BAB 10

Romance Completed 20364

“Mma…macam ini, Encik Irfan. Gaji saya sudah dua bulan tertunggak” aku menelan liur gugup.

“So? Apa kaitannya dengan saya?” lelaki itu mengerutkan kedua-dua belah keningnya yang lebat itu.

“Encik Irfan kan, CEO syarikat ini. Jadi, secara automatik tugas encik Irfan adalah untuk melunaskan gaji saya yang tertunggak itu. Jika dicampur dengan duit simpanan yang saya ada dan dua bulan gaji saya itu, memang dah terlebih cukup untuk bayar duit encik Irfan” terang aku senafas. Logik juga alasan yang aku beri. Nasib baik otak ini bergeliga mencipta alasan. Aku menyembunyikan senyum.

“Apa yang berlaku sebelum saya ambil alih syarikat ini, tiada kaitan dengan saya” tingkah Irfan tegas.

“Tapi..”

“Saya tanya awak sekali lagi. Sekarang ini, awak ada tak duit 10 ribu ringgit yang saya minta itu?” soal Irfan memotong kata ku. Aku mengetap bibir geram.

“Ada ke tak ada?” ulang Irfan sekali lagi.

“Tak ada” balas ku perlahan dalam paksaan.

“So, awak cuma ada satu pilihan sahaja sekarang ini. Kahwin dengan saya” putus Irfan. Mustahil!

“Kalau saya tak nak, apa awak boleh buat?” cabar aku. Rasa geram dengan sikap diktator Irfan menjadikan aku berani untuk melawan. Aku perlu mempertahankan hak asasi aku. Mana ada dalam rang undang-undang atau mana-mana peraturan seorang gadis boleh dipaksa kahwin oleh pihak lelaki. Kalau emak dan ayah aku yang paksa, lainlah cerita.

“Saya akan buat sampai awak bersetuju untuk berkahwin dengan saya” tutur Irfan sambil mengukirkan senyuman menggoda. Tiba-tiba aku menjadi gerun melihat senyuman Irfan yang penuh keyakinan itu. Lelaki ini psiko ke?

“Saya perlukan cinta untuk berkahwin. Tapi, saya tidak cintakan encik” aku bersuara sambil memberanikan diri memandangnya. Dengan wajah yang tampan dan kekayaannya, memang dia mampu mencairkan hati mana-mana gadis yang diinginkannya. Tapi itu semua bukannya tiket untuk aku jatuh cinta dan menerima lamarannya secara drastik begini. Bagaimana dua keping hati yang tidak disuburkan dengan cinta boleh mencapai bahagia dalam sebuah perkahwinan?

“Saya perlukan perkahwinan untuk bercinta secara halal. Cinta tulus yang dilahirkan berlandaskan ikatan pernikahan yang suci. Tunas cinta untuk seorang gadis bernama Qaisara Nuha sudah tumbuh di hati saya. Dan saya ingin bajai dan suburkan tunas cinta itu dengan jalinan percintaan yang direstui Ilahi” pengakuan Irfan yang romantis membuatkan wajah aku berubah rona menjadi merah. Sebuah pengakuan yang ternyata berjaya mengundang getar di hati.

“Tapi kenapa saya? Encik tak kenal pun saya siapa dan saya pun tak kenal encik” aku melontarkan soalan yang selama ini bermain di fikiran ku.

“Melihat wajah awak sudah cukup memberikan keyakinan kepada saya untuk memilih awak. Cinta saya pada awak adalah untuk mendapatkan keredaan Ilahi. Biarlah perkenalan kita berpandukan kecintaan kita kepada Allah, kerana itu yang akan membahagiakan hati dan menenangkan jiwa kita. Kita akan saling kenal-mengenali luar dan dalam, tapi selepas kita nikah” bicara Irfan sekali lagi membuatkan aku terpegun. Bait-bait ayat indah yang meniti di bibir lelaki ini membuatkan hati aku makin terpaut dan kagum.

“Encik mahukan cinta yang berlandaskan syariat. Tapi cara encik dapatkan cinta itu salah. Kalau encik benar-benar yakin dengan jodoh yang ditakdirkan oleh Allah, tidak perlu encik gunakan duit sebagai tukar ganti untuk mendapatkan cinta. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara” kata-kata aku itu berjaya membuatkan Irfan terkesima. Hanya anak matanya yang tunak merenung aku sehinggakan aku jadi tidak keruan. Meletakkan aku kembali dalam keadaan cuak. Aku ini pun bukannya berani sangat. Lagi lama aku biarkan nanti menjadi zina mata pula.

“Err.. saya rasa lebih baik saya keluar dulu. Fasal duit itu, saya janji saya akan bayar. Saya minta maaf, encik Irfan” tanpa menunggu kebenaran dari lelaki itu, aku mengorak langkah laju keluar dari bilik besar itu. Tidak sanggup berlama di situ. Aku menjadi tidak selesa dan kekok berada di situ. Malu? Ya, aku malu! Belum pernah lagi seumur hidup aku mendengar pengakuan cinta seorang lelaki terhadap aku.

Sepanjang hari selepas pertemuan itu, telinga aku asyik diputarkan dengan bait-bait indah luahan perasaan Irfan terhadap aku. Sebenarnya, pengakuan itu telah menjentik rasa indah dan bahagia di jiwa ini. Tetapi, aku tidak mahu terus terbuai dengan keasyikan cinta duniawi. Bimbang jika hati aku tersilap dalam memilih. Aku tidak mahu jatuh cinta kerana wajahnya yang kacak. Aku tidak perlu kasih yang bertunas kerana hartanya yang berlambak. Aku tidak ingin rasa sayang aku bercambah kerana ayat-ayat cinta indah yang meniti di bibir Irfan. Aku mencari cinta yang suci, cinta yang wujud tanpa sebab dan syarat. Cinta yang lahir sebagai jaminan dan bekal aku untuk di bawa ke alam satu lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience