BAB 4

Romance Completed 20364

“Salam, saya Irfan Abdul Baqi. Minta maaf jika mengganggu Cik Qaisara Nuha. Boleh saudari datang jumpa saya hari ini, pukul 12 pm” Aku menerima khidmat pesanan ringkas daripada pakcik Irfan sewaktu sedang bermalas-malas di rumah di hujung minggu. Nampaknya, dia benar-benar telah mengotakan janjinya tepat satu minggu lewat panggilannya tempoh hari. Aku dapat mengagak yang pakcik Irfan ini memang seorang yang sibuk dan berpengaruh. Yalah, jika tidak masakan hari minggu begini baru lelaki itu mempunyai masa untuk menyelesaikan urusan kemalangan kereta kami. Itu pun setelah hampir dua minggu perkara ini dibiarkan sepi.

“Skema betul pakcik ini bersms. Serupa macam ayah. Tak ada langsung short form. Rajin betul taip perkataan penuh” sempat aku mengomel apabila sekali lagi aku membaca mesej yang terpapar di skrin telefon bimbit cabuk ku itu. Agaknya lelaki yang berumur baya-baya ayah aku memang begitu tidak biasa dengan penggunaan singkatan perkataan ketika menghantar mesej melalui telefon. Lainlah budak-budak remaja zaman sekarang yang memang membesar dengan teknologi. Macam-macam singkatan pelik yang mereka wujudkan. Kadang-kadang aku yang muda belia ini pun tidak faham. Muda lagi ke? Muda lah juga sebab baru mencecah suku abad. Lagilah kalau orang tua macam pakcik Irfan ni yang baca, bertambah berkerut dahi dia agaknya.

“Waalaikumsalam, boleh. Nak jumpa di mana, ya?” aku membalas mesej tersebut dengan menaip setiap patah perkataan tanpa menggunakan sebarang singkatan. Kemudian, aku menekan butang send.

“Rumah saya. Alamatnya ada dalam kad yang saya bagi pada saudari tempoh hari. Masih simpan kad itu?” seminit kemudian, mesej aku dibalas oleh pakcik Irfan. Hebat betul lelaki tua ini. Tangkas membalas mesej seperti orang muda.

“Habis itu, Qaisara Nuha. Kau ingat orang muda saja ke yang mengikuti perkembangan teknologi terkini? Berbeza pula dengan ayah. Kalau menaip mesej, dekat 10 minit baru siap” ujar aku bercakap seorang diri. Kalau Qurratu’ain tengok keadaan aku waktu ini, mesti dia ingat ada skru longgar dekat kepala aku. Butang reply di telefon bimbit ku tekan untuk membalas mesej pakcik Irfan sekali lagi.

“Ada. Okay, nanti saya akan ke tempat pakcik. Terima kasih” perbualan ringkas di antara kami itu tamat di situ. Pantas aku menyelongkar dompet aku untuk mendapatkan sekeping kad yang telah diberikan oleh pakcik Irfan tempoh hari. Alamat yang tertera di atas kad itu ku tenung. Kawasan perumahan mewah Beverly Heights. Mujurlah tempat yang perlu aku tuju itu tidak jauh dari rumah sewa aku. Namun, tiba-tiba terbit rasa gerun di dalam hati. Bimbang jikalau pakcik Irfan menuntut ganti rugi di luar kemampuan aku. Semoga lelaki itu dilembutkan hati untuk bertimbang rasa dengan aku. Nampak gayanya aku terpaksa meminta pertolongan Qurratu’ain untuk menemani aku ke sana. Sekurang-kurangnya kehadiran sahabat aku itu akan mengurangkan rasa gabra di dalam diri ini.

Tepat jam 12 tengah hari, aku dan Qurratu’ain sudah terpacak di depan sebuah rumah agam tiga tingkat yang tersergam indah. Sengaja aku mengajak Qurratu’ain menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke mari. Bimbang jika tersesat.

Aku menjalarkan pandangan di segenap sudut rumah itu. Air liur ku telan perit. Matahari yang tegak berdiri di atas kepala seakan tidak aku rasakan bahang nya. Hati aku yang semakin dipagut resah membuatkan peluh makin merecik-recik di dahi.

“Cantiknya rumah ini. Betul ke pakcik tu tinggal dekat sini?” tutur Qurratu’ain terlopong.

“Woit, mulut tu tutup sikit. Kau jangan ingat kawasan rumah mewah tak ada lalat” sengaja aku mengusik, sebenarnya untuk mengurangkan rasa cuak di dalam diri. Pantas, Qurratu’ain menutup mulutnya.

Villa Mimpi dan Realiti. Tertera nama rumah mewah ini di pintu pagar batu. Memang inilah alamat yang tertera di atas kad yang berada di dalam genggaman aku.

“Kalau mengikut alamat di kad, memang betul lah ini rumah pakcik Irfan” aku menghulurkan kad itu kepada Qurratu’ain, ingin mendapatkan kesahan gadis itu pula.

“Betullah ni. Jom lah kita bagi salam. Assalamualaikum” laung Qurratu’ain dengan nyaring. Teman aku ini memang dianugerahkan dengan oktaf suara yang cukup tinggi.

“Aku tahulah suara kau tu kuat, Ain. Tapi, takkan berjaya menembusi tembok batu teratak besar ini. Sebab itulah loceng ini ada” aku memerli sambil tangan aku menekan punat loceng yang disediakan di pagar batu. Qurratu’ain tersengih mempamerkan giginya yang dipasang dengan pendakap besi, menyedari kesilapan diri. Beberapa saat kemudian, pintu pagar besi terbuka secara automatik. Teragak-agak aku dan Qurratu’ain mengayun langkah memasuki halaman rumah agam itu. Sempat mata aku menangkap sebuah taman mini di sudut kiri halaman. Luar biasa cantiknya! Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh aku. Sememangnya aku mudah takjub dengan kecantikan alam flora. Sungguh mendamaikan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience