BAB 1

Romance Completed 8700

Hariz menuang air ke dalam gelas yang masih berbaki. Ketawanya pecah lagi. Mendengarkan cerita yang dibawa oleh Fariz begitu mencuit hatinya. Begitu juga dengan Firdaus dan juga Azim. Cerita yang mereka lakarkan dan nostalgia semasa mereka dibangku sekolah begitu menggelikan hati mereka. Mahukan tidak, kenangan semasa dibangku sekolah jika dikenangkan memang banyak cerita-cerita yang begitu melucukan hati.
“Kau nak air lagi?” Soal Hariz yang masih memegang jug berisi air Teh ‘o’ kepada Firdaus setelah gelasnya juga sudah hampir kosong. Setelah penat memasak di khemah belakang, mereka melepaskan lelah sebentar untuk berehat. Mereka tidak sangka majlis perkahwinan Suraya telah menemukan mereka yang sudah lama tidak bertemu. Maka, tatkala sudah bertemu maka bertalulah cerita yang hendak dibawa.
“Aku tak sangka kau begitu berani, Hariz.” Suara Firdaus. Hariz mengerutkan keningnya. Tidak faham dengan kata-kata Firdaus itu. Berani? Apa yang dimaksudkan oleh Firdaus itu?
“Maksud kau?”
“Meminang Eisya.” Senyum Hariz mula bertamu dibibirnya. Eisya. Nama yang selama ini sering meniti di bibirnya. Namun hampir 15 tahun dia tidak bertemu dengan Eisya. Ya, memang dia berani meminang Esiya. Gadis itu telah banyak memberi dorongan dan semangat untuk dirinya. Saat dia jatuh gadis itu juga yang menjadi tongkatnya. Dia memang banyak terhutang budi dengan Eisya.
“Kenapa? Salah ke? Bukannya aku meminang lelaki.” Tegas Hariz. Cuba untuk mencari jawapan dari Firdaus.
“Yelah…. Kau dah 15 tahun tak jumpa dia. Macam mana kau nak tahu dia tu macam mana?” Firdaus terfikir sendiri. Erm…. Apa yang aku soal ni?
“Engkau ni, tak salah rasanya kalau aku nak meminang si Eisya tu. Lagi pun setahu aku Eisya tu pun belum ada yang punya. Bukan tunangan orang atau pun isteri orang. Lagi pun sebelum aku meminang dia aku dah bertanya dengan mak dan ayah dia. Takkan aku nak pinang anak dara orang main sergah macam tu je.”
“Kau tak tertanya ke kenapa dia tak kahwin lagi.” Azim pula yang cuba menyelami.
“Habis tu, kenapa kau tak tanya si Suraya tu kenapa baru sekarang dia nak kahwin. Sedangkan dulu semua budak lelaki dok syok kat dia. Termasuklah kau sekali.” Tuding Hariz kepada Azim. Azim berdehem. Cuba memandang sekeliling. Buatnya keluarga Suraya tahu mahu naya dibuatnya. Hish! Si Hariz mulut tu tak boleh nak control.
“Mula-mula aku ada tanya dengan mak aku. Hariz atau Fariz yang nak kahwin dengan Eisya. Bila kali ketiga mak aku kata Hariz, baru aku percaya. Tambahan pula aku dapat kad jemputan dari kau. Aku memang tak sangka dengan kau.” Sambung Azim.
“Yelah…. Dulu masa kita sekolah rendah dulu…. Kalau sebut nama pelajar yang paling kita suka… nama Eisya tu tak pernah berada dalam carta kau.” Sambut Azim.
“Aku pun tak tahu macam mana kau boleh nak pinang si Eisya tu. Bukan ke masa kecik dulu kau anti dengan dia. Kau selalu buli dia. Kau selalu cari gaduh dengan dia. Hish! Aku memang tak faham.” Ujar Firdaus.
Dia memang tidak mengerti. Bagaimana Hariz boleh meminang Eisya. Sedangkan sewaktu kecil dahulu, Hariz dan Eisya tidak pernah nak berbaik. Bagaikan anjing dengan kucing. Tapi…. Kalau Fariz yang masuk meminang memang tidak boleh disangkal lagi. Sebab? Fariz dan Eisya bagaikan belangkas. Kemana sahaja mereka memang berdua. Dimana ada Fariz, di situ juga ada Eisya. Tapi…. Hariz dan Eisya? Bagaikan langit dan bumi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience