Bab 9
SETELAH lima hari tidak berjumpa dengan Abang Giant, akhirnya hari ini menjelma jua. Hajat aku untuk bertemu awal dengan Abang Giant terpaksa aku tangguhkan kerana ibuku mengajakku pergi ke pasar raya itu pada waktu tengahari untuk membeli segala barang keperluan dapur. Aku hanya menurut perintah sambil menahan rasa.
Selesai sahaja makan tengahari aku, ibu dan Noor menuju ke Giant. Seperti biasa Noorlah yang akan menjadi tukang tolak troli. Sedang ibu asyik memilih barang-barang keperluan rumah, mataku pula sibuk mencari kelibat Abang Giant. Namun harapanku hampa apabila tidak langsung aku terlihat kelibat dirinya. Aku melangkah longlai apabila ibu menuju ke kaunter setelah selesai memilih segala barang yang ingin dibelinya. Nampaknya tak dapatlah aku jumpa abang Giant hari ni.
Aku terasa bahuku ditolak oleh Noor. Ish… budak ni dahlah aku tengah bengang tak dapat jumpa abang Giant, dia main tolak-tolak pulak. Aku langsung tidak melayannya kerana aku tiada mood untuk bergurau senda hari ini. Sekali lagi bahuku ditolak oleh Noor, dan kali ini aku memandangnya dengan muka yang geram. Noor memberi isyarat agar aku melihat ke arah kaunter. Aku menoleh dan alangkah terkejutnya aku apabila melihat Abang Giantku berada di situ. Pandai ibu pilih tempat untuk membayar, macam tahu-tahu je Abang Giant tu bakal menantu dia. Aku meletakkan barang yang berada di troli ke kaunter tapi mataku sedikit pun tidak lepas dari memandang dirinya.
“Terima kasih puan. Datang lagi.” Kata Abang Giant kepada ibu selepas dia memulangkan baki kepada ibu.
Bukan puanlah, tapi mak! kataku di dalam hati dengan senyum yang meleret. Baiknya Abang Giant ni, dahlah tu sopan santun pula, tambahku lagi. Aku melangkah dengan hati yang gembira kerana aku dapat menatap lama mukanya setelah lima hari tidak berjumpa.
“Mak mesti suka kalau dapat menantu macam Abang Giant tukan. Sebab dia baik dan sopan santun.” Bisikku pada Noor.
“Memandai je kau ni. Mana kau tahu?” Balas Noor juga berbisik di telingaku.
“Kau tak percaya, kau tengok ni.”
Aku berkalih memeluk erat tangan ibu yang berjalan seiringan disebelah kananku. “Ibu pekerja Giant tadi tu baguskan ibu. Sopan je dia cakap dengan ibu kan?” Sengaja aku berkata begitu untuk melihat reaksi ibu.
“.Em… bagus budaknya. Sopan je cakap dengan orang tua.” Ibu menyokong kata-kataku.
Aku memandang Noor dengan muka yang bangga sambil mengangkat-angkat keningku. Noor menjuihkan bibirnya padaku.
PAGI itu sayup hatiku melangkah untuk pulang ke rumah sewaku di Seri Kembangan. Tatkala lalu dihadapan pasar raya Giant, aku terlihat seperti Abang Giant sedang melambai-lambaikan tangannya ke arahku seperti tidak merelakan pemergianku, sedih hatiku tika ini. Terasa ingin saja aku mengambil cuti. Tapi memandangkan tugas yang banyak masih belum selesai, aku gagahi jua. Kadang-kadang aku terfikir juga, kenapalah dia tidak bekerja di Giant berhampiran rumah sewaku. Senang sikit untuk aku berjumpa dengannya.
Sebelum pulang aku telah berpesan kepada Noor untuk menjaga dan mengawasi Abang Giant untukku. Aku mengarahkan dia untuk memberikan sebarang informasi mengenai Abang Giant kepadaku. Dia hanya mengangukkan kepala tanda setuju. Tapi tidak tahu sejauh mana persetujuannya itu.
Sudah tiga hari aku tidak mendapat apa-apa perkhabaran dari Noor mengenai Abang Giant. Untuk menghilangkan perasaan rindukku kepada si dia, tengahari itu aku melayan telingaku mendengar radio. Khusyuk aku mendengar lagu yang diputarkan itu. Memang sesuai lagu yang dipasang oleh Dj itu denganku. Lagu Semakin Hari Semakin Sayang, sesuai sangat dengan kisahku dan Abang Giant. Sedang aku asyik mendengar lagu itu, tiba-tiba telefon bimbitku menyanyi lantang minta dijawab. Orang tengah feeling ni mengacau je. Bebelku sendirian tatkala mendapat gangguan. Aku mengeluarkan telefon bimbit yang berada di dalam tas tangan. Tatkala melihat nama Noot tertera di skrin telefon, hatiku menjadi riang. Ni mesti ada cerita pasal Abang Giant ni. Seusai sahaja mengangkat telefon, aku memberikan salam kepada Noor. Salamku disambut olehnya.
“Ada cerita pasal Abang Giant ke?” Tanyaku sebelum sempat Noor menyatakan tujuan sebenarnya menelefonku. Bukannya apa kalau tidak dapat bertemu muka, dapat berita mengenainya pun jadilah, hilang juga rasa rindu yang menerjah dalam hati ini.
“Memang orang nak cerita pasal Abang Giant pun.”
Tatkala mendengar apa yang dikatakan oleh Noor, hatiku mula berbunga riang. “Tapi kau jangan sedih tau.” Mendengar ayat kedua Noor itu, membuatkan hatiku menjadi gusar pula.
“Apa dia?” soalku kerana tidak mahu perasaan gusar terlalu lama singgah di hati.
“Kelmarin orang pergi Giant. Pastu orang nampak Abang Giant kau…” termati kata-kata Noor di situ tanpa menyambung ayatnya.
Tabah hatiku menunggu Noor menyambung kata. Saja nak buat suspenlah tu, bentak hatiku.
“…Dengan seorang perempuan jalan sama-sama. Orang rasa tu awek dialah.” Sambung Noor. Tatkala mendengarkan itu bertapa luluhnya hatiku.
“Alah kawan je kot. Apa salahnya kalau kawan jalan sama-sama.” Aku cuba menyangkal kata-katanya. Aku tidak mahu cepat melatah dengan berita yang diterima dan tidak mahu cepat percaya sebelum mengetahui kesahihan siapakah wanita yang dimaksudkan oleh Noor itu.
“Lepas tu semalam orang pergi lagi. Orang nampak pulak dia naik kereta dengan tiga orang perempuan. Tapi orang tak tahulah, dorang kemana.” Cerita Noor dengan bersungguh-sungguh.
Aku terasa bagaikan ditampar apabila mendengar berita kedua dari Noor. Mengapalah budak sorang ni membawa berita yang kurang enak didengar mengenai Abang Giant.
“Kau ni, apa salahnya dia bawa kawan-kawan perempuan dia pergi makan. Orang tak cemburu pun, kau pulak yang lebih.” Balasku.
“Tak ada maknanya. Apa kena mengena dengan orang pulak.”
Share this novel