BAB 3
SETELAH selesai menunaikan solat Zohor aku pun bersiap sedia untuk keluar dengan Noor. Sedang aku asyik memakai alas bedak, aku terkejut apabila Noor tiba-tiba menerjah masuk ke bilikku.
“Aik dah tak reti nak bagi salam ker?”
“Ops! Terlupa… Assalammualaikum.” Katanya dengan penuh bersemangat.
Aku tersenyum tatkala melihat gelagat adikku itu. Selalunya begitulah dia yang akan sentiasa menerjah masuk ke bilikku tanpa mengetuk pintu bilik. Begitu jugalah dengan diriku tatkala masuk ke biliknya.
“Alah takkan nak pergi Giant pun nak pakai bedak kot. Macamlah nak cari jodoh kat sana. Cubalah natural macam orang ni… tak payah nak pakai-pakai bedak.” Bebel Noor apabila melihat aku tidak siap lagi. Sememangnya Noor kalau ke Giant atau kemana-mana pasar raya pasti dia akan siap dahulu tidak sepertiku yang akan selalu lambat.
“Mestilah kena pakai bedak. Nak jaga standardlah katakan. Bukan macam kau, tak reti langsung nak jaga standard.” Sengaja aku mengenakannya dengan berkata begitu.
“Standardlah sangat. Cepatlah sikit tak yah nak pakai bedak tebal sangat… Kau pakai bedak tebal macam mana sekalipun tetap orang lagi cantik.” Balasnya yang mungkin sebal dengan kata-kataku tadi.
Selesai sahaja aku memakai tudung aku menghampirinya. Aku lihat dia sedang khusyuk bermain permainan dalam telefon bimbitku. Telefon bimbitku sering menjadi telefon keduanya untuk bermain game padahal dia juga mempunyai telefon bimbit tersendiri. Tapi entah mengapa dia tidak gemar untuk bermain game di telefon bimbitnya. Alasan yang selalu diberikan adalah game dalam telefonnya tiada yang menarik minatnya. Padahal aku tahu dia tidak mahu telefonnya habis bateri.
“Dah tak payah nak main game tu. Jom cepat.” Ajakku, kemudian Noor mengikut setiap langkahku di belakang.
Share this novel