BAB 6

Romance Completed 628

“Tapi aku rasa, kalau dengan Aina, mungkin dia berkenan. Dah lah cantik,
solehah pulak tu,” usik Hanani seraya memandang ke arah Aina.

“Pandailah nak buat spekulasi. Macamlah Nani boleh baca hati dia,” balas
Aina.

“Memanglah aku tak boleh baca hati dia tapi boleh baca hati Aina, tau.”

Dina memandang ke wajah Aina yang mula merona merah.

“Memanglah. Aku pun boleh baca hati Aina. Asyik berdebar-debar sahaja
bila time meeting persatuan anak negeri Johor. Harith jadi presiden,
Aina jadi bendahari. Tentu selalu meeting. Takkan Harith tak perasan
kewujudan Aina yang ayu ni,” tambah Suraya pula.

“Ehh…Janganlah buat gossip ya,” balas Aina sambil tertawa kecil.

“Bila nak mulakan langkah pertama, Aina? Tinggal 2 bulan je lagi ni.
Lepas tu, Harith dah graduate, chow dari kampus, susahlah nak jumpa lagi.”

“Eh kau ni Nani, janganlah ingat Aina macam kau. Selamba je nak pi
ngorat mamat tu. Aina ni pun sama je macam mamat tu. Tak akan bercinta
sebelum kahwin.”

Hanani tersengih nakal memandang Aina.

“Camtu, kita kena tolong buatkan skrip drama supaya depa jatuh cinta dan
luahkan perasaan masing-masing. Aina lalu depan dia, pastu buat-buatlah
tercicir purse. Bila dia ambil purse tu, ucaplah terima kasih dan
berilah renungan malu-malu kucing. Pastu…”

“Idea ko langsung tak boleh pakai. Itulah akibatnya banyak sangat baca
novel cinta. Tak menjejak di bumi nyata. Macam cerita Hindustan je,”
bangkang Suraya.

“Eh, dah lah tu. Merepek-repek lah korang ni. Ni, makan nasi impit sedap
ni. Pandai mama Dina buat rendang. Sedap betul,”celah Aina tiba-tiba
mengubah topik.

Dina terus merenung wajah Aina dan wajah bersih jejaka itu kembali
terbias di fikirannya.

“Macamana boleh jadi macam ni, Zaid?”

Pertanyaan Harith tidak dijawab. Zaid terus memejamkan matanya. Dia
sendiri sudah buntu. Bagaimana hendak dijawab kepada mak ayahnya nanti.

Harith melepaskan keluhan yang berat.Sudah berkali-kali dia nasihatkan
Zaid agar berhati-hati. Jangan terbawa-bawa dengan nafsu yang memang
kehendaknya tidak bertepi. Tidak kira halal atau haram. Kehendak nafsu
itu pula tidak pernah puas-puas. Sangat mengajak kepada kejahatan.
Itulah yang Allah ingatkan di dalam Al Quran. Kerana mengenepikan
ingatan itulah, Zaid sedang menanggung akibatnya.

“Elok kau kahwin saja dengan Mira.”

Kata-kata Harith buatkan Zaid tersentak. Dia segera bangkit dari
pembaringan.

“Aku memang nak kahwin dengan dia. Tapi aku mana ada duit. Kerja pun belum.”

“Habis kalau dah sampai kena tangkap khalwat camni, takkan kau tak nak
kahwin? Takkan mak ayah dia tak nak kau betanggung jawab. Soal rezeki,
Tuhan dah jamin. Selagi ada nyawa kita, selagi itu akan ada rezeki untuk
makan minum.”

“Aku belum buat apa-apa pun. Baru je check in kat hotel tu.”

“Alhamdulillah belum terlajak tapi dah memang ke arah tu, kan? Sebab itu
kau sewa bilik hotel tu. Kahwin sajalah Zaid. Nanti aku cuba uruskan
dengan seorang ustaz kat pejabat agama yang aku kenal. Yang penting, kau
jumpa mak ayah Mira dan minta maaf. Cakaplah kau nak bertanggung jawab.”

“Tinggal sebulan lagi nak final exam. Lepas itu aku uruskan lah hal
nikah ni,” balas Zaid dengan dahi berkerut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience