Bab 1

Romance Series 3830

KOPI yang hendak diminum tidak sempat sampai ke mulut apabila namanya dipanggil berkali-kali. Encik Yunus saling berpandangan dengan isterinya, Puan Murni sebelum menggelengkan kepala berkali-kali. Mereka berdua biasa mengalami keadaan seperti ini. Seolah sejarah berulang kembali dan sentiasa sahaja berulang. Mereka sama-sama bangun dan menuju keluar. Encik Yunus mengenakan selipar dan nampak seorang pekerjanya sedang memberhentikan motosikal sambil memandang ke arah beranda rumah.

“Pasai apa pulak kali ni, Din?” soal Encik Yunus.

“Kat jeti Pak Yunus. Ada orang cari hal dengan Raiya. Depa tengah bergaduh la ni,” kata pekerja itu yang kelihatan cemas sekali. “Cepat sikit Pak Yunus. Ada yang dah panggil Tok Ketua. Takut sat ni jadi panjang cerita pulak.”

Encik Yunus cuba mententeramkan dirinya dan tidak terkejut dengan berita ini. Isteri yang berada di sebelahnya pun sama sahaja.

“Kali ni dengan sapa pulak?” soal Encik Yunus lagi.
“Asri dok mai cari pasai. Jom pi cepat Pak Yunus,” beritahu pekerjanya.
“Hang pi dulu. Sat gi aku mai,” balas Pak Yunus.

“Seri macam mana, abang?” soal Puan Murni tentang anak perempuan mereka yang seorang lagi. Bukan Puan Murni tidak kisah dengan Raiya tapi dia tahu apa saja Raiya buat, pasti ada penyelesaiannya. Perkara seperti ini bukan kali pertama dan bukan kali kedua. Entah kali yang ke berapa pun Puan Murni tak terkira.

“Abang pi dulu. Lepas hal ni abang terus pi ambil Seri kat stesen,” beritahu Encik Yunus. Dia lihat wajah isterinya tidak terkesan langsung dengan berita yang baru mereka dengar. Berbeza keadaannya kalau hendak dibandingkan sepuluh tahun yang lalu di mana Puan Murni sering mengadu sakit kepala bila mengetahui perihal Raiya yang terlibat dengan pergaduhan.

“Ni, abang jangan dok marah sangat kat Raiya tu. Selidik dulu pasai pa dia bergaduh,” pesan Puan Murni.

************************

“SUDAH! Sudah! Jangan nak bergaduh lagi,” jerkah Tok Ketua yang berada di antara dua belah pihak.

“Dia tu yang mula dulu,” kata Raiya. Beberapa orang yang berada di belakang Raiya turut menyahut menyokong.

“Mana ada! Saya tak buat apa-apa pun kat dia. Tiba-tiba saja dia mai serang saya,”kata Asri sambil memandang Raiya dengan perasaan tidak puas hati. Dua orang penyokong Asri pun turut menyalahkan Raiya dan gengnya.

“Dia yang kacau kami dulu,” jerit Raiya kembali.

“Hish! Aku kata sudah. Jangan nak bergaduh lagi. Kalau nak bergaduh, hang pa berdua ikut aku pi balai la ni jugak!” Tok Ketua sudah tinggikan suaranya. Selama dia menjadi Tok Ketua, dia tidak pernah menggunakan sepenuh tenaga dan suara untuk mententeramkan keadaan. Tok Ketua melihat ke arah Asri dan dia nampak bibir Asri sudah ada kesan bengkak dan berdarah. Begitu juga dengan pengikutnya. Ada kesan cedera di bahagian muka masing-masing. Tok ketua tahu Asri, anak orang kuat wakil rakyat di kawasan itu selalu buat hal tetapi ramai yang tutup mata. Sudah pelbagai cerita yang dia dengar tetapi setakat ini tidak ada yang berani tampil untuk menjadi saksi atau menunjukkan bukti. Mungkin ramai yang menyerah kalah kalau ada hal berkaitan dengan Asri kerana tahu akan akibatnya kalau berlawan dengan orang kuat wakil rakyat. Bukan orang kuat wakil rakyat tetapi anak orang kuat wakil rakyat.

Tok Ketua melihat pula ke arah Raiya. Sama sahaja keadaannya. Ada sedikit kesan calar di wajah Raiya. Begitu juga dengan pekerja-pekerja Yunus yang lain. Kalau ikut apa yang dia lihat sebelum menghentikan pergaduhan sebentar tadi, kelihatan kumpulan yang diketuai Raiya sudah pun memenangi perlawanan. Mengikut siasatan dan sumber yang dipercayai, memang pergaduhan itu dimulakan oleh Asri yang sengaja menendang bakul berisi hasil tangkapan pekerja Yunus. Mungkin itulah yang menyebabkan kemarahan Raiya.

Tok Ketua memandang wajah Raiya sekali lagi. Wajah Raiya masih kelihatan kebudak-budakan. Memang kalau sekali pandang, Raiya nampak seperti budak belasan tahun. Malah kalau ada yang pandang Raiya, pasti akan tergerak untuk melindunginya. Tok Ketua tahu, kalau Raiya sudah mengamuk, bukan kata mulut, kaki dan tangan juga akan naik mengamuk sekali. Tidak padan dengan tubuh badannya yang kecil itu, Raiya memang terkenal dengan kaedah menyerang kasar kalau dia tidak puas hati. Mungkin Asri belum kenal dengan Raiya kerana dia baru beberapa tahun berpindah ke sini. Tok Ketua kenal Raiya sudah lama. Sejak dia keluar dari perut ibunya lagi. Dia sedia maklum dengan sikap Raiya yang tidak akan berkompromi kalau berada di pihak yang benar. Kalau dulu, Tok Ketua sering meleraikan pergaduhan Raiya dengan musuh tradisinya iaitu Pai’ed, tetapi sekarang nampaknya Raiya sudah buat musuh pula dengan Asri. Namun, Tok Ketua seperti tidak bimbang dengan situasi ini kerana dia tahu Raiya ada ramai penyokong termasuklah bapa saudaranya yang agak digeruni di kawasan ini.

“La ni nak buat macam mana Tok Ketua. Saya nak tuntut ganti rugi sekarang juga. Tengok ni,” kata Asri sambil menunjukkan beberapa tempat di badannya yang cedera. “Sapa nak bayar kos rawatan saya ni?”
“Hang ingat hang sorang saja ka yang sakit? Kami pun sama tau! Ni ikan-ikan ni semua, sapa nak bayar?” kata seorang pengikut Raiya. Keadaan menjadi semakin tegang semula apabila kedua-dua belah pihak berperang mulut.

“Aku kata sudah!” jerit Tok Ketua sekali lagi. Kemudian dia nampak Encik Yunus yang baru turun dari motosikalnya. Tok Ketua tidak membuang masa. Dia segera memanggil Encik Yunus untuk berada di sebelahnya. Mereka berbual seketika sehinggalah Tok Ketua buka mulut semula.

“La ni Pak Yunus kata dia tak mau pepanjangkan hal ni. La ni hangpa semua masing-masing minta maaf. Lepas tu, pi balik atau sambung buat kerja masing-masing.” Tok Ketua mendiamkan diri sebentar untuk melihat reaksi mereka yang bergaduh. Raiya dan pekerja-pekerja Encik Yunus diam belaka dan tidak berani melawan kata, tetapi Asri nampaknya tidak puas hati lagi.

“Mana aci. Habis, lagu mana ganti rugi kami? Dah luka lagu ni bukan boleh pakai ubat murah-murah.”

“Kalau Asri tak puas hati, kita boleh bawak cerita ni pi balai tapi takut sat ni bapa Asri mengamuklah kot,” beritahu Tok Ketua.

Asri dengan berlagaknya tidak kisah dengan ugutan Tok Ketua itu. Diajaknya Tok Ketua dan yang lain-lain untuk ke balai.

“Betul ka Asri. Ni ha, Tok ada video orang rakam tadi yang Asri mula dulu bergaduh ni. Kalau Asri tak percaya, Tok boleh transfer video ni kat Asri la ni jugak,” beritahu Tok Ketua yang agak arif dengan aplikasi telefon pintar. Cucunya yang berduyun, mengajarnya pelbagai aplikasi telefon pintar. Tok Ketua nampak wajah terkejut Asri dan rakan-rakan. “Nak lupakan dan minta maaf atau nak pi balai jugak?”

“Lagu mana? Nak pi balai ka?” soal Tok Ketua sekali lagi.

“Tak pa lah. Kami...kami minta maaflah Tok Ketua,” kata Asri.
Tok Ketua melihat ke arah Raiya. “Hang pulak lagu mana?”
Raiya melihat ke arah Encik Yunus yang berwajah selamba sahaja. “Kami pun minta maaf jugak tapi kalau dia mai lagi kacau macam ni, jangan harap Tok Ketua boleh tolong. Kami heret....” belum sempat Raiya sudahkan kata-katanya, Encik Yunus sudah berada di hadapan Raiya menghalangnya dari terus bercakap atau mengugut Asri. Raiya memang degil tetapi kalau bertentang mata dengan Encik Yunus, dia tidak berani.

“Kami minta maaf,” kata Raiya dengan perlahan.

“Hah! Kalau dah masing-masing minta maaf, bersurai la!” beritahu Tok Ketua sebelum dia menghampiri Encik Yunus untuk mengajaknya berbual. Raiya dan Asri saling jeling-menjeling sebelum Asri meninggalkan tempat itu. Raiya dan pekerja-pekerja lain mula mengutip ikan-ikan yang bertaburan. Mana dapat diselamatkan, dimasukkan ke dalam bakul manakala yang sudah rosak dimasukkan ke dalam suatu bekas yang lain. Raiya masih lagi tidak puas hati tetapi kalau ayahnya sudah masuk campur, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Raiya kurang berani kalau ayah sudah masuk campur. Kalau ayahnya sudah mengamuk, malam ini dia mungkin terpaksa tidur di rumah Pak Ngahnya.

*******************************

RAIYA membuka matanya perlahan-lahan. Pandangannya masih kelam dan dia pejam celik pejam celik beberapa kali. Dia memandang ke arah bumbung kelambunya dalam samar-samar. Raiya pasti dia terbangun terlalu awal. Mungkin pukul empat lebih di waktu pagi. Dia menghela nafas yang panjang. Memang dia tidak senang tidur sepanjang malam. Dia dapat rasa sesuatu bakal berlaku. Sudah lama dia tidak mendapat rasa hati yang kuat seperti ini. Kali terakhir bila dia sebegini ialah pada awal tahun lepas. Tandanya masih kabur-kabur. Kalau beginilah keadaannya, mungkin dia tidak akan dapat melelapkan mata beberapa malam sehinggalah dia pasti. Tuan Khaleef, Tuan Khaleef. Nama lelaki itu disebutnya di minda. Kali pertama dan terakhir dia berjumpa dengan Tuan Khaleef ialah sebelas tahun yang lalu. Khaleef Datuk Asfaruddin. Nama penuh yang dihafal sejak kecil lagi. Ayah mengajar dia untuk menggunakan status ‘Tuan’. Kita kena hormat mereka. Kena panggil mereka Tuan, pesan ayah berkali-kali. Bila dia soal ayahnya, kenapa? Ayahnya jawab, sejak azali lagi.

Raiya bangun dan melakukan sedikit senaman ringan sebelum membuka pintu bilik. Dia biarkan cahaya luar masuk ke dalam. Adiknya Serina baru balik bercuti dari kolej matrikulasi sedang nyenyak tidur. Eloklah Serina ada di sini. Boleh juga dia tolong-tolong di jeti nanti tapi Raiya tahu ayah tidak akan benarkan. Kalau Serina balik kampung, tempat Serina di dapur. Belajar memasak dengan emak. Tempat Fitri dan Adha di sekolah. Belajar sehingga masuk ke universiti. Hanya tempat dia di jeti menguruskan hal bot dan nelayan. Pernah dia tuduh ayahnya pilih kasih tapi Serina dan adik-adik selalu mengadu yang Encik Yunus lebihkan dia. Entahlah. Mungkin tanggungjawab yang asyik ayah ceritakan itu menyebabkan hubungan dia dan ayah lebih rapat berbanding adik-beradik yang lain.

Raiya menyanggulkan rambutnya dan mengambil tuala. Tuan Khaleef, Tuan Khaleef. Kenapa? Kenapa? Kadangkala dia menyoal dirinya sendiri kenapa dia yang mempunyai kebolehan ini. Ayah selalu kata Allah Maha Mengetahui dan mungkin juga ini ujian kepadanya. Kalau ayah, datuk dan moyang pun pernah mengalaminya, dia juga mampu untuk menggalas amanah ini. Kebolehan ini juga datang dengan pelbagai keperluan hanya kerana dia seorang perempuan. Banyak yang perlu dipelajarinya demi untuk melengkapkan dirinya. Ayah kata anggap sahaja dia menjadi penjaga yang perlu menjaga kebajikan seorang tuan.

“Awainya Raiya bangun.”

Raiya terkejut bila dia melihat Encik Yunus duduk di lantai sambil membersihkan sesuatu di hadapan anjung rumah. Sekali pandang sahaja, Raiya tahu ayahnya sedang membersihkan beberapa perkakasan sebuah enjin bot. Raiya dapat lihat bilah kapas dan alur keluar paip ekzos. Selain daripada menjadi tauke beberapa bot nelayan, ayahnya juga seorang mekanik bot yang tidak bertauliah. Namun, kehebatan ayah memang terkenal di Kuala Perlis. Kalau sudah dari kecil membesar di atas bot, ayah bukan sahaja hebat mengendalikan bot tetapi kalau terlerai enjin bot pun, ayah pasti boleh memasangnya kembali.

“Raiya tak boleh nak tidoq. Ayah pun sama ka?” soalnya. Raiya lihat Encik Yunus menganggukkan kepala.

“Raiya dapat rasa lagi ka? Kali ini apa dia?” soal Encik Yunus.

“Hati ni rasa macam tak tenang. Raiya rasa macam kes berat jugak ni, tapi Raiya tak berapa pasti sangat lagi. Tak tau la kalau esok lusa baru boleh tau pasai pa. Tapi kali ni lain macam betoi. Pelik la ayah. Dah berapa hari lagu ni.”

“Mmm...ayah ingat Raiya kena bersiap sedia. Kali ni ayah rasa macam Raiya nak kena turun pi Kuala Lumpur. Tak boleh dah nak tolong dari jauh saja.”

Terbeliak mata kuyu Raiya mendengar permintaan ayahnya itu. “Habaq sajalah kat Tuan kat sana tu. Suruh depa semua jaga-jaga,” balas Raiya.

“Kali ni memang lain sikit. Had ni bukan perkara yang boleh selesai sat saja. Mungkin ambik masa lama sikit,” balas Encik Yunus.

“Ayah tau dah ka pasai apa?”

“Ayah boleh rasa,” balas Encik Yunus. Dia berhenti mengelap alat pemotong kayu. “Kalau lagu tu, kita pi sama-sama la.”

“Raiya turun sendiri. Ayah rasa ni kena mengena dengan Tuan Khaleef. Bukan Tuan Asfa. Nanti ayah telefon Mak Lang bagitau Raiya nak pi sana.”

“Tak boleh ka kalau Raiya tak pi?”

“La ni pun Raiya dah tak boleh nak tidoq kan? Kalau Raiya tak pi tolong selesai kat sana, lagilah Raiya tak boleh nak pejam mata. Nak buat apa pun tak senang duduk.”

Tiada pilihan. Ayah pernah banyak kali bercerita dan Raiya pun pernah menjadi saksi masa dia remaja dahulu. Kalau Tuan Asfa ada isu besar dan kalau ayah tidak turun padang, memang ayah macam laki hilang bini. Tidak menentu jadinya sebab susah tidur dan kerja pun haru biru. Mungkin sebab itulah kalau ada firasat yang agak berat, ayah akan ke Kuala Lumpur. Sama juga dengan kes Raiya sebelum ini, tetapi ayah tidak pernah bawa dia turun ke Kuala Lumpur. Mungkin dia tidak bersedia lagi ketika itu. Kali ini bila ayah suruh dia ke sana, dia rasa berat hari. Kalau ayah turun sekali, dia tidak kisah. Ini kena ke sana seorang diri. Memang payah. Kebolehan yang mereka ada ini kadangkala membebankan. Betul kata ayah. Ini juga mungkin ujian dariNya. Namun, kata ayah lagi, lama kelamaan, kebolehan itu semakin berkurangan. Mungkin dengan usia ataupun kerana ada waris yang seterusnya. “Kalau jadi apa-apa macam mana? Ayah tak ada nak tolong Raiya.”

“Telefon kan ada. Kalau Raiya tak tau nak buat apa, Raiya habag mai sini.”

Raiya masih tidak mahu mengalah. Dia guna alasan lain pula. “Mak ok ka ayah kalau Raiya pi sana?”

“Dia paham. Tak pa,” kata Encik Yunus. “Ni lagi satu ayah nak bagi tau. Jangan pi cepat-cepat sangat kat Tuan Khaleef tu.”

“Lah! Tadi kata suruh Raiya selesaikan dan dan tu. Kalau tak pi buat cepat macam mana nak selesai cepat. Ingat lagi cepat kalau Raiya terjah pi banglo depa tu. Atau ayah cakap la dengan Tuan Asfa ambik Raiya jadi pembantu kat sana ka.”

“Tak boleh. Ingat ayah cerita masa Raiya pi sana dulu, Raiya boleh nampak benda yang orang lain tak boleh nampak.”

“Apa yang Raiya nampak ayah?” cepat dia menyoal. Ingat-ingat lupa apa yang ayahnya pernah cerita. Takut pun ada.

“Nampaklah apa yang boleh nampak. Kat sini Raiya tak pernah nampak apa-apakan?” Raiya geleng kepalanya.

“Mana la tau kalau dekat dengan tuan, Raiya nampak apa ka. Jadi ayah tak mau Raiya terkejut pulak nanti. Pi sana pelan-pelan belajaq kebolehan tu. Apa-apa habaq kat ayah.”

“Tak pa kot ayah. InShaaAllah apa yang ayah dah ajaq, Raiya bersedia,” balas Raiya dengan yakin.

“Ayah tau anak ayah berani tapi jangan terlalu berani sangat,” pesan Encik Yunus. “InShaaAllah ayah. Raiya minta diri. Nak pi mandi. Dah nak masuk Subuh ni. Ayah ikut pi kebun dak ni?”

“Ayah ikut,” balas Encik Yunus. Dia menyambung kerja sambil memikirkan firasat yang dirasai oleh Raiya sejak dua tiga hari ini. Memang kali ini berlainan sungguh.

“HAH! Ini sapa punya kerja ni? Memang beruk makyeh betul!” Raiya naik angin bila melihat beberapa batang pokok pisang yang ditanam di kebun hampir separuh ditebang seseorang. Dia segera mengeluarkan parang dari bakul motosikalnya.

“Raiya! Cakap tu elok-elok sikit. Jangan main pakai lepas saja,” jerit Encik Yunus bila melihat anaknya sudah naik berang.

Raiya tersengih bila ditegur ayahnya. “Halamak.... Maaf ayah. Terlupa diri sat. Ni semua pak ngah punya pasai. Selalu sangat sebut benda tu. Ini sapa lah punya kerja. Saja nak cari pasai dengan kita kan, ayah.”

“Raiya ni perempuan. Cubalah jaga perangai tu sikit,” tegur Encik Yunus lagi.

“Raiya tau, Raiya tau. Raiya geram sangat ni. Dah berapa kali depa kacau kebun kita.”
“Raiya ada cari pasai dengan sapa-sapa lagi ka?” soal Encik Yunus. Selalunya kalau kes kebun kena kacau, pastinya ada yang hendak buat serang balas. Pergaduhan dengan Asri sudah dua minggu berlalu. Tidak mungkin mereka mengambil masa sebegini lama untuk membalas. Selalunya kalau kelmarin bergaduh, hari ini dah banyak pokok yang tumbang. Namun, Asri dan gengnya kumpulan baru di kawasan ini. Tidak mungkin mereka tahu tentang kebun Raiya kecuali ada yang bercerita. Encik Yunus melihat anaknya menguis-nguis daun pisang dengan parang di tangan. Memang sah Raiya ada buat hal.

“Cuba cakap dengan ayah, apa Raiya dah buat?”

“Tak dak apalah ayah,” balas Raiya.

“Habis, hari tu ayah ada dengaq Pak Cop datang mengamuk dekat jeti.”

“Uish! Mana ada ayah. Sapa pulak pi dok cerita kat ayah ni?”

“Raiya buat apa dekat anak dia?” soal Encik Yunus. Setahu Encik Yunus, Raiya dan Farid atau Pai’ed, anak lelaki Pak Cop memang musuh tradisi sejak di sekolah menengah lagi. Encik Yunus dan Pak Cop pun tidak sebulu juga suatu ketika dulu tetapi mereka sudah berbaik-baik. Cuma sekarang anak-anak mereka yang asyik buat hal. Berita tentang Pak Cop mengamuk beberapa hari lepas pun Encik Yunus tahu kerana dia sendiri yang meminta Pak Cop untuk gertak Raiya. Dia berkomplot dengan Pak Cop supaya Raiya rasa takut dan kurangkan sikit perangai kaki gaduhnya itu. Encik Yunus puas hati juga bila mendengar cerita yang Raiya tidak melawan hari itu dan hanya diam mendengar ceramah percuma dari Pak Cop.

“Raiya bukan apa ayah. Hari tu Raiya nampak Pai’ed kacau Seri. Habis, Raiya pi marah dia la. Lepas tu dia macam nak bertumbuk dengan Raiya.”

Encik Yunus angguk sahaja padahal dari cerita yang dia dengar, Pai’ed langsung tidak melawan bila kena terajang dengan Raiya. “Betoi ka dia nak bertumbuk ka Raiya dah pi serang dia awai-awai?”

Raiya hanya mengangkat kening. Tidak menjawab. Encik Yunus kenal sangat dengan perangai anaknya yang seorang ini. Kadangkala kuat melenting. Sah, memang sebiji ikut perangai isterinya, Puan Murni sebab Encik Yunus tahu dia memang seorang yang penyabar. Dahulu perangai Raiya lagi teruk. Sikit-sikit mengamuk. Sekali sekala Encik Yunus rasa seperti dia ada tiga orang anak lelaki. Malah anak lelaki yang dua lagi itu pun tidak seganas Raiya. Namun begitu, Encik Yunus dapat melihat hari demi hari Raiya sudah semakin berubah berbanding beberapa tahun yang lalu. Walaupun umur Raiya sudah hampir dua puluh satu tahun, perangainya masih lagi belum matang seperti umurnya. Mungkin sebab Raiya hanya tamat Tingkatan Lima dan kemudiannya buat keputusan untuk menolong kerja-kerja di jeti dan di kebun. Raiya juga tidak banyak keluar dari kampung. Hanya ke Satun atau Haadyai atau ke Krabi melawat saudara mara. Mungkin sebab itulah kadangkala pemikirannya kurang berkembang. Mungkin juga kebolehan yang dimilikinya menyebabkan dia tidak banyak kawan. Atau ramai yang tidak berani hendak berkawan.

“Nak buat macam mana ni ayah?” soal Raiya perlahan.

“Buang sajalah. Nak buat macam mana lagi.”

“Raiya minta maaf ayah. Pasai Raiya, Pai’ed buat hal.”

“Jangan menuduh. Belum tentu Pai’ed yang buat semua ni?”

Memang Raiya tahu Pai’ed saja yang mampu buat hal seperti ini. Bukan kali pertama rhal seperti ini berlaku. Kalau bukan Pai’ed, siapa pula yang berani cari pasal? Raiya tertanya-tanya sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience