BAB 4

Romance Completed 16822

Iman perlahankan api dapur. Nasi goreng di dalam kuali itu cuma perlukan lagi beberapa minit untuk masak sepenuhnya. Sambil menunggu nasi goreng itu siap, dia mengelap mangkuk nasi untuk mengisi nasi goreng nanti. Lepas nasi goreng siap nanti, dia nak buat telur dadar pulak. Aunty Wawa kata… eh, mama kata, orang dalam rumah ni memang suka makan nasi goreng dengan telur dadar. Termasuk la Jed.

“Mama, nak mintak tolong rasakan nasi goreng ni. Takut orang terletak garam lebih ke…” Dia berkata pada mama yang tengah membancuh teh. Ini kali pertama dia masak untuk isi rumah ini.

“Senang mama bila ada orang perempuan dalam rumah ni. Selalunya mama seorang-seorang je kat dapur, Iman.”
Iman senyum. Dia faham perasaan mama itu. Mama ada empat orang anak, semuanya lelaki. Jed yang paling sulung. Akmal pula yang ketiga, sembilan tahun lebih muda daripada Jed. Akmal ada seorang lagi abang, tapi abang Akmal meninggal dunia semasa berumur lapan belas tahun. Adik bongsu Akmal pula, Razren, masih belajar di universiti dalam tahun ketiga.

“Mama harap Iman dengan Zaid duduk lama sikit la kat rumah ni. Ada jugak teman untuk mama borak-borak. Zaid ada cakap apa-apa kat Iman pasal nak pindah rumah ke?” tanya mama sambil menyudu sedikit nasi goreng dari dalam kuali.
Iman terdiam sekejap, berfikir. Rasanya Jed tak cakap apa-apa pun pasal hal ini walaupun dah hampir seminggu dia bernikah dengan Jed. “Tak ada pun, ma. Jed… err… Abang Jed tak ada cakap apa-apa pun.”

“Hmm, bagus la. Nanti kalau Iman dengan Zaid dah rancang nak pindah, bagitahu la mama awal-awal. Boleh la mama siapkan mental dan hati mama dulu.” Mama berlawak.

Iman ketawa. Tak sangka pulak mama memang jenis yang senang bergurau. Masa mula-mula dia berkawan dengan Akmal dulu, Aunty Wawa yang dia kenal ialah seorang yang sangat lemah lembut dan sopan santun. Bukannya kelakar ataupun senang nak buat lawak macam ni. Mama ni comel betul la.

“Hei, apa yang kelakar pagi-pagi buta ni?” Satu suara menyampuk dari pintu dapur.
Iman menoleh. Terus dia berhenti ketawa. Dia perhatikan saja Jed yang sempoi memakai shorts dan t-shirt berwarna kelabu itu masuk ke ruang dapur. Iman jadi semakin serba tak kena bila Jed berjalan ke arah dia. Sempat dia perhatikan mama yang masih berdiri membelakangkan dia dan Jed, menghadap kuali yang berisi nasi goreng itu.

“Mama ada tu.” Iman berbisik perlahan bila tangan Jed dah melingkar di pinggangnya.
Seminggu bernikah dengan Jed, dia dah tahu rutin lelaki itu. Jed akan selalu mencium dahi atau pipinya setiap pagi. Tak kisah la kalau masa tu Iman tengah kemas katil ke, tengah kosongkan bakul baju ke, tengah termenung ke luar tingkap ke. Kalau tanya pada diri dia sendiri, perlakuan Jed itu memang sangat merimaskan pun. Tapi, nak buat macam mana? Dia lebih rela Jed cium dahi atau pipi dia daripada Jed buat yang tidak-tidak. Jed siap ugut dia lagi masa kali pertama dia menolak bila Jed nak cium pipi dia sebaik saja Jed bangun pagi.

“Awak pilih. Pipi atau tempat lain?” Mata Jed turun pada bibir dia.
“Okey, okey. Pipi.” Iman mengalah akhirnya. Jed ni bukannya boleh dilawan sangat.
“Kalau pipi, kena sekali dengan dahi.”
“Ha? Mana boleh macam tu?”

“Kalau awak tak nak, saya okey je dengan yang ni.” Ibu jari Jed mengusap bibir Iman.
“Okey, okey. Pipi dengan dahi.” Iman bersuara sedih sambil meraup muka. Rasa macam nak menangis je!
Jed ketawa. “Awak ni comel la, Iman.”

“Kenapa kalau mama ada?” tanya Jed. Riak muka lelaki itu konon berpura-pura tak tahu.
Iman mula buat muka sedih. “Awak jangan la buat yang bukan-bukan kat sini. Kita kat dapur ni. Nanti malu la kalau mama nampak.” Bisik Iman lagi. Dia menjauhkan mukanya dari Jed. Dia berharap sangat Jed takkan cium dia kat sini. Sekurang-kurangnya dia terselamat la daripada morning kiss Jed hari ini.
“Hai, saya nak cium isteri sendiri pun kira benda yang bukan-bukan ke?” Jed bertanya, memberi tanda yang alasan Iman itu tak masuk dek akal. Nampaknya Jed memang akan cium dia kat sini jugak.

“Please, Jed. Please…” Iman buat muka sedih lagi. Dia bukan setakat malu dengan mama. Buatnya nanti abah, Akmal, dengan Razren pun turun, tak ke dia akan malu seumur hidup dia? Mana dia nak letak muka? Jed ni tak apa la. Muka tembok!
Jed senyum. Sepantas satu dua tiga, Jed cium dahi Iman. Sekejap saja. Selepas itu, Jed lepaskan pinggang dia dan berjalan ke arah mama. Sempat Jed berbisik ke telinga Iman – “See? Mama tak nampak pun?”

Iman mencebik. Sia-sia saja dia buat muka sedih tadi. Sepatutnya dia tahu Jed memang susah sikit nak bertolak ansur. Suka ugut dia, suka buat dia rasa macam tak ada pilihan, suka paksa dia ikut cakap Jed dalam keadaan yang sangat halus… macam-macam la! Tapi, setakat ini nasib baik Jed masih hormat hak privasi dia. Itu dia bersyukur sangat-sangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience