BAB 8

Romance Completed 13020

~Dua tahun setengah lalu~ (Pertemuan Adrean dan Denisa)

Terkocoh-kocoh Denisa ke lobi hospital. Panggilan telefon yang diterimanya tadi memanggilnya untuk menjejakkan kaki ke hospital ini. Laju kakinya melangkah ke kaunter. Matanya meliar mencari jururawat. Namun, tiada pula. Beberapa minit menunggu, barulah muncul seorang jururawat wanita.

“Sorry, nurse. Saya nak cari pesakit yang bernama Raihan binti Halim. Ada?”

Jururawat itu memeriksa senarai nama pesakit yang mendaftar di hospital itu.

“Ada, cik. Dia baru masuk dewan bersalin. Cik boleh tunggu di wad kecemasan, hujung sana,” beritahu jururawat itu, ramah.

“Terima kasih, nurse,” ucap Denisa sebelum berjalan laju ke tempat yang diberitahu.

Sebaik tiba di hadapan wad kecemasan itu, dia mencari kelibat sesiapa yang mungkin dia kenal. Namun, gagal. Sudahnya, dilabuhkan punggung di kerusi yang tersedia. Jam tangan Chanel di pergelangan tangannya, dipandang sejenak. Sudah lewat petang rupanya.

Seorang wanita muncul di ruang itu bersama dua buah beg. Denisa melakar senyuman. Wanita itu membalas senyum itu sambil duduk berdekatan dengan Denisa.

“Tunggu siapa?”

“Kawan saya. Dia ada kat dalam,” balas Denisa, dengan senyuman di bibir.

“Oh, dah lama ke?” soal wanita itu lagi.

“Saya pun tak pasti, auntie. Saya baru sampai selepas dapat call tadi. Suami dia outstation, itu yang terpaksa temankan dia sekejap. Auntie pulak tunggu siapa?”

“Anak auntie. Dah dua jam dia masuk. Suami dia pun tak ada di sini. Memang lama lagilah nak kena tunggu. Bersalin bukannya mudah,” Denisa tergelak kecil. Kelakar pula nada wanita itu.

“Insha Allah, semuanya okey,” kata Denisa. Tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg.

“Mak long,” panggil suara garau seseorang. Wanita itu mendongak sedikit. Tersenyum dia melihat susuk tegap itu.

“Hah, Dre dah habis shif ke?”

“Baru aje habis. Abang Zen tak sampai lagi ke?” soal jejaka itu kembali. Dia duduk di sebelah mak longnya.

“Belum. Flight delay katanya. Dua jam lagi baru sampai agaknya. Dre tak boleh ke masuk dalam? Dre kan doktor kat sini jugak. Mak long risaulah…”

Denisa yang terdengar permintaan wanita itu, menelan air liur kasar. Selamba sahaja dia menyuruh lelaki itu masuk. Lainlah, lelaki itu adalah suaminya. Memanglah doktor, tapi perempuan pun ada malunya. Kalau dialah, awal-awal lagi dia tempah doktor private. Yang penting, perempuan! Nauzubillah, lelaki yang menyambut anaknya nanti. Uish!

“Siapa waris Puan Raihan?” Denisa tersentak. Diangkat tangannya. “Suami dia mana?” soal jururawat yang berwajah garang itu.

“Kerja luar. Ada apa ya?”

“Boleh awak teman dia kat dalam?”

Pantas Denisa berdiri. Beg tangannya sudah jatuh ke lantai. Teman An kat dalam? No way!

“Errr… perlu ke?”

Jururawat itu tenung Denisa macam nak ditelan sahaja gadis rupawan itu. Perkara serius, dibuat main pula.

“Iya. Pesakit perlukan sokongan. Awak sila ikut saya,” Denisa sudah kelam kabut. Wajahnya juga sudah tidak berdarah. Mahu sahaja dia pecut tinggalkan ruang itu. Agak-agak, sedap tak tidur atas lantai jubin ni?

Tanpa sempat Denisa menjawab, jururawat itu terus sahaja menarik tangannya. Apa lagi yang dia mampu buat? Digagahkan juga kakinya melangkah. Beg tangannya juga dibiarkan di lantai itu. Lantaklah! Bukan ada orang yang nak ambil pun kan? Iya ke?

Wanita dan lelaki muda itu hanya memandang sahaja perlakuan Denisa yang dirasakan pelik. Gadis itu seperti takut-takut sahaja untuk menjejakkan kaki ke dalam dewan bersalin. Wanita itu mengambil beg tangan Denisa yang terjatuh dan diletakkan di sisinya. Buat baik, dibalas baik. Insha Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience