnya.
“Bos tak nak check mereka dua ni sapa ke dengan Datuk?”
“Kenapa dengan Datuk?”
“Sebab Datuk yang ambil diorang bekerja.”
“That’s new tapi kalau Datuk yang ambil bekerja maknanya Datuk kenal mereka dan tak ada apa yang perlu kita nak bimbangkan. Beginilah. Kalau awak rasa tak tenang juga pasal mereka berdua ni, awak pergi investigate. Lepas tu report pada saya.”
“Biar benar bos ni. Hari tu bos dah serahkan Cik Anna untuk saya uruskan. Sekarang bos nak serahkan dua orang lagi. Mungkin penat nak buat kerja overtime macam ni tapi saya terima!” balas Amir. Dia suka kalau ada bab-bab siasat menyiasat seperti ini.
Share this novel