P’MALEE mengurut kakinya. Lenguh juga dia berjalan sepanjang hari, tetapi demi menjaga Raiya, dia redha. Seronok juga menjadi penghendap persendirian. Ada debaran cemas dan takut tetapi dilayannya sahaja sebab dia sudah biasa dengan aktiviti Raiya di kampung ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Sekarang apa yang merisaukan Malee ialah keadaan Raiya. Entah apa yang Raiya nampak dekat dengan tuan Khaleef di siang hari tadi.
Raiya tidak banyak bercakap sejak mereka balik ke rumah. Lepas solat Maghrib, Raiya terus bergegas untuk menolong Mak Lang di kedai makan. Malam minggu memang ramai yang singgah dan kedai dibuka sehingga ke pukul dua belas malam. Pada hari biasa, kedai Mak Lang dibuka pukul sebelas pagi dan memang selalu penuh waktu tengahari, lengang waktu malam kecuali di hujung minggu dan seperti biasa, hari Ahad, kedai dibuka sampai tengahari sahaja. Memang letih kalau bekerja hampir setiap hari tetapi Mak Lang ada peraturan sendiri. Mereka yang bekerja di sini ialah saudara mara dan terdapat tiga orang di dapur, termasuk P'Anong. Mak Lang, seorang pembantu dan P’Malee di luar dapur. Kalau Mak Lang rehat, P'Anong ambil alih.
P'Malee mengemas meja yang baru ditinggalkan oleh sekumpulan lelaki. Dari gaya rambut, nampak sangat geng askar dari kem berdekatan. Kedai masih lagi dipenuhi pelanggan. Mungkin dalam sejam dua lagi surutlah pelangan-pelangan untuk mencari hiburan atau apa-apa sahaja yang dilakukan di hujung minggu. P'Malee menoleh mencari Raiya. Dia nampak Raiya sedang mengambil pesanan dari dua orang lelaki. Raiya nampak serius sungguh. Tiada senyuman langsung. Bahaya kalau P'Anong nampak. Memang dia pantang kalau melayan pelanggan tanpa senyuman. P'Malee mencari-cari P'Anong. Hanya Mak Lang di kaunter. Kalau Mak Lang di sana, maka P'Anong di dapurlah. Nasib baik. P'Malee dan Raiya serentak masuk ke kawasan laluan dapur dan kesempatan itu digunakan oleh P'Malee untuk menegur Raiya.
“Raiya pi balik dululah kalau dah penat. Baru dua hari, Raiya dah kerja teruk macam ni. P' takut Ayah Long marah P' pulak nanti kalau Raiya jatuh sakit.”
“Raiya tak dak la penat sangat. Kalau kat sana pun dah biasa tidoq lambat. Kata tutup pukul dua belas kan. Sat saja lagi tu.”
“P' tengok muka Raiya macam tak bersemangat sangat. P' risau la.”
“Raiya tak penat kerja. Raiya penat pikir hal tuan ni.”
“Apa dia. Pasai nak pi tengok-tengok tuan lagi ka?”
“Itu yang Raiya dok pikiaq dari tadi. Macam mana nak dekat dengan tuan. Kena pi dekat jugak, baru Raiya tau nak buat apa ka.”
“Kalau nak, kita pi kedai motor dia.”
Raiya angguk saja. “Elok jugak tu. Tuan Asfa kata esok pun kedai tu buka juga tapi ikut nasiblah kalau tuan Khaleef pergi atau tak. Raiya nak cuba ja. Kalau dia ada, adalah. Kalau tak ada, tak adalah. Kita pi sana awai sikit, naaa. Kita dok lama sikit ka. Lepas tu tengok nak buat macam mana. ”
“P’ ikut Raiya saja. Ni Raiya tak mau balik rehat dulu ka?”
“Raiya dah besa la P'. Hari-hari pun sat saja Raiya tidoq. Kita tolong Mak Lang sampai tutup kedailah.”
“Oklah kalau lagu tu. P' nak pi habaq kat Mak Lang sat pasai plan kita esok ni.”
****
KEDAI motor itu masih belum beroperasi bila mereka sampai. Untuk membuang masa, mereka singgah di kedai mamak yang berhampiran. Walaupun sudah bersarapan awal sebelumnya, P'Malee terus memesan roti kosong dan teh tarik manakala Raiya hanya minum teh ‘o’ panas. Sambil membuang waktu, mereka berbual tentang pelbagai topik. Antaranya kehidupan P'Malee di Kuala Lumpur dan juga cerita zaman mereka kanak-kanak dahulu. Hampir setengah jam kemudiannya, mereka nampak seorang lelaki dan seorang perempuan masuk ke pekarangan kedai motor tersebut. Raiya dan P'Malee menunggu sahaja. Hari ini kedua-dua mereka berpakaian hampir serupa. Baju T gelap dan penutup kepala warna natural. Raiya pakai topi dan P'Malee bertudung lengkap kemas dengan pin. Raiya bersetuju dengan pemilihan pakaian P'Malee hari ini yang tidak terlalu menonjol. Takut kegiatan mereka di kesan seperti petang kelmarin oleh lelaki yang bersama dengan tuan.
Namun, kedua-duanya tidak perasan akan seorang lelaki sudah nampak mereka di dalam kedai mamak. Seperti biasa, Amir memakirkan motosikal kapcainya di hadapan MotorTrack yang terletak bertentangan dengan kedai mamak tersebut. Sekali pandang dia ingatkan dia kenal antara pelanggan yang biasa bertandang di kedai itu, tetapi dia nampak wajah baru pula dan apa yang menghairankan ialah orang yang sama dilihatnya semalam. Kali ini Amir tidak mahu melepaskan peluang. Memang pun kadangkala dia akan ke kedai mamak itu. Kali ini dia teruskan niatnya. Belum sempat dia melangkah setapak, motosikal biru BMW Khaleef berada di hadapannya. Amir menunggu. Sesekali pandangannya menghala ke arah kedai mamak.
“Hari ni ikut sekali ya. Tak cukup geng. Deol tak dapat join today,” beritahu Khaleef selepas membuka helmet di kepalanya. Deol, seorang lagi kawan bikers Khaleef selain Raja Amsyar dan Stephen.
“Hari ni saya ingat saya off la bos. Maybe next time. Semalam saya tidur lambat. Bos ajak Stone sajalah. Nanti biar saya jaga kedai,” beritahu Amir. Stone ialah pengurus di MotorTrack merangkap mekanik yang bertauliah.
“Ok. Suruh dia keluarkan motor baru tu nanti,” kata Khaleef.
Amir tunjuk telefon kepada Khaleef. “Nanti saya call dia.”
“Nak call apa pulak. Dia belum sampai lagi ke?”
“Dia ada dalam tapi saya nak singgah kedai depan tu jap. Bos nak kirim apa-apa tak? Roti canai ke, nasi lemak ke?”
“Tak payah. Cepat sikit kalau nak call tu. Amsyar dan Stephen sampai saja, kami nak gerak. Nanti tolong standby sampai kami balik.”
“Worait bos,” balas Amir. Dia terus melangkah keluar dari pekarangan MotorTrack sambil membuat panggilan telefon kepada Stone. Hari ini dia jaga kedai sahaja. Kalau ‘standby’ maksudnya jadi mekanik tidak bertauliahlah jawabnya tetapi Amir tidak ada masalah. Walaupun dia bermotosikal seperti rakyat marhaen, dia juga mahir selok belok motosikal berkuasa tinggi. Stone juga banyak memberi tunjuk ajar. Setakat mencari kebarangkalian masalah, dia boleh menjawab kepada pelanggan. Kalau bab membaikpulih, itu akan diserahkan kepada Stone dan rakan mekanik yang bertauliah sajalah.
Amir sampai di hadapan kedai mamak dan berpura-pura tidak nampak dua gadis yang duduk betul-betul di ruang hadapan. Dia melepasi meja mereka dan terus duduk di meja sebelah. Hah! Ini barulah Amir, peminat cerita manga Conan the Detective suatu ketika dahulu. Seorang pelayan datang dan dia memesan satu roti canai serta milo ais. Amir tidak memandang ke arah dua gadis itu sebaliknya dia memasang telinga. Malangnya, satu patah perkataan pun dia tidak faham. Entah bahasa apa yang sedang digunakan oleh mereka berdua? Seperti bahasa Cina tapi bukan pula.
“RAIYA mai rhu,” beritahu Raiya. Dia tidak tahu hendak buat apa bila disoal P'Malee. Nampak sangat lelaki yang mereka lihat bersama Tuan Khaleef itu sedang menangkap dengar perbualan mereka. Terpaksalah mereka kembali menggunakan bahasa Thai kerana mereka pasti lelaki yang sedang memasang telinga itu tidak akan faham satu patah perkataan pun.
P'Malee ajak Raiya balik. “Pai liew. Pai klab ban mai ka?”
“Meaw. Bpaep neung,” Raiya masih tidak mahu pergi lagi dan mengajak P'Malee tunggu sebentar. Perbualan mereka diteruskan lagi.
“Nak tunggu apa lagi. Nanti pecah rahsia ni,” kata P'Malee panik masih di dalam bahasa Thai. Dia menoleh ke arah lelaki yang duduk di meja sebelah. P'Malee menghadiahkan sebuah senyuman.
“Dia tak faham. Yang P' pi tengok dia pasai apa?” balas Raiya.
“Saja P' nak tengok muka dia. Mana la tau kot-kot sat gi dia nak buat kawan. Senang la kita nak dekat dengan tuan. Alah. Bukan dia boleh faham pun apa yang kita cakap ni. Dah berkerut muka dia dengaq kita cakap Siam.”
Kedua-dua mereka ketawa. Seketika sahaja bila Raiya mengalih pandangannya semula ke arah kedai motor tersebut. Tuan Khaleef masih berada di luar kedai tersebut. Raiya menarik nafas. Masih ada lembaga hitam berhampiran Tuan Khaleef. Raiya tiba-tiba menundukkan kepalanya. Rasa lain macam sahaja. Perkara seperti ini bukan kebiasaan baginya. Kalau ikut perbualan dengan ayah semalam, ayah suruh dia lalui juga keadaan seperti ini. Terus terang ayah tidak pernah mengalaminya dan tidak pernah pula diceritakan oleh arwah Tuk Jab. Oleh itu, Raiya sendiri yang perlu berdepan dengan apa jua yang bakal ditempuhi. Yang penting, dia kena berani tetapi jangan terlebih berani. Ini bukan lagi tentang Pai’ed atau mana-mana samseng kampung yang boleh Raiya tangani, tetapi sesuatu yang mungkin di luar kemampuannya.
“Arai na?” soal P'Malee.
“Raiya nampak lagi benda tu,” balas Raiya masih dalam bahasa Siam.
P'Malee melihat sama tetapi dia sendiri tahu yang dia tidak boleh nampak apa-apa.
“Buat biasa saja,” nasihat P'Malee tapi dia sudah seram sejuk juga.
“Mmmm...” Raiya juga cuba untuk mengawal perasaan takutnya.
“Jadi, sekarang macam mana? Lelaki ni dok ada lagi kat sini ni.”
“P' nak buat kawan dengan dia ka? Kalau nak buat la. Tanya kalau ada kerja kosong kat kedai motor tu ka.”
“Betul ka nak tanya dia macam tu?”
“Kata nak buat kawan tadi.”
“Tak naklah. P' malu.”
Mereka gelak lagi. Ada P' bersama buat Raiya rasa lega sedikit. Sekurang-kurangnya ada kawan yang memahami untuk berkongsi cerita. Memang dari dulu lagi Raiya serasi dengan P' selain dari adiknya, Serina.
“Raiya ingat tak pa kut P'. Laki ni dah dua kali nampak kita. Kita buat biasa saja. Bukan dia tau pun kan, lainlah kalau dia macam Raiya juga. Ada firasat.”
“Jadi macam mana ni? Takkan nak dok lagi kat sini. Roti dengan ayaq pun dah habis. Kita nak pi ka nak tunggu ka?”
“Kita tunggu sampai tuan balik la.”
“Huish ... lama lagi kot tu Raiya.”
“Entahlah P'. Raiya pun sebenarnya mati akal juga nak buat apa. Ayah kata kena jaga tuan. Kena jagalah.”
“Kalau lagu tu kita kerja dengan bapa tuan tu.”
“Nak kerja apa P'? Depa ni pandai-pandai belaka. Raiya tak pandai.”
“Kat sini macam-macam boleh buat. Jadi tukang cuci atau orang gaji pun boleh. Banyak P' tengok cerita Melayu, heroin jadi orang gaji, jaga tuan dia.”
“Nak jadi orang gaji pun susah. Raiya mana pandai masak atau buat kerja rumah.”
“Betul jugak tu. Takkan nak jadi tukang kebun pulak, tapi setakat ni belum ada lagi heroin jadi tukang kebun. Boleh cuba Raiya,” kata P' selamba.
“Mungkin kena minta tolong tuan Asfa tu juga,” kata Raiya.
“Hah! Ada lagi satu cara kalau tak mau buat kerja,” P’Malee tiba-tiba menjerit. Satu kedai memandang ke arah mereka. Lelaki di meja sebelah pun sama tetapi P’Malee yakin lelaki itu tidak faham perbualan mereka.
“Apa dia?”
“Tengngan ka!”
“Tak maulah?!!” Kali ini Raiya pula yang menjerit.
Perbualan mereka dikejutkan dengan deruman beberapa motosikal. Raiya kembali melihat ke kedai motor. Raiya nampak tuan Khaleef menaiki sebuah motosikal. Lelaki di meja sebelah pun meluru keluar dari kedai mamak. Sebentar sahaja empat buat motosikal lesap dari pandangan. Hendak tunggu apa lagi kalau tuan sudah tiada. Lelaki yang tadi seperti memandang ke arah mereka buat seketika. Raiya dan P'Malee beredar setelah mereka pasti lelaki tadi sudah masuk ke dalam kedai motosikal.
Share this novel