Raiya

Romance Series 3830

ENCIK YUNUS terhenti seketika bila Raiya menarik tangannya dan tidak mahu terus berjalan. Raiya seperti mahu mengajak dia pergi dari melangkah masuk ke pekarangan banglo mewah yang terletak di Jalan Tun Ismail. Encik Yunus dapat merasakan apa yang mungkin dilihat atau dirasai oleh anaknya itu. Walaupun Raiya baru mencecah usia sepuluh tahun, anak kecil itu sudah mula menunjukkan kelebihan yang dia warisi. Pasti ketika ini, Raiya ketakutan dan keliru. Mungkin juga kepenatan menaiki bas sepanjang malam dari Kangar ke Kuala Lumpur. Encik Yunus mengukir senyuman dan duduk berlutut di hadapan anaknya itu. Raiya kelihatan sedikit pucat. Kasihan pula melihat wajah manis Raiya yang sudah seperti hendak menangis itu. Encik Yunus memahami keadaan Raiya. Dia juga pernah mengalami keadaan yang serupa suatu ketika dahulu. Kini giliran Encik Yunus pula untuk menenangkan Raiya.

Bila Encik Yunus melihat Raiya seperti cuba mengelak dari melihat ke hadapan, dia agak ada sesuatu yang menarik perhatian Raiya. Encik Yunus dapat rasakan seperti ada kelainan pada Raiya kali ini. Selalunya Raiya hanya terjaga di tengah malam kerana bermimpi atau pun mengadu sakit secara tiba-tiba. Kali ini keadaan Raiya berbeza sekali. Raiya seperti mengelak dari memandang sesuatu. Encik Yunus menarik nafas yang dalam. Terasa bulu roma meremang seluruh anggota badan. Dengan penuh berhati-hati, dia menyoal anaknya. “Raiya nampak apa-apa ka?”

Raiya mengangguk. Kali ini, Encik Yunus menarik nafas panjang. Dia tidak dapat menafikan wujudnya makhluk lain di muka bumi ini. Namun, inilah kali pertama Raiya mengalami keadaan yang agak membimbangkan. Encik Yunus tidak pasti apa yang dapat dilihat oleh anaknya itu dan dia sedikit terkejut dengan kelebihan yang baru ditemui ini. Encik Yunus tahu anaknya itu ada kelebihan yang berbeza darinya. Selama di Kuala Perlis, Raiya hanya dapat merasai sesuatu tetapi belum pernah mengalami keadaan seperti hari ini dan kelebihan ini lain dari yang lain. Encik Yunus juga tidak pernah tahu samada kelebihan ini pernah dimiliki oleh sesiapa dari keturunan mereka. Berbekalkan ilmu yang pernah dipelajari, Encik Yunus cuba untuk menenangkan dirinya dan juga Raiya. Dia tahu dia boleh bertenang tetapi dia tidak pasti dapat menenangkan perasaan seorang anak kecil seperti Raiya yang boleh melihat sesuatu yang tidak dapat dipandang oleh mata kasar manusia. Namun begitu, Encik Yunus tahu hanya dia sahaja yang faham keadaan Raiya dan hanya dia sahaja yang dapat membantu anaknya itu.
“Raiya ingat lagi dak apa yang ayah ajaq kat Raiya sebelum mai sini?” soal Encik Yunus. Raiya menggelengkan kepalanya. Encik Yunus cuba memberi semangat kepada anaknya.
“Ingat dak yang ayah kata kalau Raiya mai sini, nanti Raiya boleh rasa macam-macam? La ni, ayah rasa Raiya bukan saja boleh rasa tapi Raiya boleh nampak juga, kan? Raiya jangan takut, nah. Raiya kena buat-buat tak nampak. Toksah dok kisah dengan apa yang Raiya nampak,” kata Encik Yunus.
“La ni, cuba Raiya tengok balik kat depan sana tu. Dah tak dak dah kan?”
Raiya masih tidak mahu angkat kepala.

“Ayah ada kat sini ngan Raiya. Ingat nah, Raiya budak berani. Angkat muka tu tengok depan,” pujuk Encik Yunus lagi. Dia tidak nampak tetapi kalau Raiya boleh melihat sesuatu, Raiya perlu belajar untuk beranikan diri. Encik Yunus hanya dapat membantu setakat mana yang dia mampu dan dia berjanji pada dirinya, sebaik sahaja mereka balik ke Kuala Perlis, dia sendiri perlu mendapatkan bantuan kenalannya yang bijak pandai dalam hal ini. Hanya ada beberapa orang kenalan sahaja yang tahu perihal kelebihan yang dipunyai oleh keluarga mereka dan rahsia itu tersimpan dengan baik sekali.

“Tak dak dah, kan? Eh, Jom kita pi,” kata Encik Yunus sekali lagi.

“Raiya mai aw,” bisik anaknya perlahan. Encik Yunus tersenyum lagi. Dalam keadaan takut sebegini, anaknya menggunakan bahasa nenek moyang mereka. Tidak mahu katanya. Encik Yunus mengambil beg yang digalas. Dia membuka zip beg lalu mengeluarkan sesuatu. Di tangannya ada sekeping gula-gula getah. Encik Yunus terus membuka pembalut gula-gula getah lalu diberikan kepada anaknya. Raiya ambil dan terus masukkan ke dalam mulut. Anaknya mengunyah gula-gula getah dengan perlahan. Dia leka seketika. Itu sahaja perkara yang mampu Encik Yunus lakukan untuk menarik perhatian anaknya.

“Ingat tau apa ayah dah ajaq. Kalau Raiya takut, Raiya kena kuatkan semangat. Ngaji pelan-pelan. Jom kita pi sana, nah. Pegang tangan ayah kuat-kuat,” pesan Encik Yunus lagi.

Raiya menundukkan kepala sambil mengunyah gula-gula getah. Dia melangkah dengan perlahan mengikut rentak langkah ayahnya. Sesekali dia memandang ke hadapan. Ada ramai orang berhimpun di hadapan mereka. Sekali lagi Raiya berhenti. Encik Yunus menoleh melihat anaknya. Entah apa pula yang dilihat Raiya kali ini.

“Awat pulak dah?” soal Encik Yunus.

Raiya tidak menjawab. Hanya mulutnya yang dimuncung ke depan seolah-olah menunjukkan sesuatu di hadapan. Encik Yunus turut memandang ke arah yang ditunjukkan. Dia cuba melihat apa yang sedang dipandang oleh anaknya itu. Encik Yunus tersenyum lalu menggosok kepala anaknya.

“Lawa dak? Inilah rumah Tuan Asfa, kawan yang ayah habaq kat Raiya tu.” Encik Yunus kembali memandang ke arah banglo putih besar yang tersergam indah di hadapan matanya. Orang ramai yang berkumpul di kawasan rumah itu, rata-rata dari golongan atasan. Lihat sahaja cara berpakaian dan pembawaan diri masing-masing. Cara mereka yang kaya bergaya di kota berbeza dengan golongan yang biasa-biasa sahaja. Aura yang tidak sama. Apatah lagi dengan cara orang kampung. Jauh sekali bezanya.

Encik Yunus melangkah masuk ke pekarangan laman. Walaupun orang ramai, suasana kelihatan agak suram. Setahu Encik Yunus, jenazah Tuan Noi sudah selamat dikebumikan awal pagi tadi tetapi mungkin kerana Tuan Noi seorang yang agak berpengaruh, masih ramai yang berkumpul walaupun hari sudah hampir lewat petang. Mungkin mereka yang masih berkumpul terdiri daripada rakan taulan dan saudara mara keluarga Tuan Noi atau Tuan Idris ataupun Tuan Asfa. Sebut sahaja nama Tuan Asfa, Encik Yunus terus nampak kelibat lelaki itu menghampirinya. Encik Yunus terus meluru ke arah Tuan Asfa dengan segera tanpa menghiraukan Raiya yang masih memaut tangannya itu. Hampir hendak terjatuh Raiya mengorak langkah laju.

“Assalamualaikum Tuan. Banyak-banyaklah bersabar, nah. InShaaAllah, tempat yang baik untuk orang baik macam arwah Tuan Noi,” kata Encik Yunus kepada Tuan Asfa. Encik Yunus hanya menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat. Tuan Asfa tiba-tiba memeluknya. Encik Yunus melepaskan tangan Raiya lalu menepuk belakang Tuan Asfa perlahan-lahan. Encik Yunus sempat melihat pandangan orang ramai yang mungkin hairan melihat dirinya dilayan sedemikian oleh Tuan Asfa. Namun, Encik Yunus tahu Tuan Asfa memang sebegini ramah dengannya. Sama juga layanan Tuan Asfa kalau dengan orang lain sekali pun.

“Terima kasih Yunus, sebab sanggup datang jauh-jauh ni.” kata Tuan Asfa.

“Dah tanggungjawab saya, Tuan.”

“Tentu kau penat kan? Marilah masuk dalam. Aku dah sediakan bilik. Rehat dulu. Mungkin malam ni kita boleh berbual lama sikit?” ajak Tuan Asfa.

Encik Yunus hanya menganggukkan kepalanya. Dia memandang ke belakang dan kembali memegang tangan Raiya.
Encik Yunus nampak wajah kehairanan Tuan Asfa. Mungkin hairan kenapa dalam keadaan majlis sebegini, Encik Yunus membawa seorang anak gadis ke rumahnya.

“Siapa ni?” soal Tuan Asfa.

“Ini la Soraiya,” balas Encik Yunus. “Anak sulung saya.”

Wajah Tuan Asfa tiba-tiba berubah bila melihat anak gadis yang comel itu sedang merenung ke arahnya.

ENCIK YUNUS melipat kain sejadah lalu bangun dan duduk di atas katil. Dia melihat Raiya yang nyenyak tidur. Dia membetulkan rambut Raiya yang menutupi sebahagian muka dan segera mengelap air liur yang meleleh keluar. Nampak sangat Raiya kepenatan. Raiya tidak pernah berjalan jauh seperti ini. Pada mulanya, Encik Yunus hendak datang bersendirian. Namun, bila melihat perubahan Raiya hari demi hari, Encik Yunus nekad dengan keputusannya. Dia perlu memperkenalkan Raiya dengan keluarga Tuan Asfa. Suatu hari nanti, Raiya perlukan pertolongan keluarga Tuan Asfa dan mungkin juga, keluarga Tuan Asfa memerlukan pertolongan Raiya.

Hubungan keluarganya dengan Tuan Asfa sudah terjalin sejak turun temurun lagi seperti mana yang diceritakan kepadanya oleh arwah ayahnya sendiri. Arwah datuk Encik Yunus juga banyak bercerita kisah keluarga mereka. Cerita yang diwarisi turun temurun. Malah dia juga sedikit demi sedikit bercerita kepada Raiya supaya Raiya perlahan-lahan tahu sejarah hidup keluarga mereka dengan keluarga Tuan Asfa. Raiya juga perlu tahu tentang siapa dirinya dan keadaan yang Encik Yunus dahulu pun kurang yakin dengan cerita arwah ayah dan datuknya. Apabila dia sendiri mengalami beberapa keadaan yang mencemaskan, barulah dia dapat menerima kenyataan tentang apa yang berlaku terhadap dirinya. Walaupun, kebolehan yang ada dikatakan semulajadi dan diwarisi, sebagai orang Islam, dia percaya apa yang berlaku adalah ketentuanNya.

Seingat apa yang diceritakan, asal usul keluarga dia dan Tuan Asfa adalah dari negara Thai. Nenek moyang Tuan Asfa ialah saudagar Cina yang kaya raya di negara itu manakala keluarga Encik Yunus pula ialah dari golongan hamba Cina yang bekerja dengan nenek moyang Tuan Asfa. Usul keturunan mereka dikatakan datang dari Yunan. Namun, hubungan dengan keluarga di sana sudah lama terputus sejak zaman Tuan Noi lagi. Pada mulanya, kedua-dua buah keluarga tinggal berdekatan di Krungthep, iaitu asal nama Bangkok pada hari ini. Keluarga Tuan Noi punya pengaruh yang kuat dan keluarga mereka hanya bergaul dengan golongan bangsawan. Menurut cerita, Tuan Noi, yang merupakan anak pertama keluarga kaya itu telah datang ke Penang dalam lewat tahun 1950an untuk melanjutkan pelajaran seperti kebanyakan anak-anak bangsawan atau hartawan dari sana. Setelah beberapa bulan berada di Tanah Melayu, Tuan Noi jatuh cinta dengan seorang gadis tempatan lalu berkahwin dan memeluk agama Islam. Perkara ini diketahui oleh keluarganya di Krungthep dan mereka cuba memujuk dia kembali ke negara asal tetapi tidak berjaya. Keluarganya terus menggugut untuk tidak mewariskan segala harta kepadanya, tetapi Tuan Noi nekad dengan keputusan untuk menetap di Tanah Melayu. Semenjak itu, Tuan Noi tidak lagi berhubungan dengan keluarganya di sana.

Hamba ataupun pembantu Tuan Noi ketika itu ialah arwah moyang Encik Yunus, iaitu Tuk Chai. Ketika Tuan Noi berkahwin dan kemudiannya menetap di Pulau Pinang, Tuk Chai masih kekal menjadi pembantu Tuan Noi. Dia juga tidak balik ke Krungthep kerana malu dengan keluarga Tuan Noi. Tuk Chai malu kerana tidak dapat menjaga Tuan Noi dengan baik sehinggakan Tuan Noi menukar agama dan berkahwin tanpa izin. Tuk Chai kekal dengan Tuan Noi, walaupun dia masih dengan agama Buddha. Hanya selepas beberapa tahun, Tuk Chai berhijrah ke sempadan Siam. Hendak dijadikan cerita, Tuk Chai juga bertemu jodoh dengan gadis tempatan di utara Tanah Melayu dan memeluk agama Islam.

Hubungan kedua-dua keluarga dari keturunan Tuan Asfa dan keturunan Encik Yunus sebagai tuan dan hamba dikatakan terjalin sejak beratus tahun lagi. Sejak turun temurun, anak sulung daripada keturunan keluarga Encik Yunus akan menjadi pembantu kepada anak sulung keturunan keluarga Tuan Asfa. Ianya bukan sekadar pembantu biasa tetapi lebih kepada penjaga istimewa. Apa yang menarik tentang hubungan ini ialah kebolehan yang dimiliki oleh anak sulung pertama keturunan keluarga Encik Yunus, yang mana kebolehan itulah menjadi penyebab kedua-dua buah keluarga terikat di antara satu sama lain. Kebolehan yang mungkin tidak terjangka dek pemikiran manusia moden.

Walaupun kedua-dua keluarga dari anak sulung lelaki pertama sudah mempunyai kehidupan masing-masing, namun, ikatan yang istimewa itu masih lagi berlanjutan sehingga kini. Anak Tuan Noi, iaitu Tuan Idris turut dijagai oleh arwah bapa Encik Yunus, iaitu Tok Jab. Manakala Encik Yunus sendiri bertanggungjawab menjaga Tuan Asfa. Walaupun tinggal berjauhan, dia masih menjadi penjaga Tuan Asfa sehingga kini. Sekarang, tibalah giliran generasi seterusnya. Anak sulung pertama Tuan Asfa ialah Tuan Khaleef yang kini berusia enam belas tahun. Berkurun lamanya, kedua-dua keluarga mempunyai anak lelaki sebagai anak sulung. Tidak pernah di dalam sejarah, anak pertama ialah anak perempuan. Namun begitu, inilah pertama kalinya dalam sejarah keturunan keluarga Encik Yunus, anak perempuan lahir sebagai anak sulung pertama.

Encik Yunus ingat Raiya tidak akan mewarisi kebolehannya. Dia sangka kebolehannya akan diwarisi oleh Fitri, anak ketiganya atau Adha, anak bongsunya. Ternyata jangkaannya meleset apabila Raiya mencecah usia empat tahun, Raiya sudah menampakkan kebolehan yang selama ini diwarisi oleh setiap anak sulung lelaki keluarga mereka. Encik Yunus tidak tahu samada Raiya dapat menggalas tanggungjawab ini tetapi Encik Yunus tahu dia perlu memberikan didikan kepada Raiya agar dia mampu menjalani kehidupannya. Kebolehan ini kadangkala membebankan seseorang kalau tidak dapat diterima dengan baik. Namun, ia mungkin menjadi suatu keistimewaan yang tidak dapat dibayangkan, jika ianya dapat diterima dengan baik.

“ENGKAU pasti ke Yunus yang anak kau tu ada kebolehan kau?” soal Tuan Asfa sekali lagi. Bukan dia tidak percaya dengan Encik Yunus tetapi selama yang dia tahu, kebolehan itu hanya pada anak sulung dan anak sulung itu mesti lelaki. Bukan perempuan. Apatah lagi bila dia melihat Raiya tadi, dia rasa Raiya sama sahaja seperti anak perempuanya. Jenis yang lembut dan sedikit penakut.

“Betul Tuan. Memang tak syak lagi Raiya boleh rasa kalau ada sesuatu yang tidak kena. Selama ini saya diamkan saja, tetapi bila tuan dok bercerita apa jadi kat Tuan Khaleef, selalu saja ada kebetulannya.”

“Engkau dah bagi tahu dia tak pasal hal ni?” soal Tuan Idris pula.

“Saya dah cerita sikit-sikit kat dia, tapi saya tak ceritalah pasal Tuan Khaleef. Saya ingat tunggu dia besaq lagi sikit. La ni pun dia macam tak berapa nak paham sangat. Tapi saya tau Raiya tu cerdas. InShaaAllah dia boleh terima,” jawab Encik Yunus.

“Kalau kau nak kami tolong apa-apa, beritahu saja,” kata Tuan Asfa.

“Setakat ni tak dak apa sangat, InShaaAllah, dia tak dak masalah sangat.”
“Tak apalah Yunus. Kita serahkan semuanya kepada Allah,” kata Tuan Idris. Dia terdiam seketika. Tuan Asfa dan Encik Yunus memandang ke arah Tuan Idris dengan pandangan yang memahami. Tuan Idris kehilangan sahabat dan penjaganya, Tok Jab hampir dua puluh tahun yang lalu. Mungkin pengalaman pahit itu masih terpahat di wajah Tuan Idris. Tok Jab telah kehilangan nyawa kerana ingin menyelamatkan Tuan Idris dari satu cubaan rompakan. Saat dan masa kematian memang sudah tersurat. Tiada sesiapa yang dipersalahkan di dalam hal ini tetapi Tuan Asfa masih ingat bagaimana Tuan Idris sekali sekala menyalahkan dirinya kerana tidak mahu mendengar cakap Tok Jab pada hari itu.

Bagi keluarga Tuan Asfa, mereka tidak mahu membebankan keluarga Encik Yunus dalam hal ikatan yang terjalin sejak dari dulu lagi. Namun, mereka tahu, bagi keluarga Encik Yunus, membantu keluarganya sudah menjadi satu tanggungjawab yang tidak mungkin dapat dielakkan. Mungkin juga pada keluarga Encik Yunus sendiri, menjalankan tanggungjawab dapat meringankan beban kebolehan yang diwarisi itu. Dahulu Tok Chai akan mengembara ke Pulau Pinang manakala Tok Jab ke Kuala Lumpur untuk menjaga datuk dan bapanya.

Berbeza dengan sekarang. Lebuhraya dan telefon memudahkan hubungan antara dia dan Encik Yunus. Kalau ada hal yang besar dan rumit sahaja barulah Encik Yunus akan datang melawat dan menginap di rumahnya buat seketika.

“Saya nak bagi tau tuan yang saya singgah sini sat saja,” kata Encik Yunus. Tuan Asfa tersenyum. Selama ini dia tidak pernah pula menanya kalau Encik Yunus boleh membaca fikirannya ketika itu. Selalu sangat Encik Yunus dapat agak apa yang dia fikirkan.

“Tidurlah semalam dua lagi,” pujuk Tuan Asfa.
“Banyak kerja dan tiket bas esok pun saya dah beli awai-awai,” beritahu Encik Yunus. “Baiklah. Nanti aku hantar kau ke stesen bas. Bagaimana kerja kau di sana?” soal

Tuan Asfa memulakan perbincangan tentang kerja Encik Yunus yang memiliki beberapa bot nelayan di Kuala Perlis. Cerita mereka bertiga berlanjutan sehingga ke lewat malam. Maklumlah, banyak yang hendak dikenang dan diceritakan.

“ABANG dok sini ka?” soal Raiya apabila melihat seorang lelaki muda sedang minum di meja besar yang boleh memuatkan hampir dua belas orang. Turut berada di situ ialah seorang budak lelaki yang mungkin awal remaja dan seorang budak perempuan yang hampir sebaya dengannya. Raiya hanya berdiri sambil merenung wajah lelaki muda itu.

“Kak Zura! Sini jap!” jerit lelaki muda itu. Seorang perempuan di awal dua puluhan terkocoh-kocoh berlari menghampiri meja makan tersebut.

“Ada apa Khaleef?” soal perempuan yang bernama Kak Zura itu. Raiya masih merenung wajah Khaleef. Tidak berkelip mata melihat remaja lelaki itu.

Khaleef menunjuk ke arah anak kecil yang berambut kusut dan berpakaian sedikit selekeh itu. “Anak siapa ni? Macam pelarian saja. Kalau dia nak makan sama-sama, Kak Zura tolong bawakan pinggan.”

“Oh, ini Raiya, anak Pak Cik Yunus, kawan Datuk,” beritahu Kak Zura.

Khaleef menganggukkan kepalanya. Setahu Khaleef, bapa, datuk dan Pak Cik Yunus yang disebutkan itu sudah pun selesai bersarapan pagi dan sekarang berada di ruang tamu.

“Raiya kan?” soal Khaleef kepada Raiya. “Tu, duduk sana.”

“Abang nak tau dak? Pagi tadi tangan Raiya sakit sini,” kata Raiya sambil menunjukkan ke bahagian bawah tangan Khaleef.

“Cepat duduk sana,” kata Khaleef, tidak mahu mendengar kata-kata Raiya.

“Abang tak payah pi sekolahlah hari ni, nah. Nanti abang sakit kaki juga,” kata Raiya lalu mengambil tempat di sebelah budak perempuan yang sebaya dengannya itu. Raiya masih memandang ke arah lelaki yang dipanggil ‘abang’ itu dan cuba untuk mendapatkan perhatiannya. Namun, Khaleef buat tidak endah sahaja. Sejurus kemudian, Kak Zura keluar dan meletakkan sepinggan bihun goreng dan segelas jus oren di hadapan Raiya.

“Abang ingat tau. Tok sah pi sekolah nah,” beritahu Raiya lagi. Matanya memandang tepat kepada Khaleef untuk mendapatkan pengesahan dari Khaleef.

“Raiya, kalau boleh jangan bising bila mengadap rezeki tu,” tegur Khaleef sebelum menghabiskan makanannya dan berpesan kepada adik-adiknya untuk menghabiskan makanan. Walaupun pengkebumian moyangnya, Tok Noi, baru sahaja selesai semalam, bapa bertegas supaya mereka meneruskan persekolahan pada hari ini. Khaleef turut terasa kehilangan Tok Noi tapi dia tahu yang pelajaran perlu diutamakan.

“Abang tunggu Irfan dengan Dina di ruang tamu,” katanya. Dina sudah hampir selesai makan manakala Irfan masih lagi separuh jalan.

“Abang nak pi jugak ka?” soalan dari Raiya sekali lagi menarik perhatian Khaleef. Walaupun dalam keadaan tidak terurus, wajah anak gadis itu comel sungguh. Khaleef memberikan sebuah senyuman.

“Abang kena pergi sekolah. Raiya makanlah. Temankan Irfan tu,” balas Khaleef tersenyum sebelum meninggalkan ruang makan tersebut.

Raiya beralih kepada budak perempuan di sebelahnya dan berbisik, “Abang kakak tu nak pi jugak ka?”

Dina hanya menganggukkan kepalanya.

“Nanti dia sakit tau,” kata Raiya. Budak perempuan itu juga tidak mengendahkan kata-katanya. Bila Dina dan Irfan bangun dari tempat duduk masing-masing, Raiya turut sama bangun. Bihun goreng dan jus oren tidak disentuhnya langsung. Dia mengekori kedua kanak-kanak itu sehingga sampai di ruang tamu. Raiya nampak ayahnya lalu terus mendapatkan Encik Yunus yang sedang berbual dengan dua orang lelaki yang dikenalinya semalam.

“Abang tu tak mau dengaq cakap Raiya, la ayah,” katanya dengan wajah yang merajuk. “Raiya dah bagitau kat dia tapi dia tak mau dengar cakap Raiya. Nanti kalau jadi apa-apa, jangan kata Raiya tak bagitau.”

Kata-kata Raiya membuatkan Encik Yunus terus memberi perhatian kepada Raiya. “Pasai pa?” soalnya. Soalan Encik Yunus juga membuatkan Tuan Asfa dan Tuan Idris turut terdiam. Mereka memandang ke arah Raiya.

“Raiya habaq kat dia nanti dia sakit, tapi dia tak mau percaya,” beritahu Raiya perlahan-lahan. Dia menjeling ke arah Khaleef dengan mulut yang memuncung.

Tuan Asfa memandang Encik Yunus, kemudiannya kepada Khaleef yang berdiri di pintu, siap untuk ke sekolah.

“Hari ni Khaleef ambil cuti sajalah,” kata Tuan Asfa.

“Tak boleh Pa, Khaleef ada ujian hari ni. Lepas tu ada latihan.”

“Minta retest and cancel latihan. Nanti Papa call sana,” beritahu Tuan Asfa.

“Can’t do that Pa. Tak seronoklah untuk retest. Latihan yang Khaleef nak ambil ni pun untuk evaluation for qualification. Khaleef pergi dulu,” kata Khaleef sambil bersalam dengan Tuan Asfa, Tuan Idris dan kemudiannya Encik Yunus. Khaleef tiba di hadapan Raiya dan menggosok rambut Raiya sambil tersenyum sebelum mengajak adik-adiknya ke sekolah.

“Padan muka kalau sakit sat ni,” bisik Raiya kepada Encik Yunus. Tuan Asfa, Tuan Idris dan Encik Yunus hanya mampu saling berpandangan.

“Tuan tak nak ikut pi sekolah depa ka?” soal Encik Yunus kepada Tuan Asfa. “Biarlah. Kita tengok macam mana,” balas Tuan Asfa.

Enam jam kemudian, Datuk Asfa mendapat panggilan telefon dari sekolah anaknya. Khaleef dikejarkan ke hospital kerana terjatuh dari latihan menunggang kuda. Kecederaan di kaki dan kebarangkalian patah tangan.

Nina up dulu pengenalan cerita dahulu ya. Nina menulis hujung minggu, jadi harap bersabar ya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience