Bab 12

Romance Completed 11408

?BAB 12

Seminggu berlalu, rumah kami seperti sunyi sepi. Hanya gurauan sesama anak-anak sahaja yang ada. Amar ku lihat seperti orang bingung. Ada saja yang tak kena di matanya. Ada saja yang membuatkan dia marah. Aku biarkan dia begitu. Tidak mahu banyak soal. Di hari minggu begitu, anak-anak sibuk membersihkan bilik mereka, membersihkan rumah, dan bergurau senda. Aku berbaring di bilik bersama Aqil, menghilangkan lelah setelah bersama-sama anak-anak mengemas kawasan rumah tadi. Amar berdiri di pintu memerhatikan gelagat Aqil yang semakin lincah menggerakkan kaki dan tangannya. Ditangannya, Samsung Galaxy tidak pernah lepas. Sudah seminggu begitu.

Tiba-tiba tak semena-mena, Ariana masuk berlari cuba menerpa ke arah Aqil. Tanpa sengaja dia melanggar tangan Amar dan telefon Amar terlepas dari genggaman tangannya.

Amar ku lihat, tanpa berfikir panjang terus memukul punggung dan kaki Ariana dengan kuat. Melaung-laung Ariana kesakitan. Mengelakkan perkara yang lebih buruk, aku terus merangkul Ariana dan menariknya jauh dari Amar.

“Dahlah bang! Kalau ye pun marah, janganlah pukul anak macam orang gila. Budak ni baru 4 tahun bang!” Marahku sambil cuba mengingatkannya.

Ariana teresak-esak di dalam pelukanku. Berbekas pukulan-pukulan dari Amar tadi. Merah di sana sini. Kesian Ariana. Jelas kelihatan bekas pukulan itu memandangkan kulitnya yang putih melepak. Mengalir airmataku melihat gelagat Amar. Dia mencapai telefonnya dan memeriksa kerosakannya. Aku terus memujuk Ariana.

“Sudahlah Ariana. Tak mau nangis lagi ye. Mama ada. Ayah tengah banyak masalah. Ariana janganlah buat macam tu lagi. Kesian Ayah. Dia bukan marah pada Ariana. Dia marah pada diri sendiri. Ayah sayang Ariana tau.” Pujukku.

Amar merenungku. Tiba-tiba terpancar rasa bersalah di wajahnya. Dia memeluk Ariana. Dia mendukung Ariana dan membawanya keluar sambil terus memujuk Ariana yang cuba melepaskan diri dari pelukannya. Aku hanya memerhatikan dari jauh. Airmataku mula mengalir. Amar berubah ke ? Ya Allah ! Janganlah Kau jauhkan hati kami ! Kau teguhkanlah ikatan kasih antara kami Ya Allah!

Lebih kurang setengah jam kemudian, Amar muncul dengan Ariana yang telah terlelap di bahunya. Dia membaringkan Ariana di sebelah Aqil. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan aku.

“Baca ni.” Katanya lalu menghulurkan telefonnya kepadaku.”SMS dari Linda.”

Aku mencapainya dan terus membaca.

‘Abang. Cukuplah setakat ini sahaja. Linda ingin mengundur diri. Rasanya, Linda tak mampu berkongsi Abang. Linda juga tak mahu merampas Abang, kerana Linda tahu Abang sangat bahagia bersama anak-anak dan isteri sebaik Kak Aisyah. Linda pasti, sekuat manapun Linda berusaha, Linda tak mungkin akan jadi sehebat kak Aisyah. Abang telah temui harta yang amat bernilai dalam hidup Abang. Jagalah ia sebaik-baiknya. Terima kasih atas semua masa dan perhatian dari abang selama ini. Minta halal semuanya. Sampaikan salam Linda kepada kak Aisyah. Linda akan jadikan kak Aisyah sebagai contoh seorang muslimah yang bermaruah.’

Aku tidak tahu bagaimana reaksi yang sepatutnya. Aku memandang ke arah Amar. Dia menggenggam tanganku.

“Abang tahu abang punya isteri yang baik. Tapi abang tak sangka abang punya isteri yang sangat mulia. Ketulusan dan keikhlasan Aisyah telah memudahkan semuanya.”

“Abang boleh terima ke keputusan Linda ? Mampukah Abang lupakan Linda ?”

“Abang yakin, bersama Aisyah, Abang mampu lakukan apa sahaja. Terima kasih Aisyah. Abang tidak akan mengulangi semua ini lagi.”

“Abang, Aisyah tak mahu abang menabur janji. Masa depan tak mungkin kita ketahui. Apa yang Aisyah mahu, cuma kejujuran dari Abang. Janganlah rahsiakan apa-apa dari Aisyah. Aisyah sedia terima walau apa pun dari Abang.”

Genggaman Amar semakin erat. Aku dirangkul dalam pelukannya. Hangat kasih sayang kami kembali membara……

Terima kasih Allah untuk segala ujian, kekecewaan, kesedihan yang kau anugerahkan padaku, kerana dari tiap ujian itu aku berjaya mematangkan aku dan menjadikan aku sebaik-baik isteri di dunia dan ku doakan ke syurga jua bersama kekasih halalku, Amar.

Kasih dan cintaku hanya padamu Ya Allah dan kerana cinta ini, ku hadapi, percaya dan terus kukuh mencintai dia, semua kerana Allah SWT.

tamat

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience