Bab 5

Romance Completed 11408

Bab 5

Nampak macam banyak betul urusan sepanjang aku berpantang ni. Maklumlah, biasanya, aku akan menguruskan hal anak-anak dan pejabat selain dari rumah. Kini, hanya dia dan Sara yang menguruskan semuanya.

Dia Nampak tenang dan sentiasa gembira. Mungkinkah kehadiran bayi lelaki ini yang menjadikannya begitu ? Entahlah.

“Hari ni, abang nak hantar mak balik ye. Awak ok kan ? ”

“Ok lah bang. Tak pe. Mak memanglah tak boleh lama. Lagi pun Aisyah dah boleh uruskan Aqil sendiri. Kesian mak. Mak pun bukan sihat mana nak tolong Aisyah kat rumah ni. Biarlah mak balik dan rehat di rumah dia.”

“Ok. Abang balik petang ni juga.” Kami bersalaman, dahiku dikucup. “Hati-hati bang.”

“Mak balik dulu ye. Jaga anaknya baik-baik. Engkau pun jangan tak makan Aisyah. Pantang betul-betul.” Pesan emak sebelum masuk ke kereta.

“Ye mak, Terima kasih sebab sudi jaga saya dan cucu-cucu mak ni.” Mak senyum dan mengangguk.

Kereta Amar terus meluncur laju meninggalkan rumah. Selepas Sara menutup pagar, aku terus masuk ke bilik. Agak terkejut kerana ternampak salah satu telefon Amar tertinggal. Lampunya berkelip-kelip. Ada SMS yang belum di baca.

Aku terus membaca SMS itu supaya aku tahu ia penting atau tidak untuk memberitahu Amar. Ah! Dari SM.

‘Saya dah sampai umah. Lau sempat, nak jumpa, leh tak ?’ Tulisnya.

Aku jadi serba salah. Kalau aku beritahu pada Amar, apa perasaan dia ye ? Aku pasti dia rasa bersalah padaku.

Aku tidak mahu dia rasa begitu. Tapi, jika aku tidak beritahu, dia akan tahu juga yang aku sudah membacanya.

Aku lantas menelefon Amar.

“Ye lah yang. Telefon abang tertinggal. Abang dah masuk highway lah. Jauh nak u turn. Tolong jawabkan ye kalau ada orang call. ”

“Ok bang. Tadi ada SMS.”

“Tengokkan dari siapa ye ? ”

“Mmmm…dari SM012, katanya, dia dah sampai rumah, dia nak jumpa kalau abang sempat.” Aku Berjaya mengawal emosi.

“Oh… Ok lah.” Jawabnya dalam nada suara seperti menahan rasa terkejut, dan terdengar seperti bergetar.

“Kalau dia call, nak Aisyah jawab ke bang ?”

“Err… jawablah. Cakap telefon abang tertinggal…eh… er… tak payah jawablah…. Er….”

“Oklah bang…Aisyah tak jawab… kalau kawan-kawan yang Aisyah kenal je Aisyah jawab, eh..”

“Ok..terima kasih,” Ada getar bersalah dihujung suaranya itu.

Talian ku putuskan. Aku duduk di sisi Aqil, bayiku. Anak-anak yang lain sedang membuat aktiviti masing-masing. Mataku mula berkaca menahan sebak. Aku hanyut dalam kenangan lalu.

Kenangan di mana hebatnya dugaan dalam cinta aku dan Amar.

“Ya Allah, aku telah lelah dengan perasaan yang tidak menentu ini. Aku tidak mahu lagi hidup dalam dunia yang hanyut. Jika ada jodohku di dunia ini, kau percepatkanlah kehadirannya. Aku redha walau siapapun yang kau takdirkan menjadi suamiku.”

Itulah doaku setiap kali usai solat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience