BAB 2

Romance Completed 20364

Sudah hampir seminggu aku cuba menghubungi telefon bimbit lelaki bernama Irfan Abdul Baqi, pemilik kereta Mercedes C300 Sport Sedan yang telah menjadi mangsa langgar Kenari EZ Aero sport milik ku. Namun, setiap kali panggilan dibuat, hanya suara mesin yang menjawab. Irfan Abdul Baqi. Sekali lagi nama yang terukir indah di atas kad berwarna putih itu ku tilik. Cantik nama ini. Ringkas tetapi bermakna.

“Hi, I’m not reachable at the moment. Please leave your message” suara garau pakcik Irfan yang telah diprogramkan menyapa telinga aku. Aku hanya mampu meninggalkan mesej pesanan buat pakcik Irfan, tetapi sehingga hari ini dia masih tidak membalas pesanan aku. Pakcik Irfan oh pakcik Irfan. Ke mana lah pakcik menghilangkan diri. Aku menggerutu di dalam hati.

Setiap hari aku mendail nombor telefon pakcik Irfan tanpa jemu, menandakan aku benar-benar bersungguh-sungguh ingin menyelesaikan kes kemalangan kami. Namun, balasan yang aku terima ternyata mengecewakan aku. Makin lama dibiarkan, makin hati aku ini dipagut rasa serba salah. Aku akhirnya mengeluh berat.

“Kenapa, Nuha? Tak dapat contact pakcik tu lagi?” Qurratu’ain yang mendengar keluhan aku bertanya.

“Belum” jawab aku lemah sambil menggelengkan kepala.

“Agaknya pakcik tu dah halalkan bayaran ganti rugi tu kot” ujar Qurratu’ain cuba menyedapkan hati aku.

“Kalaulah perkataan agak itu maksud dia pasti, mesti aku dah sujud syukur dah sekarang ni. Tak adalah aku terhegeh-hegeh nak call pakcik ni lagi” balas aku. Aku mengetap bibir. Sebenarnya aku tak suka apabila diletakkan di dalam keadaan berhutang. Terasa seperti di bahu aku tergalas satu beban yang berat dan menyesakkan. Memang sejak dari kecil aku tidak diajar untuk meminta-minta walaupun sewaktu aku dalam kesusahan. Dan ia kekal menjadi prinsip hidup aku sehingga sekarang.

“Biarlah, Nuha. Lagipun dalam keadaan ekonomi kita sekarang ini, mungkin ada hikmah-Nya kenapa kau tak dapat hubungi Encik Irfan tu” tukas teman baik aku yang bermata galak itu. Memang tidak dapat aku nafikan kebenaran kata-kata Qurratu’ain itu. Keadaan ekonomi aku, Quratul’ain dan teman-teman sepejabat aku di syarikat Saujana Software Centre ini memang agak kritikal. Sudah hampir dua bulan kami yang bekerja di sini tidak dibayar gaji kerana konflik dalaman yang sedang melanda syarikat. Bukan aku tidak mahu mencari kerja lain, tetapi aku sebenarnya sukakan persekitaran kerja di sini dengan kawan-kawan yang sememangnya satu kapal. Itu yang membuatkan aku masih bertahan.

“Entahlah, Ain. Aku takut jika urusan aku dengan Encik Irfan tak diselesaikan cepat-cepat, nanti bila sampai masa aku kena bayar ganti rugi, simpanan aku tinggal negatif. Kau tahu sajalah dah dua bulan aku bernafas guna duit simpanan aku tu” inilah sebenarnya perkara yang aku takutkan. Bagaimana nanti jika orang yang tidak suka berhutang ini akhirnya gagal membayar hutang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience