Bab 4

Romance Series 3830

“JOM tidoq la Raiya. Dah lewat malam sangat ni,” tegur P'Malee yang terjaga dari tidurnya. Lampu bilik yang dikongsinya dengan Raiya masih menyala. Jam di sebelah sudah pukul dua pagi. Raiya duduk di hujung tilam bujang yang berkembar dengan tilam P'Malee.

“Awat Raiya?” soal P'Malee. Risau kalau malam-malam sebegini Raiya mendapat firasat tentang tuannya. P'Malee bangun duduk bersandar ke dinding. Dia meraup wajahnya dan membetulkan ikatan di rambut.

“Raiya, alai?” Kenapa? Soal P'Malee lagi.

Raiya menoleh ke belakang. Telefon di tangannya dengan gambar tuan Khaleef di skrin. Gambar yang dihantar oleh tuan Asfa. Raiya meletakkan telefon itu ke bawah.

“Raiya tak faham pasai pa Raiya nak kena jaga tuan ni. La ni Raiya terpaksa tinggai jauh dari ayah dengan mak,” beritahu Raiya. Air matanya bergenang di kelopak mata.

P'Malee faham apa yang Raiya rasakan. “Raiya rindu kampung ni. P' pun sama juga masa mula-mula mai sini. Tapi P' dah lama dok pisah dengan keluarga P'. Mula-mula memang la payah Raiya. Lagi pun Raiya bukan la nak dok lama-lama kat sini. Bila selesai masalah, Raiya balik sana la.”

Raiya hanya menundukkan kepala dan diam tidak bersuara. P'Malee rasa tidak senang hati kalau Raiya sebegini. Pasti ada sesuatu yang difikiran. P'Malee tahu Raiya masih lagi menyoal tentang kebolehannya. Kalau zaman kanak-kanak dulu, Raiya memang dianggap sedikit aneh. Orang pun tidak berani hendak berkawan sebab kebanyakan masa asyik hendak marah-marah sahaja. P’Malee pun tidak tahu bagaimana hendak berkawan dengan Raiya sebab dia tidak banyak bercakap. Mujurlah Encik Yunus pandai membesarkan Raiya dan dia kini semakin yakin dan mampu menjaga dirinya. Cuma firasat Raiya hanya terikat pada orang tertentu. Kasihannya ialah Raiya tidak dapat melihat firasat untuk dirinya sendiri.

“Allah sayangkan Raiya, sebab tu dia bagi juga ujian kat Raiya.”

Raiya senyum balik. Ayat yang sama diulang-ulang. Ayah pun cakap sebegitu. P'Malee pun sudah banyak kali ulang ayat yang sama. Raiya faham tapi tidak seorang pun yang kasihan dengan keadaan dirinya ini. Bukan mudah bila ada kebolehan seperti ini. Apatah lagi kebolehan ini terikat dengan seorang lelaki. Bukan sekadar firasat yang dia perolehi tetapi kadangkala dia sendiri dapat merasainya. Kalau Tuan Khaleef jatuh kuda, dia dahulu yang merasai sakitnya. Kalau Tuan Khaleef hendak demam, dia juga rasa lenguh-lenguh badan. Payah dan perit itu, dia seorang yang tanggung. Ayah pun mengaku yang dia tidak sampai merasai kesakitan kalau Tuan Asfa tercedera. Ayah cuma dapat firasat sahaja tapi Raiya dapat lebih dari itu. Kebolehan dia melebihi ayah dan datuk moyang dulu. Raiya tidak lebih-lebih bercerita atau berkongsi dengan ayah tentang bagaimana keadaan bila dia merasa apa yang bakal berlaku terhadap Tuan Khaleef. Dia takut ayah terlebih risau tentang dirinya.

Raiya ingin sangat berkongsi tentang hal itu dengan P'Malee. “P' nak tau satu cerita tak?” Malam ini, emosinya tidak terkawal. Mungkin P'Malee perempuan dan P'Malee boleh faham keadaannya. “Raiya boleh rasa kalau tuan dalam bahaya.”

“P' tau. Mak Lang pernah bagitau kat P’ yang Raiya dapat rasa. Sama macam ayah Long. Lepas tu, Raiya boleh nampak, kadang-kadang sekali lalu, kadang-kadang jelas, kan?”

“Bukan selalu Raiya nampak. Raiya boleh rasa,” jelas Raiya lagi.

“Rasa? Macam mana tu?” kali ni P’Malee rasa pelik sikit.

“Kalau tuan nak sakit, kadang-kadang Raiya sakit dulu,” beritahu Raiya.

P'Malee pula terdiam. Terkejut dengan pengakuan Raiya. Sekali pandang keadaan Raiya sekarang, P’Malee dah boleh agak. “Dah lama ka Raiya?”

“P' ingat tak masa kecik-kecik dulu ayah bawa Raiya jumpa tuan. Pagi tu Raiya rasa sakit. Tangan Raiya sakit sangat.”

“Sampai macam tu ka? Ayah Long tau dak?”

Raiya angguk kepala.

“Ayah Long kata apa?” soal P'Malee.

“Ayah kata mungkin sat sat saja. Tapi sampai la Raiya boleh rasa. Malam ni pun Raiya tak boleh nak tidur sebab Raiya sakit kepala sangat-sangat.”
“Maksudnya tuan tu nak sakit apa-apa ka?”

“Agaknyalah tu,” balas Raiya.

“Kita nak pi buat apa-apa ka?” soal P'Malee lagi. Risau juga kalau kes macam ni. Dalam hal begini, P’Malee memang percaya dengan apa yang Raiya ceritakan.

“Tak kot. Tak pa lah P'. Raiya cuba tidoq sat gi,” katanya sambil mengambil telefonnya semula. Paparan gambar tuan Khaleef ditutup. Dia cuba melelapkan mata.

Perlahan-lahan sambil menahan sakit.

***********

“BOS sakit kepala lagi ke?” soal Amir sambil menghulurkan sebiji kapsul kecil ubat dan segelas air kepada ketuanya.

Khaleef menyambut ubat yang diberikan lalu menelan perlahan-lahan. Dia meletakkan gelas air di meja sisi. Hidungnya masih tersumbat. Cirit birit, selsema dan sakit kepala. Cukup semua sekali. Tidak pernah dia sakit seperti ini. Semalam sihat sahaja. Bangun pagi sahaja, perutnya sudah buat hal. Lepas jumpa doktor barulah kurang sikit perut meragam. Namun begitu, dia masih sakit kepala dan selsema. Sepanjang hari asyik terbaring sahaja di dalam bilik.

“Doktor kata bos salah makan. Bos makan apa semalam?” soal Amir. Baru sekarang dia boleh menyoal siasat Khaleef. Dia memang tidak dapat menemani Khaleef makan tengahari kerana membantu Datuk membuat urusan yang agak sulit. Lepas waktu kerja, Khaleef ada temujanji dengan sahabatnya, Raja Amsyar. Amir pula terus balik rumah sehinggalah dia dapat panggilan telefon daripada Khaleef awal-awal pagi menyuruhnya datang segera ke sini. Suatu keluarga kecoh dengan kehadirannya. Masuk saja bilik Khaleef, sekali dengan Datuk dan Datin dan Kak Zura, mereka nampak Khaleef mengerang kesakitan di atas katil. Apalagi, dia dan Datuk terus cempung Khaleef bawa ke hospital. Doktor di sana hendak menahan dan hantar masuk wad tapi memang Khaleef degil sedikit orangnya. Lantas, dia dibenarkan balik berbekalkan beberapa ubat. Kini, Amir pula yang perlu menjadi jururawat peribadi.

“Saya makan dinner at home,” balas Khaleef.

“Pelik betul. Lunch?” soal Amir lagi.

“Saya suruh Kak Azah grab some sandwishes.”

“Pelik betul. In between?”

“Nothing,” balas Khaleef.

“Memang pelik,” kata Amir.

Khaleef ketawa dalam sakit kepala.

“Apa yang peliknya?”

“Ntah la boss. Mesti ada yang boss makan sampai jadi macam ni.”

“Mungkin adalah tu,” balas Khaleef. Dia membetulkan kedudukan di atas katil.

“Bos nak batalkan program hujung minggu ni atau bos nak teruskan?” soal Amir yang kini sudah duduk di kerusi yang sebentar tadi ditarik dekat ke katil Khaleef manakala program yang dimaksudkan ialah aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi menyusuri laluan ke Bukit Tinggi. Jenama Ducati baru sahaja melancarkan motor berkuasa tinggi yang baru dan Khaleef sudah menerima unit pertama. Itulah unit yang hendak dicubanya. Beberapa orang rakan akan turut serta termasuklah Amir dan Raja Amsyar. Untung jadi pembantu Khaleef. Dapat merasa bawa motosikal berkuasa tinggi.

“Eh, jangan batalkan. Esok lusa saya sihatlah,” balas Khaleef.

“Lepas tu tentang meeting dengan Datuk pagi tadi pasal konsortium projek di London. Saya masuk bagi pihak bos dan ada perkembangan tentang Sri Indah Land Berhad. Ada info yang pengurusan syarikat tu sudah diambil alih oleh RT Investment. Menurut laporan, owner syarikat RT itu sendiri yang mengepalai pengurusan SILB. Datuk minta boss assist uncle boss, Dato Azhar on this matter."

Khaleef faham apa yang perlu dia lakukan. Pekerjaannya di Kanchana bukan sahaja sebagai juruaudit, dia juga akan membuat penilaian tentang pelaburan yang bakal di buat oleh syarikat. Khaleef tidak berminat untuk menjadi pewaris Kanchana dan dia rasa tugas itu lebih baik diserahkan kepada adik bongsu bapanya, Dato Azhar yang lebih bijak dalam bidang perniagaan. Kanchana ialah syarikat keluarga yang pada asalnya membekalkan peralatan berasaskan pertanian. Setelah beberapa dekad, syarikat mempunyai kepelbagaian perniagaan dan salah satunya ialah pelaburan hartanah yang diterajui oleh Dato Azhar. Seorang lagi bapa saudaranya ialah Dato Amin yang merupakan penasihat undang-undang kepada kumpulan Syarikat Kanchana.

“Do we know who this person is?” soal Khaleef.

“Saya tak kenal, bos pun tak kenal, tapi maklumat tentang dia, ada dalam fail tu,” kata Amir sambil menunjukkan beberapa keping fail yang terletak di meja sisi katil. “Pemilik RT Investment ialah Rais Tay. Dia tak terkenal sangat di Malaysia ni sebab low profile tapi bapa dia memang high profile di Britain. Yang famous di Malaysia ialah mak dia dan kalau boss pernah dengar nama Juwita Rafie. Kedua-dua mak bapa si Rais ni property investors, sama macam family bos. Dari apa yang saya tahu, Datuk memang familiar dengan Puan Juwita tu. Girlfriend lama agaknya.”

“Pandailah awak menuduh Datuk,” tegur Khaleef.

“Betul bos. Datuk sendiri mengaku dalam meeting tu. Katanya girlfriend masa belajar dulu tapi tak sampai jodoh,” beritahu Amir sambil ketawa. Entah apa yang melucukan pun Khaleef tidak dapat tangkap maksud yang hendak disampaikan. Mungkin ada cerita lain yang berlaku ketika mesyuarat pagi tadi. Khaleef mendengar maklumat seterusnya.

“Syarikat-syarikat yang terlibat dengan konsortium akan buat perjumpaan dalam dua minggu lagi. Kali ni Datuk nak bos join perjumpaan tu. Datuk kata kalau Rais wakil SILB, elok kalau boss jumpa dengan dia sebab kata Datuk, bos dengan dia tu lebih kurang sebaya. Mungkin lagi mudah untuk bekerjasama. Setakat maklumat yang kita ada tentang Rais Tay ni tak menyeluruh sebab yang pertama, dia tak duduk di Malaysia dan yang kedua, memang tak ada cerita sangat tentang dia ni. Tup-tup saja nama dia naik sebab hal ambil alih SILB tu.”

Khaleef menganggukkan kepalanya dan terus menarik fail di atas sisi meja untuk membaca maklumat yang lebih lanjut tentang Rais Tay. Belum sempat dia membuka fail, Amir mendahului dengan satu soalan.

“Lagi satu bos. Saya nak tumpang tanya. Tadi masa saya turun bawah, ada awek cun sorang dengan Cik Irdina. Siapa tu, bos?”

“Cantik eh?” soal Khaleef, tanpa melihat Amir. Matanya tertumpu kepada gambar Rais Tay di muka pertama laporan yang telah disediakan.

“Cantik,” balas Amir.

“Kenapa nak tahu?” balas Khaleef walaupun matanya membaca rangkap pertama laporan biodata Rais Tay.

“Cun bos. Apalagi, boss tak nak masuk line ke?”

“Anak saudara Datin tu,” balas Khaleef. Dia menutup laporan tersebut dan meletakkan semula di atas meja sisi untuk dibaca kemudian nanti. Susah hendak fokus kalau Amir mengajaknya berbual.

“Ok what,” balas Amir.

“Ok apanya. Awak dah tengok dari atas sampai bawah tak?”

“Tengok bos. Memang perfect!”

“Kuranglah,” balas Khaleef.

“Apa yang kurang? Saya tengok semuanya cukup sempurna. Rambut panjang, putih melepak, senyuman manis, ukuran pun boleh tahan, ehem! Apa lagi yang kurang bos?”

“Agama,” balas Khaleef selamba.

Amir tersenyum. Lupa pula Khaleef jenis orang yang kurang lebih, cukup didikan agama. Lelaki gred ‘A’ macam Khaleef memang susah hendak jumpa zaman sekarang ini. Kaya, kacak dan beriman. Walaupun dia berkawan dengan Raja Amsyar yang sering dikelilingi dek model dan artis jelita, Amir tidak pernah melihat Khaleef berkepit dengan mana-mana wanita. Setakat yang dia tahu, Khaleef tidak pernah ada teman wanita yang istimewa. Yang beratur dan berlumba-lumba untuk mencuba nasib memang ramai tapi sehingga kini tidak ada seorang pun yang berjaya menawan hati anak teruna Datuk Asfa. Dunia Khaleef berkisar pada bini pertamanya iaitu Kancana Holdings dan bini keduanya iaitu MotorTrack Enterprise. Bagi Amir pula, dunia dia sentiasa berkisar pada Khaleef. Setakat ini sehinggalah Allah pertemukan dia dengan jodohnya suatu hari nanti, InShaaAllah.

“Kalau kurang agama, boleh dibimbing bila-bila masa saja. Itu sebab Allah jadikan kaum Adam. Untuk membimbing kaum Hawa ke jalan yang benar dan yang penting menjadi seorang yang taat kepada Allah dan suaminya,” Amir mula berceramah.

Khaleef ketawa kecil dengan ceramah Amir walaupun kepalanya masih sakit. “Kena juga tengok kalau Hawa tu kena dengan hati ni.”

“Kalau part hati dan perasaan tu saya tak boleh nak tolonglah. Dalam sangat, boss.”

“Tahu pun,” balas Khaleef. Dia menarik selimut kerana rasa sedikit kesejukan. “Saya nak cuba tidur, sekarang.”

“Baiklah bos. Saya pun ingat lebih baik saya ke pejabat terus ambil barang-barang tu semua. Nanti saya suruh Kak Zura kejutkan bos sebelum Asar. At least bos dapat tidur sejam lebih macam tu. Petang nanti saya singgah sini lagi,” beritahu Amir sebelum membetulkan selimut Khaleef dan keluar meninggalkan ketuanya itu. Memang sah, hidupnya beberapa tahun ini berkisar pada Khaleef sahaja.

****

“HAI, dah nak balik?”

Amir menoleh dan nampak gadis yang terserempak dengannya awal tadi. Anak saudara Datin Alwani. Menang mencabar keimanan betul cara gadis itu berpakaian walaupun tidaklah terdedah atau tersingkat mana. Kain yang labuh melepasi lutut tetapi pakaian itu mengikut bentuk badan dan ukurannya memang gred A juga. Gadis itu tersenyum dan menghampirinya.

“A ah. Dah nak balik,” balas Amir. Gugup bila berhadapan dengan gadis cantik itu.

“Bos you dah sihat ke?”

“Not hundred percent tapi recovering,” balas Amir. Dalam hati dia serba salah. Dia hendak ke dapur mencari Kak Zura tetapi seperti disekat di tengah jalan.

“Ada nampak Kak Zura tak?” soal Amir segera.

“Dia ada kat dalam tu.”

“Saya nak cari dia kejap,” balas Amir lalu berjalan melepasi gadis itu dan menuju ke dapur. Dia dapat rasa seperti gadis itu mengekorinya. Amir teruskan juga ke dapur sehinggalah dia nampak Kak Zura yang sedang mengelap beberapa perkakasan. Kak Zura mengangkat muka kurang manis bila ada yang masuk ke kawasan jajahannya ketika dia bekerja.

“Oh Amir. Eh, Cik Anna. Ada apa?” soal Kak Zura.

Amir dengar nama gadis yang berdiri di belakangnya. Anna.

“Nak pesan kat Kak Zura tolong kejutkan bos saya sebelum Asar.”

“Amir nak pergi mana?” soal Kak Zura.

“Saya nak balik ofis nak ambil beberapa barang. Bos nak kerja dari rumah pulak ni,” balas Amir.
Kak Zura mengiyakan sahaja.

“Saya gi dulu. Ingat kak. Kejutkan dia tau, nanti bising pulak kalau dia tak bangun,” beritahu Amir sekali lagi sebelum beredar. Kali ini Anna tidak pula mengekorinya.

Selamat berkenalan dengan Khaleef.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience