BAB 4

Romance Completed 5096

Rizal tersenyum lega, memerhati si gadis yang dikelilingi oleh teman-teman sekampung. Hanna telah sah menjadi tunangannya. Dia sendiri menyaksikan ibunya menyarungkan cincin berlian bermata satu itu ke jari runcing milik Hanna. Dia sendiri menyaksikan Hanna mencium tangan ibunya penuh sopan. Dia sendiri menyaksikan senyum manis Hanna yang berpakaian serba putih itu.

Semua itu disaksikan dengan sepasang mata miliknya. Semuanya indah walaupun majlis itu sungguh sederhana. Dia sendiri bagaikan tidak percaya, Hanna, gadis yang dipujanya kini telah menjadi miliknya walaupun tidak sepenuhnya.

Perasaan kasihnya pada gadis itu mengebu-gebu. Rasa sebak menghimpit jiwanya bertindih dengan perasaan gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sungguh! dia tidak pernah merasakan perasaan sedemikian rupanya. Semuanya menjadi satu. Menerbitkan satu perasaan yang terlalu indah.

Memang emaknya melarang keras ketika dia berhajat untuk turut serta di majlis pertunangannya, kurang manis, kata emaknya. Cukuplah ketika merisik dia turut serta, atas alasan untuk menunjukkan rumah. Namun dia tetap berkeras.

Dia ingin turut serta untuk menyaksikan mimpinya itu menjadi satu kenyataan. Dia ingin menyaksikan sendiri cincin pilihannya itu disarungkan ke jari manis milik gadis yang telah lama mencuri hatinya. Semuanya dia ingin saksikan sendiri dengan sepasang matanya kepunyaannya, agar dia tidak lagi merasakan yang ianya satu mimpi.

Dia tersenyum mengingatkan kali pertama dia menjejaki kakinya ke rumah Hanna, berseorangan. Hanya semata-mata untuk menerangkan hajatnya.

Fikirnya dia perlu mendapatkan persetujuan kedua orang tua Hanna terlebih dahulu sebelum membawa kedua orang tuanya merisik. Jesteru kerana itu, digagahkan juga untuk bersua muka dengan kedua ibubapa Hanna, bakal mentuanya kalau diizinkan Allah.

Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar, walaupun pada mulanya, kedua orang tua Hanna terkejut dengan caranya yang agak kurang sopan. Namun, mungkin jodohnya dengan Hanna telah tersurat.

“Dah, jom balik… dari tadi asyik nak memandang je… tak lari ke mana Hanna tu,” cuit Hjh. Rosnah geram. Sakit betul kepalanya memikir perangai si anak.

“Tak malu betul,” gerutu hatinya geram bila mengingatkan kedegilan Rizal untuk turut serta dalam majlis pertunangannya.”Dahulu disuruh kahwin, bukan main liat lagi, sampai umur pun dah meningkat 32 tahun, sekarang tak menyempat-nyempat pulak dia.”

“dah…jom!” cuit Hjh Rosnah bila dilihatnya Rizal tidak berganjak dari tempat duduk, sedang matanya tidak lepas memandang wajah Hanna yang tertunduk malu.

“Cepatlah Rizal…bising pula ayah kau kat bawah tu,” Ikut hati tuanya mahu ditariknya Rizal sekuat hati bila melihatkan anak bujang tunggalnya yang dah semacam angaunya.

Dia percaya Hanna memang manis, cantik asli tambahan hari ini, sedikit mekap yang terpalit di wajahnya menjadikan wajah itu semakin jelita. Di tambah pula dengan sifat gadis timur yang penuh kesopanan yang dimiliki oleh gadis itu menjadikan dia calon isteri yang paling sempurna.

“Pandai betul kak Kalsum dan Abang Razlan mendidik anak..” desis hati Hjh. Rosnah. Dalam diam dia begitu bersetuju dengan pilihan Rizal, tak sia-sia anak bujangnya itu membujang sebegitu lama. Rupa-rupanya jodohnya dengan gadis yang baik dan jauh lebih muda dari usia anaknya sendiri.

Hati siapalah yang tak senang melihat wajah manis itu, Hjh. Rosnah sendiri sudah jatuh kasih pada Hanna. Tambahan pula dia tiada anak perempuan, hanya Rizallah seorang, moga-moga kehadiran Hanna dalam keluarganya kelak akan membawa seribu kebahagiaan.

Tak hairanlah Rizal begitu tergila-gilakan Hanna. Dalam diam dia berazam akan menjadi seorang mentuanya baik pada Hanna, Hanna akan dibuat seperti anak kandung sendiri. Harta-hartanya juga akan turut diwarisi oleh Hanna.

Hjh. Rosnah tersenyum sendirian. Dia sendiri sudah tidak sabar untuk mengadakan kenduri dan dia sudah mula berkira-kira untuk menumbangkan berapa ekor lembu, ayam untuk dihidangkan kepada tetamu, Fikirnya semuanya mesti dibuat pantas kerana tarikh akan tiba pada hujung tahun ini, ini bermakna majlis perkahwinan itu akan di adakan 6 bulan dari sekarang.

Tiba-tiba saja dia merasakan kesuntukan masa. Mana nak merancang majlis, merancang jumlah tetamu, siapa yang nak dijemput, makanan dan minuman dan yang paling penting, acara yang paling mustahak, pelamin dan persandingan. Yang pastinya majlis itu akan dibuat secara besar-besaran.

“tempah dewanlah..” fikirnya sendirian.

“Saudara mara semuanya kena jemput..” Hjh. Rosnah mula berangan-angan. dikerlingnya Rizal yang sudah pun berdiri disebelahnya.

“Jumpa bakal mentua kau dulu” arah Hjh. Rosnah lembut sambil menarik lengan Rizal penuh bahagia sambil kepalanya mula mengatur rencana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience