BAB 8

Romance Completed 16822

“Nak pergi mana?” tanya Jed.

“Nak temankan Akmal cari barang untuk hantaran kejap lagi. Lepas Maghrib.” Iman tutup pintu almari. Kemudian, dia sangkut t-shirt dan tudung Syria itu di tombol almari. Senang nak capai nanti.
“Berdua je?” tanya Jed lagi.

“Hmm.” Iman angguk. “Abang nak ikut?” tanya Iman. Dia tahu Jed takkan ikut sebab Akmal ada sekali. Yalah, Jed kan memang tak ngam dengan Akmal?
“Abang tak izinkan Iman keluar.”
Kaki Iman yang baru saja mahu melangkah ke arah bilik mandi, terhenti. Dia pandang Jed yang tengah menatap skrin tablet sambil bersandar di atas katil.

“Abang cakap apa?” tanya Iman, kurang dengar apa yang dikatakan oleh Jed tadi.
“Abang cakap, abang tak izinkan Iman keluar.” Suara Jed bernada serius. Tapi Jed langsung tak angkat muka dari tablet, dan langsung tak pandang dia yang tengah berdiri di tengah-tengah bilik ini. Iman mula rasa tak puas hati. Kenapa tiba-tiba Jed tak benarkan dia keluar?
“Tapi, kenapa?” tanya Iman.

“Sebab abang tak suka.” Itu saja jawapan daripada Jed.

“Hah?” tanya Iman, tak sangka dengan jawapan Jed itu. Semudah itu alasan Jed tak bagi dia keluar?
Jed angkat muka dan pandang Iman. Tajam pandangan mata Jed ketika itu. “Abang tak suka Iman keluar dengan Akmal.”
Iman ternganga. Dia pandang Jed dengan pandangan yang tak percaya. Jed tak bagi dia keluar sebab Jed tak suka dia keluar dengan Akmal? Alasan apa tu? Takkan dia tak boleh keluar dengan kawan baik dia sendiri? Lagipun, dia bukan keluar untuk bersuka ria dengan Akmal. Dia cuma nak tolong Akmal cari barang hiasan untuk hantaran saja. Bukannya dia nak keluar tengok wayang dengan Akmal pun!

“Tapi, saya cuma nak teman dia cari barang je. Takkan tak boleh?”
“Tak boleh.” Cepat Jed menjawab.

“Abang, saya nak tolong dia cari barang je la. Bukannya pergi mana-mana pun.”
“Iman faham tak maksud ‘tak boleh’? Sejak bila pandai bantah cakap abang ni?” Jed dah mula tinggi suara.
Iman terkaku di tengah-tengah bilik itu. Dia pandang muka Jed. Sepanjang enam bulan dia berkahwin dengan Jed, ini la kali pertama Jed meninggikan suara dengan dia. Sebelum ni, kalau Jed marah sekali pun, Jed cuma akan menegur dia secara tegas. Bukan tinggikan suara ni. Nampaknya, enam bulan dah cukup membuatkan Jed hilang sabar dengan dia. Jed dah tak tahan hidup ‘terikat’ macam ni ke?

“Kalau saya keluar jugak?” tanya Iman. Dia memberanikan diri memandang anak mata Jed walaupun di dalam hati, dia mula rasa takut. Dia tak tahu apa tindakan Jed selepas dia ‘melawan’ cakap Jed ini. Dia bukan sengaja nak melawan, tapi dia rasa dia pun ada hak untuk persoalkan semua ni. Kalau dia tak pernah ‘bising’ bila Jed keluar dengan perempuan lain, kenapa Jed marah-marah kalau dia nak keluar dengan Akmal?
Akmal, okey? Akmal. Kawan baik dia. Dan adik kandung Jed sendiri. Kalau ada highlighter, dia nak highlight-kan perkataan ‘adik kandung’ itu.

“Iman ugut abang ke?” Jed campak tablet ke atas katil dan mula berdiri. Jed berjalan mendekati Iman yang masih tak berganjak dari tengah-tengah bilik.
“Tak.” Dengan beraninya dia ‘menjawab’ lagi.

“Tak…” Jed mengajuk cakap dia. Sekarang ni Jed dah berdiri betul-betul di depan dia sambil bercekak pinggang.
Iman telan air liur bila Jed memandang tepat ke anak matanya. Dia boleh nampak kemarahan Jed dalam mata yang tengah mencerlang marah itu.

“Salah ke Iman, kalau abang tak bagi Iman keluar dengan Akmal? Iman isteri abang, dan abang tak suka bila Iman keluar malam-malam dengan lelaki lain, even orang tu kawan baik Iman sekali pun. Iman patut tahu the do’s and don’ts of a married woman. Dan kalau Iman nak sangat keluar dengan Akmal, Iman tahu apa hukumnya kalau seorang isteri keluar tanpa izin suami.”

Iman terpempan. “Abang ugut saya.” Ayat itu berbentuk penyata, bukan soalan. Dia dah biasa dengan segala ugutan Jed sepanjang mereka berkahwin. Tapi, ugutan kali ini betul-betul serius. Bukan macam ugutan-ugutan yang sebelum ni – yang sekadar cuma nak bermain-main saja.

“Tak. Abang tak ugut.” Datar suara Jed menjawab.

“Yes, you are!” Iman menjerit. Dia betul-betul tak dapat pendam rasa marah, kecewa, dan sedih dia. Marah sebab dia sakit hati dengan respons Jed yang sangat kejam itu. Kecewa sebab Jed seolah-olah cuba mengambil kesempatan atas sikap dia yang polos ini. Dan sedih sebab dia rasa diri dia seolah-olah tak ada maruah. Perlu ke Jed buat dia macam ni?
“Abang ugut saya! Abang tak adil!” Mahu saja dia tumbuk muka Jed masa itu jugak. “Kalau abang boleh keluar dengan perempuan lain, siap sampai berdating kat Starbucks tu, kenapa saya tak boleh keluar dengan lelaki lain?”

Lama Jed diam sambil pandang muka dia. Tak lama selepas itu, baru la Jed bersuara balik. “Dah berbulan-bulan, baru Iman ungkit balik cerita ni? Kenapa Iman tak datang dekat abang dan tanya abang depan-depan? Kenapa diam sampai hari ni?”
“Sebab saya tahu abang ada life lain. Saya tahu saya tak ada hak langsung nak ‘ikat kaki’ abang sebab kita kahwin ni pun cuma sebab mama.” Iman meraup mukanya yang mula rasa panas itu. Air mata dah laju turun ke pipi. Dia marah sangat sampai dia tak rasa nak seka pun air mata itu. “Kenapa la saya bodoh sangat terima pinangan abang?”

Jed cuba memegang lengan Iman. Tapi, Iman terus menepis tangan Jed. Dia tak sanggup lagi nak benarkan Jed pegang tangan dia. Selama ni dia cuma ikut saja kata-kata Jed, tapi mulai hari ni dia akan keraskan hati. Biar Jed fikir berkali-kali sebelum ambik kesempatan dengan sikap polos dia selama ini.

“Iman…” Jed cuba memujuk sambil mencapai tangan Iman sekali lagi.
Cepat Iman menepis tangan Jed. “Jangan sentuh saya.”

Jed mendengus. Lelaki itu kembali bercekak pinggang semula. “Ha, buat la perangai keras kepala macam ni. Biar orang lain rasa malas nak layan perangai Iman ni.”

Iman diam. Tanpa endahkan Jed, dia terus capai tuala mandi dan melangkah ke dalam bilik air. Sebaik saja pintu bilik air dikunci, dia bersandar ke pintu bilik air itu. Dia biarkan air matanya jatuh ke pipi. Dia rasa ini la kali pertama dia menangis bersungguh-sungguh sepanjang dua puluh empat tahun hidup dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience