Bab 3

Romance Series 3830

“HAI Amir, mana bos kecik?” soal Kak Azah, pembantu peribadi kepada Datuk Asfa sebaik sahaja dia keluar dari bilik Datuk Asfa. Ditangannya ada beberapa fail yang diletakkan di atas meja.

“Hari ni bos masuk petang. Sekarang dia dengan bini muda dia,” balas Amir.

“Mmm... nanti suruh dia tandatangan invois syarikat kumpulan penerbitan kawan dia tu,” pesan Kak Azah.

“Raja Amsyar,” tambah Amir memberitahu nama kawan Khaleef.

“Yelah, Encik Raja tu. Nak pass esok,” balas Kak Azah sambil duduk di tempatnya. Dia mengambil botol air lalu minum dengan perlahan. Sebaik sahaja selesai minum, Kak Azah menegur Amir.

“Akak ingat kau ada dengan dia. Kau kan dah macam bini nombor tiga dia.”

“Hish! Kak Azah ni. Ada pulak nak samakan saya dengan bini-bini dia. Orang dengar kang salah faham la pulak. Dia lelaki tulen. Saya pun lelaki tulen, tau.”

“Ye la. Kalau ada Encik Khaleef, mesti ada kau, kan?” balas Kak Azah.

“Laaa... mestilah macam tu. Saya ni PA dia kak. Kenalah selalu berkepit dengan dia. Cuma hari ni saya baru balik dari kampung. Itu yang saya terus masuk ke sini. Tak sempat nak jumpa dia lagi,” beritahu Amir sebelum menyambung melihat semula hasil surat yang sedang disediakan. Surat ini perlu siap dan ditandatangani oleh majikannya hari ini juga.

********************

KAK AZAH menarik laci untuk mengeluarkan dompet sambil melihat Amir, pekerja Kanchana Holdings yang paling berdedikasi. Siapa sangka dalam ramai yang datang untuk ditemuduga, Amir yang dipilih oleh Khaleef sebagai pembantunya. Sudah empat tahun mereka bersama. Kedua-dua majikan dan pembantu bukan setakat ngam bekerja, tetapi ngam dengan aktiviti selepas kerja juga. Kak Azah tahu portfolio Amir. Lepasan Diploma yang mencuba nasib dengan apa sahaja kerja asalkan dapat meringankan beban keluarga dan menampung pembelajaran adik-adik di kampung. Amir juga jenis yang tidak lupa diri bukan seperti sesetengah lelaki. Dapat gaji sahaja, semuanya digunakan untuk bergaya. Amir cukup sederhana, sopan dan sentiasa tersenyum. Sejuk mata memandang. Kalau Kak Azah ada adik perempuan, sudah pasti dia tangkap Amir untuk dijadikan adik ipar.

“Akak nak keluar makan awal sikit sebab Datuk ada meeting waktu lunch nanti. Amir nak kirim apa-apa tak?” soal Kak Azah bila dia sampai di hadapan meja Amir. Hanya ada dia dan Amir sahaja di situ. Bahagian pejabat mereka di Kanchana Holdings ini agak luas dan terdapat dua bilik sahaja. Satu bilik Datuk Asfa dan satu lagi bilik Khaleef. Tiga puluh pekerja lain berada di bahagian yang satu lagi dan juga di tingkat bawah. Kalau Amir tiada, tinggal dia seorang sahajalah jawabnya.
“Tak kak. Saya tunggu Encik Khaleef sampai untuk keluar lunch dengan dia nanti.”
“Oklah akak pergi dulu. Datuk ada dalam tu. Kalau anything emergency, dia nak apa-apa ke, call je akak.”
Belum lima minit Kak Azah pergi, Datuk Asfa keluar dan terus mendapatkan Amir.

Macam pandai saja jadual masa Kak Azah keluar makan.
“Hah Amir. Boleh tolong saya tak?”
“Ada apa Datuk?”
“Saya ada lunch appointment di luar. Kamu boleh tolong hantar saya tak?”
“Abang Said mana Datuk?” soal Amir tentang pembantu merangkap pemandu peribadi Datuk Asfa.

“Itulah dia. Saya minta dia balik pulak. Datin nak keluar. Azah pun terlebih efisyen keluar makan. Saya lupa nak bagitahu yang appointment saya tu di luar. Kalau tak saya suruh dia hantar. Itulah. Selalu orang yang bawakan. Nak bawa kereta sendiri, saya tak biasa. Tempat nak pergi tu pun saya tak tahu nak ke arah mana,” omel Datuk Asfa.

“Apa susah Datuk. Guna app je untuk arah pandu.”

“Boleh Amir tapi saya nak mengaku yang saya ni bukan cekap memandu ke tempat yang saya tak biasa pandu.”

“Saya boleh tolong tapi hari ni saya naik moto, Datuk,” beritahu Amir.

“Kamu bawa kereta saya sajalah. Ada satu di bawah,” jelas Datuk Asfa.

“Urgent ke Datuk? Encik Khaleef mungkin sampai kejap lagi. Boleh dia pergi sama-sama.”

“Eh jangan! Dia tak perlu tahu ke mana saya nak pergi. Hah! Mana dia sekarang?”

“Bini muda.”

Datuk Asfa ketawa. Kalau bini muda maksudnya syarikat motor berkuasa tinggi yang dimiliki Khaleef seratus peratus. Kanchana Holdings pula bini tua. Itulah gelaran Khaleef tentang status kedua-dua syarikat. Yang pasti bini muda lagi disayangi. Bini tua boleh hidup berdikari. Datuk Asfa geleng kepala. Kerap sangat Khaleef ke sana tetapi Datuk Asfa tiada hal kerana Khaleef memang cekap dalam kedua-dua urusan kerjanya.

“Kamu call Khaleef sekarang bagi tahu yang kamu kena jadi driver saya juga. beritahu saja yang saya ada temu janji di luar. Jom pergi,” ajak Datuk tanpa membuang masa. Amir menurut perintah. Dia segera menelefon majikannya memberitahu perubahan temujanji makan bersama-sama.


*******************************

“BETUL ke sini seperti alamat tu?” soal Datuk Asfa lagi.
Amir menelek sekali lagi mesej yang tertulis nama sebuah restoran Thai di Jalan Datuk Keramat. Nama restoran sama. Jalan dan poskod pun sama.

“Betul Datuk.”

“Saya nak minta kamu tunggu dalam kereta. Saya pergi sekejap,” beritahu Datuk Asfa sebelum dia keluar dari perut kereta. Amir melihat Datuk melintas jalan menuju masuk ke dalam restoran tersebut.

Siapa pula yang buat appointment dengan Datuk di tempat macam ni? Soal Amir sendirian. Apa-apa pun lebih baik dia diamkan diri. Datuk sudah pesan awal-awal supaya merahsiakan tempat ini. Jangan-jangan Datuk ada bini muda. Masa dia jeling alamat itu di telefon Datuk, dia nampak nama pengirim. Nama perempuan. Aduhai. Macam-macam Amir fikir sekarang. Datuk pun satu, kenapa pula tidak ajak dia masuk ke restoran itu. Sudahlah sekarang waktu makan tengahari. Nampak gaya, dia lewat makanlah. Amir membuka radio untuk menghabiskan masa. Sambil itu dia menghayati kereta Camry milik Datuk Asfa. Salah satu kereta kegemaran Datuk yang tidaklah seberapa berbanding kereta-kereta lain milik Datuk yang mewah tahap dewa.


DATUK Asfa melihat dua gadis yang dibawa keluar oleh adik Encik Yunus. Seorang tinggi lampai manakala seorang lagi sederhana sahaja. Gadis yang tinggi lampai bertudung kemas punya wajah yang manis dan berkulit cerah. Gadis yang seorang lagi itu pula berkulit gelap tetapi punya wajah keanak-anakan dengan tocang satu di kepala. Gadis itulah yang diperkenalkan sebagai Soraiya oleh adik Encik Yunus.

Setelah sebelas tahun, dia berjumpa semula dengan anak kecil yang pernah memberi amaran kepada Khaleef. Bila amaran tidak diendahkan, Khaleef kekal dengan beberapa jahitan di siku. Tangannya juga patah dan tidak ke sekolah selama dua minggu. Kelayakan mewakili sekolah juga digugurkan. Sejak hari itu, Khaleef tidak pernah kembali menunggang kuda. Kini, dia hanya menunggang motosikal berkuasa tinggi sahaja. Selalunya, firasat Raiya akan disampaikan oleh Encik Yunus kepadanya, yang kemudian diberitahu kepada Khaleef. Cuma cara hendak sampaikan kepada Khaleef berbeza. Anaknya itu tidak percaya kepada perkara yang tidak diterima akal. Jadi, terpaksalah Datuk Asfa pandai-pandai memberi nasihat kepada Khaleef dalam hal yang berkaitan.

“Raiya ingat uncle lagi tak?” soal Datuk Asfa.

Raiya masih dapat mengecam wajah Tuan Asfa walaupun sudah lama tidak berjumpa. Kalau ingat pun, melalui gambar-gambar yang ada di dalam album di rumahnya. “Raiya ingat, Tuan Asfa.”

Datuk Asfa terdiam seketika. Keluarga Yunus kalau sudah ber’tuan’ akan kekal ber’tuan’. Dia pasti Raiya akan tetap memanggilnya tuan walaupun dia membahasakan dirinya sebagai ‘uncle’.

“Ayah Raiya beritahu kali ni macam berat sikit. Uncle nak tanya kalau ada apa yang uncle boleh bantu?” soal Datuk Asfa.

“Ayah bagitau Raiya kena cuba dok dekat dengan Tuan Khaleef tapi Raiya kena slow sebab takut kalau ada benda yang Raiya tak tau. Takut Raiya sendiri terkejut sat ni,” beritahu Raiya kepada lelaki yang tua beberapa tahun daripada ayahnya itu.

“Raiya boleh tumpang tinggal di rumah uncle dan Raiya boleh kerja di pejabat uncle. Nanti uncle uruskan semua tu.”

“Boleh tu boleh tuan tapi ayah pesan P'Malee ni kena jaga Raiya jugak. Takkan kami dua nak pi dok rumah Tuan. Sat gi orang kat sana semua heran, kan?”

“Itu pandai-pandailah uncle uruskan.”
Raiya melihat P'Malee yang duduk di sebelahnya. “Macam mana P'?”

“P' ingat kita tak payah pi sana dulu kot. P' ingat biar kita tengok dari jauh. Tengok macam mana dulu. Kalau nak kena dekat, kita baru la pi dekat,” balas P'Malee.

Raiya angguk-angguk dan mula berfikir. Sampai senget-senget mulutnya ke kiri dan kanan ketika dia berfikir. Semalam P'Malee ada beritahu kepadanya sikit-sikit tentang kehidupan di kotaraya ini yang jauh berbeza dengan di Kuala Perlis. Kalau tidak kena gaya, mungkin dia pening kepala. Apatah lagi pesan ayah tentang kebolehan yang dia ada. Sampai ke hari ini pun dia kurang tidur, kalau dibuatnya dia nampak entah apa-apa, masalah besar nanti.

“Macam ni la tuan, biaq kami pi usha dulu lagu mana. Kalau kami perlukan pertolongan tuan, kami bagi tau,” kata Raiya kepada Datuk Asfa.

Datuk Asfa faham. Keluarga Encik Yunus memang ikut cara yang selesa untuk mereka bekerja. Datuk Asfa tidak mahu memaksa tetapi dia sayangkan Khaleef dan mahu yang terbaik untuk anaknya itu. Hanya Khaleef anak peninggalan arwah isterinya yang tercinta. Bukan dia tidak sayangkan Irdina dan Irfan, iaitu anak-anak hasil perkahwinannya dengan Datin Alwani, tetapi dia sendiri mengakui sayangnya pada Khaleef memang berlainan sedikit. Datuk Asfa juga khuatir dengan kebolehan Raiya. Dia dapat kesan kerisauan Encik Yunus juga bila mereka berbual. Mungkin dia dan Encik Yunus sama sahaja. Risau kerana kali ini gandingan anak lelaki akan dijaga oleh anak perempuan.

“Baiklah. Uncle ikut saja kata Raiya. Cuma uncle nak Raiya tahu yang Raiya boleh terus jumpa uncle kalau Raiya perlukan apa-apa,” beritahu Datuk Asfa.

“Baik tuan,” balas Raiya.

“Err...lagi satu uncle nak tanya. Raiya kenal dengan Khaleef?”
Raiya gelengkan kepala.

Datuk Asfa mencapai telefon pintarnya dan mencari sesuatu sebelum diserahkan kepada Raiya. Paparan di skrin ialah gambar seorang lelaki. Raiya angguk-angguk melihat gambar Tuan Khaleef. Pening sekejap. Tidak pasti kalau ada sepintas firasat yang diterima atau tersuka melihat rupa Tuan Khaleef yang ala-ala pelakon Thailand. Cepat-cepat dia serahkan telefon itu kepada P'Malee yang kemudiannya menyerahkan telefon itu kembali kepda Datuk Asfa.

“Nanti Raiya bagi nombor telefon Raiya supaya Uncle boleh hantar gambar ni.”
Raiya angguk sahaja.

Datuk Asfa mengeluarkan pula sekeping kertas. Raiya meneliti kandungan dan mendapati beberapa alamat tertera.

“Itu semua alamat tempat kerja, rumah dan tempat yang biasa Khaleef pergi. Selalunya dia dengan Amir, pembantu peribadi dia. Hujung minggu pula, dia selalu keluar naik motosikal ke mana-mana. Yang itu mungkin susah kalau Raiya nak jejak.”

Raiya angguk-angguk lagi. Kemudian, Datuk Asfa keluarkan pula satu sampul surat kecil dan seperti biasa, Raiya sambut sampul itu.. Raiya lihat di dalamnya dan belum sempat dia berkata-kata, Datuk Asfa terus potong line. “Yang itu ikhlas dari uncle. Buat belanja sepanjang Raiya di sini.”

Belum buka mulut, Datuk Asfa potong line sekali lagi. “Dah, dah. Tak payah. Raiya simpan saja. Uncle tak nak dengar apa-apa alasan.” Datuk Asfa bangun. “Uncle minta diri dulu. Jangan lupa mesej Uncle nombor Raiya tau dan kalau ada apa-apa ingat call uncle terus,” beritahu Datuk Asfa sebelum pergi meninggalkan Raiya yang masih melihat beberapa kepingan duit berwarna ungu. Tebal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience