SEJAK pulang ke Malaysia dan berbaik dengan Aryana, Tengku Fawwaz tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan keluarga mentuanya. Kerana terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai doktor, Tengku Fawwaz tidak mempunyai waktu yang cukup untuk bertemu dengan ibu bapa Aryana. Sudah banyak kali dirancang untuk pulang ke rumah keluarga Aryana tetapi ada saja halangannya.
Jadi, petang ini, selepas pulang dari kerja, kereta Tengku Fawwaz meluncur ke rumah keluarga Aryana yang terletak di Cyberjaya. Apa pun yang terjadi, Tengku Fawwaz perlu bersemuka dengan ibu bapa mentuanya dan memohon maaf dengan perbuatannya yang lepas.
“Yana dah beritahu abi dan umi yang kita nak ke rumah mereka?” soal Tengku Fawwaz ketika sedang memandu. Matanya masih fokus pada jalan raya.
“Dah.” Jawab Aryana. Walaupun dalam fikirannya dihujani dengan pelbagai soalan mengapa Tengku Fawwaz tiba-tiba saja hendak pulang ke rumah keluarganya, Aryana tutup mulut kerana tidak mahu Tengku Fawwaz salah erti dengan soalannya.
“Kita singgah beli sate nak? Siapa ada di rumah? Best juga makan sate ramai-ramai.”
Cadang Tengku Fawwaz. Tiba-tiba terasa hendak makan sate pula. Dan dalam kepalanya duduk terbayang mereka menikmati sate ayam atau daging ramai-ramai.
“Boleh. Tak silap, semua ada sebab esokkan hujung minggu. Biasanya diorang akan balik berkumpul di rumah abi dan umi,” beritahu Aryana.
Tiba-tiba berdebar pula apabila Aryana sebut semua ada. Rasa macam nak jumpa bakal bapa mentua pula padahal memang dia nak jumpa mentua pun tetapi yang ni versi sudah halal. Bukan bakal.
Kereta Tengku Fawwaz berhenti di depan pintu pagar rumah keluarga Aryana. Kereta adik-beradik Aryana juga berada di situ. Nampaknya semua sudah tiba. Tengku Fawwaz rasa seram sejuk pula. Manalah tahu kut-kut abi Aryana kejar dia dengan parang ke sebab tinggalkan anak perempuannya selepas akad nikah.
“Are you okay?” soal Aryana apabila melihat Tengku Fawwaz seakan termenung lama. Tiada tanda-tanda suaminya hendak keluar dari kereta.
“Errr...abang okey.” Tengku Fawwaz tutup rasa gugupnya dengan senyuman. Takkan dia nak mengaku tidak okay pula dan takut untuk masuk. Tidak jantanlah di depan Aryana.
“Kalau macam tu, jomlah masuk. Dah masuk maghrib ni. Nanti terlepas waktu pula.” Aryana sudah membuka pintu kereta. Dan mengambil sate yang dibeli di tempat duduk belakang. Tengku Fawwaz turut melangkah keluar dari kereta.
“Assalamualaikum.” Salam dihulurkan buat penghuni rumah. Senyap sunyi saja. Betul ke ada orang?
Tidak lama kemudian kedengaran suara orang menjawab salam yang diberikan oleh Aryana.
“Waalaikumussalam. Haa...dah sampai pun. Masuk-masuk.” Jemput Ariya ramah. Tengku Fawwaz menghulurkan senyuman buat si kakak ipar.
“Angah sihat?” Aryana bertanya khabar kakaknya yang sudah lama dia tidak berjumpa memandangkan kerjanya susah untuk cuti dan jarang dapat berkumpul bersama.
“Alhamdulillah. Angah sihat. Lama tak jumpa dengan acu.” Balas Ariya. Lantas meleraikan pelukan mereka.
“Masuk Fawwaz.” Jemput Ariya apabila melihat Tengku Fawwaz masih teragak-agak hendak masuk. Adiknya pun satu, tinggalkan suami sendirian di muka pintu.
Tengku Fawwaz menganggukkan kepala sebagai balasan dan melangkah masuk ke dalam rumah.
“Abi dan umi mana?” soal Aryana mencari Encik Abu Bakar dan Puan Azizah. Tidak kelihatan pula orang tuanya.
“Mereka tengah solat. Acu dan Fawwaz mesti tak solat lagikan? Pergilah naik. Bersihkan badan dulu.” Suruh Ariya. Tengok gaya adiknya dan adik iparnya memang mereka baru balik dari tempat kerja dan terus ke sini.
“Baik, angah. Ni sate. Nanti angah tolong letak kat dapur ya.” Aryana hulurkan sate kepada Ariya.
“Macam tahu-tahu saja angah mengidam nak sate. Baru saja nak suruh abang ngah pergi belikan kejap lagi.” Bersinar mata Ariya apabila Aryana menghulurkan plastik berisi sate padanya.
“Angah mengandung ke?” tebak Aryana. Ariya jarang mengidam jika tidak mengandung.
Ariya angguk malu-malu.
“Waaa...tahniah angah.” Gembira Aryana kerana bakal mendapat anak saudara lagi.
“Nanti giliran acu pula.” Usik Ariya. Ingin melihat reaksi si adik.
“Abang, jomlah kita naik solat. Nanti habis waktu pula.” Cepat-cepat Aryana tukar topik kerana tidak mahu Ariya membahannya di depan Tengku Fawwaz.
“Ya. Jomlah.” Tengku Fawwaz membuntui langkah Aryana menuju ke bilik isterinya yang dia tidak pernah jejaki. Persoalan mengapa Aryana mengelak apabila Ariya membangkitkan soal anak, Tengku Fawwaz tolak tepi dahulu. Ada kewajipan yang perlu mereka selesaikan.
Selesai mandi dan menunaikan solat maghrib berjemaah, Aryana dan Tengku Fawwaz turun ke bawah menyertai ahli keluarga yang sudah berkumpul di ruang tamu. Riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil.
“Ha! Turun pun. Ingatkan nak berkurung dalam bilik.” Abang sulung Aryana, Aizul menegur sebaik saja matanya menangkap pasangan suami isteri yang sedang menuruni tangga. Sengaja hendak mengusik si adik.
“Ish! Along ni!” marah Aryana apabila diusik seperti itu. Mentang-mentanglah dia anak bongsu, selalu saja menjadi mangsa buli.
Tengku Fawwaz bersalaman dengan Encik Abu Bakar dan Puan Azizah yang turut berada di situ.
“Abi dan umi sihat?” soalan permulaan sebelum bermulanya acara memohon maaf.
“Alhamdulillah. Kami sihat. Sihat orang tua saja Fawwaz.” Jawab Encik Abu Bakar bagi pihak isterinya.
Terkejut juga apabila anaknya Aryana memberitahu yang menantunya ingin bertandang ke sini. Dan dia sudah mengetahui tentang kepulangan Tengku Fawwaz dari besannya, Tengku Abdul Majid.
Pada mulanya Tengku Fawwaz agak kekok untuk meminta maaf memandangkan adik-beradik Aryana ada di situ tetapi dia perlu lakukannya kerana memang salah dia. Soal malu ditolak tepi buat sementara waktu.
“Abi, umi.” Panggil Tengku Fawwaz dengan matanya memandang wajah mentuanya. Wajah-wajah yang dia sakiti tiga tahun lepas kerana perangai tidak matangnya.
“Ya, Fawwaz,” jawab Puan Azizah.
“Fawwaz minta maaf dengan apa yang Fawwaz lakukan tiga tahun lepas. Fawwaz minta maaf dengan semua perbuatan Fawwaz yang memalukan abi dan umi.” Tengku Fawwaz tunduk mengucup tangan Encik Abu Bakar dan seterusnya mengucup tangan Puan Azizah.
Encik Abu Bakar memegang tangan Fawwaz. Tidak terjangka olehnya yang menantunya akan memohon maaf. Dia sudah lupakan perkara itu dan anggap itu semua ujian hidup.
Tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
“Abi dan umi dah maafkan Fawwaz. Kami faham waktu tu Fawwaz masih muda. Darah masih panas. Tapi abi harap lepas ni Fawwaz tak ulang kesalahan yang sama ya. Abi dah anggap Fawwaz macam anak abi sendiri. Jaga Aryana baik-baik. Kalau Fawwaz dah tak mampu untuk jaga Aryana lagi, pulang pada abi dengan cara yang baik.”
Terharu dan malu Tengku Fawwaz rasakan ketika ini. Terlalu baik ibu bapa mentuanya. Memaafkan kesalahan yang dia lakukan tanpa memarahinya. Tengku Fawwaz bersyukur dengan penerimaan ibu bapa mentuanya.
“Jaga Aryana elok-elok. Jangan sakitinya lagi. Umi tak sanggup tengok Aryana menangis lagi.” Pesan Puan Azizah sambil memandang menantunya itu. Dia nampak keikhlasan pada wajah Tengku Fawwaz.
Walau dia pernah marah sebelum ini tetapi dia sudah maafkan menantunya ini. Marah seorang ibu tidak akan lama. Lama-lama akan surut jua.
“Insya-Allah, abi, umi. Fawwaz tak mampu untuk berjanji kerana Fawwaz takut tak mampu untuk tunaikan janji itu. Fawwaz hanya mampu berdoa supaya Allah terus pegang hati Fawwaz pada Aryana. Dan Fawwaz perlukan doa abi dan umi semoga rumah tangga kami kekal hingga ke akhirnya.”
Tersenyum Encik Abu Bakar dan Puan Azizah dengan kata-kata menantunya itu.
“Umi dan abi sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu semua.” Balas Puan Azizah lembut.
“Dahlah tu acara memohon maaf. Perut aku ni dah berkeroncong ni bro!” sampuk Arman, abang ketiga Aryana.
“Haah. Kami semua dah maafkan kau, Fawwaz. Cuma lepas ni kalau kau sakiti Aryana lagi, memang kami takkan lepaskan. Lunyai aku kerjakan kau.” Sokong Aizul yang dari tadi diam memerhati. Amaran turut diberikan buat adik iparnya.
“Insya-Allah. Aku akan sayang Aryana sama seperti aku sayang diri aku.” Balas Tengku Fawwaz sambil memandang Aryana. Senyum manis dihadiahkan buat sang isteri. Terpanar Aryana ketika itu.
Senyuman itu buat Aryana terpukau seketika.
“Oit! Dah-dahlah bermain mata. Nak muntah aku!” teguran Arman membuat yang lain ketawa.
Aryana sudah tersipu malu.
“Yana pergi dapur dulu.” Bingkas Aryana bangun menuju ke dapur untuk menyediakan makan malam buat keluarganya. Membantu Ariya dan kakak-kakak iparnya di dapur.
Tengku Fawwaz tidak lepas memandang Aryana sehinggalah isterinya hilang disebalik dinding yang memisahkan antara dapur dan ruang makan.
“Dah-dahlah tu. Sabar sikit. Malam nanti kau gomollah dia puas-puas.” Usikan Arman membuat Tengku Fawwaz malu. Tertangkap pula. Seakan terlupa di mana dia berada apabila Aryana ada di depan mata.
Ah! Kau sudah angau Fawwaz!
Selepas itu mereka menjamu selera beramai-ramai. Pelbagai jenis hidangan yang ada. Masakan Puan Azizah yang paling laku.
“Tambah Fawwaz. Makan banyak-banyak. Jangan malu-malu.” Ujar Encik Abu Bakar. Seronok kerana semua berkumpul. Anak menantu dan cucu-cucu berkumpul, sangat meriah.
“Ya, abi. Kalau malu nanti, lapar,” balas Tengku Fawwaz. Walaupun ini merupakan kali pertama dia berkumpul bersama keluarga Aryana, rasa kekok hilang dengan layanan yang diberikan oleh mentuanya dan ipar-duainya. Mereka sangat mesra dan seperti sudah lama kenal.
“Yana, tambah lauk lagi pada suami kamu tu,” suruh Puan Azizah. Gembira dia rasakan ketika ini kerana semua anak menantu berkumpul di sini malam itu. Melihat kegembiraan di wajah Aryana, Puan Azizah bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doanya.
Tengku Fawwaz duduk bersandar pada kepala katil. Malam itu mereka tidur di rumah keluarga Aryana kerana tidak mahu menghampakan permintaan Puan Azizah. Jadi, Tengku Fawwaz bersetuju. Nasib baik dia sentiasa membawa pakaian kerja spare ke mana-mana pun. Jadi, tidak perlulah dia bergegas pulang awal pagi esok.
“Yana, macam mana dengan cuti tu? Sudah diluluskan ke?” soal Tengku Fawwaz memandang Aryana yang sedang duduk di depan meja solek.
Aryana berpusing ke belakang memandang Tengku Fawwaz.
“Belum lagi. Mungkin esok kut keputusannya,” balas Aryana. Dia bangun duduk di atas katil dan merebahkan badan untuk tidur.
“Dah nak tidur? Tunggu abang. Jangan tidur lagi.” Pesan Tengku Fawwaz lalu bingkas bangun dan menuju ke bilik air.
Pelik Aryana rasakan dengan pesanan Tengku Fawwaz. Sebelum ini tidak pula Tengku Fawwaz pesan sebegitu. Biasanya lelaki itu tidak kisah jika dia hendak tidur dulu.
Atau ada sesuatu Tengku Fawwaz ingin minta?
Sedang Aryana sibuk memikirkan hal itu, Tengku Fawwaz sudah pun keluar dari bilik air. Melihat Aryana yang sedang termenung jauh, Tengku Fawwaz menghampiri sang isteri. Aryana yang sedang bersandar pada kepala katil, Tengku Fawwaz hampiri. Tangannya naik mengusap lengan Aryana yang terdedah itu. Aryana hanya mengenakan baju tidur lengan pendek.
Meremang bulu roma Aryana saat Tengku Fawwaz mengusap lengannya. Pantas saja Aryana melarikan tangannya dan menjarakkan kedudukan dia dengan Tengku Fawwaz. Melihat senyuman nakal Tengku Fawwaz, Aryana rasa ingin lari keluar dari biliknya ini.
Kenapa dengan Tengku Fawwaz malam ini? Lain macam saja. Naik seram Aryana rasakan.
“Kenapa jauh sangat duduk tu. Sinilah. Dekat sikit. Duduk jauh-jauh, susah abang nak gosok dan belai sayang.”
Tutur kata Tengku Fawwaz yang nakal itu membuat Aryana semakin menjarakkan kedudukan mereka. Sikit lagi nak jatuh katil tapi Aryana tidak hiraukan. Dia rela jatuh katil daripada jadi mangsa Tengku Fawwaz yang gatal.
“Abang ni kenapa? Dah buang tebiat ke?” soal Aryana sedikit bengang. Cuba menutup rasa gugupnya.
“Mana ada buang tebiat. Abang sedang goda isteri abang sambil pikat hatinya. Manalah tahu sekejap lagi abang dapat hadiah ke?” senyuman gatal jelas kelihatan di bibir Tengku Fawwaz. Mata dikenyitkan kepada Aryana.
Terasa kesat air liur yang Aryana telan ketika ini. Tak. Dia tidak akan tergoda dengan Tengku Fawwaz dengan mudah. Walaupun hatinya dah mula mencair dengan setiap tingkah laku dan juga kata-kata Tengku Fawwaz tetapi bagi Aryana masih terlalu awal untuk dia terima suaminya sepenuhnya. Aryana ingin melihat sejauh mana encik suami mampu memikat hatinya.
‘Buat-buat biasa Aryana. Jangan tunjuk yang kau dah cair dengan Fawwaz.’
Badan ditegakkan. Aryana buat-buat tidak terkesan dengan godaan Tengku Fawwaz. Sengaja menunjukkan yang hatinya sedikitpun tidak mencair. Biar encik suami usaha lagi. Aryana perlu jual mahal.
“Kebal sungguh hati isteri abang ni. Nampaknya abang kena asah lagi skill menggoda ni. Barulah pagi esok bangun, sayang ada dalam pelukan abang yang erat sampai sayang rasa lemas.”
Terbuntang Aryana dengan kata-kata nakal Tengku Fawwaz.
“Fawwaz! You ni kan, merapu saja kerjanya.” Marah Aryana. Malu dengan kata-kata Tengku Fawwaz. Merah merona wajahnya.
Tengku Fawwaz ketawa sebelum ketawanya berhenti dan memandang Aryana dengan pandangan yang tajam dan muka yang serius. Dia menghampiri Aryana.
“You nak bu...” tanpa sempat Aryana bertanya lanjut, Tengku Fawwaz sudah mematikan bicara Aryana dengan bibirnya. Lama sebelum Tengku Fawwaz melepaskan bibir Aryana dan tersenyum lebar.
Puas hati kerana apa yang dia hajati tercapai walau bukan sepenuhnya.
Kelu Aryana ketika ini. Otaknya cuba memproses dengan apa yang berlaku.
“Lain kali sayang panggil abang ‘you’ lagi ya. Abang suka sebab dapat denda sayang macam ni.” Tengku Fawwaz menyeringai gatal. Terasa puas kerana dapat cium bibir merah Aryana kerana sejak dari tadi lagi dia geram dengan bibir sang isteri.
“Baru kena cium di bibir isteri abang dah jadi patung. Kalau abang cium tempat lain, pengsan agaknya.” Sindir Tengku Fawwaz sambil matanya memandang dada Aryana.
Jelingan diberikan kepada Tengku Fawwaz. Sukalah tu dapat kenakan dia. Huh! Melihat akan pandangan mata sang suami yang nakal itu, Aryana tunduk memandang diri sendiri. Setelah mengetahui arah mata sang suami, laju tangan Aryana naik menepuk peha Tengku Fawwaz.
Pap!
“Pervert!”
“Aduh!”
Share this novel