BAB 14

Romance Completed 20364

“Assalamualaikum, sayang” aku sudah cukup kenal dengan suara garau itu. Pantas senyuman bahagia terukir di wajah aku. Derap tapak kakinya perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik tidur ku mengundang getar di dada. Inilah pertama kali aku bakal berduaan dengan seorang lelaki bukan muhrim di kamar beradu ku sendiri.

“Waalaikumsalam” salamnya ku jawab. Aku mendongakkan wajah memandang ke arah suami ku. Dia menghampiri aku yang sedang duduk di birai katil. Walaupun raut wajahnya kelihatan agak penat, namun pada pandangan mata sang isteri ini, lelaki di hadapan ku ini cukup segak dengan baju Melayu nya. Isteri? Ya, aku kini telah selamat menjadi isteri kepada Irfan Abdul Baqi. Semalam, dengan sekali lafaz kami telah selamat dinikahkan di Masjid Al-Hidayah, tempat yang menjadi saksi pertemuan pertama di antara dua hati. Hari ini pula berlangsungnya majlis kenduri kahwin di pihak aku.

“Penat juga kenduri kahwin, ya. Siang hari berpeluh-peluh dalam baju pengantin melayan tetamu. Malam hari, melayan isteri pula” bisik Irfan nakal sambil menggenggam jari jemari aku yang masih merah berinai. Aku tertunduk malu. Seram sejuk pula aku rasakan tatkala desah nafas Irfan begitu hampir dengan telinga ku.

“Terima kasih, sayang kerana sudi menjadi milik abang” ujar Irfan sambil membawa tangan ku ke bibirnya. Perlakuan romantisnya membuatkan bulu roma ku meremang. Sesungguhnya memang aku tak biasa dengan semua ini. Hilang sudah sikap diktator yang ditunjukkan Irfan kepada aku sebelum aku sah menjadi isterinya. Mana tidaknya, setiap keputusan tentang urusan perkahwinan kami hanya dia yang akan putuskan, tanpa merujuk kepada aku langsung! Daripada urusan kad kahwin, baju pengantin, pelamin, gambar, lauk pauk, cenderahati tetamu, semua dia yang tentukan. Sampaikan siapa yang akan memekapkan aku juga dia yang pilih. Memang cerewet! Tapi hendak buat macam mana. Hati dah sayang kan…

“Saya juga nak berterima kasih pada abang kerana memilih saya menjadi permaisuri di hati abang” tutur aku perlahan.

“Sama-sama kasih, sayang” Irfan menyentuh dagu ku dengan jari-jemarinya. Dia mendongakkan muka aku yang dari tadi hanya tertunduk malu. Malu tapi mahu!

“Sayang tahu tak, sayang dah curi hati abang ini sejak pertama kali abang tatap wajah sayang malam kemalangan itu. Sayang memang benar-benar cantik di mata abang. Dan bertambah kiut lagi bila sayang panggil abang, pakcik” dia mencuit hidung ku. Bicara Irfan itu berjaya membuatkan wajah aku berubah rona merah. Memang aku rasa malu setiap kali teringat kenangan aku tersilap memanggil Irfan sebagai pakcik. Kenangan indah yang pasti aku akan simpan untuk diceritakan pada anak cucu ku nanti. Wah, jauhnya aku sudah berangan!

“Tapi kenapa abang tergesa-gesa beredar?” dalam malu-malu itu sempat juga aku bertanya. Dah lama aku simpan rasa ingin tahu ini.

“Abang sengaja buat macam tu. Abang nak tengok sejauh mana kejujuran sayang. Bila sayang bersungguh-sungguh hubungi abang untuk bertanggungjawab membayar ganti rugi, abang semakin yakin dengan pilihan hati abang. Masa itu, rasa nak terus terbang balik ke Malaysia, jumpa dengan sayang” terang Irfan panjang lebar. Masih aku ingat waktu dia menghubungi aku dari Canada.

“Kenapa abang pilih saya? Sedangkan ramai lagi gadis-gadis cantik dan hebat yang boleh jadi pasangan abang” tanya aku sedikit merasa rendah diri.

“Cinta itu kan rahsia Allah. Dia yang menitipkan rasa cinta, kasih dan sayang di hati abang ini buat sayang. Bagi abang, kita tidak perlukan sebab untuk tulus mencintai seseorang. Sudah ditakdirkan sayang adalah jodoh abang. Dan, sayang tak perlu cantik buat pandangan mata orang lain. Cukuplah hanya abang sorang yang sedar tentang kecantikan sayang luar dan dalam. Abang ni kuat cemburu tau” ujar Irfan sambil mengucup dahi ku. Aku memejamkan mata, menghayati keindahan sentuhan itu.

“Abang ini ada perasaan cemburu juga ke? Bukan ke abang ni cold hearted man?” tanya aku mengusik. Irfan memang dianugerahkan dengan sikap tenang. Dan ketenangan yang sering ditunjukkannya itu membuatkan aku sering gagal menebak reaksinya.

“Hati beku bila depan orang lain. Kalau dengan isteri abang nak berhati beku juga, meranalah abang. Sayang tahu tak, masa abang nampak sayang berdua dengan Iqbal di lobby, waktu tu tak tahu abang nak gambarkan rasa cemburu dalam hati ini. Bila terpandang saja deretan album kahwin dekat atas meja, jantung abang ini rasa nak tercabut. Kecewa tahap menonggeng dah waktu itu” cerita Irfan. Tubuh aku sudah dibawa ke dalam dakapan. Dan aku senang dengan setiap tingkahnya itu.

“Saya perasan perubahan pada wajah abang. Masa itu saya jadi serba salah. Macam mana saya nak terangkan supaya abang tak serba salah. Mujurlah. ‘Ain muncul tepat pada masanya” luah aku sambil membalas pelukan suami ku.

“Jadi, jangan ingat abang ini tak ada perasaan ya” aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Irfan. Sebenarnya aku langsung tidak kisah kerana cemburunya itu membuktikan yang dia menyayangi aku sungguh-sungguh.

“Saya tak kisah abang ada rasa cemburu. Tapi, jangan biarkan diri abang dikuasai cemburu. Kerana manusia yang menang adalah manusia yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya” balas aku menasihati.

“Petahnya isteri abang ini berkata. Makin buat abang kagum. Tak sia-sia abang paksa mummy dan papa cepat-cepat pinang sayang” Irfan menghadiahkan aku sebuah senyuman yang cukup menawan. Bikin hati ini makin cair. Nasib baik dah sah jadi suami aku.

“Kadang-kadang saya rasa kisah kita ini macam kisah dongeng. Macam mimpi. Jumpa sekejap dan terus kahwin. Abang ibaratkan seorang putera raja tampan yang hidup mewah di istana. Sedangkan saya hanyalah gadis biasa yang tak punya apa-apa. Yang saya ada cuma sekeping hati yang suci” luah ku sambil membalas senyumannya.

“Sebenarnya, kisah cinta kita lebih indah dari kisah dongeng. Kerana cinta kita adalah simpulan ikatan kasih yang diamanahkan Ilahi. Sesungguhnya, cinta abang pada sayang adalah untuk mendapatkan keredaan dari-Nya. I love you so much, sayang” intonasi suara Irfan berubah romantis membuatkan aku terpegun dengan kata-katanya. Dia memperkemaskan pelukannya. Aku juga dapat mendengar degupan jantung Irfan yang berdetak kencang. Kemudian, dia mengucup lembut ubun-ubun aku. Tindakan Irfan yang semakin berani mencumbui segenap wajah aku mengundang debar di hatiku. Saat itu, aku rasakan wajah ku sudah tiada warna. Layanan Irfan itu benar-benar membuatkan aku terbuai dalam kasih sayangnya. Namun, dalam keasyikan itu, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.

“Abang dah solat?” tanya aku mengingatkan.

“Sudah. Berjemaah dengan ayah tadi” balasnya sambil merebahkan tubuh aku ke katil.

“Tapi abang belum mandi lagi kan?” soal ku lagi. Irfan kembali mengangkatkan wajahnya sambil melemparkan senyuman nakal.

“Tak payah mandilah, sayang. Petang tadi abang dah mandi. Lagipun dah jauh malam. Besok sajalah abang mandi. Sekali dengan mandi wajib” jawapan Irfan benar-benar membuatkan aku terkedu. Memang tak senonoh betul laki aku ini. Tapi nak buat macam mana. Dah jadi suami aku pun. Tangannya sudah melingkar kemas di pinggang ku. Dia mengucup bibir aku lembut. Akhirnya, aku hanya merelakan setiap perlakuan Irfan. Malam itu, kami melayari bahtera indah sebagai suami isteri dengan ikatan yang sah dan halal.

Akhirnya, aku telah mempunyai kisah cinta aku sendiri. Sebuah kisah yang bagi aku lebih indah dari dongeng. Siapa sangka, bermula dengan musibah kecil telah menemukan aku dengan teman hidup aku. Kehadiran seorang suami yang telah melengkapi dan menutupi segala kekurangan diri ini. Benarlah semua yang berlaku pasti ada hikmah dan sebab musababnya. Dan yang paling tidak pernah aku duga, akhirnya duit gaji aku yang tertunggak selama dua bulan telah selamat aku gunakan untuk belanja kenduri di majlis perkahwinan ku sendiri! Irfan sememangnya memang tidak pernah berniat untuk menuntut sebarang pampasan akibat kerosakan keretanya. Lagipun aku ini dah jadi bini dia kan, kira halal sajalah. Kesusahan sedikit yang diuji oleh-Nya ternyata membawa seribu kebahagiaan dalam hidup ku. Dan pasti kebahagiaan dan kesenangan yang aku nikmati ini juga adalah bentuk ujian yang didatangkan oleh-Nya untuk menilai sejauh mana kesyukuran kita kepada-Nya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience