BAB 8

Romance Completed 20364

“Eh, Mak Jah dah siap hidang makanan tengah hari. Jom, kita ke meja makan, Nuha. Mari Qurratu’ain” ajak Datin. Tangan aku sudah dipimpinnya. Hendak tak hendak terpaksalah aku berdiri dan mengikuti langkah Datin ini. Takkan aku hendak merentap tangan Datin ini. Nanti dikatakan tidak menghormati orang tua pula. Dalam diam aku mengharapkan buah fikiran Qurratu’ain untuk memberi alasan menolak ajakan Datin ini. Aku memberikan isyarat mata kepada sahabat ku itu.

“Tak apalah, Datin. Buat susah-susah, Datin sekeluarga saja” tolak Qurratu’ain dengan lembut. Lemah sangat alasan penolakan Qurratu’ain. Agaknya kawan aku itu juga serba salah. Tidak sampai hati hendak menolak apabila melihat kesungguhan wanita itu.

“Apa yang susahnya. Marilah. Macam-macam Mak Jah masak tau. Lagipun, besok kita dah mula berpuasa. Hari ini last kita boleh makan tengah hari bersama” pelawa wanita itu bersungguh-sungguh. Aku dan Qurratu’ain memang tiada pilihan. Akhirnya kami akur. Tak apalah, dah rezeki depan mata.

Pagi-pagi hari aku sudah tercongok di pejabat. Berlama-lama di rumah pun tiada guna juga. Hati ini tidak tenang. Aku menghempaskan punggung ku di atas kerusi. Kalendar di atas meja pejabat ku tenung lama. Hari ini adalah hari penentuannya! Bila-bila masa sahaja Irfan pasti akan menghubungi aku menuntut janji. Tapi, duit yang aku ada masih belum cukup. Aku buntu. Sudah puas berfikir tapi aku masih tidak jumpa jalan penyelesaiannya.

Pinjam dengan mak dan ayah? Aku tidak sampai hati nak menyusahkan mereka. Berapalah sangat kalau nak diharapkan dengan duit pencen pembantu tadbir ayah aku itu. Dua orang adik aku pula masih di universiti. Sudah lah hampir dua bulan duit belanja yang sepatutnya aku berikan pada mereka setiap bulan tertunggak gara-gara duit gaji aku yang tak masuk-masuk lagi. Lepas itu, nak pinjam pula duit dengan mereka? Memang tak patut. Adik aku? Si Helmi itu baru mula bertatih membuka bengkel membaiki kereta. Duit yang dia pinjam dengan aku pun masih belum mampu bayar, ini kan aku nak pinjam balik dengan dia? Memang tiada harapan lah.

Pinjam dengan Qurratu’ain? Tak sempat aku nak minta, dia dah awal-awal tawarkan pada aku. Tapi, aku pula tak sanggup nak ambil. Memang tabiat aku tak suka meminjam, tapi kalau dalam keadaan terdesak begini terpaksalah aku korbankan prinsip aku tu. Namun, apabila mengenangkan yang ekonomi kawan aku itu sama saja macam aku yang tengah tertunggak gaji ini, aku tak sanggup nak menyusahkan dia. Tambah-tambah lagi, Qurratu’ain sedang membuat persiapan untuk menyambut hari bahagia bergelar isteri. Lagilah banyak duit yang diperlukannya. Kawan-kawan sepejabat yang lain? Tengok muka masing-masing pun aku dah tahu. Gawat!

Takkan aku hendak pergi pinjam dengan ah long? Silap-silap hari bulan, kena gadai bodi, aku juga yang meraung. Kalau difikir-fikirkan, ah long dan Irfan tak jauh beza pun. Dua-dua menggunakan konsep peras ugut. Aku melepaskan keluhan berat sambil menyandarkan tubuh aku di kerusi. Tangan aku diletakkan di atas dahi.

Aku lontarkan pandangan di segenap ruang bilik pejabat aku yang sederhana besar itu. Jawatan aku sebagai System Analyst melayakkan aku untuk memiliki bilik pejabat sendiri. Tetapi, bilik besar pun tiada guna kalau gaji tak masuk! Bilalah agaknya masalah syarikat ini akan selesai. Masalah aku juga akan selesai jika aku mendapat bayaran tunggakan gaji ku itu.

“Woit, menung panjang nampak” sergahan Qurratu’ain mengejutkan aku. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang berada di depan meja pejabat ku.

“Kau ni, tak reti nak bagi salam ke? Main sergah-sergah pula. Nasib baik jantung aku ini sihat walafiat. Kalau tak, tak fasal-fasal roh aku tak aman. Mati dalam keadaan berhutang” marah aku pada Qurratu’ain. Dia tersenyum langsung tidak mengambil hati dengan teguran aku. Sudah biasa.

“Kau ini, melalut sampai ke situ pula. Itulah kau, aku suruh kau guna duit simpanan aku dulu kau tak nak” bentak Qurratu’ain seakan merajuk. Wajahnya mencuka.

“Bukan aku tak nak pinjam dengan kau. Aku tahu kau lebih perlukan duit itu. Lagipun kenduri kahwin kau tak sampai sebulan pun lagi. Mesti banyak nak guna duit” ujar ku memujuk.

“Duit boleh carilah. Kalau terpaksa aku boleh tangguh kenduri kahwin aku tu demi kawan baik aku ini” bentak Qurratu’ain membuatkan hati aku tersentuh. Mana nak cari kawan sebaik ini. Kawan di saat susah dan senang. Bergenang kelopak mata aku. Tetapi aku tidak bolehlah pentingkan diri sendiri.

“Thanks but no thanks. Aku tahu kau kawan sejati aku. Tapi, aku tak nak kau korbankan hari bahagia kau kerana masalah aku yang tak seberapa ini. Kau tak perlulah risau. Tahulah aku nak cari duit dekat mana. Lagipun apalah sangat Irfan tu boleh buat kalau aku tak mampu nak bayar lagi sekarang. Takkan dia nak heret aku jumpa tok kadi. Wali tak ada tak jadi juga kan” sambung aku cuba menyedapkan hati Qurratu’ain.

“Macam mana aku tak risau. Tengok kau termenung macam orang hilang anak. Payah-payah kau kahwin sajalah dengan Irfan tu” tukas Qurratu’ain.

“Tak nak aku! Buat apa aku pertaruhkan masa depan aku kahwin dengan orang yang aku tak kenal” aku menggelengkan kepala deras.

“Apa salahnya. Kau tengok sajalah orang tua kita. Masa kahwin tak kenal pun pasangan masing-masing. Tapi kekal juga sampai beranak cucu. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang bercinta bagai nak rak. Kau tak nak ke bercinta selepas kahwin. Klasik tu” usik Qurratu’ain sambil mengangkatkan kedua belah keningnya nakal.

“Itu lain. Walaupun masing-masing tak kenal, tapi sekurang-kurangnya jodoh itu adalah pilihan orang tua mak bapak kita. Dalam keadaan aku ini, mak ayah aku pun tak kenal siapa Irfan tu. Yang paling haru, aku tak kenal dia, dia pun tak kenal aku. Tiba-tiba boleh pula dia ajak aku kahwin. Tak ke meroyan namanya tu” tingkah ku.

“Yalah kan. Aku pun pelik juga. Tapi, cinta ini memang misteri kan. Dia boleh datang dalam macam-macam cara. Sesekali bila aku fikir kisah kau ini macam kisah dogeng pun ada. Kalaulah kisah kau ini berakhir ke jinjang pelamin, aku ingat aku nak buat novel lah” gurau Qurratu’ain membuatkan aku menjegilkan mata padanya. Seronok betul dia mengenakan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience