Bab 2

Romance Completed 8933

2

Zulfahmi menyisip espresso panas perlahan. Terasa tenang saat caffien itu mengenai tekaknya. Menghilangkan sedikit rasa kantuknya. Sejak dia kemalangan beberapa bulan yang lepas, dia berubah menjadi seorang penggemar minuman berkafien. Boleh dikatakan minuman itu sudah menjadi wajib diminum setiap hari.

“Zul, buat apa kat luar ni?” Puan Norlia mendapatkan anak terunanya di balkoni bilik. Zulfahmi tersenyum.

“Saja ambil angin, ma. Mama buat apa tak tidur lagi?”

Puan Norlia melabuhkan punggung di sisi anak lelakinya. Sengaja Zulfahmi meletakkan kerusi kayu di balkoni biliknya. Dia suka bersantai di situ.

“Mama nak jenguk anak mama dulu sebelum tidur. Zul fikir apa?”

“Tak ada fikir apa-apa yang menarik pun, mama. Cuma, Zul terfikirkan Fina,” Puan Norlia senyum.

“Kenapa dengan Fina?”

“Is she okay? I mean, about our wedding. Mama tahu kan dia muda lagi. Zul rasa bersalah sebab Isy ni dah tua. Tak sesuai langsung untuk dia,” kata Zulfahmi perlahan. Telefon bimbit di tangan, digenggam erat.

“Tua apanya. Zul baru tiga puluh tahun. Muda lagi tu. Zul tak payah risaulah. Auntie Izah dah yakinkan Fina. Fina sendiri yang terima,” balas Puan Norlia sambil mengusap belakang Zulfahmi.

Sejak suaminya meninggal dua tahun lepas, Zulfahmi lah tempat dia bergantung harap. Kerana Zulfahmi jugalah, dia menjadi seorang wanita yang tabah dan bersabar menempuh dugaan.

“Memanglah dia setuju, ma. Tapi Zul tak naklah rosakkan masa depan dia. Dapat ke dia terima kekurangan Zul ni?”

“Zulfahmi sayang, kekurangan Zul kan bukannya kekal. Inshaa Allah, Zul akan dapat penderma. Mama tak sukalah tengok anak mama lemah macam ni. Mama rindukan Muhammad Zulfahmi yang dulu. Dia kuat, selalu tersenyum walaupun ada masalah. Bukannya Muhammad Zulfahmi yang sekarang,” cebik Puan Norlia.

Zulfahmi memeluk mamanya erat. Menitis air matanya mendengar suara hati sang ibu yang rindukan anaknya yang dulu. Bukannya dia tak kuat. Cuma, kadang-kadang hatinya yang sering memikirkan kelemahan diri… terasa lemah semangat. Mungkin Muhammad Zulfahmi yang kuat, ceria dan ramah dulu telah ‘mati’ ketika dia kemalangan.

Disebabkan kemalangan itu juga, dia kehilangan gadis yang dicintainya sepenuh hati. Dia yang bernama Nur Farahin. Gadis yang telah berjaya menambat hatinya sejak lima tahun yang lepas. Namun, semua itu hilang sekelip mata apabila keluarga Nur Farahin memutuskan tali pertunangan mereka disaat hari ijab kabul hampir tiba.

Argh! Siapa sajalah yang dapat menerima dirinya yang sudah hilang penglihatan itu? Perempuan mana yang sanggup hidup dengan lelaki buta sepertinya. Sanggupkah Fina meneruskan rancangan keluarga mereka setelah tahu dia sebenarnya buta penglihatan? Fikirannya semakin kusut memikirkan hal itu sejak diberitahu oleh mamanya tentang perkahwinan yang tidak jadi itu akan tetap dilangsungkan. Tetapi, dengan calon isteri lain.

“Zul tak boleh janjikan Muhammad Zulfahmi mama akan kembali. Mama berdoalah dia kembali di sisi mama,” ujar Zulfahmi hambar.

“Mama sentiasa doakan anak mama ni. Zul pun jangan terus berhenti berharap ya,” Puan Norlia menahan tangis. Tidak mahu Zulfahmi tahu hatinya sedang menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience