BAB 10

Drama Completed 2968

Daun pintu dikuak perlahan, dia tidak mahu sesiapa pun sedar yang dia sudah keluar dari biliknya. Zainab menapak perlahan. Tiba di bilik Rashidah, Zainab memberhentikan langkahnya. Nampaknya kakaknya belum tidur kerana kedengaran suara orang rancak bersembang. Setelah diamati, rupa-rupanya ibunya yang sedang bersembang rancak dengan Rashidah, kakaknya.

“Apa yang dibincangkan oleh ibu dengan along?” perasaan ingin tahu Zainab semakin membuak-buak. Dia mendekatkan telinga ke pintu bilik Rashidah.

“Ibu harus beritahu Zainab perkara yang sebenar, biar dia sedar. Jikalau tidak, dia akan terus hanyut dalam lautan dendam.” Ujar Rashidah bersungguh.

“Nanti apabila tiba masanya, ibu akan beritahu dia along. Tidak mudah untuk membuka rahsia ini kepada Zainab. Ibu risau dia fikir bahawa ibu ini menipunya.” Ujar Puan Zawiyah.

“Membesarkan Zainab memang menagih selaut kesabaran. Dia memang keras kepala. Hanya ini sahaja cara untuk menyedarkan dia dari kesalahan.”

Zainab semakin diasak rasa ingin tahu. Rasa laparnya sebentar tadi hilang begitu sahaja. Tanpa berfikir panjang, dia menolak pintu bilik tersebut.

“Apa yang Zainab perlu tahu?” Zainab memandang ibu dan kakaknya. Puan Zawiyah dan Rashidah saling berpandangan. Kelu.

“Zainab harus percaya dengan kata-kata ibu kali ini.” Ujar Puan Zawiyah. Zainab mengangguk kecil. Puan Zawiyah memandang ke arah anak sulungnya, Rashidah mengangguk kepala tanda bersetuju dengan tindakan yang akan dilakukan oleh ibunya.

“Sebenarnya Mak Cik Maznah ialah isteri pertama Abah, bukan ibu.” Puan Zawiyah memandang ke dalam anak mata Zainab. “Perkahwinan Abah dan Mak Cik Maznah selama tiga tahun dipersoal kerana mereka tidak memiliki zuriat. Ibu dan bapa Abah ingin sekali melihat cucu pertama mereka sebelum mereka minggalkan dunia ini. Jadi Mak Cik Maznah bersetuju membenarkan Abah untuk berkahwin lain. Pada mulanya ibu menolak kerana Mak Cik Maznah merupakan kawan ibu sendiri, namun Mak Cik Maznah terus-menerus memujuk ibu. Akhirnya ibu beralah dengan kehendaknya. Selepas setahun berkahwin, ibu disahkan hamil dan sembilan bulan kemudian ibu melahirkan along kamu. Ketika along berusia tujuh tahun, Mak Cik Maznah disahkan hamil. Kamu pada ketika itu baru berusia satu tahun.” Puan Zawiyah menyeka air mata yang mengalir. Zainab hanya kekal membatu tanpa sebarang reaksi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience