Bab 4

Romance Completed 8933

4

Zulfahmi membetulkan cermin mata hitam di batang hidungnya. Lengannya kejap dipegang oleh sahabat baiknya, Tariq. Dia memang tidak suka menggunakan tongkat jika ke tempat awam. Dia masih malu untuk membiarkan dirinya digelar buta. Walaupun pada hakikatnya, dia memang buta.

“Zul, aku nak pergi toilet kejap. Kau duduk dulu kat sini. Jangan pergi mana-mana pulak. Aku dah masukkan duit dalam machine. Kau restlah dulu,” Zulfahmi hanya mengangguk.

Selepas mendudukkan Zulfahmi di kerusi urut yang terdapat di mall itu, Tariq berlalu ke tandas berdekatan. Isyraq hanya diam. Langsung tiada perasaan di wajah itu. Dah macam patung pun ada. Tak pun model kerusi urut itu. Sebelum ke tandas, sempat Tariq memasukkan not seringgit ke dalam mesin. Boleh juga lelaki itu merelakskan badannya. Tariq yang memandang Zulfahmi dari jauh melepaskan keluhan.

“Encik, dah habis ke gunakan kerusi ni?” soal seorang perempuan dalam lingkungan tiga puluhan. Zulfahmi langsung tidak menjawab.

“Hello, encik. Kerusi urut ni bukan encik yang punya. Boleh bangun tak kalau dah habis guna? Ayah saya pulak nak gunakan,” kata perempuan itu kasar. Dia geram apabila Zulfahmi langsung tidak memberi respons.

“Kenapa ni, kak?”

“Ni hah, encik ni. Akak suruh dia bangun kalau dah habis guna. Ayah akak pulak yang nak guna. Kerusi urut lain, ada yang tengah guna,” adu perempuan itu.

Fina memandang lelaki yang sedang enak bersandar di kerusi urut itu. Kereknya lelaki ni, desis Fina.

“Encik,” panggil Fina perlahan. Huh, tidur ke mamat ni? “Encik,” Kali ni Fina mencuit sedikit tangan lelaki itu dengan telefon bimbitnya. Lelaki itu tersedar.

“Saya ke?”

“Ya, enciklah. Ada seorang pak cik nak gunakan kerusi urut ni. Encik dah habis guna ke?” tanya Fina sopan.

“Ya… ya. Maaf. Saya tak perasan,” Fina mengerutkan dahi. Tak perasan? Dia nampak lelaki itu memandang ke hadapan.

Terkial-kial Zulfahmi bangun dari duduknya. Nasib baiklah tiada yang menganggu pergerakannya. Dia berdiri tegak. Pak cik yang ingin menggunakan alat urutan itu mengambil tempat Isyraq.

“Terima kasih, cik,” ucap perempuan tadi. Fina hanya mengangguk sambil tersenyum.

Fina pelik memikirkan lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu langsung tidak beriak. Nampak sombong sangat! Malas dia nak ambil tahu. Diteruskan langkah. Sesekali dia menoleh ke belakang. Lelaki itu langsung tidak bergerak. Umpama patung, tegak berdiri di sisi kerusi urut itu.

Langkah Fina terhenti. Kali ini, seluruh badannya memusing ke belakang. Dia terpempan. Tiba-tiba, matanya berair. Kenapakah? Lelaki yang memakai cermin mata hitam itu sudah meninggalkan kawasan rehat itu. Tetapi, ada seorang lelaki lain yang memimpinnya. Fina terkedu di tempatnya berdiri. Lelaki itu cacat penglihatankah? Subhanallah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience