BAB 3

Romance Completed 5096

“Kenapa saya lihat Hanna macam cuba nak menjauhkan diri dari saya?” soal Rizal sambil menyuapkan nasi ke mulutnya.

Hanna diam, perlahan-lahan dia menyedut air tembikai di dalam gelasnya. Hatinya gelisah. Resah memikir yang dia kini sedang makan berduaan dengan Rizal di tempat yang dia sendiri tidak pernah menjejakkan kakinya, terasa terlalu asing, setiap langkah dan tingkahnya juga terasa terlalu sumbang.

“Saya tak pernah cuba menjauhkan diri dari En. Rizal” balasnya lambat-lambat.

“Hanna takut dengan saya?”

“tidaklah… Buat apa saya nak takut, En. Rizal bukannya orang jahat..”

Rizal menarik nafas lega.

“Sekurang-kurangnya aku tidaklah buruk di mata dia.” Desis hati Rizal.

Dia sendiri tidak pasti, apalah untung nasibnya hari ini, setelah sekian lama setiap ajakannya ditolak lembut oleh Hanna, tiba-tiba hari ini ajakannya diterima juga oleh Hanna.

Jesteru kerana itu Hanna dibawa ke sini, restoran eklusif. Tujuannya hanya satu, supaya dia boleh berbual dari hati ke hati dengan lebih selesa .

”Hanna tak selesa berada di sini?” soal Rizal bila melihatkan tingkah laku Hanna yang agak kekok.

Lambat-lambat Hanna menggeleng. Rizal meletakkan sudu dan garfunya di tepi pinggan, menolak pinggan ke tepi dan menarik gelas berisi jus epal dihadapannya.

Perlahan-lahan dia menyedut jus sehingga tinggal tinggal separuh, menolak ke tepi dan mengelap bibir yang dihiasi kumis nipis dengan ‘napkin’ yang disediakan. Kemudian meletakkan napkin di atas meja dan memandang wajah Hanna yang sedang ralit melihat setiap perbuatannya.

Diam-diam Hanna mengkagumi lelaki di hadapannya, begitu teratur dan sopan setiap gerakannya. Setiap kelakuannya begitu manis dipandang. Tidak kasar atau terlalu lembut sehingga boleh meremangkan bulu tengkuk.

Lama dia merenung lelaki itu, susuk tubuhnya yang tinggi, berbadan sedang-sedang sahaja, tidak terlalu sasa, tidak terlalu kurus, kening hitam lebat yang terbentuk, hidung mancung, bibir merah tidak merokok yang dihias kumis nipis yang terjaga sempurna. Memang menawan..

“Hanna!”

Hanna tersentak. Putus lamunannya. Segera ditundukkan wajahnya yang mula merah menahan malu.

Walaupun diserang kehairanan melihat Hanna yang memandangnya penuh minat, namun Rizal tidak tergamak untuk bertanya. Bimbang soalan itu akan mengganggu ketenteraman hati si gadis yang nampaknya sudah tergugat.

Dia tahu Hanna sedang menyembunyikan rasa malu, dan dia tidak mahu menambah rasa malu gadis itu. Biarlah erti pandangan itu menjadi rahsia Hanna. Dia tidak mahu mengetahuinya.

“Hanna… saya nak Hanna berterus-terang dengan saya.” Rizal terhenti di situ. Menarik nafas panjang-panjang seolah-olah mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya. Matanya tidak lepas memandang wajah Hanna yang menunduk.

“Hanna, pandang saya, saya mahu Hanna berterus-terang dengan saya, jujur dan tolonglah berkata benar dengan saya,’

Hanna mengangkat muka, memandang wajah lelaki itu sekilas dan kembali tunduk. Segan rasanya untuk menatap wajah lelaki itu lama-lama.

“Hanna.. dah ada teman istimewa?”

Hanna terkejut. Wajahnya diangkat memandang wajah Rizal dengan penuh kehairanan. Mencari sesuatu di situ, namun hampa, tiada sebarang reaksi yang boleh ditafsirkan.

“Kenapa?” balasnya tanpa menjawab soalan dari Rizal.

“Saya inginkan jawapan dari Hanna terlebih dahulu..”

Lama Hanna terdiam. Resah hatinya bila didesak begitu.

“Kenapa pulak En. Rizal tanya macam tu.” Bisik Hanna sendirian.

“Apa yang aku nak cakap ha? Dah berpunya? Belum berpunya! Ya Allah… segannya aku.”

“Hanna?”

“Saya…”

“Tak apa…Cakap saja..”

“Saya… saya tak tahu nak cakap apa.”

“Cakap saja yang sebenarnya…”

Hanna diam. Kemudian menarik nafas panjang-panjang dan lambat-lambat Hanna menggeleng lembut.

Rizal menarik nafas kelegaan. Terasa peluangnya semakin cerah, terasa Hanna akan pasti menjadi miliknya seorang. Lambat-lambat dia tersenyum.

“Hanna sudi menjadi suri hidup saya?”

Hanna benar-benar terkejut. Kelu lidahnya, terasa kaku seluruh anggotanya tubuhnya. Dia benar-benar tidak menyangka akan dilamar oleh seorang lelaki dengan cara sebegitu. Tak pernah termimpi pun olehnya, dan dia sendiri tidak pernah menduga Rizal menaruh hati kepadanya.

Patutlah selama dia mengenali Rizal, Rizal begitu liat untuk menerima pelawaan Liza atau mana-mana perempuan yang cuba mendampingi lelaki kacak ini.

Patutlah selama ini Rizal semacam cuba untuk mendekati dirinya. Cuma dia yang begitu buta menilai perasaan Rizal. Cuma dia yang tidak melihat cinta untuknya di mata Rizal.

“Hanna..” sapa Rizal setelah lama menanti.

“Macamana?”

Dia tidak pernah menyintai Rizal, bahkan dia tidak pernah menyintai mana-mana lelaki. Baginya dia lebih rela hidupnya diatur oleh kedua ibu-bapanya.

“Siapa pun pilihan ibubapanya dia akan rela sepenuh hati tanpa apa-apa bantahan. Dia begitu menyakini bahawa kebahagiaan seorang anak terletak pada restu kedua ibubapa. Atas keyakinan itulah, dia tidak pernah membenarkan mana-mana lelaki cuba mendekati hidupnya.

Dia tahu Rizal adalah seorang lelaki yang amat baik. Dia menyakin sangat-sangat, dia juga menyukai Rizal tapi hanya sebagai seorang kawan. Bolehkah dia mengubah perasaan itu. Bolehkah nanti dia menyintai Rizal?

Tapi haruskah dia menolak lelaki sebaik Rizal. Mungkin Rizal tidak sekaya Dato’ Harun. Tapi mempunyai pekerti yang cukup baik, sikap dan perwatakan yang menarik. Dia sedar lelaki seperti Rizal bukanlah boleh ditemui setiap hari.

“Hanna?”

“Macam orang putih lah pulak” balasnya sambil tersenyum. Saat itu dia sendiri telah membuat keputusan. Menyerahkan segala-galanya pada Allah. Andai ada jodohnya dengan Rizal, maka dia akan menjadi suri hidup Rizal.

Rizal tergelak. Merenung wajah manis dihadapannya lama-lama. Terasa mimpi bagaikan jadi kenyataan dengan senyuman manis Hanna.

“Maaf, kalau Hanna rasa cara saya tidak beradat, saya cuma inginkan kepastian dari Hanna sahaja, Hanna sudi?”

“Saya tak kata yang saya sudi En. Rizal, Kalau En. Rizal betul-betul berhajat, berjumpalah dengan kedua ibu-bapa saya. Saya serahkan soal jodoh pada kedua ibu-bapa saya. Kalau mereka setuju, maka itu juga jawapan saya, tapi kalau sebaliknya, maka itu juga tetap menjadi jawapan saya.”

Rizal menarik nafas lega. Tubuhnya disandarkan di kerusi rotan sambil matanya tidak lepas memandang Hanna. Tiga tahun dia cuba menarik minat gadis itu terhadapnya. Sayang tidak menampakkan apa-apa hasil, namun hari ini, mimpinya bagaikan telah menjadi kenyataan.

Ratu idaman seolah-olah memberi harapan, dan sekarang dia perlu berusaha memenangi hati bakal ibubapa mertuanya. Dia tersenyum senang, sambil mengelus-ngelus rambutnya yang ikal, dia bangun dari kerusi.

“Jom…” ajaknya pada gadis pujaan. Diruang matanya telah terbayang wajah gembira emak, wajah ayah. Terbayang diruang matanya betapa bahagianya dia nanti, hidup bersama Hanna dan dikelilingi oleh anak-anak yang comel, penyambung keturunannya. Betapa bahagianya hidup mereka nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience