Bab 3 - Hubungan
Melihat Maisarah nekad dengan keputusannya, Azura berhenti memaksa. Membuat sesuatu kerana paksaan akan menambahkan banyak masalah lain.
Azura membuat keputusan untuk berbual mengenai perkara lain manakala Maisarah terus meneruskan kerjanya sambil melayan Azura.
Setengah jam kemudian, Azura pulang ke tempat kerjanya dan Maisarah segera berasa lega.
Maisarah menyandar di kerusi pejabatnya dan berfikir mengenai apa yang terjadi sebentar tadi.
‘Aku kena usaha lebih kuat lagi,’ fikir Maisarah.
***
Pada masa yang sama, Azlan masih berada di Kafe AZ menikmati manisan-manisan yang dibeli sebentar tadi.
Azlan merupakan seorang yang sangat serius dari segi perbuatannya sehinggalah ekspresi mukanya.
Semua orang yang mengenali dia tahu yang Azlan tidak suka mengambil mudah dengan segala perkara yang dibuat. Dia akan melakukannya dengan serius.
Selain itu, dia juga jarang sekali senyum di hadapan orang lain. Senyuman yang diberikan hanyalah bisnes. Muka Azlan sentiasa serius tanpa sebarang senyuman.
Disebabkan ini, semua orang agak takut bila berurusan dengan dia.
Azlan tidak akan mengamuk atau meninggikan suara jika mereka melakukan kesalahan tetapi pandangannya yang serius dan kritikan yang keluar dari mulutnya sangatlah tajam.
Walaupun Azlan terkenal dengan ciri-ciri ini tetapi ketika ini, aura Azlan sama seperti pelanggan-pelanggan lain di Kafe AZ.
Dia tidak memberikan ‘aura’ seriusnya dan hanyalah seperti orang-orang yang biasa sahaja. Kalau ada orang yang dikenali melihatnya ketika ini, mereka akan terkejut besar.
Muka Azlan ketika ini relaks ketika menikmati manisan-manisan yang dibeli.
Azlan bermain dengan telefon bimbitnya sambil menikmati manisan yang dibeli. Suasananya tidaklah jauh berbeza dari orang-orang muda lain yang berada di dalam Kafe AZ.
Azlan bukanlah membuat kerja melalui telefon bimbit tetapi menonton video online.
Ketika dia sedang menonton video, tiba-tiba ada panggilan masuk ditelefonnya.
[Liyana] merupakan nama pemanggil itu.
[Awak tengah buat apa tu?] Liyana terus bertanya setelah Azlan menjawab panggilan itu.
Muka Azlan menjadi serius semula dan menjawab, “Kenapa call?”
[Hahaha] Liyana ketawa, [Saja je nak call. Salah ke kalau teman wanita awak call?]
“So, kenapa call?” Azlan tidak melayan usikan Liyana.
[Dah seminggu kita tak jumpa. Saya free Ahad ni, jom keluar jalan-jalan. Tengok movie ke, makan-makan ke] Liyana mengajak dengan suara yang ceria.
“Aku ada benda lain nak buat Ahad ni,” Azlan menolak pelawaan Liyana.
[Oh] Liyana kecewa. [Hmm~ tapi kita kena jumpa jugak minggu ni. Dah lama sangat kita tak jumpa. Awak tahu kan kenapa kita kena jumpa?]
“...” Azlan terdiam seketika. Dia mengurut dahinya perlahan-lahan dan menjawab, “Hari Sabtu.”
[Sabtu? Saya ada shooting pagi tu mungkin sampai tengah hari. Petang boleh?] jawab Liyana.
“Ok. Sabtu petang. Jumpa tempat biasa,” jawab Azlan.
[Ok~ then-] Liyana mahu bercakap sesuatu tetapi Azlan segera memutuskan panggilan itu.
Azlan melihat manisan-manisan yang berada di hadapannya dan mukanya yang serius menjadi relaks semula. Dia terus menikmati manisan-manisan itu.
Setengah jam kemudian, Azlan selesai menikmati manisan-manisan itu. Dia segera bangun dan ingin keluar dari Kafe AZ tetapi berhenti dan memandang ke arah kaunter.
Dia berfikir seketika sebelum pergi ke kaunter itu dan membuat takeout order untuk manisan yang berbeza.
“Ini order awak. Semuanya RM 20,” staf kaunter itu memberi bungkusan manisan-manisan itu kepada Azlan.
“Kenapa ada menjerit tadi?” Azlan bertanya.
“Ah??? Ah, takde apa-apa pun,” jawab staf kaunter itu.
“Ingatkan ada orang cedera tadi,” sebut Azlan dan dia segera meninggalkan kaunter itu.
***
5 petang.
“Kak Mai dah nak balik ke?” Firdaus bertanya kerana dia melihat Maisarah keluar dari pejabat dengan beg tangannya.
Maisarah selalunya berada di kafe itu sehingga jam 9 tetapi hari ini dia keluar lebih awal pula.
“Kawan akak nak tarik kereta akak yang rosak tu,” jawab Maisarah.
“Ah! Lupa pulak,” Firdaus mengangguk.
“Daus tengok-tengokkan kedai ye. Kalau ada apa-apa telefon akak. Tutup kedai macam biasa je,” Maisarah memberikan arahan yang selalu diberi. Dia keluar melalui pintu belakang kedai menghala ke arah keretanya yang rosak.
Beberapa minit kemudian, Maisarah tiba ke keretanya yang diparking di tepi jalan itu.
Ianya kereta wira berwarna hijau gelap tetapi warnanya telah lusuh. Sesiapa sahaja yang melihat kereta ini tahu bahawa ianya adalah kereta lama.
Maisarah telah tiba ke keretanya tetapi rakan yang disebut oleh dia tadi masih belum tiba lagi.
Maisarah melihat kereta itu dan mengeluh. “Kalau asyik rosak je, nampaknya lagi elok kalau beli yang baru je. Tapi bukan senang nak buat loan.”
Kereta Wira yang dipakai Maisarah bukanlah kereta milik keluarganya tetapi kereta terpakai yang dibeli dengan murah.
Disebabkan Maisarah memerlukannya, dia terpaksa membeli kereta terpakai. Dia mahu membeli kereta yang baru tetapi ketika itu, dia baru memulakan kerja di Kafe AZ dan loan yang dipohon ditolak.
Oleh itu, dia hanya mampu membeli kereta terpakai yang murah.
Maisarah menepuk manja kereta Wira itu beberapa kali sambil berkata, “Agaknya masa bersara kau telah sampai.”
Pada masa yang sama, sebuah kereta pajero hitam berhenti di belakang kereta Wira Maisarah.
“Mai,” seorang lelaki keluar dari kereta hitam itu dan memanggil Maisarah dengan penuh kebiasaan.
“Abang Zain,” Mai memandang Zain sambil tersenyum.
Maisarah dan Zain telah mengenali satu sama lain semenjak kecil lagi. Mereka adalah jiran dan kedua-dua keluarga sangat rapat dengan satu sama lain.
Walaupun Zain dua tahun lebih tua dari Maisarah, mereka sangat rapat sebab mereka membesar bersama-sama.
Kedua-dua belah keluarga berfikir yang Zain dan Maisarah sangat sesuai dengan satu sama lain dan mahu menyatukan mereka tetapi Maisarah dan Zain menentang kuat dengan rancangan mereka.
Ini kerana, Maisarah menganggap Zain seperti abang sahaja dan Zain juga hanya menganggap Maisarah sebagai adik perempuan sahaja.
Hubungan mereka memang seperti adik-beradik sahaja. Tidak pernah terlintas sekali pun di fikiran mereka melihat satu sama lain sebagai pasangan.
Selepas keluarga mereka memberitahu niat mereka, Maisarah dan Zain berasa janggal untuk berjumpa satu sama lain.
Selain itu, mereka juga berfikir semula yang mereka berada di umur yang agak kurang manis kalau mereka berjumpa tanpa orang lain.
Ini dapat dibuktikan dengan apa yang diinginkan dari keluarga mereka.
Semenjak itu, mereka jarang berjumpa tetapi mereka masih berbual dan bertegur kalau terjumpa satu sama lain.
“Nampaknya Mai memang kena tukar kereta baru tak lama lagi.” kata Zain sambil tersenyum. Dia membuka boot enjin kereta wira itu untuk memeriksa kerosakan yang dialami.
“Teruk ke rosaknya kali ni?” Maisarah bertanya.
“Sekejap. Biar abang cek dulu,” jawab Zain.
Zain merupakan seorang mekanik dan dia membuka bengkelnya sendiri. Perniagaannya agak baik dan bengkelnya mempunya ramai pelanggan.
Beberapa minit kemudian, “Hmm… Besar masalah dia kali ni,” kata Zain.
“Huh?” Maisarah bertanya.
“Sekurang-kurangnya akan ambik masa seminggu nak betulkan kereta ni,” kata Zain dan dia berdiri tegak di hadapan enjin kereta Wira itu.
“1 minggu?!” Maisarah terkejut. Sebelum ini, jika keretanya rosak akan mengambil masa beberapa jam sahaja untuk pulih. Tetapi kali ini, ianya mengambil masa satu minggu.
“Ya, sekurang-kurangnya. Mungkin dua minggu paling lama,” kata Zain. Dia menutup boot kereta Wira itu semula.
“...” Maisarah terdiam dan dia mengurut dahinya sebab berasa sedikit tertekan.
“Tak boleh siap lagi cepat ke?” tanya Maisarah tetapi Zain menggeleng kepalanya.
“Ok,” Maisarah terima keputusan yang diberi.
“Sekejap lagi budak abang akan datang tarik kereta ni. Mai takyah ikut lah. Budak Abang akan handlekan,” kata Zain.
“Ok,” jawab Maisarah.
“Mai balik rumah naik teksi ke lepas ni?” Zain bertanya.
“Bas… Mungkin Grab kalau malas nak tunggu bas. Teksi mahal sangat sebab pakai meter dan sekarang ni masa rush hour. Orang semua tengah balik kerja,” jawab Maisarah.
“Then, naik Abang je la. Abang pun nak balik rumah terus ni. Kita tunggu budak abang sampai sekejap lagi and then, kita gerak,” kata Zain.
“Err… Nanti tak ke keluarga kita salah faham?” tanya Maisarah.
“Bukannya Abang saja-saja pegi ambik Mai kat tempat keje. Dah menyambil on the way. Jangan fikir sangatlah,” jawab Zain.
“Kang kalau Mai terlalu fikir sangat nanti silap-silap betul-betul suka kat Abang nanti, kekeke,” gurau Zain dan dia tergelak besar.
“Eww!!!” Maisarah menjauhkan diri dari Zain.
“Abang Zain takda berkenan dengan siapa-siapa ke? Kahwin la cepat-cepat supaya keluarga kita takdelah memaksa kita macam ni,” tanya Maisarah.
“Siapalah yang nak orang macam abang ni?” kata Zain.
“...” Maisarah tak terkata kerana dia tahu yang Zain sangat popular masa zaman sekolah dulu. Sekarang ni pun ada ramai orang yang tertarik dengan dia.
“Nak pura-pura lagi la tu,” Maisarah mendengus.
“Pura-pura apa pulak. Betul la apa yang abang cakap ni.”
“Mai tengok ramai je perempuan yang suka kat abang,” kata Mai.
“Diorang suka kat abang tapi abang tak suka kat diorang. Nak kahwin ni bukan senang. Kalau dua-dua suka sama suka pun, kalau keluarga kitorang ada yang tak suka susah jugak,” jawab Zain.
“Mai pernah dengar tak yang bila kita kahwin nanti, kita bukan kahwin pasangan kita je tapi keluarga dia sekali. So, bukan senang nak cari orang yang betul-betul sesuai dengan kita,” sambung Zain.
“Terutamanya abang ni mekanik je. Nama mekanik tu je dah senang nak buatkan keluarga pasangan abang tu mungkin akan tak berapa nak suka dengan abang,” Zain senyum.
“Tapi abang Zain bukan mekanik yang biasa-biasa. Bengkel abang Zain pun bukan bengkel yang kecik,” kata Maisarah.
“Kan abang dah cakap tadi, nama ‘mekanik’ tu je dah cukup,” Zain senyum.
“Oh tapi tak semua orang pandang buruk kerja mekanik ni,” kata Maisarah.
“Sebab tu abang cakap kena cari orang yang betul-betul sesuai,” kata Zain.
“Nampaknya budak abang dah sampai.”
Zain menguruskan lori tarik kereta itu dengan stafnya. Selepas itu, Zain dan Maisarah bertolak pulang. Disebabkan waktu rush hour, kedua-duanya sampai ke rumah hampir waktu Maghrib.
Zain terus parking keretanya di rumah. Maisarah dan Zain keluar dari kereta dan mendengar suara yang riuh keluar dari rumah Maisarah.
Di luar rumah Maisarah juga terdapat sebuah kereta mercedes-benz hitam.
“Nampaknya rumah Mai ada tetamu,” kata Zain dan Maisarah mengangguk.
“Mai balik dululah,” Maisarah segera pulang ke rumah.
Enjoy :)
Share this novel