SEMALAMAN Tengku Fawwaz tidak boleh melelapkan matanya. Memikirkan hubungan dia dengan Puan Zakiyah dan Aryana. Dan semalam, saat Tengku Fawwaz melangkah masuk ke dalam bilik tidur yang sudah lama dia tinggalkan, dia terkejut kerana biliknya tersusun kemas dan bersih. Tiada habuk. Dan bilik dia seperti berpenghuni.
Adakah Aryana yang tidur di dalam bilik dia?
Dan persoalannya terjawab sebaik saja dia membuka almari bajunya kerana ada pakaian wanita di dalam almari tersebut. Sudah tentu Aryana yang tidur di dalam bilik dia.
Saat itu, Tengku Fawwaz buntu dan sedikit tertekan kerana fikirannya ketika ini sangat serabut. Dia tidak boleh memaksa hatinya untuk mencintai Aryana sedangkan dia tidak cintakan wanita itu.
Walaupun dia sudah melupakan Aisyah tetapi hatinya belum terbuka lagi untuk mencintai wanita lain. Patutkah dia membuka hatinya untuk menerima Aryana sebagai isterinya?
Tengku Fawwaz tidak punya jawapan untuk soalan itu.
Tetapi saat melihat Aryana semalam, hatinya berdebar dan ada satu perasaan halus meresap masuk ke dalam hatinya. Lagi-lagi saat melihat Aryana menangis semalam. Ingin saja dia menenangkan gadis itu.
Ah! Dia buntu saat ini.
Patutkah dia ikut kata hatinya?
“Tengku.” Bunyi ketukan bersama dengan suara memanggil Tengku Fawwaz.
Tengku Fawwaz turun dari katil dan menghampiri pintu. Pintu biliknya dibuka. “Ada apa, bik?” soal Tengku Fawwaz.
“Puan besar panggil makan.” Beritahu bibik.
“Baiklah. Kejap lagi saya turun.” Angguk Tengku Fawwaz sebelum menutup kembali pintu biliknya. Dia membasuh mukanya sebelum turun ke bawah. Mungkin mood mama dia sudah baik barangkali.
“Selamat pagi semua.” Ucap Tengku Fawwaz agak riang. Ketika itu semua sedang menjamu selera.
“Selamat pagi, Uncle Waz.” Fariz terlebih dahulu menyahut ucapan Tengku Fawwaz.
“Selamat pagi.” Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah menjawab serentak. Nampaknya mood mamanya sudah baik. Dan dia senang hati.
“Bila uncle balik? Iz rindukan uncle sangat-sangat.” Adu Fariz dengan mimik muka sedih sekali. Pandai berlakon.
“Semalam. Alolo... uncle pun rindukan Iz juga.” Senyum Tengku Fawwaz. Semakin petah anak buahnya bercakap. Rupa-rupanya banyak yang berubah.
“Sedapnya. Siapa masak ni? Mama ke? Ke Kak Long?” soal Tengku Fawwaz. Cuba untuk beramah mesra dengan ahli keluarganya kembali.
“Mak Suri.” balas Puan Zakiyah ringkas sebelum menyambung menyuapkan makanannya.
“Kenapa mama tak masak? Fawwaz rindu nak makan masakan mama.” Sengih Tengku Fawwaz. Cuba untuk mengambil hati Puan Zakiyah kembali.
“Siapa suruh kamu lari? Dah elok-elok mama pilih calon isteri pandai masak, nak curi pergi kejar perempuan tu.” Sindir Puan Zakiyah. Mengungkit perkara yang lalu. Dia ingin Tengku Fawwaz sedar apa yang dilakukan tiga tahun lalu itu salah.
Dan Tengku Fawwaz memilih untuk memakan sarapan paginya tanpa membuka mulutnya lagi. Agak terasa dengan sindiran mamanya tetapi tidak disimpan di dalam hati. Dia faham. Keluarganya masih lagi marahkan dia.
“Bila Fawwaz mula kerja?” soal Tengku Abdul Majid memandangkan keadaan di meja makan ketika itu hanya sepi saja. Faham benar dengan isterinya yang jenis cepat beremosi.
“Minggu depan papa,” jawab Tengku Fawwaz. Nasib baik papanya masih lagi sudi mengambil berat akan dirinya.
“Kamu kerja di hospital mana?” Tengku Abdul Majid hendak mengambil tahu di mana anaknya bakal bekerja nanti.
“Putrajaya.” Balas Tengku Fawwaz. Dan Tengku Abdul Majid hanya menganggukkan kepalanya. Tidak pula dia beritahu yang Aryana bekerja di situ.
“Hana dan Yana ke mana? Tak ada nampak batang hidung pun.” Tengku Fatin yang hanya diam sejak dari tadi mula bersuara. Baru perasan yang Tengku Farhana dan Aryana tiada di situ.
Sengaja memberi peluang kepada adiknya mengambil hati orang tua mereka kembali. Dan dia tahu ke mana menghilangnya Tengku Fawwaz cuma tidak diberitahu kepada kedua ibu bapanya kerana tidak mahu perkara yang lain berlaku.
“Mereka berdua ke Melaka. Abang Ngah Yana kemalangan semalam.” Beritahu Puan Zakiyah. Semalam Tengku Fatin pulang lewat malam, jadi memang anak sulungnya tidak tahu apa yang terjadi.
“Oh! Patutlah senyap saja rumah.” Semalam, dia tiba di rumah, semua penghuni sudah tidur. Dan bangun pagi ini, tidak nampak pula muka adiknya dan adik iparnya di meja makan.
“Dah habis makan sayang? Hari ini Iz pergi tadika dengan ibu ya. Tok pa ada mesyuarat.” Beritahu Tengku Fatin. Memang setiap pagi anaknya akan ke sekolah dihantar oleh papanya, Tengku Abdul Majid.
“Errr... Kak long, biar Fawwaz saja yang hantar Iz. Lagipun, Fawwaz tak ada buat apa-apa pun hari ni.” Tengku Fawwaz menawarkan diri untuk menghantar Fariz ke tadika.
“Okay.” Setuju Tengku Fatin tanpa sebarang bantahan. Lagipun dia turut ada mesyuarat penting pagi ini. Lantas dia bangun dari duduknya dan berlalu keluar setelah bersalam dengan Tengku Abdul Majid dan Puan Zakiyah.
“Jom. Nanti lambat pula sampai ke tadika.” Tengku Fawwaz mula bangun dari kerusi setelah menghabiskan sarapan paginya. Meminta diri untuk menghantar Fariz ke tadika.
“Biasanya siapa yang hantar Iz ke tadika?” Tengku Fawwaz memulakan perbualan dengan anak saudaranya.
“Aunty Yana atau tok pa. Tapi kalau ayah ada, ayah yang hantar Iz ke tadika,” jawab Fariz dengan petah.
“Selalu ke aunty Yana hantar Iz ke tadika?” Tengku Fawwaz mula berminat ingin mengetahui sejauh mana anak saudaranya rapat dengan Aryana.
“Tak juga. Kalau aunty Yana tidur rumah tok pa baru aunty Yana hantar Iz ke tadika.” Beritahu Fariz lagi.
“Oh... aunty Yana memang selalu tidur rumah tok pa ya?” Tengku Fawwaz mula mengorek rahsia dengan Fariz. Dia suka bercakap dengan kanak-kanak sebab kanak-kanak bercakap jujur.
“Kadang-kadang saja. Hujung minggu atau masa aunty tak kerja.” Jujur Fariz menjawab.
Dan banyak lagi perkara yang dibualkan oleh Tengku Fawwaz dengan Fariz sehinggalah mereka tiba di tadika Fariz.
“Bye, anak buah uncle yang handsome. Nanti uncle ambil petang ni.”
Pesan Tengku Fawwaz sebelum anak buahnya keluar dari kereta.
“Baik, uncle. Bye!”
Sebaik saja Fariz masuk ke dalam kawasan sekolah bersama gurunya, Tengku Fawwaz terus memecut keretanya meninggalkan sekolah Fariz.
******
T
ENGKU FARHANA melangkah masuk ke dalam rumah banglo mewah keluarganya. Dia baru saja tiba dari Melaka dihantar oleh kakak iparnya. Sudah di ajak Aryana masuk tetapi kakak iparnya tidak mahu kerana ingin pulang berehat. Lagipun kereta abangnya, Tengku Fawwaz ada di bawah porch.
“Mana Aryana?” soal Puan Zakiyah sebaik saja melihat Tengku Farhana masuk ke dalam rumah.
“Eh, mama. Kak Yana dah balik rumah dia. Dia cakap nak pulang berehat,” beritahu Tengku Farhana. “Kak Yana kirim salam pada mama.”
“Kenapa pula dia balik ke rumah dia? Biasanya okey saja dia berehat di sini?” soal Puan Zakiyah hairan. Tidak pernah menantunya akan pulang ke rumah semata-mata ingin berehat.
“Mama ni... kan anak teruna mama dah balik. Faham-faham sajalah. Lagipun, tadi kak Yana ada pesan pada Hana suruh ambil semua barang dia yang ada di dalam bilik abang.” Jawab Tengku Farhana.
“Kenapa? Dia tak nak ke sini lagi ke?” soal Puan Zakiyah ingin tahu. Risau menantunya tak akan datang ke rumahnya lagi.
“Tak tahulah. Hana pun tak pasti. Kak Yana tak ada cakap pula yang dia tak nak ke sini. Cuma dia minta Hana bawa keluar barang-barang dia. Itu saja.” Jelas Tengku Farhana.
“Oh! Mama harap kak Yana masih sudi datang rumah kita.” Harap Puan Zakiyah kerana dia tidak mahu kehilangan menantunya hanya kerana perangai anak terunanya itu.
Dan dia berharap sangat yang Tengku Fawwaz dapat menerima Aryana dalam hidupnya.
“Hana pun.” Sokong Tengku Farhana. “Abang mana mama?” Tengku Farhana memandang di sekeliling rumah. Tidak kelihatan kelibat Tengku Fawwaz.
“Dalam bilik.” Ringkas Puan Zakiyah membalas.
“Oh! Kalau macam tu, Hana naik dululah. Nak mandi.” Tengku Farhana memohon untuk masuk ke dalam biliknya. Puan Zakiyah membalasnya dengan anggukan.
“Hana baru balik?” sapa Tengku Fawwaz yang kebetulan baru saja menutup pintu biliknya.
“Hmmm...” balas Tengku Farhana acuh tak acuh.
Tengku Fawwaz melepaskan keluhannya perlahan. Hubungan dia dengan Tengku Farhana sudah tidak mesra seperti dulu. Dan rasa janggal.
“Hana...” seru Tengku Fawwaz apabila melihat adiknya ingin berlalu menuju ke bilik tidur. “Can we talk?” pinta Tengku Fawwaz.
“Petang nanti. Sekarang Hana nak mandi dan berehat.” Tengku Farhana membalas tanpa berpaling ke belakang dan meneruskan langkahnya menuju ke bilik tidur.
Kakak iparnya yang ditinggalkan, dia pula yang sakit hati.
“Okay.” Akur dengan kata-kata adiknya. Dan dia faham yang adiknya masih lagi letih. Mungkin baru sampai dari Melaka.
Pada petang itu, Tengku Farhana menunggu Tengku Fawwaz di taman mini yang berada di sisi banglo mewah keluarganya. Matanya leka memandang air terjun buatan di taman mini tersebut. Kepalanya memikirkan perhubungan abangnya dengan kakak ipar dia. Masalah orang lain tetapi dia pula kusut memikirkannya.
“Hana.” Tegur Tengku Fawwaz. Melabuhkan duduknya bertentangan dengan si adik.
“Abang nak bincang apa dengan Hana?” soal Tengku Farhana. Terus kepada tujuan utama mereka. Tiada mukadimah.
“Fasal hubungan kita.” Beritahu Tengku Fawwaz. “Abang rasa Hana semakin jauh dengan abang. Dan tak mesra seperti dulu.” Luah Tengku Fawwaz. Dan dia tidak mahu hubungan adik-beradik renggang.
“Hana ke abang yang semakin jauh?” soal Tengku Farhana kembali.
“Bukankah abang yang lupakan kami sekeluarga? Tinggalkan majlis nikah dan larikan diri selama tiga tahun. Dalam masa tiga tahun tu, ada ke abang telefon Hana dan adik-beradik yang lain? Telefon papa dan mama? Ada? Tak ada kan? So, sekarang ni, siapa yang semakin jauh?”
Panjang lebar Tengku Farhana menyuarakan apa yang terbuku di hatinya. Sudah lama dia pendam. Dan sekarang tiba masanya untuk dia luahkan.
“Ya. Abang tahu, abang salah. Masa tu abang tak fikir panjang. Abang ikut kata hati abang. Tapi, abang buat semua ini bersebab.” Akui Tengku Fawwaz.
“Bersebab? Sebab apa? Sebab abang tak cintakan kak Yana.” Bukan soalan tetapi kenyataan Tengku Farhana berikan. Bukan dia tidak tahu yang abangnya larikan diri sebab tidak cintakan kakak iparnya. Tapi perlu ke abangnya larikan diri?
“Yes. Memang abang tak cintakan Aryana. Bagi abang, dia dah menjadi penghalang cinta abang pada Aisyah sebab dia terima lamaran mama. Kalau dia tak terima, abang tak akan larikan diri tiga tahun yang lepas,” jujur Tengku Fawwaz. Tidak disembunyikan lagi kisah hatinya walaupun papa dan mamanya sudah tahu.
“Cinta abang pada kak Aisyah? Tapi pernah ke kak Aisyah hargai cinta abang? Kalau dia betul-betul cintakan abang, dia tak akan pilih lelaki lain untuk hidup bersama.
Kata-kata Tengku Farhana ibarat satu tusukan pedang yang menusuk jauh ke dalam hatinya. Ya. Dia tahu yang Aisyah sudah berkahwin selepas seminggu dia berkahwin dan saat itu hatinya terluka teruk.
Tengku Fawwaz hanya diam tanpa jawapan. Tidak tahu hendak menjawab apa.
Melihat Tengku Fawwaz diam, Tengku Farhana mula bersuara. “Hana nak tanya abang, kalau abang memang tak cintakan kak Yana, kenapa abang gantung dia tak bertali selama tiga tahun? Kenapa abang tak ceraikan saja kak Yana?”
Dan Tengku Fawwaz masih lagi diam. Kenapa? Sebab dia nak tengok Aryana menderita! Dia nak Aryana rasa macam mana sakitnya hati dia saat itu. Sebab itulah dia gantung perempuan itu. Tetapi itu semua dulu ketika marahnya masih bermaharaja lela dalam hati.
Sekarang?
Rasa itu sudah tiada. Dia sudah sedar yang mencintai tak semestinya memiliki dan kerana itulah dia kembali kepada pangkuan keluarganya kembali.
Tiga selepas itu dia membuat keputusan untuk tidak melepaskan Aryana. Dan dia sendiri tidak tahu kenapa.
“Beginilah. Apa kata abang ceraikan saja kak Yana. Tiada guna abang gantung dia. Lagipun, bukan tak ada lelaki yang cuba pikat kak Yana. Ramai. Tetapi kak Yana tak layan sebab dia masih ingat status dia sebagai isteri orang walaupun ketika itu tiada khabar berita daripada abang.”
Cadang Tengku Farhana. Tiada niat untuk masuk campur tetapi dia sangat kesiankan akan nasib kakak iparnya.
Dan kata-kata Tengku Farhana membuatkan Tengku Fawwaz tidak senang duduk. Ramai lelaki cuba memikat isteri dia? Kenapa dia rasa macam statusnya sebagai suami terancam? Sedangkan dia tak cintakan Aryana pun.
“Abang tak akan ceraikan dia.” Laju saja mulut Tengku Fawwaz membantah cadangan si adik.
“Kenapa? Abangkan tak cintakan kak Yana. Jadi, tak ada sebab untuk abang kekalkan status kak Yana sebagai isteri abang.” Provok Tengku Farhana. Lagipun, dia tidak mahu melihat kakak iparnya berteman air mata. Dia tahu yang kakak iparnya sayangkan abang dia tetapi kalau orang dah tak cinta, tiada guna menanti lagi.
“Mama macam mana? Hana nak mama kena serangan jantung kalau dia tahu abang ceraikan menantu kesayangan dia tu.” Alasan Tengku Fawwaz.
“Abang jangan risau dengan mama. Hana tahu macam mana nak pujuk mama,” ujar Tengku Farhana.
“Baiklah. Tapi sebelum abang buat keputusan, abang nak tahu satu perkara.” Pinta Tengku Fawwaz.
“Apa dia?” soal Tengku Farhana. Membetulkan duduknya.
“Apa yang telah terjadi tiga tahun yang lepas pada Aryana?” soal Tengku Fawwaz. Dari semalam lagi hatinya mendesak ingin tahu tentang itu tetapi papa memilih untuk diam. Malah meminta dia bertanya pada Aryana sendiri.
Tidak mungkin!
Tengku Farhana menarik nafasnya sebelum menjawab soalan Tengku Fawwaz. “Kak Yana accident. Dan hampir meragut nyawanya. Dia koma. Hampir lima bulan dia tidak sedarkan diri.”
Kenyataan dari Tengku Farhana mengejutkan Tengku Fawwaz. Kemalangan? Tapi kenapa?
“Macam mana boleh kemalangan?” soal Tengku Fawwaz lagi.
“Masa hari abang lari, mama pengsan. Mama ditahan di wad seminggu kerana tekanan darahnya tinggi. Dan setiap hari kak Yana jaga mama sebab dia rasa bersalah. Dia kata, mama pengsan kerana dia. Mama kena serangan jantung pun kerana dia juga. Masa kak Yana on the way balik ke rumah, dia accident. Keretanya terbabas dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan dan terbalik.”
Cerita Tengku Farhana panjang lebar. Berharap ceritanya ini memberi kesedaran kepada abangnya.
“Allahu Akbar.” Hati Tengku Fawwaz rasa bersalah. Gerun mendengar cerita adiknya. Satu nyawa hampir melayang kerana dia.
“Doktor kata, mungkin kak Yana terlalu stres dan tidak cukup tidur.” Sambung Tengku Farhana lagi.
“Sekarang Aryana macam mana?” kali ini Tengku Fawwaz bertanya keadaan Aryana.
“Macam yang abang tengok sehari yang lalu. Trauma dia pun hampir pulih. Sebelum ni, kak Yana langsung tak boleh bawa kereta.” Cerita Tengku Farhana. Tiada selindung. Apa yang berlaku tiga tahun yang lalu, dia ceritakan semuanya pada abang dia. Dia nak abangnya sedar akan kesalahan sendiri.
“Kesiannya dia.” Tengku Fawwaz semakin rasa bersalah.
“Kalau kesian, terima kak Yana dalam hidup abang. Dan cuba cintakan dia,” nasihat Tengku Farhana sebelum bangun meninggalkan Tengku Fawwaz sendirian di taman mini tersebut bertemankan air terjun buatan.
Dan Tengku Fawwaz mula mengelamun jauh. Memikirkan kata-kata Tengku Farhana.
Patutkah dia terima Aryana dalam hidupnya dan mencintai isterinya itu?
Solat istikharah Fawwaz, kau akan temui jawapannya.
Ya! Pada Allah ada jawapan untuk setiap persoalan yang bermain di benak fikirannya. Hanya DIA!
Happy reading. next chapter will be update on friday. thank you.
Share this novel