BAB 1

Romance Completed 20789

KAKI yang dihempas oleh ombak pantai dibiarkan begitu saja. Aryana meneruskan lagi langkahnya di persisiran pantai. Membawa hati yang terluka. Pelbagai soalan yang sedang bermain dalam benak fikirannya ketika ini.

Kenapa dia harus lalui semua ini? Dan kenapa berlaku ke atas dirinya? Ditinggalkan oleh sang suami sejurus saja akad nikah selesai. Sangat perit untuk diluahkan.

Cincin belum sempat disarungkan di jari manisnya lagi. Bila difikirkan balik, kadang-kadang rasa tidak logik pula. Kenapa lelaki itu tinggalkan dia pada hari pernikahan mereka? Apa salah dia?

Entah! Dia tidak punya jawapan untuk persoalan itu. Keluhan dilepaskan. Sangat berat sekali kedengarannya. Nasib badan.

Mungkin Allah ingin mengujinya saat itu. Tetapi tidakkah lelaki itu fikirkan tentang maruah keluarga sendiri dan keluarga dia?

Tiga tahun sudah berlalu. Aryana meneruskan kehidupannya. Sekarang dia bekerja di hospital Putrajaya di bahagian X-Ray sebagai Radiographer. Aryana memilih untuk tidak pandang ke belakang dan move on walaupun agak sukar.

Digantung tidak bertali oleh suami sendiri dan sehingga sekarang dia masih pasti sama ada dia masih bergelar isteri kepada Tengku Fawwaz atau tidak.

Hubungan dia dengan keluarga mertuanya masih lagi baik dan tiada dendam di dalam hati. Tiada guna dia berdendam dengan keluarga mertuanya sedangkan mereka juga tidak tahu di mana Tengku Fawwaz berada dan semua itu salah lelaki itu bukan keluarga mertuanya.

“Kak Yana, jomlah kita balik. Fariz pun dah puas bermain.” Panggil Tengku Farhana dari arah belakang. Sekali gus menyentak lamunan panjang Aryana.

“Eh! Dah ke? Tak perasan pula kak Yana. Jomlah.” Cepat-cepat Aryana bangun dan menyapu pasir-pasir halus yang melekat pada belakang baju dia.

“Aunty Yana, balik nanti kita singgah di KFC ya. Iz rasa lapar pula,” pinta Fariz sambil menggosok perut kecilnya. Suaranya separuh memujuk.

“Baiklah tapi kita pergi yang drive-thru saja ya. Malam nantikan tok ma ada buat makan,” ujar Aryana. Memenuhi permintaan anak saudara suaminya.

“Okay aunty!” angguk Fariz dengan riang. Fariz merupakan anak kepada Tengku Fatin. Dan sangat rapat dengan Aryana. Setiap hujung minggu atau hari tidak bekerja, pasti Aryana akan bertandang ke rumah mertuanya dan bermalam di sana.

“Suka dia dapat makan KFC.” Usik Tengku Farhana. Faham benar yang kakaknya tidak membenarkan Fariz makan makanan segera dengan kerap.

“Mestilah. Kalau di rumah, ibu mana bagi Iz makan KFC. Asyik makan ayam goreng yang ibu buat saja.” Adu Fariz. Petah sekali dia bercakap. Umur baru enam tahun tetapi macam budak darjah satu.

Aryana dan Tengku Farhana ketawa mendengarnya. Lucu.

Tiba saja di perkarangan rumah banglo mewah milik Tengku Abdul Jalil, Aryana meletakkan keretanya dis sebelah kereta adik iparnya Tengku Farhana kerana port yang biasa di parking keretanya sudah di parking oleh kereta BMW yang dia tidak kenali.

“Kereta siapa tu kak Yana?” soal Tengku Farhana sebaik saja melangkah keluar dari perut kereta.

“Tak tahu. Akak ingatkan Hana kenal.” Geleng Aryana.

“Kawan papa kut.” Ujar Tengku Farhana sambil melangkah menuju ke pintu masuk sambil membawa barang-barang yang mereka bawa semasa ke pantai tadi. Manakala, Aryana mendukung Fariz yang telah lena kerana kekenyangan.

“Assalamualaikum.” Tengku Farhana memberi salam sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Diikuti oleh Aryana.

“Waalaikumussalam.” Jawab Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah serentak. Juga ada suara lain yang menjawabnya.

Dan langkah Tengku Farhana mati sebaik saja melihat figura yang sudah lama menghilang. Abang dia! Tetapi kenapa sekarang baru abang dia muncul? Api kemarahannya membuak-buak.

“Hana, kenapa tiba-tiba brek di tengah jalan ni? Nasib baik kak Yana tak terlanggar Hana.” Bebel Aryana kerana adik iparnya tiba-tiba saja berhenti melangkah. Dan masih tidak perasan akan kehadiran seseorang di situ.

“Kak Yana...” seru Tengku Farhana. Matanya masih memandang gerangan yang duduk di atas sofa sebelum berpaling sekilas kepada Aryana.

“Ya. Kenapa Hana?” soal Aryana hairan. Tetapi melihatkan pandangan mata Tengku Farhana tidak beralih dari sofa yang diduduki oleh Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah, membuatkan Aryana turut berpaling.

Saat itu, nafasnya terasa semput dan ingin tumbang. Nasib baik dia sempat berpaut pada Tengku Farhana yang berada di depannya.

Tengku Fawwaz!

Terasa sesak dada Aryana ketika ini. Lelaki itu sudah pulang. Adakah lelaki itu akan menceraikan dia? Atau memang dia bukan milik lelaki itu lagi?

“Papa, mama, Yana pergi letak Fariz dulu ya.” Beritahu Aryana sebelum berlalu pergi dari situ. Dia ingin lekas berlalu dari situ. Tidak betah menahan panahan mata Tengku Fawwaz yang tajam memandangnya.

Manakala mata Tengku Fawwaz tidak lepas memandang Aryana yang menghilang bersama dengan anak saudaranya, Fariz. Matanya beralih ke arah Tengku Farhana.

“Hana...” seru Tengku Fawwaz saat melihat Tengku Farhana ingin berlalu pergi. Dia rindukan adik-beradiknya.

Tidak jadi Tengku Farhana untuk melangkah pergi dari situ. Dan dia berpaling kembali ke arah Tengku Fawwaz. Barang diletakkan di atas lantai.

“Oh, masih ingat lagi ya pada Hana. Ingatkan dah lupa.” Sinis Tengku Farhana. Geram dan marah pada abangnya masih belum hilang.

Ketika itu, Puan Zakiyah ingin bersuara tetapi ditahan oleh Tengku Abdul Majid.

“Hanakan adik abang. Kenapa abang nak lupa pula?” balas Tengku Fawwaz lembut.

“Oh tak lupa. Dan Hana harap abang tak lupalah yang abang masih ada isteri.” Tekan Tengku Farhana. Tegas dan sinis. Dia tidak mahu abangnya lupa tentang Aryana.

Tiada niat hendak masuk campur tetapi dia kesiankan kakak iparnya, Aryana.

“Hana...” seru Tengku Fawwaz kurang senang tetapi masih lagi lembut. Nampak sangat yang Tengku Farhana sayangkan Aryana.

“Apa? Salah ke Hana cakap? Ke mana abang menghilang selama ini? Ke dah jumpa pengganti kak Yana?” sinis Tengku Farhana lagi bersama senyuman sinisnya.

“Hana... please, abang tak nak bergaduh dengan adik abang,” ujar Tengku Fawwaz. Berharap adiknya tidak terlalu menekan dia.

Dia pulang ke Malaysia setelah lama menghilang, dan dia ada rancangnya yang tersendiri. Ada misi yang perlu dia laksanakan.

“Dan Hana pun tak nak bergaduh dengan abang,” jujur Tengku Farhana. “Tapi Hana tak boleh tengok abang. Sebab bila tengok abang, abang buat Hana ingat balik apa yang berlaku tiga tahun yang lepas.” Tengku Farhana berterus-terang kepada Tengku Fawwaz. Walaupun bukan dia ditinggalkan tetapi dia cukup faham akan perasaan kakak iparnya, Aryana.

“Hana, abang...”

“Eh! Yana nak pergi mana tu?” suara Puan Zakiyah yang menegur Aryana membuatkan Tengku Fawwaz tidak jadi untuk meneruskan kata-katanya.

“Yana terpaksa balik mama, papa. Angah kemalangan.” Jelas Aryana kalut.

“Innalillahiwainnailahirajiun... habis tu, angah Yana macam mana?” terus Puan Zakiyah bangun dan menghampiri Aryana.

“Angah kritikal. Yana kena ke Melaka sekarang juga.” Beritahu Aryana bersama deraian air matanya yang mula membasahi pipi.

“Boleh ke Yana bawa kereta ni? Mama tak nak kejadian tiga tahun yang lepas berulang kembali.” Soal Puan Zakiyah risau.

“Insya-Allah. Yana boleh mama.” Angguk Aryana yakin.

“Tak mengapa mama. Biar Hana teman kak Yana. Lagipun, Hana rasa tak selesa pula duduk dalam rumah ni.” Sinis Tengku Farhana di hujung ayatnya. Menawarkan untuk menemani kakak iparnya.

“Yalah.” Setuju Puan Zakiyah. Dan dia pun tidak mengizinkan Aryana untuk memandu dalam keadaan begitu.

Sejurus menyalami tangan Puan Zakiyah dan Tengku Abdul Majid, mereka berlalu pergi.

“Hati-hati memandu, Hana.” Pesan Puan Zakiyah sewaktu menghantar Aryana dan Tengku Farhana di luar.

“Mama...” panggil Tengku Fawwaz yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati dalam diam.

“Apa dia?” Puan Zakiyah berpaling ke arah anak lelakinya. Duduk dilabuhkan kembali di sisi suaminya.

“Apa yang terjadi tiga tahun yang lepas?” soal Tengku Fawwaz agak berminat untuk mengetahui apa yang telah berlaku.

Sepanjang tiga tahun dia tiada di Malaysia, dia yakin macam-macam telah berlaku. Dan dia pasti apa yang telah berlaku itu kerana dia.

“Tiga tahun lepas...”

Sangat sukar untuk Puan Zakiyah cerita kerana peristiwa tersebut merupakan peristiwa hitam buat mereka sekeluarga.

“Kenapa dengan tiga tahun lepas mama?” soal Tengku Fawwaz lagi. Tidak sabar hendak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Mama rasa lebih baik Fawwaz tanya Aryana sendiri.” Putus Puan Zakiyah kerana dia mahu anaknya tahu sendiri dari mulut Aryana. Itu lebih baik.

Tengku Fawwaz diam. Tetapi matanya memandang kepada Tengku Abdul Majid. Memohon penjelasan daripada ayahnya. Berharap ayahnya sudi menjelaskan apa yang berlaku.

“Dahlah. Mama nak naik dulu. Nak berehat.” Puan Zakiyah meminta diri untuk berlalu ke bilik. Sejak dia menghidapi penyakit jantung dan darah tinggi, dia perlukan rehat yang cukup.

“Yalah. Ubat awak dah makankan?” soal Tengku Abdul Majid. Isterinya, kalau dia tidak mengingatkan akan hal tersebut, pasti isterinya terlupa.

“Dah.” Angguk Puan Zakiyah. Dia ingin berbaring buat seketika sebelum masuknya waktu maghrib.

“Ubat? Mama ada penyakit apa papa?” celah Tengku Fawwaz mula risau. Banyak benda telah berlaku dalam tiga tahun semasa dia menghilangkan diri.

“Mama tak ada penyakit apa-apa.” Geleng Puan Zakiyah. Tidak jadi hendak melangkah pergi dari situ. Menyembunyikan penyakit yang dia hidapi sekarang.

“Mama please... beritahu Fawwaz. Mama ada penyakit apa. Fawwaz sayangkan mama,” pujuk Tengku Fawwaz. Terus dia meluru ke arah Puan Zakiyah.

“Kalau Fawwaz sayangkan mama, Fawwaz takkan larikan diri tiga tahun yang lepas,” ujar Puan Zakiyah.

Dia sudah memaafkan anaknya tetapi apa yang anaknya lakukan sangat melukakan hatinya. Sampai sekarang masih terasa kesannya.

“Ingat Fawwaz, hanya Aryana yang akan jadi menantu mama. Tiada yang lain.” Pesan Puan Zakiyah lagi.

“Fawwaz minta maaf mama...” Tengku Fawwaz memohon maaf kepada Puan Zakiyah lagi. Dan Puan Zakiyah mengangguk sebagai balasan sebelum berlalu ke tingkat atas.

Selepas Puan Zakiyah berlalu dari situ, Tengku Fawwaz berpaling memandang papanya.

“Papa... mama sakit apa?” kali ini Tengku Abdul Majid pula diseru oleh Tengku Fawwaz.

“Mama ada penyakit jantung dan darah tinggi.” Tengku Abdul Majid berterus-terang.

“What! Ya Allah,” terkejut Tengku Fawwaz. Hampir saja dia terjerit.

Tidak sangka yang semua itu berlaku kerana perbuatannya yang lalu. Dan mamanya menerima akibat tersebut.

“Ini semua salah Fawwaz.” Keluh Tengku Fawwaz. Rasa bersalah yang bergunung di hati dengan perbuatan lampaunya.

“Dahlah. Jangan salahkan diri sendiri. Apa yang berlaku ada hikmahnya.” Pujuk Tengku Abdul Majid. Kesian juga dengan anaknya ini.

Yalah, waktu tu darah masih muda. Diikut saja rasa hati tanpa berfikir panjang.

“Sekarang ni, papa nak Fawwaz ambil hati mama dan juga minta maaf dengan Aryana. Papa tahu dan yakin yang Aryana masih lagi isteri Fawwazkan?”

Terkejut dengan soalan papanya. Macam mana papanya boleh tahu perkara itu?

“Macam mana papa tahu?” soal Tengku Fawwaz yang tidak dapat menyembunyikan riak terkejutnya.

“Sebab Yana pernah tanya papa dan mama sama ada kami ada masukkan duit dalam akaun bank dia atau tak sebab dia cakap duit dalam akaunnya semakin bertambah.”

Jelas Tengku Abduk Majid. Terkejut juga sebenarnya dia sewaktu Aryana bertanya akan hal tersebut selepas tiga bulan pemergian Tengku Fawwaz. Dan dia mengiakan saja sebagai jawapan.

Ketika itulah dia yakin yang duit tersebut daripada anak lelakinya. Dia sendiri tidak tahu apa motif Tengku Fawwaz ketika itu.

“Apa yang sebenarnya ada dalam fikiran Fawwaz ketika itu?” soalan yang diutarakan oleh papanya agak sukar untuk Tengku Fawwaz jawab kerana dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu bertindak sebegitu.

Yang dia tahu, dia tidak mahu Aryana pergi darinya dan dia tidak akan melepaskan Aryana.

“Entahlah papa. Masa tu Fawwaz sendiri bingung. Lepas Fawwaz tahu yang Aisyah dah berkahwin, Fawwaz tekad tak nak lepaskan Aryana. Itu saja yang Fawwaz rasa ketika itu.”

Luah Tengku Fawwaz. Dia senang berbicara dengan papanya berbanding mamanya kerana mama terlalu ikutkan emosi. Sementara papanya lebih banyak mendengar daripada menyampuk.

“Sekarang ni dah tahu ke apa yang Fawwaz rasa terhadap Aryana?” soal Tengku Abdul Majid. Lega sedikit hatinya apabila anaknya bertindak sedemikian walaupun dia kurang setuju dengan perbuatan Tengku Fawwaz.

“Masih mencari papa. Mungkin Fawwaz perlukan masa sedikit lagi untuk terima semua ini,” jawab Tengku Fawwaz.

“Jangan lepaskan Aryana kerana dia wanita yang baik. Bukan saja cantik tetapi menghormati orang tua. Dia sayang kami sama macam dia sayangkan abi dan umi dia. Papa beruntung ada menantu seperti Aryana.”

Tinggi pujian Tengku Abdul Majid terhadap Aryana. Memang sejak dari dulu, Puan Zakiyah pun sama. Sangat sukakan Aryana.

Jika dulu, pasti Tengku Fawwaz akan mencebik dan tidak puas hati tetapi sekarang tidak lagi. Pengalaman mematangkan dia. Tidak perlu untuk dia bermusuh dengan Aryana kerana wanita itu masih isterinya.

Ya! Dia tahu yang Aryana cantik. Malah bertambah cantik setelah tiga tahun dia tinggalkan isterinya itu. Tetapi hatinya tidak cintakan wanita itu ketika ini.

“Macam ni lah. Papa tak nak sebelah kan sesiapa pun tetapi nasihat papa, Fawwaz muhasabah balik diri Fawwaz. Papa hampir kehilangan mama saat mama tahu Fawwaz larikan diri. Dan Aryana hampir kehilangan nyawa saat dia ditinggalkan suami. Papa nak, Fawwaz fikir-fikirkan.”

Nasihat Tengku Abdul Majid panjang lebar. Malah rahsia tiga tahun yang lalu juga dibongkar oleh Tengku Abdul Majid kerana dia ingin anak lelakinya sedar akan kesalahan lepas. Belajar dari kesalahan yang lepas dan berubah.

Kenyataan dari Tengku Abdul Majid mengejutkan Tengku Fawwaz. Jadi, dua nyawa hampir melayang hanya kerana dia? Tengku Fawwaz meraup mukanya. Berdosanya dia.

“Papa sebenarnya apa yang berlaku?” soal Tengku Fawwaz ingin tahu.

“Yang tu, Fawwaz kena tanya mama dan Aryana sendiri. Papa hanya mampu beritahu setakat ini saja,” beritahu Tengku Abdul Majid. Biarlah anaknya mendengar sendiri dari mulut dua wanita tersebut.

Tengku Fawwaz melepaskan keluhan perlahan. Terasa berat bebanan yang dia tanggung saat ini. Berharap dengan kepulangannya ini dia mampu untuk merawat luka-luka yang pernah dia tinggalkan dulu.

Tulusly,
Hezy Rose.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience