BAB 14

Horror & Thriller Completed 636

LEGA hati Cikgu Midad selepas melihat ahli Kadet Polis Sekolah yang menyertai Program Bina Semangat yang telah dia rancang dan kelolakan mula melangkah pulang. Ada juga ibu, bapa atau mungkin penjaga mereka datang jemput.

“Alhamdulillah, program selamat dijalankan dengan jayanya walaupun tak berapa lancar. Lepas ni busy buat report pulak untuk dihantar pada pengetua,” ujar Cikgu Midad, kelagaan.

“Fasal report tu nanti saya tolong buatkan mana yang perlu,” balas Cikgu Fuad tumpang lega dengan program yang telah dilaksanakan oleh rakan sekerjanya itu.

Buat seketika mereka tersenyum sambil menulis sesuatu pada buku laporan masing-masing. Memandangkan minggu ini minggu cuti sekolah, jadi hanya mereka berdua sahajalah yang ada di bilik guru itu ketika ini.

“Cikgu!”

Panggilan itu membuatkan Cikgu Midad dan Cikgu Fuad serentak menoleh.

Berkerut dahi masing-masing melihat Azraff, Safuan dan Rakesh di muka pintu bilik guru itu.

“Eh, kenapa dengan kamu bertiga ni? Nampak cemas. Apa dah berlaku? Kenapa tak balik lagi?” tanya Cikgu Midad, bertalu-talu.

Azraff, Safuan dan Rakesh saling berpandangan untuk seketika sebelum melangkah masuk.

“Errr... sebenarnya, ibu Fizi nak jumpa cikgu,” jawab Azraff, teragak-agak.

“Ya cikgu.” Rakesh mengiakan.

“Ibu Fizi nak jumpa cikgu? Kat mana?”

“Assalamualaikum,” muncul Puan Sarina di muka pintu dengan senyum manis.

Azraff, Safuan dan Rakesh berganjak ke tepi memberi ruang pada Puan Sarina bertemu dengan Cikgu Midad.

Melihatkan Puan Sarina, Cikgu Midad dan Cikgu Fuad lantas bangun tanda hormat.

“Waalaikumussalam,” salam Puan Sarina baru dijawab Cikgu Midad.

“Cikgu Midad, kan? Maaf saya menganggu. Saya ibu pada Fizi.”

“Ya, saya kenal puan. Kenapa puan?”

Azraff, Safuan dan Rakesh sudah nampak gelisah dan cemas.

“Fizi ada masalah ke? Sebab... lama saya tunggu kat luar sekolah tadi. Tapi dia tak muncul. Kata Azraff, Safuan dengan Rakesh, Fizi dah balik sejak Jumaat lepas.”

Cikgu Midad dan Cikgu Fuad tersentak.

“Fizi belum balik?” tanya Cikgu Midad, terkejut besar.

Dia menoleh memandang Cikgu Fuad di sebelahnya yang turut terkejut dengan perkhabaran itu.

Azraff, Safuan dan Rakesh turut terkejut bila teringat kembali suara meminta tolong itu.

Adakah kejadian misteri yang berlaku 12 tahun lalu kini berulang kembali?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience