Bab 9

Romance Completed 11408

?Bab 9

Selama hampir dua tahun aku tidak pulang bertemu keluarga kerana keengganan mereka menerima Amar. Aku melahirkan anak pertama juga, tanpa pengetahuan ibu bapaku. Namun aku tidak pernah sekalipun menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Aku hanya menyalahkan diriku sendiri.

Namun begitu, aku juga bersyukur kerana menikahi Amar. Dia telah membentukku menjadi wanita yang lebih baik dari diriku dulu. Aku amat patuh kepadanya, dan semakin baik sebagai seorang muslimah.

Semakin dalam ilmu agama yang aku pelajari dari Amar. Aku mahu menebus kesalahanku pada kedua ibu bapaku. Isteri yang solehah adalah anugerah kepada ibubapanya.

Aku cuba menjaga keperibadianku sebagai muslimah sebenar. Aku tidak pernah sebut atau mengungkit soal keluargaku dihadapan Amar. Aku tidak pernah meminta-minta untuk pulang menjeguk ibu bapa walau di hati ini meronta-ronta kerinduan. Itu semua kerana aku yakin, satu hari nanti, Allah akan permudahkan segalanya.

Sehinggalah suatu hari, Abang sulungku tiba-tiba muncul dipagar rumah. Kami bertemu dan berpelukan dalam esak tangis kerinduan. Ya Allah ! Rindu dan sayangnya aku kepada keluarga ku, hanya Kau yang tahu! Namun, aku tidak dapat menjemput mereka masuk kerana Amar tiada di rumah.

Kepulangan Amar hari itu ku jamu dengan kisah pertemuan itu. Alhamdulillah, Amar gembira dan dia terbuka dalam hal itu.

“Kalau keluarga awak datang lagi, jemputlah masuk. Abang izinkan.”

Sejak itu, pertemuan-demi pertemuan terjadi. Akhirnya, Amar mengizinkan aku pulang ke rumah ibubapaku. Ya Allah ! Betapa pertemuan itu sangat mengharukan ! Hubungan persaudaraan kami kembali terjalin, dan mereka juga nampaknya sudah mula cuba menerima Amar dalam keluarga kami.

Namun, Amar tidak cuba bermesra dengan keluargaku. Dia seperti tidak selesa dan tidak pernah mahu pulang ke kampungku bersama-sama kecuali di hari lebaran. Setiap tahun, hari raya pertama dan kedua, pasti aku mengikut Amar ke rumah keluarganya tanpa banyak soal. Aku tidak pernah persoalkan keputusannya, kerana aku faham dia mempunyai tanggungjawab besar sebagai anak lelaki dan anak sulung dalam keluarganya yang mana telah kehilangan ayah.

Awal kehadiran aku dalam keluarganya juga mendapat sambutan dingin. Aku sering diperli sebagai perempuan gatal, yang tak sabar hendak berkahwin, dan macam-macam gelaran lagi. Maklumlah, rupaku bukanlah cantik, dan pendidikanku pula tak sehebat adik-beradiknya yang lain.

Terlalu hina aku dipandangan keluarganya. Namun aku tidak pernah mengisahkan semua itu. Aku terima dengan hati terbuka dan redha. Itulah ‘bahagianku” yang perlu aku tanggung. Amar tidak pernah kuadukan jika ada kata-kata pedih dari adik beradiknya yang lain. Aku sedar siapa aku.

Aku juga tidak pernah memaksa anak-anaknya memanggil aku emak atau mama atau ibu. Cukuplah dengan panggilan Cik Aisyah. Biarlah panggilan itu ikhlas dari hati mereka. Bukan kerana terpaksa.

Namun setelah 4 tahun hidup sebumbung, mereka tanpa disuruh-suruh memanggil aku “Mama”. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah.

“Uuuweek..!”Esak tangis Aqil menyedarkan aku dari lamunan. Oh ! Kenangan yang amat menyentuh jiwa ! Sudah hampir petang. Aku perlu membersihkan Aqil.

Malam itu, Amar membelikan sate untuk hidangan makan malam kami sekeluarga. Selesai makan, aku menemani Amar di bilik, memandangkan Aqil tidur nyenyak.

“Abang, abang cakaplah kalau abang ada suka kat mana-mana perempuan. Insya Allah Aisyah boleh terima. Aisyah pun isteri abang yang ke dua. Aisyah bukanlah wanita pertama dalam hidup Abang.”

Diam seketika.

“Aisyah, abang akan beritahu kalau abang betul-betul nak kahwin dengan sesiapa. Aisyah jangan risau. Kalau abang ada berkenan, abang akan beritahu.”

“Habis tu, Siti Maslinda tu macam mana ? Abang tak cukup serius ke dengan dia ?”

“Oh! Dia ? Entahlah. Abang belum pastilah….Kenapa ni ?”

“Bukan apa bang, kalau abang tak serius, janganlah abang layan sangat. Bahaya bang. Kalau dia betul-betul harapkan abang, tapi abang sebaliknya, macam mana ? Kesianlah kat dia bang. Datang masalah lain pulak nanti.”

“Alahhh… Dahlah. Abang tak nak cerita pasal nilah. Abang tak ada apa-apa.”

Aku terus diamkan diri. Masih tidak yakin dengan jawapan dari suamiku. Aku tak mahu dia menyembunyikan semua itu hanya untuk menjaga hatiku. Lebih baik aku mendengar kejujuran darinya walaupun pahit. Aku pasti, cemburu akan mengusik hati ini, tapi, lebih mudah aku menerimanya jika ia ku ketahui dari bibirnya sendiri, daripada aku mengetahuinya dengan cara lain. Ya Allah ! Perjelaskanlah semuanya kepadaku !

Aku benar-benar ingin tahu, apa perasaan Amar kepada Siti Maslinda, dan apa pula perasaan Siti Maslinda kepada Amar. Aku terasa seperti ingin membuat tindakan sendiri. Tapi, aku masih hormat pada Amar.

“Ya Allah ! Aku tidak mahu buruk sangka kepada suamiku ! Tapi aku tidak tahu apa yang harus aku perbuat lagi. Kau tunjukanlah jalan kepadaku ya Allah !”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience