BAB 5

Romance Completed 20789

PADA pagi itu, Aryana diam tanpa bicara sewaktu sarapan bersama dengan keluarga mentuanya. Dan awal-awal lagi Aryana memilih untuk tidak duduk di tepi Tengku Fawwaz. Masih lagi sakit hati dan bengang dengan suaminya tentang kejadian semalam.

Semalam pun, sewaktu dia masuk ke dalam bilik Tengku Farhana, macam-macam soalan disoal oleh adik iparnya itu. Itu pun puas dia cipta alasan. Dan nasib baik Tengku Farhana mengizinkan dia untuk tidur dalam bilik tersebut.

“Kamu berdua ni kenapa? Asyik menjeling saja daripada tadi. Bergaduh?” soalan Puan Zakiyah memecah kesunyian di meja makan itu.

“Eh! Tak adalah mama. Kami baik-baik saja.” Dengan yakin Aryana menjawab. Tidak mahu ibu mentuanya susah hati lagi.

“Habis tu, kalau baik kenapa sorang duduk sini, sorang duduk sana?” soalan perangkap dari Puan Zakiyah.

Aryana memandang Tengku Fawwaz meminta bantuan tetapi suaminya buat-buat tidak nampak akan pandangannya itu. Sakit hati betul. Bukannya nak tolong dia.

“Errr... tak salahkan kalau kami tak duduk sekali di meja makan. Lagipun, masa abang turun tadi, hanya tempat sebelah Hana saja yang kosong.” Aryana mencipta alasan. Dan harap-harap sangat yang ibu mentuanya terima akan alasannya.

“Tapi...” Puan Zakiyah ingin bersuara lagi tetapi Tengku Abdul Majid memintas kata-kata isterinya itu.

“Dah. Awak tak payah sibuk dengan mereka. Biasalah kalau di meja makan tak duduk sebelah-menyebelah. Awak pun tak duduk sebelah saya.”

Kata-kata Tengku Abdul Majid mengundang yang lain ketawa. Lucu barangkali. Gurauan di pagi hari.

“Ish! Abang ni. Ke situ pula.” Ujar Puan Zakiyah sebelum menyambung menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.

Manakala Aryana menarik nafas lega apabila Puan Zakiyah sudah makan kembali. Tanpa Aryana sedari, Tengku Fawwaz memerhatikannya dan mengukir senyuman kemenangan.

‘Itulah. Siapa suruh lari tidur bilik Hana semalam. Kan dah kena dengan mama.’ Tengku Fawwaz ketawa dalam hati.

Jujur dia katakan, tidak sampai satu hari dia kenal rapat dengan Aryana, hatinya sudah terpikat dengan isterinya itu. Seorang Aryana yang pemalu, mudah merajuk dan suka membantah.

Ternyata tidaklah teruk sangat isterinya. Dan hatinya seakan sudah menerima Aryana sebagai isterinya sejak dia tahu yang wanita itu hampir hilang nyawa kerana dia.

Tanpa sedar, Tengku Fawwaz tersengih sendirian sambil matanya memandang tidak lepas memandang Aryana yang sedang menikmati sarapan pagi.

“Yang kamu ni tersengih-sengih kenapa? Angau dengan isteri sendiri?” teguran Puan Zakiyah membuatkan Tengku Fawwaz tersentak.

Eh! Mama nampak ke dia sengih?

“Mana ada mama.” Cepat-cepat Tengku Fawwaz menyangkal dakwaan mamanya itu. Malu dia nanti kalau Aryana tahu. Ya! Mungkin dia sudah angau dengan Aryana barangkali.

Aryana hanya menjeling sekilas Tengku Fawwaz. Macamlah dia tidak perasan yang suaminya dari tadi lagi merenungnya. Cuma dia saja malas hendak ambil kisah. Kalau ikutkan hati, ingin saja dicungkil biji mata lelaki itu. Huh!

“Apa salahnya kalau angau dengan isteri sendiri.” Sakat Tengku Farhana yang dari tadi hanya diam dan memerhati gelagat abangnya itu.

“Hana!” Tengku Fawwaz menjengilkan matanya. Buat-buat marah. Ish! Adiknya bukan hendak back-up dia tetapi sengaja hendak kenakan dia.

Aryana buat-buat tidak dengar dengan usikan adik iparnya dan memilih untuk menyudahkan sarapan paginya.

“Errr... mama, kalau Fawwaz nak bawa Aryana keluar hari ini boleh kan?” soal Tengku Fawwaz.

“Eh! Isteri kamu, suka hati kamulah nak bawa pergi mana pun sekalipun. Buat apa tanya mama,” balas Puan Zakiyah selamba. Dan kata-kata Puan Zakiyah membuatkan seisi rumah ketawa.

Tengku Fawwaz hanya mampu tersengih. Kena setepek atas dahi. Yang gatal mulut pergi tanya tu kenapa, Fawwaz oi!

Dari tadi Aryana memandang Tengku Fawwaz dengan tajam seperti ingin menelan lelaki itu hidup-hidup. Sakit hatinya tentang kejadian semalam masih lagi berbekas dalam hatinya.

Selesai bersarapan, awal-awal lagi Tengku Fawwaz menarik Aryana keluar dari dapur. Tidak membenarkan isterinya untuk membasuh pinggan. Ada perkara yang dia hendak bincangkan dengan Aryana.

“Nak ke mana ni?”soal Aryana sedikit bengang apabila Tengku Fawwaz menariknya keluar dari dapur tanpa memberi peluang kepadanya untuk menolak ajakan lelaki itu.

“Masuk bilik dan buat anak.” Selamba Tengku Fawwaz membalas pertanyaan isterinya.

“What?” terbuntang mata Aryana mendengar jawapan sang suami. Dah gila ke? Dan dia berusaha untuk melepaskan diri dari suaminya.

“You nak ikut I secara rela atau I akan kotakan kata-kata I tadi.” Tengku Fawwaz mula mengugut isterinya yang sedang berusaha untuk meloloskan diri daripadanya.

Akhirnya Aryana mengikut langkah Tengku Fawwaz ke dalam bilik tidur. Takut juga dengan ugutan suaminya walaupun dia yakin yang Tengku Fawwaz tak akan ambil kesempatan ke atas dirinya.

“Ada apa?” tanya Aryana sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik tidur.

“I nak dengar jawapan dari you.” Pinta Tengku Fawwaz.

“Jawapan apa ya?” Aryana buat-buat lupa. Padahal perkara itulah yang sedang berlegar dalam fikirannya sejak dua menjak ni.

“You jangan buat-buat lupa ya Aryana.” Ujar Tengku Fawwaz. Geram apabila selamba Aryana bertanya ‘jawapan apa’.

“I memang tak ingat tentang apa. Lagipun banyak perkara penting yang I perlu ingat.” Balas Aryana. Masih bermain tarik tali dengan Tengku Fawwaz.

“Jadi permintaan I untuk kita teruskan perkahwinan ni tak pentinglah bagi you?” ujar Tengku Fawwaz dengan nada yang geram. Aryana betul-betul lupa atau buat-buat lupa dan sengaja ingin menaikkan kemarahannya.

“Oh. Tentang itu.” Reaksi selamba Aryana membuatkan Tengku Fawwaz semakin hilang sabar.

“I belum fikir lagi. I need more time.” Pinta Aryana. Dia masih belum mendapat jawapan untuk permintaan Tengku Fawwaz.

“I bagi masa sampai hujung bulan ni. I bukan jenis yang sabar Aryana. Kalau you belum ada jawapan dan keputusan, biar I yang buat keputusan untuk you.”

Ujar Tengku Fawwaz. Dia sudah tidak boleh menunggu lama lagi. Kalau dibiarkan lama, dia bimbang isterinya akan berubah hati.

“Hujung bulan ni? Maknanya lagi 3 hari? Kalau bulan depan tak boleh?” soal Aryana separuh tidak percaya. Bunyi macam lama tetapi hakikatnya bulan ni sudah menghampiri penghujungnya.

“No! I nak jawapan dari you secepat mungkin. Lagi cepat, lagi bagus.”

Geleng Tengku Fawwaz dengan permintaan Aryana. Kali ini dia tidak akan beri muka kepada Aryana kerana dia rasa, hatinya sudah dapat menerima Aryana sebagai isterinya.

“Baiklah.” Akhirnya Aryana mengalah. Memang Tengku Fawwaz jenis yang mudah untuk dia negotiate dan minta simpati. Tetapi lama-lama, boleh hilang sabar juga.

“Good. You kerja tak hari ni?” jarum jam sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi.

“Kerjalah. Kalau tak, I tak pakai pula baju ni.” Ujar Aryana yang sudah lengkap berpakaian kerja.

“Kita gerak sekali.” Arahan dari Tengku Fawwaz.

“Tapi...”

“You nak I pancitkan tayar kereta you dulu ke baru you nak ikut I?” ujar Tengku Fawwaz separuh mengugut. Tajam matanya memandang Aryana.

“Ish! Yalah, I ikut you.” Akur Aryana sedikit geram. Malas hendak berperang mulut dengan suaminya kerana dia juga yang kalah nanti.

“Macam tulah. Jangan asyik nak membantah cakap suami saja.” Sindir Tengku Fawwaz selamba.

“Sejak bila aku ada suami entah.” Rungut Aryana perlahan.

“I dengar apa yang you cakap tu, sayang.” Ujar Tengku Fawwaz sebelum berlalu ke walk in closet untuk bersiap ke tempat kerja.

“Sayanglah sangat.” Bebel Aryana sendirian. Walaupun terasa bahagia saat sang suami memanggilnya ‘sayang’.

Cepat-cepat dia bersiap kerana bimbang akan terlewat tiba di hospital tempat mereka kerja. Tengku Fawwaz tak mengapalah doktor. Bolehlah bagi alasan, kalau dia yang tiba lewat di sana, mahunya kena sembur dengan ketua jabatannya.

“Balik nanti tunggu I. Jangan pandai-pandai nak balik naik teksi atau grab.” Pesan Tengku Fawwaz sebelum Aryana keluar dari kereta.

“Ya. I tunggu you sampai you habis kerja.” Balas Aryana acuh tak acuh bersama dengan wajah masam. Macam tahu-tahu saja yang rancangannya untuk pulang menaiki grab petang nanti.

“Tak nak salam suami dulu ke?” tegur Tengku Fawwaz apabila melihat Aryana ingin keluar dari kereta.

“Perlu ke?” macam orang bodoh pula dia bertanya.

“Perlulah. I masih suami you Aryana.” Tekan Tengku Fawwaz. Perkataan suami sengaja ditekan supaya Aryana sedar yang dia masih suami kepada wanita itu.

Lambat-lambat Aryana mencium tangan Tengku Fawwaz yang dihulurkan oleh suaminya sejak tadi. Dan ketika itu juga Tengku Fawwaz melabuhkan bibirnya pada ubun-ubun Aryana buat pertama kalinya sejak dia bergelar suami kepada wanita itu.

Aryana selamat menjadi bongkah ais kerana terkejut dengan kelakuan suaminya itu.

“Dah pergi masuk. Nanti lambat pula.” Suruh Tengku Fawwaz selepas melepaskan tangan isterinya.

Aryana yang baru sedar dari terus menjadi bongkah ais cepat-cepat membuka pintu kereta di bahagian penumpang dan berlalu pergi dari situ tanpa berpaling ke belakang. Malu.

Manakala, Tengku Fawwaz tersenyum sendirian. Dia memegang dadanya. Berdebar. Takkan secepat ini dia jatuh cinta?

Tok. Tok. Tok.

Cermin keretanya diketuk dari luar mematikan angan-angan Tengku Fawwaz.

“Kau tak nak keluar ke?” tegur Khair. Teman rapat Tengku Fawwaz.

“Errr... nak keluarlah ni.” Cepat-cepat Tengku Fawwaz mematikan enjin keretanya dan melangkah keluar dari kereta.

“Kau sedang angaukan Aryana ke?” soalan tanpa penapis dari Khair membuatkan Tengku Fawwaz memandangkan temannya sedikit tajam. Dari mana temannya tahu yang sedang angaukan Aryana?

“Aku nampak Aryana keluar dari kereta kau tadi.” jelas Khair. Baguslah kalau teman baiknya sudah berbaik dengan Aryana.

“Mana ada. Aku tengah bercakap dengan mama aku tadi.” Nafi Tengku Fawwaz. Tidak mungkin dia hendak mengaku di depan Khair. Nanti tak pasal-pasal dia kena baham dengan temannya.

“Kalau betul pun apasalahnya. Diakan wife kau juga.” Ujar Khair. Bukan dia tidak tahu kisah Tengku Fawwaz dan Aryana. Cuma dia tidak pernah tahu yang Aryana bekerja di hospital yang sama dengannya kerana dia jarang berurusan dengan bahagian X-ray.

“Aku dah lambat ni. Aku pergi dulu.” Tengku Fawwaz terus berlalu ke bahagian kecemasan memandangkan hari ini dia bertugas di situ.

“Kau tak balik lagi Yana?” soal rakan setugasnya, Belinda. Pelik apabila melihat Aryana masih lagi berada di situ sedangkan jarum jam sudah menunjukkan pukul 5:10 petang.

“Belum. Aku tunggu orang datang ambil aku.” Bohong Aryana. Terpaksa berbohong kerana tiada siapa tahu yang dia sudah berkahwin. Kalau dia cakap balik dengan Tengku Fawwaz, mahunya terkejut rakan setugasnya itu.

“Oh. Kalau macam tu aku balik dulu.” Ujar Belinda.

“Ya. Hati-hati Bel.” Pesan Aryana. Dia melepaskan keluhan perlahan. Kebosanan. Menanti Tengku Fawwaz yang tamat kerja pada pukul 6 petang. Terasa jarum jam bergerak begitu perlahan.

Aryana memilih untuk menunggu di luar. Selepas memastikan semua lampu tertutup, Aryana meninggalkan bahagian x-ray dan menuju ke lobi hospital. Ingin menunggu di kantin, terasa malas hendak berjalan jauh.

“Dah lama tunggu.” Soalan Tengku Fawwaz mengejutkan Aryana yang sedang leka dengan telefon pintarnya.

“Eh! You dah tamat shift ke?” Tidak menjawab soalan Tengku Fawwaz sebaliknya dia bertanya lelaki itu kembali.

“Dah. Dah masuk pukul 6.05 petang pun.” Angguk Tengku Fawwaz.

“Kalau macam tu, jomlah.” Ajak Aryana. Ingin cepat-cepat berlalu dari situ. Tidak mahu sesiapa melihat dia pulang dengan Tengku Fawwaz walaupun dia berada di luar hospital.

“You dah solatkan?” soal Tengku Fawwaz.

“Dah.” Anggguk Aryana.

“Okay. Good. I lapar. Kita pergi makan dulu dan lepas tu baru balik.” Beritahu Tengku Fawwaz. Dia memulakan pemanduannya.

“Tapi mama biasanya dah masak waktu macam ni.” Aryana cuba untuk membantah. Jujurnya, dia masih terasa kekok untuk berdua-duaan dengan suaminya sendiri.

“Jangan risau. I dah call mama, beritahu yang kita dinner di luar hari ni.” Ujar Tengku Fawwaz.

Dan Aryana hanya menganggukkan kepalanya. Terpaksa bersetuju dan kalau dia tidak bersetuju sekalipun, macamlah Tengku Fawwaz akan kisah. Lagipun lelaki itu yang memandu. Bukan dia. Jadi, tiada guna jika dia membantah.

“Kita nak makan di mana?” tertanya juga ke mana Tengku Fawwaz ingin membawa dia makan malam.

“Adalah.” Senyum Tengku Fawwaz. Rahsia.

Dan Aryana hanya diam. Malas bertanya lebih lanjut kerana pasti jawapannya tetap sama.

Mereka tiba di rumah tepat jam 9 malam. Ketika itu Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah sedang rancak berbual di ruang keluarga. Tengku Farhana juga turut berada di situ.

“Uncle Waz. Aunty Yana.” Fariz menjerit kecil apabila melihat Tengku Fawwaz dan Aryana bersama-sama melangkah ke ruang keluarga.

“Eh! Sayang uncle belum tidur lagi.” Fariz diambil dan didukung.

“Belum mengantuk lagi.” Petah Fariz menjawab.

“Amboi! Lama benar pergi dinner ya. Ke melencong ke mana?” Usik Puan Zakiyah. Gembira apabila melihat anaknya sudah mampu menerima Aryana walaupun bukan sepenuhnya lagi.

“Pergi dinner jer mama. Tak ada melencong ke mana-mana. Menantu mama ni nak balik cepat. Bimbang takut mama risau kalau balik lambat.” Beritahu Tengku Fawwaz. Sengaja mengadu kepada mamanya supaya Aryana tidak lagi memberi pelbagai alasan apabila dia ajak keluar berdua.

“Mama tak kisah pun. Lagipun kamu berduakan suami isteri. Nak balik lambat sekalipun, mama on saja. Janji beritahu terlebih dahulu nak ke mana.” Balas Puan Zakiyah bersahaja. Dia lagi gembira jika anak menantunya sudah berbaik dan mampu hidup seperti suami isteri yang lain.

Aryana yang duduk di sebelah Tengku Farhana hanya mampu senyum. Tetapi geram juga apabila Tengku Fawwaz mengaitkan namanya. Siaplah dalam bilik nanti.

“Ha! Dengar tu sayang. Mama tak kisah pun.” Laju Tengku Fawwaz mengenakan Aryana. Siap dengan pakej kenyit mata.

Dan Aryana hanya menganggukkan kepalanya. Itu pun nak mengadu pada mama ke?

“Wuuu... sayang. So sweet abang.” Usik Tengku Farhana. “Kak Yana panggil abang apa? Baby? Darling? Hubby?” semakin galak Tengku Farhana mengusik kakak iparnya. Disonggol kakak iparnya yang duduk di sebelahnya.

“Hana...,” Aryana menjengilkan matanya. Malu apabila diusik oleh adik iparnya.

“Comellah kak Yana ni bila malu-malu macam ni.” Tengku Farhana masih lagi dalam mood mengusik kakak iparnya. Suka apabila melihat kakak iparnya malu-malu kucing.

Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah tersenyum sambil menggelengkan kepala dengan telatah anak bongsunya. Suka sangat mengusik Aryana. Dan mereka berdua kembali fokus pada televisyen yang terpasang di depan tetapi pada masa yang sama, memasang telinga untuk mendengar usikan si anak bongsu pada si abang dan kakak ipar.

“Kami naik bilik dululah. Badan dah melekit ni. Nak mandi.” Tengku Fawwaz meminta diri untuk naik ke bilik. Wajah Aryana yang sudah bertukar tona warna kerana malu diusik oleh adiknya dipandang.

Tangan Aryana ditarik untuk bangun sekali. “Jom sayang.” Dan Aryana hanya mengikut tanpa membantah. Bagus kerana Tengku Fawwaz menyelamatkan dia daripada diusik oleh Tengku Farhana.

“Amboi, nak naik mandi pun sama-sama. Ke nak mandi sekali?” usikan Tengku Farhana kali ini betul-betul membuatkan Aryana ingin menyorokkan kepalanya. Apalah adik iparnya ni, nak mengusik pun di depan mentuanya. Malu dia.

“Sibuklah. Suka hati kamilah nak mandi sama-sama atau tak.” Balas Tengku Fawwaz seraya menarik Aryana menuju ke tangga.

Dan ketika itu kedengaran ketawa Tengku Farhana memenuhi ruang keluarga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience