BAB 11

Romance Completed 20364

Malamnya, hatiku tergerak untuk menunaikan solat Istikharah. Tiga malam aku tidak gagal untuk bangun malam memohon petunjuk dari Ilahi. Menyerahkan takdir jodoh aku di tangan-Nya. Sejak itu, aku semakin yakin dengan perasaan aku. Walaupun cinta Irfan hadir secara terburu-buru, tapi kini aku tidak lagi ragu dengan rasa kasih yang mula mekar menjalar di hatiku buat lelaki bernama Irfan Abdul Baqi. Peristiwa yang berlaku di surau pejabat semakin menguatkan perasaan aku terhadapnya.

Tepat pukul satu petang, aku mengajak Qurratu’ain untuk ke surau syarikat yang berada di tingkat satu bangunan. Lagipun, sekarang ini bulan Ramadan. Jadi, tidak perlulah kami terkejar-kejar untuk makan tengah hari. Sekarang ini waktu Zuhur agak awal. Aku dan Qurratu’ain memang lebih suka menunaikan solat di surau kerana ruangnya agak luas dan yang penting berhawa dingin. Maklumlah musim-musim panas macam ini kan. Lagipun, ruang solat lelaki dan perempuan sudah siap-siap diasingkan dengan tirai kain. Siap lengkap dengan tempat berwuduk lagi. Amat jarang sebenarnya sebuah syarikat yang diterajui oleh golongan bukan Islam yang menyediakan kemudahan yang cukup selesa begini. Salah satu lagi sebab kenapa aku suka bekerja di syarikat ini. Namun, malangnya hanya beberapa orang sahaja yang sudi mengimarahkan surau ini. Mungkin masing-masing lebih gemar bersolat di ruang pejabat masing-masing. Tak apalah. Sekurang-kurangnya masih ada aku, Qurratu’ain dan beberapa kakitangan yang menjadi pengunjung setia surau ini. Jadi, tidaklah sempat labah-labah membina sarangnya.

Sedang aku dan Qurratu’ain menunggu masuknya waktu solat Zuhur, tiba-tiba kami mendengar laungan azan yang cukup merdu di ruang solat bahagian lelaki. Aku pasti suara itu datang dari sana kerana bunyinya sangat jelas menyapa telinga. Yalah, nak kata laungan dari muazin masjid, mana ada masjid berdekatan bangunan pejabat.

“Sejak bila surau kita ini ada tukang bang?” soal Qurratu’ain dalam nada bisikan usai laungan azan. Berkerut-kerut wajahnya memandang aku.

“Entah, aku pun tak tahu” bisik aku sambil mengangkat bahu. Kebiasaannya, hanya kesunyian yang menyambut kehadiran kami di surau.

“Sedap pula suara tu. Siapa ye?” kepala Qurratu’ain dijengahkan ke ruang sebelah namun gagal untuk melihatnya.

“Memang sedap. Biarlah, ‘Ain. Tak penting siapa yang azankan. Yang penting, ada orang yang nak mengimarahkan surau kita ini” aku malas hendak ambil pusing. Memang terdetik juga rasa ingin tahu tapi takkanlah aku nak pergi mengintai pula.

“Aku tak puas hatilah, Nuha. Aku nak tengok juga siapa” tidak semena-mena Qurratu’ain menghampiri tirai dan mengintai di celah tirai. Mujurlah hanya aku dan dia saja yang berada di situ. Sebab itulah Qurratu’ain berani. Aku hanya menggelengkan kepala melihat telatah teman aku itu. Memang berani dan nakal.

“Nuha…” tiba-tiba Qurratu’ain menggamit aku untuk mendekatinya. Riak wajahnya jelas terperanjat seperti ternampak hantu. Takkanlah yang azan tadi bukan manusia. Terbit rasa seram di dalam hati. Ishh, takkanlah. Mana ada hantu dalam surau. Di bulan puasa pula tu, yang mana semua syaitan iblis dirantai. Mengarut betul kau ni, Qaisara Nuha!

“Marilah sini, Nuha” lambai Qurratu’ain mengajak aku mendekatinya setelah melihat aku masih tidak berganjak.

“Apa dia?” tutur aku dalam bisikan. Bimbang juga jika didengari oleh orang sebelah. Aku menghampiri Qurratu’ain.

“Itu bukan Irfan ke?” bisik Qurratu’ain. Aku membulatkan mata tidak percaya. Pantas aku turut mengintai. Ini dah kira sama-sama bersubahat dah dengan Qurratu’ain. Saat nama Irfan disebut oleh Qurratu’ain, aku memang tidak dapat menahan diri dari rasa ingin tahu.

Di ruang solat lelaki itu, aku nampak tiga orang lelaki yang berada di situ. Susuk tubuh seorang lelaki yang sedang bersedia untuk melaungkan iqamat ku perhatikan. Walaupun figura itu membelakangi aku, tapi aku memang pasti itu adalah Irfan. Tiba-tiba terbit rasa bersalah di dalam hati dengan keterlanjuran perbuatan aku memata-matai di celah tirai. Ini semua Qurratu’ain punya fasal. Tiba-tiba pula nak salahkan teman aku itu pula. Kau yang gagal kawal diri bila dengar nama Irfan. Aku memarahi diri ku sendiri.

“Dahlah, ‘Ain. Tak baiklah kita buat kerja macam ni. Terasa berdosa pula aku” aku menarik tangan Qurratu’ain kembali ke tikar sejadah. Irfan pun sudah melaungkan iqamat, tanda solat Zuhur akan dimulakan sebentar lagi.

“Tapi, aku kagum lah, Nuha. Aku bagi sokongan penuh kalau kau pilih dia, Nuha. Dia memang calon yang terbaik” sempat Qurratu’ain berbisik di telinga aku sambil mengenyitkan matanya. Tidak jadi aku membalas kata-kata teman aku itu apabila aku mendengar takbir pertama yang telah diangkat oleh Irfan. Memang aku kenal sekali dengan suara garau itu. Dialah muazin dan dia jugalah imam pada solat Zuhur itu.

Usai solat, Irfan membacakan doa dengan lancar dan jelas membuatkan hati aku benar-benar terpegun. Saat itu, hanya Irfan Abdul Baqi yang aku inginkan menjadi muazin dan imam memimpin solat-solat aku di sepanjang hidup ku di dunia ini. Detik itu, cukuplah hanya bacaan doa yang dialunkan oleh Irfan Abdul Baqi yang menjadi santapan halwa telinga aku di sepanjang hayat ku. Mak, ayah. Anak mu ini sudah jatuh cinta!

“Woit, mengelamun saja kerja kau!” tepukan Qurratu’ain di bahu aku benar-benar mengejutkan aku dari lamunan. Aku mengurut dada ku perlahan.

“Kau ini, ‘Ain. Suka benar buat aku terperanjat. Kan lebih elok kalau kau beri salam ke” marah aku. Saat aku baru nak melayan perasaan, ada saja yang mengganggu.

“Aku dah bagi salam tadi. Kau tu yang tak dengar. Ingatkan Irfan ke?” telah Qurratu’ain tersengih. Sakan aku mengelamun sampai tak sedar langsung kedatangan Qurratu’ain ke bilik pejabat aku.

“Tak ada maknanya aku nak ingatkan Irfan. Dia bukannya ingatkan aku pun” sangkal aku. Mana boleh tunjuk sangat rasa hati aku ini. Padahal tadi memang aku duduk mengelamun tentang Irhan pun. Sejak pertemuan aku dengan Irfan di bilik CEO tempoh hari, Irfan seakan menyepikan diri. Bila hati ini dah mula suka, lelaki itu pula seakan menjauh. Cuma sekali aku berjumpa dengan lelaki itu. Sewaktu mesyuarat tergempar semua staf dengan CEO baru. Siapa lagi CEO nya kalau bukan Irfan Dato’ Abdul Baqi. Namun, kehadiran aku langsung tidak mendapat perhatiannya. Yalah, dalam himpunan kakitangan seramai 500 orang, macam mana dia nak perasan kehadiran aku kan?

“Aku rasa kau ini dah parah. Itulah, masa Irfan terhegeh nak kan kau, kau jual mahal. Sekarang mulalah jadi penunggu cinta yang setia. Hari-hari duduk termenung” tutur Qurratu’ain. Tidak sukar untuk dia membaca riak wajah aku walaupun aku cuba sorokkan. Selaku teman baiknya, segala rahsia aku memang tidak boleh disembunyikan dari pengetahuan Qurratu’ain. Lambat laun pasti dia akan dapat meneka.

“Siapa yang tak ngeri kalau lelaki yang kita tak pernah kenal tiba-tiba ajak kahwin. Masa itu, manalah aku nak tahu yang aku boleh jatuh suka dengan Irfan” aku membela diri aku.

“Apa kata kau call dia? Luahkan perasaan kau pada dia” cadang Qurratu’ain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience