Bab 11

Romance Completed 8933

11

“Macam mana dengan keadaan anak saya, doktor?” tanya Puan Norlia yang kerisauan. Farahin di sebelahnya pula cuba menenangkan dirinya yang sudah seperti cacing kepanasan.

“Alhamdulillah, puan. Kami berjaya selamatkan anak puan. Tapi…”

“Tapi apa, doktor?” Giliran Farahin pula bertanya. Doktor lelaki muda itu menghela nafasnya. Pakaian rasmi ketika melakukan pembedahan masih di tubuh.

“Mata pesakit cedera teruk. Saya tak pasti sama ada dia akan buta atau tidak. Puan dan cik banyakkanlah berdoa,” Luluh hati Puan Norlia mendengarnya. Tubuhnya hampir terjelopok ke lantai. Namun, Farahin sempat memapah bakal mertuanya itu. Dia mendudukkan Puan Norlia di kerusi.

“Maksud doktor, Zulfahmi akan buta?”

“Kita masih tak dapat pastikan lagi. Kena tunggu pesakit sedar dulu. Selepas itu, barulah kami akan memeriksa sekali lagi…”

“Macam mana dengan anggota badan yang lain?” Farahin masih mahu mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi.

“Alhamdulillah, anggota badan yang lain cuma cedera biasa. Tiada kecederaan yang serius selain dari mata,” Doktor muda itu tersenyum. Farahin senyum nipis.

“Terima kasih, doktor,” ucap Farahin perlahan. Doktor itu hanya mengangguk. Dia terus berlalu dari situ.

Farahin menghenyakkan punggungnya di sebelah Puan Norlia yang sudah lencun dengan air mata itu. Diusapnya bahu wanita separuh umur itu untuk menyalurkan sedikit kekuatan.

“Sabar, umi. Insya Allah, Zulfahmi tak akan apa-apa,” Farahin berkata lembut.

“Umi bukannya apa, Zulfahmi. Kenapa mesti mata dia yang cedera teruk? Farahin tahukan pancaindera yang satu itu amat dijaganya. Macam mana dengan kerjaya dia? Umi takut Zul tak dapat terima,” Sendu Puan Norlia sudah berkurang sedikit.

Farahin tidak dapat berkata apa-apa apabila Puan Norlia sudah berbicara begitu. Zulfahmi memang mementingkan keadaan matanya. Lelaki itu seringkali berpesan agar kita menghargai mata kita. Dia terlalu sayangkan matanya sehinggakan sanggup menjadi doktor pakar mata.

‘Doktor mata mestilah kena jaga mata dia dulu. Barulah pesakit yakin nak berubat dengan saya. Farahin, awak mesti janji dengan saya. Awak kena selalu jaga mata awak tau. Tak kiralah dari sudut apa pun.’

Menitis air mata Farahin. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana jika lelaki itu benar-benar mengalami cacat penglihatan. Seorang optometrist mengalami sendiri kecacatan penglihatan yang sering menghantui pesakit-pesakitnya. Pasti Zulfahmi akan hilang semangat dan kecewa dengan diri sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience