BAB 7

Romance Completed 20364

“Mengarut. Saya tak boleh terima lamaran awak” aku menggeleng laju. Qurratu’ain di sisi aku masih terpaku mendengar perbualan di antara aku dan Irfan. Nyata, dia juga sama terkejut seperti aku. Jika tidak, masakan hilang terus suara teman aku ini.

“Jadi, awak memilih untuk membayar pampasan atas kerosakan kereta saya itu?” soal Irfan tanpa reaksi.

“Ya, beritahu saya berapa harga yang saya perlu bayar” tegas ku. Aku memberanikan diri menentang matanya. Geram juga dengan tindakan lelaki itu yang seolah-olah begitu mudah memperdagangkan cinta.

“RM 10,000.00” tenang jawapan Irfan namun angka yang disebut membuatkan aku hampir pengsan. Sepuluh ribu ringgit? Mahalnya! Mana aku nak cari duit sebanyak itu. Jika dicongakkan simpanan yang aku ada baru mencecah lima ribu ringgit. Mana aku nak cari baki lima ribu lagi?

“Apa? Biar betul Encik Irfan. Takkan rosak sikit macam itu pun sampai 10 ribu ringgit?” tiba-tiba Qurratu’ain bersuara setelah mendiamkan diri dari tadi, cuba membela aku apabila dia melihat aku yang sudah terkelu.

“Saudari Qurratu’ain, kereta yang kawan saudari langgar itu adalah kereta Mercedes Sport. Bukannya kereta labi. Kalau tak percaya, ini dia resit baiki kereta” tutur Irfan kedengaran sedikit angkuh sambil menghulurkan sekeping resit. Terketar-ketar aku menyambut huluran itu.

“Megah Mewah Fix and Drive? Padanlah mahal. Encik Irfan tahu tak kedai ini cekik darah” beritahu aku tidak puas hati. Mak ai, mekanik yang dia upah pun bukan sembarangan. Dulu, memang aku dah pernah terkena. Tampung tayar kereta Kenari aku yang bocor tu pun dia boleh caj sampai RM30. Memang bengang betul aku. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku jadi pelanggan kedai itu. Lagipun, tengok nama pun dah boleh agak. Hanya sesuai dikunjungi oleh orang-orang mewah sahaja. Kalau aku tahu, boleh aku rekomen bengkel baiki kereta adik aku, Helmi. Tak adalah kena caj sampai 10K. Awal-awal aku dah risik dengan Helmi, anggaran harga untuk membaiki kerosakan yang pada hemat aku tak adalah teruk sangat pun. Hanya pecah lampu depan dan kemik sedikit di sebelah pintu penumpang.

“Itu saya tak peduli. Macam mana? Boleh bayar ke tak ni? Kalau tak boleh, tawaran saya masih terbuka. Jadi permaisuri di hati saya. FOC” sempat lagi Irfan mengenyitkan matanya pada aku. Gatal merenyam betul mata dia. FOC – Free of Charge. Tak ingin!

“Boleh. Saya boleh bayar. Tapi, saya tak bawa duit sekarang. Beri saya nombor akaun bank encik. Nanti saya bank in” mendengarkan ugutan Irfan, aku segera bersetuju tanpa membuat sebarang rundingan untuk mengurangkan harga bayaran ganti rugi terlebih dahulu.

“Mana kau nak cari duit sebanyak itu?” bisik Qurratu’ain sambil menyiku aku.

“Nanti aku fikir” balas aku juga dalam bisikan.

“Boleh percaya ke ni, sayang?” soalan Irfan mengejutkan aku. Bulat mata aku memandangnya. Gulp! Sayang? Irfan ini spesies skru otak longgar ke? Kenal aku pun tidak, tiba-tiba nak bersayang-sayang. Geli geleman aku rasa.

“Boleh percaya ke yang awak akan masukkan duit ke dalam akaun saya?” ulangi Irfan setelah dia menyedari aku yang sedang terkaku.

“Tempoh hari masa kemalangan encik boleh percaya. Takkan kali ini tak boleh?” celah Qurratu’ain menjawab bagi pihak aku. Aku mengangguk mengiakan. Qurratu’ain mula menunjukkan kepetahannya berhujah. Nasib baik ada kawan aku itu.

“Yalah. Tempoh hari awak tak tahu lagi berapa yang awak kena bayar kan” sindir Irfan menyentap tangkai hati aku.

“Excuse me, Encik Irfan. Mak dan ayah saya tak pernah ajar saya menjadi manusia yang tak amanah. Walaupun saya tak kaya dan berharta macam encik tapi saya tetap akan bayar duit encik. Dengan apa cara sekalipun, encik akan dapat balik wang 10K awak itu. Ini janji saya” bentak aku dengan nada yang sedikit tinggi.

“Baik, in one week from now. Tepat seminggu saya akan hubungi awak. Kalau awak tak sediakan duit itu, maknanya awak tak ada pilihan lain. Awak kena kahwin dengan saya” putus Irfan berbaur ugutan membuatkan aku tersentak.

“Mummy minta maaf. Lama pula mummy berbual dengan papa Irfan” tiba-tiba Datin muncul dan duduk di depan aku. Secara automatik perbualan hangat di antara aku dan Irfan terhenti. Sesuka hati dia saja nak paksa aku kahwin.

“Oh ya, papa kirim salam pada Nuha. Dia minta maaf tak dapat join sekali hari ini. Dia masih kat Singapore, flight pula delay” sambung Datin. Papa? Mungkin Datin ini maksudkan Datuk Abdul Baqi. Kemesraan Datin ini terhadap aku memang membuatkan aku pening. Dia layan aku macam kami ini dah kenal lama. Sedangkan nama Datin ini pun aku tidak tahu.

“Waalaikumsalam” aku terpaksa mengukirkan senyum. Niat untuk membalas sindiran Irfan yang telah membakar perasaan, aku batalkan. Bengkak di hati aku cuba sabarkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience