BAB 9

Romance Completed 20364

“Banyaklah kau punya novel. Dahlah, tak payah cakap lagilah fasal benda ini. Ngeri aku rasa” kata-kata aku itu mengundang tawa Qurratu’ain. Aku tidak mengendahkannya. Dalam saat-saat macam ini, aku memang tidak ada mood untuk melayan Qurratu’ain melalut.

“Muka kau ni Nuha, dah macam ayam berak kapur” tunak wajah Qurratu’ain memerhatikan wajah aku. Aku sebenarnya memang tidak pandai menyembunyikan emosi aku.

“Nak buat macam mana, ‘Ain. Banyak benda dalam kepala otak aku ini. Fasal Irfan tu dah satu hal. Yang lebih merunsingkan aku fasal kerja kita ini. Kau tahu-tahu sajalah syarikat yang kita makan gaji ini ibarat hidup segan mati tak mahu” luah aku mengalih topik perbualan.

“Oh, fasal tu kau tak perlu risau. Aku dengar cerita dari Nancy. Company ini dah ada ahli lembaga pengarah baru. Lebih separuh saham syarikat dibeli oleh orang luar. CEO pun bakal bertukar. Nampaknya, akan ada perubahan besar-besaran terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi” beritahu Qurratu’ain. Minah ini memang CNN bergerak. Cepat dan tangkas dia mendapat berita.

“Siapa yang beli? Syarikat mana?” tanya aku separuh berminat. Otak aku sebenarnya masih lagi runsing memikirkan tentang duit ganti rugi yang belum mencukupi itu.

“Itu aku tak pasti. Tapi, kita kena bersiap sedia sentiasa. Anytime meeting tergempar akan dibuat untuk memperkenalkan ahli lembaga pengarah baru” Qurratu’ain mengingatkan.

“Harap-harap adalah perubahan yang baik dibuat. Jangan sampai keluar mulut buaya masuk mulut harimau sudahlah” aku membalas. Aku akui tampuk pemerintahan dan pengurusan syarikat aku bekerja ini memang bermasalah dan terlalu banyak penyelewengan. Harap-harap, kedatangan ketua pengarah eksekutif yang baru dapat membela nasib kami pekerja-pekerja yang setia ini. Tiba-tiba telefon di atas meja pejabat ku berbunyi.

“Hello” sapa aku sebaik mengangkat gagang telefon.

“Hello, Cik Qaisara Nuha?” kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.

“Ya, saya”

“CEO nak jumpa cik sekarang” beritahu wanita itu.

“CEO?” aku bertanya pelik. Tak pernah-pernah dalam sejarah aku bekerja di sini, CEO hendak bertemu dengan aku. Kebiasaannya, ketua-ketua jabatan sahaja yang dipanggil mengadap.

“Yes, he’s waiting in his room”

“Okay, I’ll be there. Thanks” jawab aku sedikit gugup sebelum mematikan talian.

“Kenapa, Nuha?” soal Qurratu’ain yang memasang telinga mendengar perbualan pendek aku di telefon.

“Aku kena naik tingkat 13 sekarang. Mr. Teoh nak jumpa aku” beritahu aku.

“Mr. Teoh? CEO? Buat apa dia nak jumpa kau?”

“Aku tak tahu. Entah-entah dia nak pecat aku tak?” tebak aku. Kalau betul telahan aku, memang bertimpa-timpa lah ujian yang aku terima di bulan Ramadan ini. Nak menguji sejauh mana keimanan aku. Sabar, Qaisara Nuha.

“Biar betul. Takkanlah kot” tolak Qurratu’ain

“Aku pergi jumpa Mr. Teoh dulu. Suspens betul aku rasa ini” ujar ku sambil berlalu menuju ke lif.

“Good luck” sempat lagi Qurratu’ain menunjukkan ibu jarinya kepada aku sebelum pintu lif ditutup.

Ting! Aku melangkah keluar dari lif dengan perasaan yang berbaur-baur. Namun, sempat lagi mata aku ini melilau memerhatikan ruang pejabat di tingkat 13 itu yang pada pengamatan aku sudah banyak berubah. Yang paling menarik perhatian aku adalah air terjun buatan yang dibina di sudut kiri pejabat menjadikan suasana baru yang lebih tenang. Lama benar rupanya aku tidak menjejakkan kaki ke aras ini. Maklumlah ruang kerja aku di tingkat 5. Jarang benar aku mempunyai urusan kerja di tingkat 13 yang merupakan pejabat bagi ahli pengurusan tertinggi syarikat.

“Hai, I’m Qaisara Nuha” sapa aku memperkenalkan diri. Sempat aku membaca tag namanya. Janice. Nampaknya, bukan setakat keadaan pejabat yang berubah, setiausaha pun bertukar baru.

“Hai, I’m Janice. Sekejap ya” Janice melemparkan senyuman kepada aku. Kemudian dia mengangkat gagang telefon.

“Boss, Miss Qaisara Nuha is here”

“Okay, miss. Boss suruh masuk” sopan Janice menunjukkan aku arah ke bilik CEO. Dalam gentar aku mengayunkan langkah. Aku mengetuk pintu dan memulas tombol pintu.

“Hello, Mr. T…” sapaan aku terhenti tatkala melihat wajah CEO di depan mata aku. Sejak bila Mr. Teoh bertukar wajah menjadi Irfan Abdul Baqi? Aku mengelipkan mata berulang kali.

“Assalamualaikum, sayang” saat mendengar suara garau itu, memang tak syak lagi itu adalah Irfan. Salamnya ku jawab di dalam hati. Tak mampu nak mengeluarkan suara kerana terkejut.

“Macam mana encik Irfan boleh ada di sini?” terpacul soalan bodoh dari mulut aku. Soalan yang berjaya mengundang gelak tipis di bibirnya.

“Because, I’m the new CEO here” balas Irfan mudah.

“Come, have a seat” pelawa Irfan. Teragak-agak aku melabuhkan duduk di atas kerusi di depan lelaki itu.

“Okay, kita straight to the point saja. Dah sediakan duit 10 ribu tu?” pertanyaan Irfan ternyata membuatkan aku bertambah kelu. Nada suara lelaki ini juga berubah serius.

“Err..duitnya ada cuma boleh tak kalau saya bayar separuh saja dulu?” ujar ku teragak-agak. Saat itu aku rasakan muka aku ini sudah tebal berinci-inci. Bukan mudah sebenarnya untuk aku menghadapi situasi ini.

“Maknanya awak tak adalah duit yang saya minta tu?” Irfan memandang ku tajam.

“Bukan tak ada, Encik Irfan. Duit itu ada, tapi bukan dengan saya” tukas ku membela diri. Walaupun gugup dengan pandangan cerlung Irfan, aku terpaksa memberanikan diri.

“Habis tu duit tu ada dengan siapa?”

“Dengan Encik Irfan” aku menjawab dengan suara yang perlahan.

“What???” intonasi suara Irfan yang agak tinggi benar-benar menyentakkan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience