BAB 1

Romance Completed 20364

Mencintai aku dengan seadanya
Mencintai aku bukan kerana rupa
Dalam waktu sedu
Dalam waktu hiba
Ku harapkan dia rela

Mencintai aku dengan seadanya
Sanggup menerima insan tak sempurna
Atau mungkin cinta sebegitu hanya
Kisah dongeng saja

Ceritera cinta aku ini bermula pada malam Nisfu Syaaban. Malam itu aku bersama dengan teman baik aku, Qurratu’ain ke Masjid Al-Hidayah. Tidak mahu melepaskan peluang berjemaah dan menghadiri majlis bacaan Yasin di sana. Yalah, siapa yang tak nak pahala dilipat gandakan sebanyak 27 kali kan? Lagipun, malam yang penuh dengan rahmat ini hanya akan datang setahun sekali. Emak aku pula setiap hari tidak pernah jemu mengingatkan aku untuk ke masjid pada malam pengampunan ini. Sejak seminggu yang lalu emak tidak pernah gagal menghubungi aku menyampaikan pesanannya, sampaikan aku dah boleh hafal ayat yang akan keluar dari mulut emak. Memang sejak dari kecil aku telah dididik untuk menghormati malam Nisfu Syaaban. Jika emak aku tidak menyuruh pun, aku memang sudah pasang niat hendak mengimarahkan masjid. Siapa yang tidak ingin mendapatkan permaafan dan keredaan sang Pencipta kan? Dalam keterujaan aku menyambut kedatangan malam yang penuh keberkatan itu, rupa-rupanya aku bakal dititipkan dengan satu musibah.

“Dumm..” serta merta aku menekan brek kereta aku saat bunyi dentuman memecah keheningan malam. Hentaman yang agak kuat, membuatkan tubuh aku terhumban ke depan. Hampir sahaja kepala aku yang bertelekung ini mencecah stereng kereta. Nasib baiklah awal-awal aku telah memakai tali pinggang keledar. Melalui cermin sisi, aku dapat melihat sebuah kereta sedan hitam tersadai di belakang kereta Kenari ku. Aku tidak dapat mengenal pasti jenis kereta yang telah ku langgar kerana keadaan persekitaran yang agak kelam. Yang aku pasti, ia adalah sebuah kereta mewah! Aku menggigit bibir. Saat itu, dapat aku rasakan degupan jantung aku telah berubah rentak. Wajah aku berubah pucat. Jika ditoreh dengan mata pisau yang tajam, pasti tiada darah merah yang mengalir. Silap-silap darah aku telah bertukar warna menjadi putih. Sejuk dan beku. Yang aku ini perasan seolah-olah keturunan Mahsuri ni apa hal?

“Allah..” hanya kalimah suci itu yang meniti di bibir aku. Entah bagaimana aku langsung tidak menyedari kedatangan kereta hitam itu saat aku sedang mengundurkan kereta. Silap aku juga kerana tergesa-gesa menekan gear reverse tanpa betul-betul memandang kiri dan kanan berulang kali. Lagipun keadaan kawasan meletak kereta di perkarangan masjid itu memang gelap, hanya disirami lampu jalan dalam jarak lebih kurang 10 meter. Sekarang, lampu pula yang aku salahkan.

“Ain, kau ok tak?” aku memandang ke arah Qurratu’ain yang masih tidak berkutik di tempat duduknya. Riak wajah teman aku itu jelas terkesima dengan insiden perlanggaran yang baru menimpa kami. Aku menggoncang lembut bahu Qurratu’ain.

“Aku tak apa-apa” akhirnya Qurratu’ain menjawab.

“Betul ke ni? Kau tak cedera?” sekali lagi aku bertanya inginkan kepastian.

“Betul, aku ok. Aku rasa alignment tulang dan sendi aku ini tak ada yang lari. Kau?” soal Qurratu’ain pula kepada aku.

“Tubuh aku ok. Tapi yang bakal tak ok, poket aku ni” nada suara aku sudah berbaur gelisah. Dalam otak, aku sedang mencongak baki simpanan aku di dalam bank. Mengenangkan kemalangan ini berlaku disebabkan oleh kealpaan aku sendiri, maka sudah pasti aku yang perlu membayar ganti ruginya.

“Relaks, Nuha. Kau ini cepat betul gabra tak tentu fasal. Kita tengok dulu teruk tak kerosakan kereta tu. Nanti, kita bincanglah baik-baik dengan tuan kereta tu. Apa-apa hal aku akan sentiasa menyokong kau” tingkah Qurratu’ain tenang memberikan aku semangat.

“Aku takutlah, Ain. Bagaimana kalau tuan kereta tu nak aku bayar ribu-ribu? Mana aku nak cekau duit, Ain?” tutur aku panik. Aku ini memang berdarah gemuruh. Kalau ditimpa sesuatu malapetaka, mulalah otak aku ini fikir yang bukan-bukan. Memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku, hatiku dipagut resah.

“Kau kan boleh claim insurance” balas Qurratu’ain menenangkan aku.

“Kau dah lupa ke? Kereta aku ini kan third party”

“Ya tak ya juga. Aku lupa lah”

“Aku gerun lah, ‘Ain. Manalah tahu tuan kereta tu gangster ke. Mesti teruk aku kena bambu nanti. Silap-silap habis patah riuk tulang aku dikerjakannya” aku masih lagi menyuarakan kebimbangan aku.

“Mengarutlah. Kau ni Nuha, runsing tak bertempat langsung. Tuan kereta itu mesti orang baik-baik punya. Orang yang kaki masjid ini, mesti bertimbang rasa. Jangan fikir yang bukan-bukan” kata-kata Qurratu’ain berjaya meredakan sedikit gelodak yang sedang bermain di jiwa aku. Ada benarnya juga kan! Hampir aku terlupa yang aku telah melanggar kereta orang di kawasan masjid. Manusia yang sering meletakkan dirinya menjadi tetamu rumah Allah, pasti lebih bersikap tenang, tawaduk dan lebih rasional. Aku cuba berfikiran positif.

“Jom, Ain” setelah mengumpul sedikit kekuatan, akhirnya aku mengajak Qurratu’ain untuk menemani aku. Pintu kereta aku buka. Dengan lafaz bismillah, aku melangkah ke belakang kereta untuk melihat kerosakan kereta aku dan kereta yang dilanggar. Qurratu’ain turut mengikuti langkah aku dari belakang.

Di belakang kereta, aku melihat susuk tubuh seorang lelaki yang sedang duduk mencangkung di antara kereta aku dan kereta hitam itu. Aku perhatikan dia sedang khusyuk meneliti tahap kerosakan keretanya. Dari cara pemakaiannya yang lengkap berkopiah lembik dan berkain pelekat, aku mengagak lelaki itu mungkin berusia dalam lingkungan 40-an atau 50-an. Hati aku sedikit lega melihat perwatakan lelaki itu. Harap-haraplah pakcik ini orang baik-baik. Beberapa ahli kariah masjid yang kebetulan berada di situ turut mengerumuni kami.

“Saya minta maaf, pakcik. Saya mengaku silap saya kerana tak perasan kereta pakcik sebelum mengundur tadi” aku terus membuka mulut, tidak berniat untuk menyembunyikan kesalahan aku. Lelaki itu berdiri dan kemudian berpaling ke arah aku dan Qurratu’ain. Lama dia pegun memandang ke arah kami berdua. Wajah lelaki itu tidak dapat aku lihat dengan jelas kerana keadaan yang agak gelap membataskan pandangan aku. Tambah menyukarkan penglihatan aku apabila aku tidak memakai kaca mata rabun jauh aku. Aku bukannya gemar sangat memakai cermin mata terutamanya bila hendak solat. Lagipun darjah kerabunan aku bukanlah tinggi sangat, tidaklah sampai aku teraba-raba.

“Memang salah saya kerana tak berhati-hati. Saya ini memang cemerkap sikit. Mak saya pun selalu bengang dengan perangai careless saya ini. Pakcik tahu tak, masa sekolah dulu, kerana tergesa-gesa nak sampai ke sekolah, saya pernah terlupa nak pakai kain. Mujurlah waktu tu saya dah pakai seluar sukan kat dalam. Sampaikan saya dipanggil guru disiplin kerana tak pernah lagi pelajar datang ke sekolah berbaju kurung dan berseluar. Dahlah, hari itu ada perhimpunan mingguan. Teruk saya kena gelak dengan semua pelajar. Itu belum lagi cerita…” aku tidak jadi meneruskan kata apabila Qutratul’ain menyiku aku. Aku mengetap bibir menyedari keterlanjuran kata-kata aku. Inilah satu lagi masalah aku. Rasa gabra boleh membuatkan mulut aku yang kurang bercakap ini bertutur bak bertih jagung. Sementelah, sikap berdiam diri lelaki itu menyebabkan aku menjadi teramat cuak. Sambil berpeluk tubuh, mata lelaki tua itu terus tunak memerhatikan kami berdua tanpa menyisipkan sebarang kata. Entah apalah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu. Suasana yang gelap itu menyukarkan aku untuk mentafsir riak wajahnya.

“Err, saya minta maaf” sekali lagi ungkapan maaf ku ulangi. Aku pandang Qurratu’ain di sebelah aku, cuba mendapatkan sokongan dari teman aku pula setelah lelaki tua itu masih tidak menunjukkan sebarang reaksi. Marah sangat kah pakcik ini pada aku? Terlalu bengang kah dia pada aku? Gulp! Aku menelan liur.

“Saya minta maaf bagi pihak kawan saya, pakcik. Kami memang tak sengaja. Kami harap kita boleh selesaikan perkara ini elok-elok. Pakcik beritahu kami berapa ganti rugi yang pakcik mahu” Qurratu’ain bersuara dengan yakin, mengerti isyarat yang aku berikan. Qurratu’ain memang lebih berani dan tenang berbanding aku jika berhadapan dengan situasi yang genting. Aku hanya mengangguk mengiakan kata-kata teman aku itu.

“Kita bincang kemudian. Ini kad saya. Awak boleh hubungi saya untuk tetapkan temu janji” akhirnya lelaki itu bersuara mendatar sambil mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya. Teragak-agak aku menyambut huluran kad itu.

“Tapi, kereta pakcik…” belum sempat aku menyudahkan ayat, aku lihat lelaki itu tergesa-gesa masuk ke dalam keretanya dan memandu laju meninggalkan aku dan Qurratu’ain yang masih termangu-mangu. Orang ramai yang berkumpul turut bersurai.

“Macam tu saja?” aku menggaru kepala yang tidak gatal. Hairan bin ajaib pula aku rasakan. Tanpa pamitan, lelaki tua itu telah hilang dari pandangan kami dengan sekelip mata. Sia-sia aku terketar-ketar di hadapannya kalau aku tahu semudah ini reaksi balas lelaki tua itu.

“Aku pun pelik dengan pakcik tu, Nuha. Kereta pakcik tu bukan calang-calang kereta tu, kereta Mercedes tu. Tapi cool betul pakcik tu macam tak kisah saja kereta dia kena langgar” ujar Qurratu’ain sambil mengerutkan kedua belah keningnya, seperti sedang berfikirkan sesuatu.

“Senang betul pakcik tu percayakan kita kan? Agaknya dia tak nak kecoh-kecoh depan orang ramai kot. Lagipun, kita kan berada di kawasan masjid. Tak hormat pula kalau dia bising-bising dekat sini” aku menyuarakan pendapat aku. Namun, jauh di sudut hati aku memanjatkan kesyukuran kerana keadaan yang genting tadi tidak bertukar menjadi lebih rumit. Haru juga jika pakcik tua itu memarahi aku di depan orang ramai. Silap hari bulan setahun aku tidak keluar rumah kerana malu.

“Aku rasa pakcik tu mesti OKT” tebak Qurratu’ain.

“OKT?” tanya aku hairan.

“Orang Kaya Terlampau. Tengok sajalah kereta dia pakai tu pun dah boleh agak kan. Sebab itu dia nampak tak kisah dengan ganti rugi tu. Syukurlah dia tak minta ganti rugi dengan kau. Sekurang-kurangnya selamat duit kau buat masa sekarang” aku tergelak mendengar jawapan teman baik aku itu. Qurratu’ain memang pakar dalam mereka cipta singkatan. Ada-ada saja ideanya. Tetapi, berasas juga telahan Qurratu’ain itu. Orang kaya terlampau. Ngeri pula bunyinya. Sejak dua menjak ini semua orang nak guna perkataan ‘terlampau’.

“Besok, kau teman aku jumpa pakcik ini. Lagipun aku tak sedap hati kalau berhutang dengan orang lama-lama. Dalam kes ini, aku kena bertanggungjawab sebab memang aku yang salah” akhirnya aku memutuskan. Walau kaya macam mana pun lelaki itu, tidak bermakna aku boleh mengambil kesempatan untuk lepas tangan. Prinsip hidup aku, pantang berhutang. Lagipun lelaki tua itu telah memberikan aku alamat dan nombor telefonnya untuk dihubungi. Itu bermakna urusan aku dengannya masih belum selesai.

“Yalah, berhutang dengan manusia ini, kalau tak selesai di dunia, bawa sampai mati” balas Qurratu’ain turut menyetujui keputusan aku.

“Dahlah, jom kita balik” Qurratu’ain hanya menurut ajakan aku. Sebelum memasuki kereta, sempat aku memerhatikan kerosakan bumper kereta aku. Teruk juga kereta aku kemik. Mujurlah, perlanggaran itu tidak melibatkan kerosakan enjin kereta.

“Hai kenari, kenapalah kereta mewah juga yang nak kau langgar. Kalau kau cari yang sekufu dengan kau, taklah seteruk ini kau cedera. Tak lah teruk sangat kau kena tibai” aku mengeluh. Di ruang mata aku sekarang ini, hanya terbayang simbol RM saja. Oh duit , di mana kau duit!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience