BAB 5

Romance Completed 20364

Tumpuan aku teralih pada seorang lelaki muda yang sedang menuju ke arah kami berdua. Dari figura lelaki itu yang mirip seperti pakcik Irfan, aku mengagak mungkin dia adalah anak kepada pakcik Irfan.

“Aku rasa macam berada dalam kisah dongeng. Ada istana cantik dan mewah. Lepas itu, muncul pula putera raja yang kacak” sempat Qurratu’ain berbisik di telinga aku. Memang aku akui ketampanan lelaki yang telah berada di depan kami. Yang paling menawan di mata aku adalah sepasang mata coklat nya. Tapi mengapa wajah cerah itu kelihatan dingin di mata aku? Anaknya sudah kacak, mesti pakcik Irfan lagi segak bergaya orangnya. Sempat lagi hatiku berdetik.

“Assalamualaikum. Boleh kami berjumpa dengan Encik Irfan Abdul Baqi?” aku memberi salam, langsung menyatakan tujuan kedatangan kami kepada lelaki muda itu.

“Waalaikumsalam. Awak ini Qaisara Nuha?” tanya lelaki itu sambil matanya memandang aku atas bawah. Nampaknya pakcik Irfan awal-awal sudah memaklumkan temu janji aku dengannya. Jika tidak masakan anaknya ini boleh mengetahui nama aku.

“Ya, saya Qaisara Nuha dan ini kawan saya Qurratu’ain. Encik Irfan ada kan?” soal aku inginkan kepastian. Dalam hati, aku tidak begitu selesa dengan pandangan lelaki ini. Perlakuan lelaki muda ini seperti mempunyai ciri-ciri lelaki bermata keranjang. Yalah, tengok orang serupa nak makan saja. Menakutkan.

“Ada” jawab lelaki itu sepatah. Aku menjeling Qurratu’ain yang hanya membisu di sisi aku. Dia ini pantang kalau jumpa dengan lelaki tampan, mulalah tersipu-sipu diam seribu bahasa persis gadis Melayu terakhir. Tak padan dengan diri yang sudah terikat menjadi tunangan orang.

“Boleh saya jumpa dengan Encik Irfan?” aku mengulangi soalan yang sama.

“Sure. You are looking at him now” balas lelaki itu sambil memeluk tubuh dengan selamba.

“Mana?” aku melilau pandangan mencari-cari kelibat lelaki separuh abad yang dimaksudkan namun tidak aku temui. Perlakuan aku itu membuatkan lelaki itu tergelak. Entah apa yang lucu, aku pun tidak tahu. Aku melemparkan pandangan pelik pada Qurratu’ain, cuba mendapatkan jawapan. Sebaliknya, sahabat aku itu mengangkat bahu tanda dia juga tidak mengerti.

“Sini, saya Irfan” tutur lelaki itu sebaik tawanya reda sambil menuding jari telunjuk ke arah dirinya sendiri. Aku mengerutkan kening tanda tidak faham.

“Err..maksud saya, Encik Irfan Abdul Baqi, bukan anak Encik Irfan” tukas aku menjelaskan.

“Sejak bila pula saya ini ada anak. Kahwin pun belum lagi” lelaki itu menyambung gelak. Aku dan Qurratu’ain saling berbalas pandang.

“Tapi, bukankah pemilik kereta yang kawan saya langgar ini…” kata-kata Qurratu’ain terhenti. Mulutnya sudah dibulatkan membentuk huruf O.

“Sayalah lelaki tua yang awak berdua panggil pakcik tempoh hari. Saya pun pelik hari itu. Nampak tua sangat kah saya ini?” ujar lelaki itu sambil tersenyum lucu. Aku menggaru-garu kepala aku yang dilitupi tudung bawal. Aku keliru. Macam mana otak aku boleh salah mentafsir isyarat yang dihantar oleh retina mata aku tempoh hari? Baru aku teringat. Cara pemakaian lelaki ini yang berkopiah lembik dan berkain pelekat membuatkan aku mengandaikan dia sebagai lelaki separuh abad. Lagipun tumpuan aku lebih memikirkan tentang kemalangan membuatkan aku hanya memandang sekilas padanya. Ditambah pula dengan penglihatan aku yang agak terhad pada waktu malam.

“Betul ke encik ini Irfan Abdul Baqi?” tanya aku sekali lagi inginkan kepastian. Dalam hati ini tak tahu nak gambarkan dah bagaimana perasaan aku. Malu teramat sangat! Selama ini dengan penuh yakin aku memanggil lelaki muda ini dengan panggilan pakcik.

“Yes, I’m Irfan Abdul Baqi. Just call me Irfan” yakin lelaki itu menjawab sambil menganggukkan kepalanya.

“Irfan, kenapa tak jemput tetamu kita masuk lagi tu?” celah satu suara. Seorang wanita bertudung kemas melemparkan senyuman lembut ke arah kami. Wanita itu walaupun melalui pengamatan aku sudah berusia lebih dari separuh abad tetapi kejelitaannya masih terserlah. Aku dan Qurratu’ain turut membalas senyuman itu. Nanti kan tak fasal-fasal dilabelkan sombong pula.

“Come, masuk dulu. Mummy saya dah bising tu. Kita bincang dekat dalam” aku dan Qurratu’ain hanya menurut sahaja ajakan Irfan. Setelah menyalami tangan wanita itu, kami dipersilakan untuk duduk di atas sofa empuk berwarna biru gelap.

“Mak Jah…” sebaik nama itu dipanggil, muncul seorang wanita yang aku kira merupakan pembantu rumah mereka.

“Ya, Datin”

“Tolong buatkan air, ya” pinta wanita itu dengan sopan. Tidak aku sangka masih ada lagi orang-orang berada yang tidak sombong dan membezakan hubungan sesama insan.

“Baik, Datin” pembantu rumah yang bernama Mak Jah itu berlalu ke dapur.

“So, yang mana satu Qaisara Nuha ni?” soal wanita itu dengan nada yang mesra memandang ke arah kami berdua silih berganti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience