BAB 15

Romance Completed 13020

Janji harus dikotakan. Kini, hospital tempat Adrean bekerja sudah menjadi rumah keduanya. Selesai sahaja kerjanya di Denis Resort, dia akan bertandang ke hospital. Boleh dikatakan, semua staf di hospital itu mengenalinya. Dia bukan sahaja mengacau si Adrean, malah menjadi pekerja charity di situ.

“Kak Cha, ni nak buat macam mana?” tanya suara comel milik Kyra, si kecil yang menghidap penyakit leukemia tahap kedua.

Denisa melihat buku latihan Bahasa Melayu Kyra. Walaupun baru berusia empat tahun, kanak-kanak itu bijak dalam pelajaran. Seawal usia tiga tahun, ibu bapa Kyra menghantar anak mereka ke tadika atau lebih tepat pusat asuhan.

“Kyra baca ni, lepas tu suaikan dengan gambar. L.O.R.I, lori. Tarikkan perkataan lori dekat gambar lori. Faham tak lagi?” Kyra mengangguk laju. “Good girl,” Diusap kepala Kyra perlahan.

Dibawa langkah ke katil hujung wad. Seorang kanak-kanak perempuan sedang mewarna buku lukisan. Sufi yang berusia enam tahun itu pula menghidap penyakit jantung. Ini sudah kali ke sepuluh dia dimasukkan ke wad. Denisa ralit melihat kanak-kanak itu. Tersentuh hatinya dengan semangat berjuang kanak-kanak di sini.

“Besar nanti Sufi nak jadi apa?” soal Denisa.

“Cita-cita Sufi ke, Kak Cha?” Denisa senyum. “Sufi nak jadi macam papa, doktor. Nanti Sufi boleh jaga diri Sufi dengan kawan-kawan. Tapi, Kak Cha. Sempat ke Sufi nak jadi doktor?”

Mata Denisa mula berkaca.

“Insha Allah. Sufi berdoalah. Ya Allah, Kau sihatkanlah tubuh badan Sufi agar dia boleh menjadi orang berguna kelak. Kau limpahkan jua rahmat ke atas dirinya. Amin,” Sufi turut mengaminkan doa Kak Chanya itu.

“Amin…”

“Kak Cha balik dulu. Nanti Kak Cha datang lagi ya?” Seperti Kyra, diusap juga kepala Sufi. Semoga Allah memberkati kanak-kanak ini. Amin.

Sebaik sahaja dia menutup pintu wad itu, air matanya laju sahaja menuruni ke pipi. Allahuakbar. Betapa kuatnya semangat kanak-kanak di wad itu. Tidak dapat dia membayangkan jika satu hari nanti, Kyra dan Sufi serta kanak-kanak yang lain pergi meninggalkannya. Kuatkah dia, seorang insan yang semakin menyayangi mereka?

Adrean yang perasan akan Denisa, bersembunyi di sebalik pasu bunga di sisi kaunter. Hatinya mula tersentuh dengan kebaikan gadis itu. Betullah apa yang dikatakan oleh Denisa hari tu, dia tidak boleh tanpa gangguan gadis itu. Haish, melalut apa dia ni. Sejak bila dia suka? Parah sungguh apabila hati dan fikiran tidak seiring.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience