BAB 3

Romance Completed 20364

Tiba-tiba telefon bimbit aku nyaring berbunyi minta diangkat. Aku melihat paparan yang tertera di skrin telefon aku.

“Private Number” siapa pula yang telefon aku ini? Teragak-agak aku hendak menjawab panggilan itu. Kebiasaannya kalau nombor-nombor begini, mesti daripada perkhidmatan kad kredit. Sibuk mempengaruhi orang ramai untuk melanggan perkhidmatan mereka yang menawarkan kredit dalam bentuk wang tunai. Aku memang malas nak mendengar perkara yang berkait dengan unsur-unsur riba ini.

Aku hanya memandang sepi telefon bimbit sehingga nada bunyi itu berhenti. Namun, apabila telefon aku kembali berdering buat kali kedua, aku tanpa teragak terus menyambut panggilan. Bimbang juga jika ada perkara penting yang ingin disampaikan. Mana tahu kalau-kalau aku telah memenangi hadiah wang tunai ke. Boleh juga aku gunakan untuk tampung kewangan aku yang kian meruncing ini.

“Assalamualaikum, Cik Qaisara Nuha” sayup-sayup aku mendengar suara garau seorang lelaki menyapa di hujung talian. Aku gagal menebak milik siapakah suara itu.

“Waalaikumsalam, siapa ini?” aku bertanya setelah gagal meneka. Suara itu seperti biasa aku dengar tapi di mana?

“Irfan, Irfan Abdul Baqi” balas lelaki itu memperkenalkan diri. Patutlah macam pernah aku dengar suara itu. Hari-hari pendengaran aku disuakan dengan suara ini tatkala panggilan yang aku buat ke telefon bimbit pakcik Irfan tidak berangkat. Saat itu, hati aku sedikit lega kerana akhirnya penantian aku berhasil. Pakcik Irfan Abdul Baqi akhirnya membalas panggilan aku.

“Hello, are you still there?”

“Ya, pakcik Irfan”

“Saya minta maaf kerana tak dapat membalas panggilan saudari lebih awal. Saya ada di Montreal, Canada sekarang ini. Once, I landed in Kuala Lumpur, I’ll call you” terang pakcik Irfan dalam nada yang cukup sopan. Padanlah suaranya kedengaran tenggelam timbul dalam talian. Rupanya dia membuat panggilan dari luar negara.

“Oh, jauhnya. Tak apa, pakcik. Bila pakcik akan balik ke Malaysia?” aku menyoal untuk mendapatkan kepastian. Sekurang-kurangnya dalam tempoh itu, aku boleh memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi.

“Saya tak pasti lagi. Paling cepat seminggu. Or it could be longer!”

“Baiklah, pakcik. Saya akan tunggu panggilan daripada pakcik untuk selesaikan urusan kita”

“Okay, dear. I’ve to go. See you very soon. Take care. Bye” klik! Belum sempat aku membalas pamitan pakcik Irfan, dia telah mematikan talian. Sopan dan lembut tutur kata pakcik Irfan menyerlahkan ciri-ciri kebapaan. Kalaulah pakcik ini ada anak lelaki bujang, boleh juga aku buat permohonan jadi calon menantunya. Aku mengukirkan senyum sumbing di bibir dengan fikiran nakal aku. Sempat lagi berangan!

“Amboi, dapat panggilan daripada pakcik Irfan, senyum sampai ke telinga” teguran Qurratu’ain mematikan senyuman aku. Kalaulah kawan aku ini tahu apa yang sedang bermain di fikiran aku, mesti seronok aku diketawakan.

“Aku senyum ini sebab lega. Masalah aku dengan pakcik Irfan bakal diselesaikan. Harap-harap pakcik Irfan itu tak minta nilai ganti rugi di luar kemampuan aku” tingkah ku sambil menyandarkan tubuhku di sofa. Lega! Satu masalah hampir selesai.

“Apa dia kata? Bila nak jumpa?”

“Dia sekarang ni ada dekat Canada. Maybe next week dia balik sini. Kalau tak pun bulan depan. Tak kisah lah, yang penting sekarang ini aku masih ada sedikit masa untuk berusaha” aku mengukirkan senyuman nakal.

“Usaha apa?” tanya Qurratu’ain ingin tahu.

“Usaha macam mana nak lembutkan hati pakcik Irfan tu. Supaya bila dia tengok aku, terus dia jatuh kasih dan tak jadi nak caj tinggi-tinggi dekat aku” jawapan aku yang lebih berbaur usikan itu berjaya mengundang gelak Qurratu’ain.

“Kalau macam tu, kau kena cari minyak senyonyong. Aku ada kenal seorang bomoh ni. Kau nak?” gurau Qurratu’ain membuatkan aku turut tergelak besar.

“Payah pula nanti kalau aku terpaksa jadi bini kedua dia” tukas aku masih lagi dalam mood bergurau.

“Entah-entah bini ketiga atau keempat kot” telahan Qurratu’ain membuatkan aku membulatkan mata. Eiii..nauzubillah…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience