Bab 6 - Kemalangan

Romance Series 3834

Bab 6 - Kemalangan

Serpihan-serpihan dari perhentian bas itu terbang dan memukul Maisarah tetapi dia tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ianya adalah serpihan yang kecil sahaja.

Walaupun seluruh badan Maisarah basah kerana hujan dan badannya menggigil kuat tetapi ianya bukan disebabkan hujan.

Jantung Maisarah ketika ini berdegup kencang kerana terkejut dan ketakutan. Badannya menggigil dan nafasnya laju.

“Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah,” Maisarah toleh ke arah perhentian bas yang berada di belakangnya.

Perhentian bas itu rosak teruk dan kereta itu terdiam sepi di dalam kawasan perhentian bas itu.

Struktur bumbung perhentian bas itu telah jatuh dan menghempap kereta itu dan terdapat juga tiang yang bengkok dan bergoyang-goyang.

Maisarah tidak dapat mengenali jenis kenderaan itu kerana hujan dan ianya rosak teruk akibat kemalangan ini. Fikiran dia juga masih tidak tenang.

[KREEEEK]

Tiba-tiba, tiang yang bengkok dan bergoyang-goyang itu jatuh ke arah Maisarah.

Maisarah cuba mengelak tiang itu tetapi kakinya tidak kuat kerana ketakutan. Dia menggunakan tangan dan menolak badannya untuk berguling di atas rumput itu.

Walaubagaimanapun, Maisarah terlalu lambat untuk berbuat begitu dan tangan kanannya dihimpap tiang yang berat itu.

“AHHHH!” Maisarah menjerit kesakitan. Matanya merah dengan air mata bergelinang keluar menahan kesakitan.

“Ibu, Ayah,” Maisarah memanggil nama ibu dan ayahnya sambil menangis. Ini pertama kali dia merasa kesakitan begini. Kena rotan semasa dia kecil dulu pun tidak sesakit ini.

“Tolong! Tolong!” Maisarah menjerit meminta pertolongan tetapi jeritannya di tutup dengan bunyi hujan yang kuat.

Maisarah cuba menenangkan hatinya sambil menahan kesakitan dan merasakan ianya akan ambil masa untuk seseorang menyedari ada berlaku kemalangan.

Maisarah menguatkan diri dan menggunakan kakinya yang lemah dan cuba untuk menolak tiang itu dari terus menghempap tangannya.

Maisarah menggunakan semua tenaga yang dia ada dan berjaya menolak tiang itu.

“Hah! Hah! Hah!” Maisarah bernafas kuat dan melihat tangan kanannya yang di mana ianya penuh dengan darah.

Maisarah menutup matanya menahan kesakitan dan dia juga tidak mahu melihat tangannya yang penuh dengan darah.

Maisarah melihat ke arah kereta itu, “Kena telefon ambulans cepat. Pemandu ni mesti cedera lagi teruk lagi,” Dia juga melihat bumbung perhentian bas itu yang menghempap ranap kereta itu.

Maisarah masih menagis menahan kesakitannya sambil melihat sekeliling untuk mencari beg tangannya.

Nasibnya baik kerana ianya berada berdekatan. Maisarah segera mengambil beg tangannya dan mencari telefon bimbitnya.

Maisarah tidak peduli telefonnya dibasahi hujan kerana apa yang paling penting ialah memanggil ambulans.

Maisarah mendail ‘999’ dan beberapa saat kemudian, panggilan itu dijawab.

“Hello, ada berlaku kemalangan di…” Maisarah segera melaporkan kemalangan ini dengan suara yang cemas dan penat.

Selepas melaporkan kemalangan ini, Maisarah melihat semula ke arah kereta itu.

“Aku kena tolong orang dalam kereta ni. Kalau ada budak-budak kecik…” Maisarah tidak pasti berapa orang berada di dalam kereta itu.

Walaupun badan Maisarah kesakitan dan dia juga berasa semakin penat, Maisarah masih mahu membantu kereta itu.

Dengan kakinya yang masih menggigil, Maisarah bangun dari kawasan rumput itu. Tangan kirinya memegang bahu kanannya. Tangan kanannya tergantung akibat dihimpap tiang tadi.

Maisarah segera ke arah kereta itu dan bila dia fokus ke arah kereta itu, Maisarah dapat melihat yang ianya kereta komersial import. Maisarah mengecam ianya kereta yang selalu digunakan oleh orang-orang kaya.

Maisarah meninjau tingkap belakang kereta itu dan tidak nampak orang lain di kerusi belakang kereta itu. Hanya di kerusi pemandu kereta itu terdapat seorang lelaki yang tidak sedarkan diri.

Maisarah dapat melihat yang kepalanya berlumuran darah.

Walaupun airbag kereta itu melindunginya, bumbung perhentian bas yang menghempap kereta itu menyebabkan bumbung kereta itu kemek dan kemungkinan memukul kepala lelaki itu.

Mungkin juga yang lelaki itu mendapat kecederaan di kepala kerana menghentam perhentian bas itu.

Ini semua hanyalah angapan Maisarah. Dia tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi.

Melihat lelaki itu cedera teruk, Maisarah segera berjalan ke arah tempat pemandu itu. Dia ingin tahu jika ada kemungkinan untuk membantu lelaki itu.

Maisarah menghampiri tingkap pemandu itu. Ketika ini, semua tingkap di kereta itu telah berkecai.

Maisarah tiba di tingkap pemandu itu dan setelah melihat muka pemandu itu, Maisarah terkejut.

Mukanya menjadi biru dan menjerit, “Encik Azlan!” Maisarah segera cuba membuka pintu kereta itu tetapi ianya berkunci.

Maisarah cuba mencapai selak kunci kereta itu tetapi setelah memicitnya beberapa kali, ianya tidak berfungsi.

Maisarah cemas. Dia ingin membawa Azlan keluar dari kereta itu tetapi disebabkan pintu kereta itu tidak dapat dibuka, Maisarah buntu.

Maisarah teringat drama yang pernah ditonton. Drama itu menyatakan lebih elok kalau pesakit itu sentiasa sedarkan diri.

“Encik Azlan! Encik Azlan!” Maisarah memanggil Azlan. Dia cuba untuk membangunkan Azlan tetapi Azlan tidak memberi sebarang reaksi.

Maisarah berasa takut sekali. Dia tidak mahu berfikiran terlalu negatif. Maisarah cuba merasa pernafasan Azlan dengan meletakkan jarinya di hidung Azlan.

Azlan masih bernafas tetapi ianya sangat lemah. Maisarah berasa lega dan dia terus berfikir mengenai ilmu-ilmu yang dipelajari melalui drama-drama dan video yang pernah ditonton.

“Betul tu… Aku bukan professional… Elok jangan usik sangat… tapi aku boleh tolong tahan luka… supaya boleh kurangkan… kehilangan darah,” berbisik Maisarah sambil tercungap-cungap.

Maisarah juga berasa semakin penat. Dia tidak menyedari yang dia juga sedang kehilangan darah. Walaupun tidak sebanyak Azlan, ianya masih tetap memberi kesan terhadapnya.

Maisarah hanya mampu mencapai kepala Azlan dan segera menggunakan tangan kirinya untuk menutup luka di kepala Azlan.

Maisarah menutup luka yang besar yang berada di belakang kepala Azlan. Maisarah tidak tahu jika perbuatannya membantu Azlan tetapi dia mahu mencuba sedaya upayanya.

Beberapa saat kemudian, Maisarah merasakan telefon yang berada di dalam poket seluarnya bergetar. Disebabkan hujan dan fokus Maisarah ke arah Azlan, dia tidak mendengar bunyi ringtone telefon itu.

Maisarah mengendahkan panggilan itu kerana dia tidak mahu berhenti membantu Azlan. Hanya satu sahaja tangannya yang berfungsi dan dia menggunakannya untuk menahan luka Azlan.

Tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti berdekatan.

“Bang, ada kereta accident lah,” wanita 30-an yang duduk di sebelah pemandu itu berkata.

“Telefon 999,” kata lelaki 30-an itu. Dia menggerakkan keretanya ke arah kereta Azlan dan setelah lampu keretanya menyinari kereta Azlan, lelaki itu melihat Maisarah yang basah kuyup berdiri di sebelah kereta itu.

Selain itu, lengan kanan baju Maisarah merah. Lelaki itu tahu Maisarah cedera.

“Abang nak pegi tolong,” lelaki itu keluar dari kereta dan segera berlari ke arah Maisarah.

“Dik, kau ok tak?” laung lelaki itu sambil berlari ke arah Maisarah.

“Ha?” Maisarah baru tersedar seseorang sedang menghampirinya. Dia terlalu fokus dengan Azlan dan tidak menyedari keadaan sekelilingnya.

Maisarah juga berasa lega kerana ada orang lain yang berdekatan.

“Saya ok… tapi Encik Azlan…” Maisarah jawab terputus-putus.

Lelaki itu tiba di sebelah Maisarah tetapi selepas melihat Azlan, hatinya gemuruh dan takut.

Melihat Maisarah cuba menutup luka Azlan dengan tangannya, dia berkata, “Dik, kau duduk berehat. Biar abang tolong tahan luka tu.”

“Kau pun cedera juga. Duduk rehat. Pergi berteduh dekat kereta abang. Luka kau kena hujan ni akan buat lagi teruk lagi,” kata lelaki itu.

Maisarah menggeleng kepala. Dia tidak mahu jauh dari Azlan. Dia mahu terus membantu Azlan.

Lelaki itu mengeluh kerana Maisarah tidak mahu mendengar nasihat. Lelaki itu segera membuka jaket yang dipakainya dan kepul-kepulkan jaket itu.

Dia memegang tangan Azura dan segera mengalihkannya dari luka Azlan. Lelaki itu segera menutup luka itu dengan jaket yang dikepulkan.

Disebabkan dia baru sahaja terkena hujan, jaketnya hanya basah sedikit sahaja. Dia menggunakan tangannya yang lagi satu untuk mencari luka lain yang boleh dicapai.

Maisarah mahu membantu tetapi lelaki itu menghalangnya. Lelaki itu memandang ke arah Maisarah dan berkata, “Pegi berteduh dekat kereta tu.”

Pada masa yang sama, wanita yang bersama lelaki itu menghampiri mereka dengan payung. Dia melihat muka Maisarah yang pucat dan segera menggunakan payungnya menahan hujan untuk Maisarah.

“Yang, bawak adik ni berteduh kat kereta kita,” kata lelaki itu dan wanita itu mengangguk.

“Dik, jom tunggu kat kereta akak. Sekejap lagi ambulans akan sampai,” kata wanita itu tetapi Maisarah masih degil dan tidak mahu berganjak. Disebabkan itu, wanita itu berdiri bersama Maisarah di bawah payung itu.

Wanita itu melihat Azlan yang berlumuran darah dan dia segera memandang ke arah lain. Dia boleh menahan lagi melihat tangan Maisarah yang cedera tetapi kecederaan Azlan lebih teruk dan menakutkan.

Pandangan Maisarah masih tidak meninggalkan Azlan. Ketika ini, telefon Maisarah berdering lagi. Maisarah mengeluarkan telefonnya dari poket dan melihat Azura yang sedang menelefon.

Maisarah menjawab telefon.

[Mai, kau busy lagi ke kat kafe? Aku telefon tadi tak jawab. Aku on the way nak ambik kau kat kafe] Azura segera berkata setelah Maisarah menjawab panggilan itu.

“Zura…” suara Maisarah lemah. Dahi Azura berkerut selepas mendengar suara Maisarah. Dia tidak pernah mendengar suara Maisarah lemah sebegini.

[Mai, kenapa suara kau macam ni?] tanya Azura, risau. Ketika ini kereta Azura berada di jalan di mana kemalangan itu berlaku.

‘Ada kemalangan,’ fikir Azura tetapi dia tidak terfikir untuk berhenti sebab sudah ada satu kereta lain yang berhenti di stu.

Pada masa yang sama, dia dapat melihat keadaan kemalangan itu kerana lampu kereta itu menyinar ke arah kawasan kemalangan itu.

Azura juga dapat melihat seorang lelaki membuat sesuatu di sebelah kereta yang terbabas itu dan juga dua wanita berteduh di bawah payung bersebelahan dengan kereta terbabas itu.

Salah seorang wanita itu basah kuyup dan lengan kanan bajunya merah dengan darah manakala lengan kirinya hanya berdarah di kawasan pergelangan tangan.

‘Baju perempuan tu macam kenal je?’ fikir Azura setelah melihat wanita yang cedera itu.

Pada masa yang sama Azura mendengar suara Maisarah manjawab soalannya tadi, “Zura… tolong… aku terlibat… kemalangan-”

“Hello, awak ni rakan pemilik telefon ni ke? Pemilik telefon kereta ni terlibat dalam kemalangan. Dia cedera dan masih menunggu ambulans datang ke sini,” Maisarah belum habis menjawab tetapi telefonnya diambil oleh wanita 30-an itu untuk memberitahu kenalan Maisarah mengenai kemalangan itu.

Azura segera menekan brek keretanya dan memandang ke arah kemalangan itu. Dia segera meletakkan kereta di sebelah jalan dan segera keluar dari keretanya.

Azura berlari ke arah kemalangan itu dan semakin dekat dia dengan wanita di bawah payung itu, lebih jelas dia mengenali identiti wanita itu.

“MAI!!!” Jerit Azura.

Wanita 30-an itu terkejut dan memandang ke arah Azura. Dia mendengar suara Azura melalui telefon Maisarah juga.

Maisarah juga memandang ke arah Azura. Melihat Azura, Maisarah berasa lega sedikit.

Azura segera berdiri di hadapan Maisarah. Melihat Maisarah cedera teruk begini buat pertama kalinya, Azura mula menangis.

“Mai, jom aku bawak pegi hospital. Tak payah tunggu ambulans,” kata Azura dengan cemas sambil menangis.

Dia tidak bertanya samada Maisarah ok atau tidak kerana melihat darah yang banyak serta muka Maisarah yang pucat, mustahil Maisarah ok.

Fikiran Azura sekarang ini adalah untuk membawa Maisarah segera ke hospital. Dia tidak mempedulikan pemandu kenderaan itu kerana, kecederaan Maisarah 100% kerana pemandu itu. Maisarah tidak memandu pun ketika ini dan semuanya salah pemandu itu.

“Zura… cedera… Encik Azlan… lagi teruk,” kata Maisarah.

“Ha? Azlan?” Azura terkejut. Dia melihat ke dalam kereta itu dan melihat Azlan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Dia elok tunggu ambulans. Aku tak boleh nak buat apa-apa pun. Sekarang ni aku boleh tolong kau je. Jom pegi hospital sekarang,” kata Azura tetapi Maisarah menggeleng.

“Kau!” Azura tertekan dengan sikap Maisarah ketika ini dan hatinya lebih marah terhadap Azlan. Dia tahu kenapa Maisarah berdegil.

“Azlan akan ok nanti jangan risau,” Azura cuba memujuk Maisarah tetapi dia masih berdegil.

“MAI!!!” Azura tiba-tiba menengking Maisarah. Dia berasa sangat tertekan ketika ini.

“Fikir sikit. Kita tak boleh nak buat apa-apa sekarang ni. So, utamakan diri kau dulu. Tolong diri sendiri dulu. Tolong apa yang mampu. Fikir sikit kalau jadi apa-apa dekat kau, mak ayah kau macam mana?”

“...” Maisarah terdiam tetapi ketika ini, bunyi ambulans dapat didengari.

(PS: Situasi ni berlaku beberapa minit sahaja)

Harap-harap Novelplus boleh optimize lagi app ni. Setiap kali tambah chapter baru, mesti tak boleh nak bukak app ni. Kene clean data app ni kat setting baru boleh bukak app. Terima kasih dan Selamat Membaca :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience