BAB 9

Romance Completed 628

Setelah menyuap makanan ke mulutnya beberapa kali, baharulah Aina bersuara.

“Kalau kita suka seseorang, kita doalah minta ALLAH jodohkan kita
dengannya. Kalau sesuai, ALLAH akan jodohkan. Jika tidak, adalah
halangan-halangannya.”

“Jadi confirmlah Aina suka Harith tu?” Tanya Dina, benar-benar ingin tahu.

Aina terus menyuap nasi goreng pattaya ke mulutnya. Soalan Dina
dibiarkan tidak berjawab. Dina tidak akan memaksa Aina namun dia
dapatkan rasakan benarlah Aina sukakan Harith. Entah mengapa tiba-tiba
ada sedikit rasa pedih di hatinya.

Hari-hari berlalu pantas. Peperiksaan akhir bakal menjelang dalam tempoh
seminggu lagi. Dina dan Aina sibuk dengan ulangkaji. Namun di waktu yang
sama, Dina juga serius belajar fardhu ain dari Aina. Dia sudah mula
mengerjakan sembahyang dan jika ada kesempatan, pasti akan sembahyang
berjemaah berimamkan Aina.

Pada hari pertama final exam, Dina muncul di dewan peperiksaan,
mengenakan tudung. Dia benar-benar ingin buat perubahan diri. Sementara
masih ada kekuatan, dia perlu bertindak segera. Tudung itu dibelinya
waktu keluar bersama Aina. Walaupun bukan tudung labuh seperti Aina,
tapi cukup untuk menutup paras dadanya sebagaimana yang diperintahkan
ALLAH. Moga-moga mamanya tidak akan membantah perubahannya kini.

Musim peperiksaan berlalu jua akhirnya. Aina berjanji untuk menghubungi
Dina waktu cuti nanti. Bahkan dia menjemput Dina bercuti di kampungnya
di Johor, jika sudi.

Saat meninggalkan kampus untyuk memulakan cuti, Dina merasakan ada duka
di hati. Rasa kehilangan atas sesuatu yang belum pun dimilikinya. Jejaka
berwajah bersih itu tidak mungkin akan ditemuinya lagi. Mungkin untuk
selama-lamanya.

“Kalau kita sukakan seseorang, doakan dengan ALLAH…” terngiang-ngiang
kata-kata Aina. Mungkinkah Aina berdoa agar bertemu jodoh dengan Harith?

Angin perubahan yang menyapa Dina tidak pula dibantah mamanya. Bahkan
mamanya meluahkan rasa gembira. Dina juga berharap, suatu hari mamanya
juga akan berubah. Berubah menjadi muslim yang lebih baik. Yang taat
akan perintah Tuhan di segenap aspek kehidupan.

Setelah seminggu, melepak di rumah, tidak ke mana-mana, Dina bercadang
untuk ke kedai buku. Beberapa tajuk buku yang dicadangkan Aina, mahu
dibelinya. Kata Aina, buku-buku itu sangat sesuai untuk membantu
menambah kefahamannya tentang Islam. Apapun Aina tetap mengingatkan agar
Dina berusaha mencari guru yang sesuai. Belajar agama perlu ada guru.
Kalau tidak, nanti syaitan yang menjadi gurunya.

Di kedai buku, Dina cukup teruja dengan pelbagai tajuk buku-buku agama.
Rasa ingin dibelinya semua. Tika leka membelek buku-buku yang disusun di
rak, Dina tiba-tiba terpandang seseorang yang baru masuk ke kedai buku
tersebut. Hati Dina berdebar-debar. Tidak disangka wajah itu masih dapat
ditatapnya. Jejaka itu tiba-tiba bergerak ke arah rak-rak yang
menempatkan koleksi buku-buku agama. Dina terasa lututnya lemah. Tidak
sanggup bertentang mata namun ke mana dia mahu lari sedangkan jejaka itu
semakin menghampiri.

“Eh, jumpa pulak kat sini,” sapa pemuda itu.

Dina sekadar mengangguk. Hilang kata-kata.

“Memang orang KL ke?”

“Duduk Cheras. Tak balik kampung ke?”Tanya Dina pula.

“Dah balik kejap. Ada urusan. Dapat offer kerja kat tempat praktikal
hari tu. So mula kerja minggu depan. Sedang cari rumah sewa.”

“Alhamdulillah. Murah rezeki.”

“Cari buku apa?”

Dina menghulurkan senarai buku-buku yang dicadangkan Aina.

“Aina cadangkan buku-buku tu,” kata Dina seraya memerhatikan reaksi
wajah pemuda di hadapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience