GEMBIRA Tengku Fawwaz apabila Aryana memberitahu dia yang cuti diluluskan. Sekarang dia perlu melaksanakan rancangan yang sudah dia rancang. Harap-harap Aryana suka dengan kejutannya nanti. Tidak sabar pula hendak bercuti dan berdua-duan dengan Aryana.
Meluangkan masa bersama Aryana dan memikat hati isterinya kerana dia yakin yang hatinya betul-betul sudah terpikat dengan wanita yang bernama Aryana.
“Hoi!
Tersentak Tengku Fawwaz dengan tepukan di meja kerjanya. Kus semangat! Kepalanya di dongak mencari siapa yang berani buat dia mengejut sebegitu.
“Kau, Khair. Lain kali ketuk pintu dulu. Nasib baik aku tak ada sakit jantung.” Bebel Tengku Fawwaz. Rasa terkejut masih lagi menguasai dirinya.
“Dah puas aku ketuk pintu tu tapi kau tu jauh sangat berangan. Tersengih seorang diri. Ingatkan isteri ke?” Khair jungkit kening beberapa kali bersama senyuman nakal.
“Ya ke? Maaflah. Aku tak dengar.” Sengih Tengku Fawwaz. Akui salah sendiri.
“Betullah tu ingatkan Aryana. Angau!” komen Khair. Jika Tengku Fawwaz tidak menjawab soalannya itu, pasti betul.
“Biarlah. Isteri aku.” Balas Tengku Fawwaz. Sibuk betul sahabatnya yang seorang ini.
“Berlagak ya sejak baik dengan Aryana.” Cebik Khair tetapi dia bahagia apabila melihat Tengku Fawwaz sudah dapat menerima Aryana sebagai isteri.
“Kenapa? Kau cemburu ke? Kalau cemburu, cepat-cepatlah cari isteri.” Cadang Tengku Fawwaz.
“Tak kuasa aku nak cemburu dengan kau.” Balas Khair.
“Ni, ada apa kau datang sini?” soal Tengku Fawwaz menukar topik perbualan mereka.
“Aku dengar kau cuti? Nak pergi berbulan madu ke?” risik Khair. Memandangkan shiftnya sudah tamat, dia datanglah sekejap untuk bergosip dengan Tengku Fawwaz sebelum pulang ke rumah.
“Amboi! Laju betul sampai berita ni pada kau ya.” Ujar Tengku Fawwaz.
“Biasalah. Kau kan doktor femes.” Gelak Khair. Memang Tengku Fawwaz femes pun dikalangan jururawat. Dan ramai yang duk syok pada Tengku Fawwaz tapi sayang suami orang.
“Tapi tak femes macam kau. Kau kan doktor hot di hospital kita ni.”
Balas Tengku Fawwaz. Sengaja hendak mengenakan rakan baiknya itu. Masih dia ingat yang Khair dikejar oleh pesakit yang gilakannya itu dan rupa-rupanya pesakit itu ada masalah jiwa.
“Kau ni, sengaja kan. Dahlah. Tak mahu cerita pasal tu.” Muncung Khair. Tidak suka apabila Tengku Fawwaz mengungkit akan hal itu. Malu dia.
Tengku Fawwaz ketawa-ketawa. Bukan selalu dapat kenakan Khair.
“Yalah. Kita cakap benda lain.” Tengku Fawwaz mengalah. Tahu yang Khair trauma sampai sekarang. Dan kerana itulah Khair tidak suka ada orang minat padanya. Risau kejadian itu berulang lagi.
“Aku tanya, kau nak pergi berbulan madu ke?” ulang Khair lagi apabila Tengku Fawwaz tidak menjawab pertanyaan dia tadi.
“Rahsia.” Sengih Tengku Fawwaz. Sengaja tidak mahu memberitahu Khair akan rancangannya itu. Cukuplah dia saja yang tahu.
“Dengan aku pun nak berahsia bagai.” Cebik Khair. Sejak bila Fawwaz pandai berahsia dengan dia. Sebelum ini apa saja rahsia Fawwaz, dia ketahui.
“Haruslah. Rahsia rumah tangga.”
“Berlagak ya kau. Jangan nanti Aryana lari, kau cari aku lepas ni.”
Terus menegak badan Tengku Fawwaz sebaik saja mendengar kata-kata Khair. Kalau Aryana lari, memang dia tidak senang duduklah. Mahunya dia cari Khair minta nasihat lagi.
“Kau jangan, Khair. Tak tidur lena aku nanti.”
Ketawa Khair mendengar kata-kata itu. Parah betul temannya ini.
“Aku gurau sajalah.” Ujar Khair dengan sisa tawanya. “Aku balik dululah. Nanti lewat pula sampai rumah.” Jam ditangan dilihat. Sudah menghampiri pukul 7 malam.
“Yalah. Hati-hati memandu.” Pesan Tengku Fawwaz sebelum batang tubuh Khair menghilang disebalik pintu.
Hari ini Tengku Fawwaz on call dan shiftnya akan tamat pada pagi esok. Terpaksalah berjauhan dengan Aryana untuk satu malam. Sudah terasa rindu pada si isteri yang berada di rumah. Padahal tidak sampai dua jam dia berpisah dengan Aryana.
Parah bila angau pada isteri sendiri!
*****
SEBELUM pulang pagi itu, Tengku Fawwaz mencari Aryana terlebih dahulu. Mengajak si isteri untuk sarapan bersama. Semalam dia tidak sempat menelefon si isteri memandangkan ada pesakit yang perlukan pemantauan rapi. Yang pasti, pesakit menjadi keutamaan ketika itu.
“Eh! Belum balik lagi?” terkejut Aryana apabila tiba-tiba saja Tengku Fawwaz menghalang langkahnya. Ingatkan siapalah tadi.
“Belum. Abang nak jumpa isteri dulu. Nak sarapan bersama-sama.”
Terubat rindu pada isteri apabila wajah sang isteri sudah berada di depan mata. Padahal bukannya berpisah lama. Semalam baru tidak melihat wajah isterinya.
“Tapi I tak punch card lagi.” Beritahu Aryana. Sebenarnya dia sudah bersarapan di rumah tadi tetapi tidak sampai hati pula hendak menolak ajakan encik suami.
“Jom. Abang teman Yana pergi punch card dulu. Lepas tu kita pergi sarapan di kantin hospital.”
Terpaksalah dia mengajak Aryana untuk bersarapan di kantin hospital memandangkan masa isterinya terhad. Tidak boleh keluar sarapan di luar kerana pasti jalan sesak ketika ini. Dating di kantin hospital pun sudah cukup.
“Yalah.” Setuju Aryana kerana tiada pilihan lain. Tengku Fawwaz bersungguh-sungguh mengajak dia bersarapan. Lagipun belum masuk waktu kerja lagi. Jadi, sempatlah dia teman encik suami sarapan sekejap walaupun perut masih lagi kenyang.
“Jom.” Gembira Tengku Fawwaz ketika ini kerana Aryana tidak menolak ajakannya. Bahagianya!
“Yana nak makan apa?” tanya Tengku Fawwaz sebaik saja mereka tiba di kantin hospital. Mata melilau mencari tempat duduk kosong. Nasib baik tidak terlalu ramai memandangkan masih pagi lagi.
“Sebenarnya perut Yana masih kenyang lagi. Yana dah sarapan di rumah. Yana teman...errr...abang jer.” Beritahu Aryana serba-salah.
Hampir tergelak Tengku Fawwaz melihat wajah si isteri yang serba-salah itu. Comel pula. Sejuk hatinya mendengar Aryana memanggilnya ‘abang’.
“Kenapa tak cakap awal-awal. Abang tak kisah pun. Janji Yana ada teman abang sarapan.” Balas Tengku Fawwaz mengusap lengan sang isteri.
“Abang pergilah tengok nak makan apa. Yana duduk di sana ya.” Aryana menunjuk ke arah meja kosong yang terletak di tepi dinding dan agak terlindung sedikit. Tidak terlalu umum pada pandangan mata orang.
“Okey. Tunggu abang ya.”
Masing-masing melangkah ke arah yang berbeza. Dalam diam Aryana memerhati Tengku Fawwaz dari jauh. Setiap kali berada di sisi Tengku Fawwaz, ada debar di hatinya dan yang pasti rasa itu masih sama seperti dulu.
Tengku Fawwaz menghampiri Aryana dengan sepinggan mee goreng dan juga teh tarik panas. Biasanya di rumah, pasti Aryana akan menyediakan sarapan ala-ala western ataupun nasi goreng. Tetapi memandangkan sekejap lagi dia akan memandu, maka dia tidak mahu makan makanan yang terlalu berat. Risau akan mengantuk kelak.
“Sayang tak nak order air ke?” tanya Tengku Fawwaz apabila melihat Aryana tiada tanda-tanda hendak bangun dari situ.
“Tak nak. Yana teman abang saja.” Geleng Aryana. Tidak terasa hendak minum apa-apa. Masih kenyang.
“Abang suap ya.” Tengku Fawwaz mendekatkan sudu ke mulut Aryana selepas menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
“Abang makanlah. Yana dah kenyang.” Tolak Aryana lembut. Sebenarnya dia malu diperlakukan oleh Tengku Fawwaz sebegitu dan juga risau jika ada mata-mata yang dia kenali memerhati dari jauh. Bocor rahsianya nanti.
“Makanlah sikit. Please...” pinta Tengku Fawwaz. Separuh merayu.
“Yalah.” Mulut dibuka sebaik saja Tengku Fawwaz menyuakan sudu pada bibirnya.
“Sedap tak?”
“Macamlah abang yang masak.”
Ketawa Tengku Fawwaz dengan balasan si isteri. Sengaja dia bertanya kerana tidak mahu berada dalam keadaan canggung nanti. Dia ingin berbual dengan Aryana.
“Memanglah bukan abang yang masak mee goreng ni. Tapi nak juga tahu sedap ke tak. Mungkin tekak abang saja yang rasa sedap,” ujar Tengku Fawwaz. Sekali lagi dia menyuapkan mee goreng ke mulut Aryana.
“Sedaplah. Kalau tak sedap, takkan dijual di sini pula.” Balas Aryana. Ada-ada saja Tengku Fawwaz ni. Layan sajalah encik suaminya ini.
Ketawa lagi Tengku Fawwaz dengan jawapan Aryana. Ada-ada saja jawapan yang diberikan oleh isterinya itu.
“Makanlah. Jangan asyik perhatikan Yana saja. Malu la,” ujar Aryana malu-malu. Tidak tahu hendak bereaksi macam mana apabila Tengku Fawwaz asyik memandangnya saja. Duduknya tidak selesa apabila mata Tengku Fawwaz tajam memerhatikannya.
“Abang suka pandang wajah Yana. Cantik dan ayu saja.”
Pengakuan jujur Tengku Fawwaz membuat muka Aryana merah kerana malu dengan pujian itu.
“Abang ni. Dahlah. Cepat makan. Yana nak kena masuk kerja sekejap lagi ni.” Jam di tangan di pandang. Ada lima belas minit lagi sebelum waktu kerjanya bermula.
“Baiklah.” Tengku Fawwaz akur memandangkan Aryana akan memulakan tugas sekejap lagi.
Selesai bersarapan, Tengku Fawwaz menghantar Aryana sehingga ke bahagian X-Ray walaupun sudah puas ditegah oleh Aryana. Dan Tengku Fawwaz tidak kisah jika hubungan mereka diketahui umum kerana dia sudah bersedia segalanya. Tidak mahu menyembunyikan lagi status mereka sebagai suami isteri.
“Drive carefully. Kalau mengantuk, jangan paksa diri. Berhenti dulu di mana-mana.”
Pesan Aryana. Risau jika encik suami meneruskan pemanduan memandangkan sejak akhir-akhir ini kerap berlaku kemalagan kerana micro sleep.
“Sayang juga Yana pada abang ya.”
“Sayanglah. Suamikan.” Akui Aryana tanpa sedar dia sudah terlanjur kata.
Tersengih-sengih Tengku Fawwaz dengan pengakuan sang isteri. Bahagia hatinya ketika ini. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Aryana sayangkan dia.
“Abang pun sayangkan isteri abang juga.”
Pengakuan Tengku Fawwaz mengejutkan Aryana. Tidak sangka yang encik suami mengaku sayangkan dia.
“Dahlah. Yana masuk dulu.” Aryana ingin mengelak apabila Tengku Fawwaz asyik memandang dan tidak lepas.
“Okay. Take care, darling.”
“Take care too.”
Malu-malu Aryana membalas sebelum berlalu pergi dari sini.
Dan Tengku Fawwaz dari tadi tidak lekang senyumannya sehinggakan jururawat-jururawat yang berselisih dengannya naik hairan dengan doktor mereka itu. Buang tebiat ke senyum sorang-sorang. Atau sedang angau, dilamun cinta?
Untuk bacaan penuh, boleh dapatkan ebook ini. ws 0196173916
Share this novel