PINTU bilik dibuka perlahan-lahan. Anna masuk ke dalam dan menutup pintu dengan rapat. Dia melihat Khaleef masih lagi nyenyak tidur di atas katil. Anna tersenyum. Rupa paras Khaleef memang menarik dan dalam keadaan tidur pun, dia masih kelihatan kacak. Hati Anna berdebar-debar bila dia menghampiri katil Khaleef.
“Abang Khaleef,” tegurnya perlahan.
Tiada reaksi daripada Khaleef. Kali ini Anna dekat lagi. Tangannya sudah hendak menyentuh bahu Khaleef apabila Khaleef terjaga. Anna dapat melihat Khaleef sedikit terkejut. Anna tersenyum.
“Err... Anna nak tolong kejutkan abang. Tadi Amir kata kejutkan abang sebelum waktu Asar. Kak Zura pula sibuk sangat, jadi Anna datang kejutkan abanglah,” beritahu Anna.
Khaleef segera bangun dan duduk di atas katil. Mungkin kerana terlalu cepat bangun, kepalanya pening. Anna segera hendak membantu Khaleef.
“It’s ok,” balas Khaleef pantas sambil mengangkat tangan, seolah menahan dari Anna hampir dekat dengannya.
“Abang nak apa-apa?”
“No need. Abang dah bangun pun,” beritahu Khaleef.
“Abang belum sihat lagi ni,” kata Anna sambil cuba meletakkan tapak tangannya di dahi Khaleef tetapi cepat-cepat Khaleef mengelak.
“Its ok Anna. Minta tolong keluar. Tak elok Anna dalam bilik abang macam ni.”
“Abang kan tak sihat. Anna boleh tolong abang. Mmm..... abang nak Anna temankan abang sampai Amir datang balik sini?”
Khaleef mula rasa kurang selesa. “It’s ok Anna. No need. Please?” katanya sambil menunjukkan ke arah pintu yang tertutup rapat itu.
Anna sudah tiada modal. Dia bangun dan berjalan lenggang lenggok di hadapan Khaleef. Sampai sahaja di hadapan pintu, Anna menoleh dan tersenyum lagi. Tidak mahu mengalah.
“Anna dah tinggal di sini sekarang. Abang boleh minta tolong dengan Anna ye kalau ada apa-apa,” beritahu Anna sebelum dia keluar dari bilik itu. Sebaik sahaja keluar, Anna masih lagi tersenyum. Sepupunya itu masih sama seperti dulu. Ala-ala macam orang alim. Tidak suka dekat dengan perempuan. Tidak pernah ada teman wanita. Mungkin seorang yang sukar untuk didekati tetapi itu tidak menjadi masalah kepada Anna. Dia ada cara tersendiri. Suatu hari nanti, pasti Khaleef pasti akan menjadi miliknya.
******
KHALEEF bangun dari katil menuju ke bilik air. Dia menggeleng-gelengkan kepala mengingatkan situasi sebentar tadi. Gadis itu baru sahaja seminggu tinggal dengan keluarga mereka dan kini, dia sudah berani masuk ke dalam biliknya. Anna juga akan bekerja di Kanchana Holdings nanti. Papa ingin anak saudaranya itu turut serta dalam perniagaan keluarga mereka. Dengan kelayakan Ijazah Perniagaannya, Papa boleh sahaja meletakkan Anna di bawah portfolio pelaburan hartanah Kanchana, di bawah Uncle Azhar. Khaleef lebih selesa begitu kerana pejabat mereka berbeza dan lokasi pun berbeza tetapi menurut kata Amir, Papa mahu Anna membantu di pejabat mereka sahaja.
Khaleef pasti dia boleh minta bantuan Uncle Azhar untuk libatkan Anna dalam sebuah projek usahasama yang sedang diuruskan di sana. Projek itu memang memerlukan kakitangan di pusat jualan. Anna boleh ke sana walaupun mengikut perjanjian, Kanchana Holdings tidak perlu terlibat langsung di dalam hal jualan dan pemasaran. Atau dia boleh hantar Anna ke syarikat teman baiknya, Raja Amsyar. Pastinya Amsyar dapat membantunya dalam hal-hal seperti ini.
Khaleef tidak selesa dengan Anna dan dia kurang senang dengan emak Anna iaitu Puan Norma, ibu saudaranya. Sebelum Anna tinggal sebumbung dengannya lagi, Puan Norma asyik sahaja hendak menggandingkan mereka berdua. Kononnya, untuk menyambung hubungan yang terputus suatu ketika dahulu. Hal ini ada kaitan dengan kisah keluarga mereka sebenarnya. Ianya seperti apa yang diceritakan kepada Khaleef oleh Papanya sendiri beberapa hari yang lalu ketika topik tentang Anna keluar dalam perbualan mereka.
Dahulu, Datuk Idris mempunyai seorang rakan kongsi dan mereka berdua telah bersetuju untuk menjodohkan Papa dengan Puan Norma. Namun, Papa jatuh cinta dengan arwah Mama. Puan Norma juga berkahwin dengan orang lain. Setelah Mama meninggal dunia, hubungan kedua-dua keluarga itu bersatu semula bila Papa berkahwin dengan Mama Alwani, adik Puan Norma. Sehingga kini Khaleef dapat merasakan Puan Norma cuba untuk meneruskan hubungannya dengan Papa melalui dia dan Anna. Khaleef kurang pasti tetapi dari gaya-gaya Puan Norma dan Anna, nampak seperti itulah rancangan mereka. Bagi Khaleef, Anna seorang gadis yang baik tetapi selama mengenali Anna, dia hanya menganggap Anna tidak lebih dari seorang adik sahaja. Sama seperti Irdina.
Khaleef cuba melupakan hal itu seketika dan terus mengambil wuduk. Sekembalinya dia dari bilik air, pintu biliknya diketuk. Khaleef agak Amir sudah kembali tetapi bila pintu dibuka, Anna berada di hadapannya.
“Anna bawa air coklat panas untuk abang,” kata Anna sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya.
Khaleef membalas senyuman itu. Tidak salah kalau dia sedekahkan senyuman.
“Abang dah ada wuduk. Anna letak saja di sana,” katanya sambil menyuruh Anna masuk dan meletakkan air di atas mejanya.
Selepas meletakkan air, Anna berdiri di sebelah meja tidak bergerak.
“Ok?” soal Khaleef.
Anna seperti tidak faham maksud Khaleef.
“Abang nak solat,” beritahu Khaleef.
“Oh Ok. Sorry,” kata Anna sambil berjalan menuju ke pintu.
Khaleef tidak lupa mengucapkan terima kasih. “Thank you.”
“Most welcome.” balas Anna sebelum dia keluar dari bilik itu.
Khaleef mendekati meja kerjanya dan melihat air coklat panas itu. Entah kenapa dia rasa tidak berminat untuk merasai air itu. Khaleef terus mengambil tikar sembahyang.
*****
“BOS dah makan ubat?” Amir menyoalnya.
“Belum, tapi saya rasa dah sihat sikit. Kejap lagilah saya makan ubat tu, takut mengantuk pula nak tengok kertas ni,” balas Khaleef sambil meneliti dokumen yang perlu dibincangkan di mesyuarat akan datang.
Amir yang duduk di hadapannya sedang meneliti sebuah lagi dokumen. Dia terhenti seketika apabila melihat secawan air yang tidak bersentuh.
“Bos nak minum ke tak ni?”
Khaleef mendongak melihat cawan air itu. “Tak lah.”
“Kalau tak, saya letak tempat lain. Takut tertumpah pulak atas fail nanti.”
“Mmm..” hanya itu balas Khaleef.
“Patutlah tak bersentuh. Bos mana minum kalau air ni bukan hitam pekat,” kata Amir sebaik sahaja dia mengambil cawan tersebut. Khaleef hanya minum air kopi. Mungkin air yang berperisa lain tidak kena dengan lidah Khaleef yang sentiasa dengan kopi.
“Tahu pun,” balas Khaleef.
“Wait. Air ni Cik Anna ye yang sediakan untuk bos?” soal Amir.
Khaleef angguk dan memandang Amir. Pembantunya ini memang cekap. Tepat sekali pilihannya. Dulu ketika Amir masuk temuduga, dia nampak ketelusan dan sikap rendah diri Amir. Tidak seperti calon-calon yang lain yang berjanji akan buat apa sahaja kalau diberi peluang. Kelayakan Amir dari segi akademik bukanlah setinggi mana tetapi jawapan Amir ringkas dan menyenangkan. Dia hanya bekerja setakat yang termampu dan dengan keupayaan yang dia ada. Sehingga kini, boleh dikatakan Amir memahami keperluannya dan tidak pernah melebihi batasan sebagai seorang pekerja walaupun cara mereka lebih kepada berkawan.
“Kalau boss nak buat satu session lagi, petang pukul tiga hari Isnin, boleh?” soal Amir sambil melihat tablet elektronik yang digunakan untuk urusan pejabat.
Khaleef angguk sahaja. Dia melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul sembilan malam. Dia tahu Amir pasti penat sehingga kini disebabkan kejadian pagi tadi. “Saya ingat sampai sini sajalah. Esok pagi kita jumpa di MotoTrack.”
“Bos tak nak work from home lagi ke?” soal Amir.
“Tak perlu. Lagi pun esok dah Jumaat,” balas Khaleef.
Amir arif dengan perancangan harian bosnya terutama pada hari Jumaat di mana dia akan melebihkan masa di MotoTrack. Kadang-kadang mereka tidak masuk langsung ke Kanchana Holdings. Kalau di MotoTrack, Khaleef dan dia akan bersolat Jumaat di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail. Itulah rutin mingguan mereka di hari Jumaat.
Share this novel