“I would like to welcome Mr. Hafiz from UTHM to present his paper. Title, Safety Measures for Mass Rapid Transit (MRT) construction in Malaysia. Please, give him an applause!” ujar pengacara majlis dengan bahasa Inggeris yang cukup fasih walaupun dia berbangsa cina.
Aku yang sedari tadi menggigil menjadi semakin gemuruh. Namun, aku tetap melangkah ke hadapan sambil membawa beberapa helai kertas. Yang diatasnya tertulis kata-kata yang bakal aku ucapkan sebentar lagi. Aku ada banyak kelemahan. Dan salah satunya ialah membuat presentation di dalam bahasa Inggeris. Sebab kalau bercakap dalam bahasa ibunda, aku yakin yang aku mampu goreng segala isi yang aku ada segoreng-goreng. Aku yakin yang selepas aku bercakap, paling kurang separuh dari orang di dalam dewan akan bertepuk tangan. Lagi separuh, tangannya sibuk mengesat air mata. Terlalu terharu kerana mereka tergolong dalam kalangan insan-insan terpilih hendak mendengar mutiara kata yang aku lontarkan. Ini cerita betul ni.
Pernah sekali aku dipaksa memberi ucapan di atas pentas. Masa tu aku pengawas sekolah, dan aku dikehendaki memberikan pendapat tentang gejala sosial di dalam kalangan pelajar sekolah. Semua benda yang aku tahu, dengar, dan lihat aku ceritakan. Dari dekat mana budak-budak nakal sorokkan rokok, sampailah dekat pagar mana yang diorang selalu panjat. Kebetulan, cikgu disiplin ada sekali dalam meeting. Berdiri dia sampai sambil bertepuk tangan. “Senang kerja aku lepas ni,” ujar Cikgu Mahmud, Cikgu Disiplin aku yang paling garang pernah aku jumpa. Sebenarnya, aku tidak ada niat nak kantoikan mereka. Cuma aku sebenarnya, gemuruh. Ya, aku gemuruh.
Sepanjang 20 minit itu, aku sedar yang mata aku tidak banyak berinteraksi dengan penonton di hadapan. Aku lebih suka memandang kepada huruf-huruf yang sedang elok tersusun rapi di atas kertas yang aku bawa ke hadapan sebentar tadi. Beberapa kali juga aku terbatuk-batuk setiap kali bercakap. Tetapi, mata aku berjaya menangkap kepada sepasang mata yang memandang slide presentation aku dengan penuh minat. Tak melampau aku katakan yang matanya agak bersinar. Hakikat ini akan menyebabkan aku lebih gembira kalau pemilik mata itu ialah seorang perempuan.
Sayangnya, mata itu milik seorang lelaki Eropah (mungkin) yang berjambang. Aku sungguh kecewa.
Share this novel