BAB 4

Family Completed 7042

SEJAK pagi lagi Timah sudah bangun. Menyiapkan segala persiapan anaknya, Aqmal ke pejabat. Dia juga sudah siapkan sarapan pagi untuk Aqmal dan juga Hanum.

“Hanum, mari makan.”Panggil Timah sewaktu melihat tubuh Hanum yang sedang menuruni tangga.

“Hmm,” Hanum hanya mendengus nafas.

“Aqmal mana? Aqmal tak turun lagi ke? Mak dah siapkan sarapan pagi untuk dia.”

‘Ish sibuk jelah orang tua ni. Banyak pula soalan dia. Aku pun boleh buat apa yang kau buatlah,’ kata Hanum dalam hati

“Kejap lagi abang turun,” Timah menganggukkan kepalanya. Lalu, mencapai senduk di dalam mangkuk berisi nasi goreng itu.

“Hanum nak nasi goreng?”Hanum mendiamkan diri. Dia hanya memandang sahaja makanan yang berada di atas meja di hadapannya itu. Baunya memang sedap, tapi langsung tidak selera baginya. Tak lama kemudian, kelibat suaminya telah muncul di anak tangga rumahnya itu.

“Aqmal, mari makan sekali,” ajak Timah dengan bersahaja. Ketika itu, Aqmal seperti tergesa-gesa. Entah apa yang dikejarknya pun tidak tahu.

“Tak apalah mak. Aqmal dah lambat sangat ni. Aqmal rasa dah tak sempat nak makan bersama mak.”

“Jamahlah sikit nasi tu. Penat mak masak.” Hanum menarik mukanya. Dia tidak berpuas hati apabila mak mertunya mahu menagih simpati daripada anak kandungnya itu. Aqmal terus menghampiri meja makan. Sempat dia mengambil sudu dan menyuap nasi goreng ke mulutnya. Dia tidak mahu melihat maknya merajuk. Walaupun sesuap nasi, janji dia menjamah masakan maknya pada pagi itu.

“Baiklah mak, Aqmal pergi dulu. Sedap nasi goreng yang mak buat.” Sebelum dia bersalam dengan maknya. Dia meneguk air teh-o buatan Timah. Kemudian, berdiri di sebelah Timah sambil bersalaman.

“Mak, Aqmal pergi dulu, dah lambat sangat ni. Kalau sempat tengah hari nanti Aqmal akan balik makan tengah hari.”

“Baiklah. Kalau kamu lapar mak siapkan bekal untuk kamu nak? Kamu tunggu sekejap je.”

“Eh tak apalah mak, kat pejabat Aqmal ada café. Nanti kalau tak sibuk Aqmal singgahlah ke café tu cari makanan. Mak jangan risau ya.” Aqmal tersenyum. Hanum pula membuat muka geli. Mungkin dia tidak suka dengan layanan mak mertuanya terhadap suaminya ketika itu. Dia sempat juga bersalaman dengan suaminya sebelum suaminya beredar pergi dari situ.

“Abang hati-hati.”Pesan Hanum pendek. Aqmal menganggukkan kepalanya sahaja. Tak lama kemudian, dia terus berjalan keluar menghampiri kereta. Dengan tergesa-gesa dia memakai stoking yang terletak di dalam kasut kulitnya.

“Bawa kereta tu hati-hati Aqmal. Jangan laju-laju,” sempat juga Timah memesan sesuatu kepada anak lelakinya itu. Aqmal hanya tersenyum menghampiri kereta Viosnya. Tak lama kemudian, tayar kereta Aqmal sudah mula bergolek. Hanum pula sudah beredar pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience