BAB 8

Romance Completed 8700

Hariz tersenyum apabila Azim menyakatnya lagi. Maklumlah dia kini berdarah manis dan tidak lama lagi akan mendirikan rumah tangga. Lagi pulak dengan Eisya yang pernah menjadi usikan Hariz di bangku sekolah. Mahu tidak teruk dia dikata.
“Cuba kau ceritakan pada aku macam mana kau boleh meminang Eisya tu. Dan yang peliknya, macam mana kau boleh jatuh cinta dengan dia tu.” Permintaan dari Firdaus itu disambut dengan senyuman panjang.
“Hati…. Kita tak boleh nak jangka. Macam aku juga. Dulu masa aku sekolah memang aku suka nak usik si Eisya tu. Mana tahu aku akhirnya akan mendirikan rumah tangga dengan dia.” Sambut Hariz.
“Jadi macam mana dengan Eisya. Diakan mengajar kat johor. Sedangkan kau kat sini.”
“Permohonan dia untuk bertukar dah diluluskan. Baru minggu lepas dia beritahu dengan aku. Erm… tak sabar rasanya nak kahwin.” Pengakuan dari Hariz itu membuatkan Fariz, Firdaus dan Azim tertawa.
“Aku tak sangka sampai begini teruk perasaan kau pada si Eisya tu. Aku tak sangka dalam gaduh-gaduh waktu kecik dulu dah besar boleh kahwin pulak. Engkau memang betul ke nak kahwin dengan dia? Atau kau saja nak usik dia macam mana kau usik dia masa kecik dulu?”
“Fir, sekarang bukan zaman usik mengusik. Zaman tu dah berlalu. Kita dah dewasa. Engkau pun dah anak dua, kan? Agak-agak kau aku ni mengumpul duit semata-mata nak mempermainkan perasaan orang lain ke?” Hariz agak terasa dengan kata-kata Firdaus itu. Perasaannya terhadap Eisya bukan mainan. Perasaannya terhadap Eisya adalah tulus. Dia benar-benar ikhlas di dalam memperisterikan Eisya.
“Tapi macam mana pulak kau boleh pinang si Eisya tu. Bila masa kau jumpa dengan dia?” Azim mula mengubah tajuk apabila melihatkan suasana yang mula agak tegang itu. Si Firdaus ni agak-agaklah bila nak bercakap dengan orang. Nasib baiklah si Hariz tu tak ada angin kus-kus hari ini. Kalau tidak mahu teruk si Firdaus ni kena dengan Hariz.
“Kau orang bukan tak kenal mak aku dengan mak si Eisya tu kawan baik. Walau pun berpisah mak aku selalu juga hubungi keluarga dia. Tempoh hari entah macam mana gatal mulut mak aku tanyakan si Eisya tu. Bila dia dapat tahu yang si Eisya tu tak sesiapa yang masuk meminang, mulalah mak aku tanyakan aku. Masa tu aku rasa macam bulan jatuh ke riba.” Masih segar difikirannya bila mendapat tahu Eisya masih belum berkahwin. Dengan seberapa segera dia menyuruh ibunya meminang Eisya.
“Itu tak apalah juga. Yang si Eisya tu terima pulak pinangan kau. Memang dah jodoh agaknya kau dengan dia.” Ulas Fariz. Hariz mengangguk. Pada mulanya dia merasa sangsi untuk meminang Eisya kerana dia takut akan Eisya akan menolak peminangannya. Namun apabila ibunya memberikan keputusan yang menggembirakan dia benar-benar memanjat rasa syukur kerana segala apa yang dia doakan selama ini termakbul. Apabila saat peminangannya diterima oleh Eisya, dia mengumpul segala harapan. Harapan untuk membahagiakan gadis idamannyanya itu. Itu janjinya untuk Eisya.
“Sebelum mak aku meminang dia aku takut juga kalau Eisya tak terima aku. Bila dah sah menjadi tunang aku, rasa dunia ini aku yang punya tau!” Hariz bangga apabila menceritakan detik bagaimana dia ingin meminang Eisya. Kalau boleh diulang bagaimana ibunya menyampaikan berita gembira itu, mahu sahaja dia ulanginya dan menyimpan di dalam CD dan direkod berulang kali.
“Macam mana kau boleh jatuh hati dengan Eisya, Riz?” Pertanyaan dari Azim itu membuatkan Hariz hilang dengan kata-kata. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh hati dengan Eisya. Apakah perasaannya hadir saat di waktu kecil atau ianya hadir saat dia berjauhan? Dia sendiri pun tidak pasti semuanya. Namun saat dia mendengarkan nama Eisya dari bibir ibunya hatinya bergetar dan berdebar. Dia sedar saat itu hatinya milik gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience