Bab 4
Lapan minit berada di dalam kereta akhirnya aku dan adikku sampai juga di Giant. Aku meletakkan kereta yang dipinjam dari ayahku. Bukannya aku tidak mahu membeli kereta tetapi tempat kerja dengan rumah sewaku dekat sahaja. aku tidak perlu menaiki kereta untuk ke tempat kerja tetapi hanya perlu berjalan kaki. Lagipun kalau berjalan kaki setiap hari aku bolehlah bersenam sikit. Setelah itu aku dan adikku mula melangkah kaki masuk ke dalam Giant.
Setelah puas berjalan dan membelek segala barang-barang yang ada di kiosk-kiosk itu, adikku mengajakku masuk ke dalam pasar raya Giant pula untuk mencari barang yang ingin dibelinya. Geram aku melihatnya kerana tiada satupun barang yang dibeli tatkala dia mengajakku berhenti di semua kiosk yang ada sehinggakan kiosk yang tiada kena mengena pun dia berhenti juga.
“Ni ke barang yang kau nak beli tu.” Aku bertanya kepadanya. Adikku hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum.
“Kalau setakat fail ni yang kau nak beli, kat kedai buku dekat rumah kita pun berlambak.” aku berkata kepada adikku dengan nada yang geram. Dia masih lagi tersenyum.
“Dah jom ambil jajan untuk kita kunyah-kunyah masa berborak. Kalau tak ada makanan tak sedap pula nak berborak.” Sambungku sambil menarik tangannya untuk menuju ke tempat makanan ringan.
Setelah mengambil segala makanan yang ingin dibeli, aku dan Noor menuju ke kaunter pembayaran untuk membayar segala barang yang diambil.
“Macam biasalah, kau tolong bayarkan fail orang ni sekali tau.” Noor meletakkan failnya di dalam bakul yang kubawa.
“Orang baru nak suruh kau bayar sekali semua jajan ni. Kau dah suruh orang pula.” Sengaja aku berkata kepada begitu padahal selalunya memang akulah yang akan membayar segala barang yang dibeli olehnya. Maklumlah dia kan satu-satunya adik yang aku ada. Dia hanya membuat muka selamba tatkala mendengar kata-kataku itu.
“Jom pergi kaunter express, sini ramai oranglah.” Noor mengajak aku beralih ke kaunter lain.
“Alah mana-mana kaunter pun sama je.” Aku pun tidak pasti mengapa hatiku ini tergerak untuk memilih kaunter ini sedangkan jika aku menggunakan kaunter express pasti lagi cepat.
Share this novel