Bab 9

Romance Series 3830

RAIYA dan P'Malee berhati-hati turun dari teksi disebabkan jalan yang dilalui banyak kereta ketika itu. Hari ini mereka berada di Bukit Damansara. Namun, untuk memudahkan mereka sampai ke destinasi, mereka buat keputusan menggunakan duit pemberian Tuan Asfa untuk kos pengangkutan. Tambang teksi dari stesen MRT terdekat sehingga ke sini agak mahal juga kerana teksi tersekat-sekat di dalam kesesakan trafik. Terbeliak mata Raiya melihat kepingan puluhan ringgit yang diserahkan oleh P'Malee kepada pakcik teksi tersebut tetapi ini kos yang perlu untuk dibazirkan. Mereka tidak mahu membazir masa mencari-cari lokasi pejabat Datuk Asfa seperti mana mereka mencari kedai MotorTrack hari itu. Semalam Raiya, P'Malee dan Mak Lang sebulat suara untuk mendapatkan pertolongan Tuan Asfa dalam hal untuk Raiya mendekati Tuan Khaleef.

Raiya memandang ke hadapan. Pejabat Tuan Asfa terletak di bangunan yang bertentangan jalan raya. Raiya berpegangan tangan dengan P'Malee untuk melintas jalan. Sebentar sahaja mereka sudah berada di hadapan pintu utama. Raiya menarik tangan P'Malee untuk masuk ke dalam bangunan apabila dia tiba-tiba menukar laluan dan keluar semula dari masuk ke dalam bangunan. P'Malee hairan kerana dia perlu buat satu pusingan kecil dan berpatah balik ke arah bertentangan pintu masuk bangunan.

“Shhh.... Lelaki yang sama,” bisik Raiya.

“Apa?” bisik P'Malee kembali.

“Lelaki yang sama dengan tuan. P' jangan tengok. Jalan cepat sikit. Dia di belakang kita ni,” kata Raiya perlahan. Jalannya pantas untuk melarikan diri.

“Chopp!!” kata P'Malee seraya berhenti. Raiya juga terhenti kerana tangan P'Malee masih dipegangnya.

“Apa P'? Jom la pi dulu. Sat gi kita patah balik la.”

“Pasai pa kita nak lari pulak. Kita nak pi jumpa Tuan Asfa. Nanti-nanti jumpa juga dengan lelaki tu.”

“Itu biarlah kemudian nanti. La ni Raiya malas nak bersoal jawab dengan sesiapa pun. Nak terus pi jumpa tuan saja.”
Raiya melihat ke arah bangunan. Lelaki itu sedang berdiri dan memandang ke arah mereka. Raiya berselindung di sebalik P'Malee. Sesekali dia memerhati lelaki itu dan selepas beberapa minit, lelaki itu beralih pergi.

“Kenapa lelaki tu tiba-tiba ada sini. Bukankah dia selalu dengan tuan Khaleef?” soal Riya.

P'Malee menoleh ke belakang sebentar mencari-cari kelibat lelaki yang sudah hilang dari pandangan. Dia berbisik, “mungkin pagi ni tuan tak masuk kedai motor dia tak? Agak-agak dia ada sini. Macam mana Raiya?”

“Kita pun tak tau jadual dia sebenarnya. Yang kita tau, tuan ke kedai motor dia hari Jumaat dengan Sabtu. Hari lain kadang-kadang saja. Tak apalah. Kita pi jumpa tuan Asfa dulu. Yang lain kita pikir kemudian.”

KAK AZAH memandang dua orang gadis yang kelihatan kekampungan itu di hadapannya dari atas hingga ke bawah. Entah dari mana datangnya mereka. Kak Azah tidak pernah tahu menahu yang Datuk Asfa ada kaitan dengan orang seperti mereka. Bila dia menerima panggilan dari penyambut di kaunter yang menyatakan ada orang hendak berjumpa Datuk Asfa tanpa temujanji, Kak Azah malas hendak layan. Memikirkan ramai juga kenalan Datuk Asfa yang kadangkala datang tanpa temujanji, dia suruh penyambut tetamu tolong hantarkan mereka kepadanya. Pada mulanya dia hendak bagi alasan yang Datuk Asfa mungkin lambat habis perjumpaan supaya mereka meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sahaja. Namun, bila gadis yang berwajah serius itu minta dia beritahu Datuk Asfa namanya dan menegaskan yang Datuk Asfa akan berjumpa dengannya, Kak Azah ikut sahaja.

Kak Azah terpaksa mengganggu perbualan Datuk Asfa dengan beberapa orang tetamu untuk memberitahu kedatangan gadis yang bernama Soraiya itu. Kak Azah sungguh tidak menjangka mendapati wajah terkejut bercampur gembira Datuk Asfa takala mendengar nama itu, sehinggakan Datuk minta dia berikan masa sepuluh minit lagi untuk menamatkan perbincangannya. Lagilah Kak Azah pelik. Perjumpaan dengan tauke-tauke ladang itu selalunya berlarutan sehingga ke makan tengahari. Betapa pentingnya gadis bernama Soraiya itu sehinggakan Datuk sanggup selesaikan perjumpaannya lebih awal. Kak Azah rasa dia patut tahu juga siapa Soraiya ini. Manalah tahu kalau Soraiya ni saudara mara Datuk ke atau pun skandal Datuk yang tidak diketahui. Manalah tahu.

“Adik dua ni saudara Datuk ke?” soal Kak Azah kepada mereka yang sedang duduk di sudut ruang tamu pejabat.

Raiya tersenyum dan menjawab, “Bukan.”

“Ada urusan apa nak jumpa Datuk?”

“Kami ada hal peribadi nak jumpa Tuan Asfa,” beritahu Raiya.

“Datuk Asfa,” Kak Azah membetulkan panggilan Raiya.

“Ye. Tuan Asfa,” balas Raiya.

Kak Azah diam sahaja. Ikut suka saja panggilan Tuan atau Datuk. Lantaklah. Dia menyoal lagi, “Adik ni dari mana sampai nak jumpa Datuk?”

Raiya melihat P'Malee sambil menggaru di tengkuknya. Beritahu sajalah. “Saya mai dari Perlis.”

“Mmm...Dah lama ke kenal Datuk?”

“Dah lama,” balas Raiya.

Kepala Kak Azah sudah ligat berfikir yang bukan-bukan.

P'Malee yang melihat cara Kak Azah melayan mereka, terus menyoal pula. “Tumpang tanya kak. Tuan Khaleef kerja sini juga ke?”

Wajah Kak Azah nampak terkejut sedikit. “Eh, kenal Encik Khaleef juga ke?”

“Err... tak kenal tapi Raiya ni kenal,” balas P'Malee tersenyum-senyum.

“Encik Khaleef keluar makan,” beritahu Kak Azah. Dia hendak terus menyoal bila pintu bilik Datuk Asfa terbuka dan Datuk Asfa keluar dan mengucapkan selamat tinggal kepada tetamu-tetamunya. Kemudian, Datuk Asfa terus datang mendapatkan Raiya. Kak Azah hanya berdiri di belakang Datuk Asfa, memerhati sambil memasang telinga.

*****

“MARI masuk bilik uncle,” ajak Datuk Asfa kepada Raiya dan P'Malee. Datuk Asfa mempersilakan Raiya dan P'Malee untuk duduk di sofa. Sebelum menutup pintu, dia berpesan sesuatu kepada Kak Azah.
“Azah, please do not tell anybody who’s in with me and do not let anybody disturb us ok.”

Sebaik sahaja mereka berada di dalam bilik, Datuk Asfa menyoal Raiya. “Ada rasa sesuatu yang tak kena dengan Khaleef ke sampai Raiya ke sini?”
Dia melihat wajah Raiya yang seperti seseorang yang tidak cukup tidur sahaja.

“Minta maaflah tuan sebab kena mai kacau tuan jugak. Sebenarnya Raiya dangan P' dah mati akal macam mana nak dekat dengan tuan. Raiya rasa kali ni masalah tuan Khaleef lagi besaq.”

“Besar macam mana?”

“Raiya sendiri tak tau macam mana nak cerita dengan tuan. Sebelum ni ada tak ayah cerita dengan tuan yang Raiya boleh nampak benda-benda?”

“Benda bagaimana tu?” soal Datuk Asfa.

“Benda yang manusia tak boleh nampak,” jelas Raiya

Datuk Asfa angguk tanda mengerti.

“Hari tu, bila Raiya dekat dengan tuan Khaleef, Raiya boleh nampak ada benda macam lembaga hitam dekat dengan dia. Mungkin tuan tak boleh nak percaya tapi apa yang Raiya cerita ni betoi tuan. Raiya nampak ada benda hitam dekat dengan tuan.”

Wajah Datuk Asfa terus berubah. Antara hendak percaya atau tidak tetapi melihatkan mimik wajah Raiya, Datuk Asfa tahu apa yang diceritakan adalah benar. Memang Encik Yunus pernah bercerita sekali dua tentang kebolehan Raiya yang agak berbeza. Mungkin inilah kebolehan tersebut.

“Benda hitam? Macam mana dan sejak bila Raiya nampak ni?”

“Raiya pun tak tahu apa benda tu. Sebelum Raiya mai sini, Raiya memang rasa macam ada yang tak kena. Lepas tu, Raiya nampak lembaga tu betul-betul dekat dengan tuan. Macam selalu ikut tuan. Raiya pun tak tau nak buat macam mana.”

“Raiya dah tanya ayah Raiya?”

“Ayah pun tak tahu, tapi ayah ada pesan la ni Raiya jangan pandai-pandai sendiri. Dia suruh Raiya perhatikan saja tuan. Nanti ayah tanya la kat kawan dia. Lepas tu, ayah kata malam ni dia akan telefon tuan.”

Datuk Asfa mengetuk jari jemarinya di atas peha sambil berfikir seketika. Terlintas di fikiran kalau benda hitam yang dimaksudkan itu ada kaitan dengan permainan syirik seseorang. Kalau betul, siapa pula yang ingin mengenakan Khaleef? Datuk Asfa semakin risau. Kalau ada yang mengamalkan ilmu hitam, Khaleef mungkin dalam bahaya. Selama ini dia dan Khaleef tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa, tetapi kalau Raiya sendiri yang dapat merasa dan melihatnya, tentu ada yang tidak kena.

P'Malee tidak buang masa dan terus bersuara. “Tuan. Kalau kami nak mintak tolong sikit boleh dak?”

“Apa dia Malee?”

“Ni ha Raiya ni. Dah berapa malam dia dok tak senang. Lepas tu penat jugak kami nak hendap tuan Khaleef hari-hari. Kami nak mintak tolong dari tuan kalau kami boleh kerja di sini, macam tuan kata hari tu. Senang sikit Raiya ni nak pantau tuan Khaleef tu. Apa kerja pun tak apa tuan, kami boleh buat.”

“Kerja di sini?” soal Datuk Asfa.

“Raiya belajaq tak tinggi tuan. Jadi jangan la pulak bagi kerja yang guna komputer macam kakak yang kat depan tu. Kalau kerja angkat-angkat barang ka, InShaaAllah, Raiya boleh buat,” beritahu Raiya kepada Datuk Asfa.

“Saya pun sama tuan. Belajar pun sampai sekolah menengah. Kalau bagi kami kerja tukang cuci atau sapu sampah pun tak apa tuan. Untuk sementara saja,” beritahu P'Malee.

“Kami dah pikir panjang dan Raiya rasa kerja tu la yang sesuai dengan kami ni,” tambah Raiya lagi.

“Raiya tak kisah ke kalau buat kerja macam tu? Nanti apa pula ayah Raiya kata tentang kami,” soal Datuk Asfa.

“Apa nak kisah sangat tuan. Kerja jugak kan? Ayah pun pesan buat apa yang perlu dan kalau jadi tukang cuci tu perlu kami buat, kami buat.”

“Kalau macam tu, uncle suruh Raiya dengan P' gantikan cleaner di sini buat sementara. Itu yang paling cepat. Cuba dulu.”

“Tak kacau ka kerja orang tu tuan? Jangan pulak orang yang dah kerja tu marah kami nanti,” soal P'Malee.

Datuk Asfa tersenyum. “Tak. Tak. Nanti saya bagi dia cuti bergaji. Yang penting Raiya boleh jaga Khaleef di sini.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience