DESTINASI GERGASI
EGGSY
BAB 1
AKU masih lagi menanti tren yang akan membawaku menuju ke destinasiku. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke rumah orang tuaku apabila telah lima hari berada di Seri Kembangan. Bukan niatku sengaja ingin tinggal berasingan dengan mereka, tetapi kerana kerja terpaksa jua aku tempuhi. Aku terpaksa tinggal di sana agar memudahkan diriku untuk pergi dan balik kerja. Beginilah rutin harianku tiap-tiap minggu. Akhirnya tren yang kutunggu muncul jua.
Setelah sampai ke destinasi yang ingin ditujui, aku pun mengambil teksi untuk pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, aku segera mendapatkan ibu bapaku menyalami mereka dan bertanya khabar tentang mereka. Setelah itu barulah aku menuju ke bilikku untuk mandi dan menunaikan solat Maghrib. Seperti biasa selepas sahaja menunaikan solat Maghrib, aku segera menuju ke balkoni untuk bersembang-sembang dengan adikku, Noor. Pelbagai soalan mengenai kerjaku yang ditanyanya. Soalan tidak pernah lekang dari bibirnya.
“Kau tak ada pakwe lagi ke…. Takkanlah tak ada lagi kot. Kat office kau tu takkan tak ada lelaki langsung. Tak pun kat wisma tempat yang kau kerja?” Tanya Noor kepadaku.
Itulah soalan yang sering ditanya oleh Noor pada tiap-tiap minggu jika aku pulang ke rumah. Bagiku macam dah tidak ada soalan lain lagi. Tapi apa boleh buat, dia takut sangat kalau aku merahsiakan apa-apa darinya. Kerana kami telah berjanji tidak akan ada rahsia antara kami. Aku sememang rapat dengan adikku ini.
“Yang kau tanya orang, kau tu dah ada pakwe ke?” Tanyaku kembali kepada Noor. Biar dia rasa apa yang aku rasa ketika ditanya soalan sebegitu.
“Orang ni lainlah, muda lagi. Masih banyak masa lagi nak mencari.” Noor membalas pertanyaanku sambil tersenyum kecil.
“Habis kau nak cakap orang dah tualah.” Sengaja aku menduganya.
“Bukannya dah tua tapi orang rasa kau dah patut kahwin.” Balasnya sambil ketawa terbahak-bahak.
Kata-kata Noor membuatku tersenyum kecil. Benar katanya, sudah sampai masanya untuk aku mencari seorang lelaki untuk dijadikan teman hidup. Tapi bukannya senang nak mencari pasangan hidup di dunia ini.
“Bukannya orang tak nak bercinta… tapi tak ada lagi lelaki yang dapat mengetuk pintu hati orang ni.” Jawabku dan sememangnya aku masih lagi tidak berjumpa lelaki yang aku idamkan selama ini.
“Nak tunggu lelaki ketuk pintu hati kau ni susahlah. Apa kata kau jangan tunggu lelaki ketuk pintu hati kau tapi kau tunggu lelaki bunyikan loceng hati kau. Baru senang sikit orang rasa.” Sengaja Noor menyakat diriku begitu.
“Banyaklah kau punya loceng.” Aku tertawa mendengar kata-kata Noor itu.
“Macam mana kau nak tahu lelaki tu dah ketuk pintu hati kau.” Dia bertanya lagi. Tidak letihkah mulutnya bertanyaku pelbagai soalan.
“Macam mana ye…. hurm… orang tahu…. kalau orang jumpa lelaki tu hati orang berdebar-debar tu maknanya dia berjaya mengetuk pintu hati oranglah.” Aku menerangkan satu persatu jawapan yang ingin didengari oleh adikku. Tapi betul ke apa yang kukatakan kepada adikku sebentar tadi. Bila aku suka seseorang hatiku akan berdebar-debar.
Noor tersenyum puas mendengar jawapan daripadaku. Setelah mendengar laungan azan dari masjid berdekatan, aku dan Noor berjalan menuju ke bilik untuk menunaikan solat Isyak.
Share this novel